Monday, February 14, 2011

Contohi kasih sayang Nabi

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON - Utusan Online

SECARA kebetulan Valentine Day's atau Hari Kekasih yang disambut oleh sesetengah masyarakat dunia pada tahun ini berlaku sehari sebelum umat Islam memperingati keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Uniknya lagi kelahiran insan agung ini membawa seribu kasih sayang dan rahmat buat seluruh alam.
Sebelum kelahirannya masyarakat Arab tanpa rasa belas kasihan tergamak membunuh anak perempuan yang baru dilahirkan hanya kerana malu dan memandang rendah kepada kedudukan kaum wanita.
Pengutusan Nabi SAW telah meletakkan wanita setanding lelaki, mereka di beri hak untuk hidup, hak untuk mewarisi harta pusaka dan lebih mulia lagi apabila diberi hak ihsan dan belas kasihan sehingga ketaatan kepada ibu bakal membawa ke syurga.
Namun kini, apa yang berlaku sebaliknya. Terdapat di kalangan wanita yang secara sengaja menjatuhkan maruah dan kehormatan diri dengan terlibat dalam aktiviti negatif seperti pelacuran, GRO dan bohsia.
Ramai pula yang tanpa segan silu memperagakan pakaian menjolok mata lalu menyumbang kepada peningkatan statistik rogol dan salah laku seksual.
Golongan wanita yang secara umumnya berperawakan ayu, lemah-lembut dan di penuh kasih sayang seorang ibu pula, kini seolah-olah menjadi ganas dan tidak berperikemanusiaan lagi.
Mana tidaknya ada di kalangan mereka yang tergamak membuang dan membunuh bayi darah daging sendiri. Entah di mana silapnya sehingga ajaran Nabi yang murni supaya menghormati yang tua dan menyayangi yang muda tidak diendahkan.
Akhlak Nabi SAW sendiri yang sangat mengasihani kanak-kanak terutama golongan miskin dan anak yatim juga langsung tidak dipedulikan. Saidina Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW adalah individu yang paling sayang kepada wanita dan anak-anak. (Riwayat Muslim)
Selain daripada itu nilai kasih-sayang dalam kehidupan pasangan berumah tangga juga kelihatan mula hilang sedikit demi sedikit. Mungkin kerana kesibukan kerjaya hingga tanggungjawab terhadap anak-anak jadi terabai.
Anak-anak juga mula hilang hormat terhadap ibu bapa. Laporan media massa menunjukkan bagaimana ada anak yang sanggup tidak mengaku ibu yang pernah melahirkannya hanya kerana termakan pujuk rayu kekasih yang baru sahaja dikenali.
Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan sering bergurau senda bersama isteri-isterinya.Pernah suatu ketika Rasulullah SAW berlumba berjalan laju bersama Aisyah r.a lalu Aisyah mengalahkannya. Kemudian pada kesempatan yang lain Nabi SAW pula mengalahkan isterinya, lalu baginda Nabi SAW bersabda "Yang ini balasan bagi yang lalu". (Riwayat Abu Dawud)
Boleh jadi semua gejala ketirisan nilai kasih sayang ini berlaku kerana segelintir umat Islam kurang memahami erti kasih sayang sebenar yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Ketidakfahaman itu menyebabkan golongan muda-mudi Islam terikut-ikut dengan budaya songsang yang dicedok daripada orang lain tanpa menyedari betapa Islam memiliki khazanah akhlak mulia yang sesuai diamalkan pada bila-bila masa.
Lebih membimbangkan lagi apabila ada yang melihat kasih sayang sebagai tiket untuk berbuat dosa dan maksiat yang dilarang. Kasih sayang pada pandangan mereka menghalalkan apa sahaja keinginan nafsu serakah manusia.
Mereka mudah termakan pujuk rayu syaitan lalu berkhalwat dan bersekedudukan tanpa rasa bersalah. Perbuatan keji seperti berpelukan dan berciuman di antara pasangan kekasih yang sedang bercinta juga dianggap perkara biasa.
Amalan keji seks luar tabii juga mula mendapat tempat di hati segelintir golongan yang sebenarnya jahil walaupun berjaya memperoleh segulung ijazah.
Mereka tertipu dengan keinginan untuk menzahirkan perasaan cinta dan sayang kepada pasangan sesama jenis. Perbuatan hina seperti ini jika dibiarkan berterusan dibimbangi akan membiak persundalan dalam masyarakat.
Kemurkaan Ilahi atas kejahatan manusia juga boleh jadi mengundang kemurkaan Tuhan lalu apa yang pernah berlaku kepada kaum Nabi Luth dan masyarakat Pompei di Itali suatu ketika dahulu berulang kembali.
Sehubungan dengan itu bersempena dengan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada tahun ini umat Islam diseru menghayati sirah perjuangannya yang penuh dengan perasaan kasih sayang bersama para isteri dan sahabat-sahabatnya.
Malah akhlak mulia seperti itulah yang menjadikan Islam berjaya diterima dan berkembang hingga ke seantero dunia. Perkara ini juga sangat bersesuaian dengan tujuan utama pengutusan Nabi Muhammad SAW iaitu untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia yang satu daripadanya adalah rasa kasih sayang kepada sesama makhluk.
Kasih sayang itu pula bukanlah hanya sekadar kata-kata manis ungkapan manusia ia wajib diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai usaha untuk melaksanakan sunnah agung warisan zaman berzaman.
Perlu juga difahami bahawasanya syariah Islam yang suci tidak pernah mempromosikan supaya amalan berkasih-sayang disambut hanya pada hari-hari tertentu.
Ia merupakan nilai akhlak mulia yang tertanam dalam jiwa sanubari setiap insan yang cintakan kasih sayang dan kedamaian sepanjang masa.
Kedangkalan segelintir muda-mudi Islam yang turut sama menyambut Valentine Day's adalah bukti betapa masih ramai lagi yang tidak memahami sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang mulia.
Mereka lebih seronok mengamalkan sesuatu yang tidak dikenal pasti asal-usulnya berbanding sunnah Nabi yang menjadi asbab untuk beroleh syafaat al-kubra di hari kemudian.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru



No comments: