PULAU PINANG 9 Feb. – Kerajaan DAP Pulau Pinang melarang penggunaan tema 1Malaysia 1Ummah sepanjang perhimpunan serta perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Padang Kota Lama di sini pada 15 Februari ini.
Sebaliknya, tema sambutan peringkat kebangsaan itu akan digantikan dengan tema pilihan kerajaan negeri yang akan digunakan sepanjang perarakan tersebut.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Maulidur Rasul 1432 Hijrah/2011 dipengerusikan Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim 16 Disember lalu.
Mesyuarat tersebut dihadiri kira-kira 40 wakil serta ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.
Difahamkan, larangan berkenaan ada kaitan dengan penggunaan istilah 1Malaysia yang terdapat dalam tema tersebut.
Seorang wakil ketua jabatan yang enggan namanya disiarkan memberitahu, keputusan itu dibuat dengan alasan tema berkenaan tidak selaras dengan prinsip serta pendirian kerajaan negeri.
“Tiada ruang perbincangan dibuat mengenai tema 1Malaysia 1Ummah itu. Beliau hanya meminta supaya ia ditukar kepada tema lain kerana dikatakan tidak menepati pendirian kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wakil jabatan berkenaan memberitahu, Abdul Malik pada mesyuarat kedua jawatankuasa pada 15 Januari lalu mencadangkan supaya tema tersebut digantikan dengan Wassatiyah Tonggak Kecemerlangan Ummah iaitu tema yang digunakan pada sambutan Maal Hijrah peringkat negeri baru-baru ini.
---------
sumber dari http://www.pribumiperkasa.com/?p=4613
No comments:
Post a Comment