Tuesday, October 30, 2012

Negara Sekular Hanya Taktik DAP Untuk Pecahkan Umat Islam


Tindakan DAP yang beria-ia menafikan negara ini sebagai Negara Islam sudah cukup untuk membuktikan sifat anti-Islam/Melayu yang menjadi ‘darah daging’ parti tersebut.   Tidak ada parti-parti yang mewakili kaum bukan Melayu di Malaysia yang menjadikan konsep pentadbiran negara ini iaitu sama ada sekular atau Islam, sebagai satu isu besar sepertimana DAP.   

Hujah DAP adalah berdasarkan kenyataan lisan yang dibuat oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama bahawa Malaysia adalah Negara Sekular dan bukan Negara Islam.  Ini dibuktikan dengan laporan The Star pada 9 Februari 1983 iaitu pada ulangtahun bekas Perdana Menteri itu yang ke-80, yang menyatakan “Jangan jadikan Malaysia negara Islam.”

Menurut Kit Siang, pada Februari 13, tahun yang sama, bekas Perdana Menteri yang ke-3, Tun Hussein Onn pula menyatakan bahawa beliau menyokong pendirian Tunku yang menolak negara Islam.  

Jika kenyataan lisan bekas Perdana Menteri pertama diangkat sebagai satu penghisytiharan dan dijadikan asas untuk menentukan konsep pentadbiran negara, maka Kit Siang juga wajib mengambilkira  kenyataan lisan oleh bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia yang lain yang sebaliknya mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.  

Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-4 mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam pada 29 September 2001 semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Perwakilan Gerakan.  Beliau dengan tegas mengisytiharkan seperti berikut:  "Umno ingin menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam."

Begitu juga dengan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada 17 Julai 2007.

Ketika menjadi Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyatakan bahawa "Islam adalah agama rasmi dan Malaysia adalah sebuah negara Islam,” ketika Persidangan Antarabangsa tentang Peranan Negara Islam Dalam Dunia Globalisasi. 

Dan kini, setelah Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Malaysia terus mendapat pengiktikrafan bukan sahaja sebagai Negara Islam tetapi sebagai Negara Islam contoh dan diakui sendiri oleh Ulama tersohor dunia termasuk antara yang paling disegani, iaitu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi.  Dalam surat penghargaan khas beliau ke atas sumbangan Malaysia kepada dunia Islam, beliau menyatakan, “Lebih penting, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara Negara Islam yang mempunyai strategi pembangunan mengagumkan dan terbuka, kini menjadi pusat rujukan dan contoh bagi dunia Islam.” 

Dengan mengambilkira semua kenyataan lisan, pengisytiharan serta pengakuan bertulis mengenai sama ada Malaysia adalah Negara Islam atau Sekular, maka kita akan dapati bahawa 2 bekas Perdana Menteri menyatakan Malaysia adalah Negara Sekular, dan 2 bekas Perdana Menteri termasuk Perdana Menteri kita pada hari ini, iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menyatakan bahawa Malaysia adalah Negara Islam. 

Oleh itu, tidak ada sebab bagi Kit Siang untuk meletakkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman sebagai mengatasi kenyataan bekas-bekas Perdana Menteri yang lain. 

Dari sudut yang lain pula, Kit Siang tidak wajar berpegang kepada kenyataan bekas Perdana Menteri semata-mata, tetapi perlu melihat perkara ini secara keseluruhan, iaitu perlembagaan dan landskap masyarakat negara ini.  

Beberapa Ulama sepakat mentakrifkan Negara Islam seperti berikut:  satu tempat yang berada dibawah pemerintahan orang Islam dan tandanya ialah apabila orang Islam aman di dalamnya serta masyarakatnya dapat menyeru dakwah Islam tanpa ada rasa takut dan bimbang, serta dilaksanakan di dalamnya hukum-hukum ke atas orang kafir zimmi, manakala golongan ahli bid’ah tidak bermaharajalela menekan ahli Sunnah. 

Menurut Hassan al-Banna, sebuah kerajaan Islam ialah kerajaan di mana para pemimpinnya menunaikan kewajiban Islam, tidak melakukan maksiat dan mereka menjadi pelaksana hukum-hakam Islam dan pengajaran dalam dirinya.

Negara Islam mementingkan keadilan sejagat yang sesuai dengan kedudukan manusia menurut kemampuan masing-masing kerana tidak ada manusia yang boleh menganggap dirinya istimewa dalam melaksanakan perintah Allah termasuk pemimpin dan juga Ulama, kerana undang-undang Allah SWT itu turut berlaku keatas semua.

Dalam bahasa mudah bagi Umat Islam ialah Negara Islam itu terbentuk atas dasar niat dan matlamat yang tidak mengabaikan tuntutan Islam.  Tetapi Negara Sekular terbentuk atas dasar kuasa di mana ia membolehkan matlamat menghalalkan cara. 

Jelas berdasarkan fakta-fakta di atas bahawa Malaysia adalah Negara Islam, dan bagi Kit Siang untuk menafikannya dengan hanya berdasarkan satu alasan iaitu kenyataan Tunku Abdul Rahman tentulah tidak boleh diterima langsung.  

Matlamat Kit Siang untuk membangkitkan soal ini tidak sukar untuk dibaca.  Beliau sebenarnya hanya ingin memecahbelahkan Umat Islam dengan membangkitkan keraguan terhadap kerajaan Islam.  

Namun, di masa yang sama, beliau juga sebenarnya secara tidak langsung mengesahkan bahawa perjuangan DAP adalah untuk menegakkan Negara Sekular dan bagi PAS untuk terus bersama mereka, menunjukkan bahawa Umat Islam di dalam PAS turut memperjuangkan yang sama.  Logiknya, PAS wajar memberi respon segera sama ada untuk menyokong atau sekadar bermain politik dengan menempelak DAP kerana memperjuangkan Negara Sekular.  

Jika PAS benar-benar memperjuangkan Islam dan tidak memegang prinsip matlamat menghalalkan cara, maka kenyataan Kit Siang ini wajar dijadikan titik noktah kesepakatan mereka bagi mengelak dari turut bersubahat memperjuangkan Negara Sekular.  

No comments: