Alat-alat kebesaran diraja negeri Perak Darul Ridzuan merupakan peralatan yang paling unggul dan amat dihormati kerana usianya yang menjangkau ratusan tahun dan digunakan didalam istiadat pertabalan sesorang Sultan Perak Darul Ridzuan. Kesultanan Melayu Perak diasaskan 485 tahun lalu dan semenjak itu, peralatan berkenaan telah ada malah sebahagian daripadanya berusia lebih lama lagi terutamanya peralatan yang diwarisi dari Kesultanan Melayu Melaka. Ada juga sesetengah daripada peralatan ini digunakan oleh Sultan dan Raja Perempuan/Raja Pemaisuri dalam sesetengah istiadat atau upacara kebesaran diraja yang lain selain dari Pertabalan. Pedang Cura Simanja Kini, Rantai Bunga Niyur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ular Lidi dan Cop Halilintar merupakan sebahagian alat kebesaran yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka daripada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah.
Manakala alat-alat kebesaran yang lain seperti Puan Naga Taru, Puan Bujur (tepak sireh emas), Keris Warisan Bermata Emas dan Keris Taming Sari merupakan alat kebesaran negeri yang turut dibawa oleh Sultan Perak Pertama Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I semasa pertabalan baginda pada 1528. Baginda merupakan putera kepada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah. Walau bagaimanapun dikatakan terdapat beberapa peralatan asal yang telah hilang dalam peredaran zaman. Ada beberapa alat lagi ditambah sebagai alat kebesaran dari masa kesemasa seperti Lembing Kerajaan (16), Payung Kerajaan (16) dan Payung Diraja (2).
Hari ini Syah hendak berkongsi maklumat dengan anda mengenai Pedang Cura Simanja Kini. Mengikut sumber lisan, Pedang Cura Simanja Kini adalah kepunyaan Nila Utama atau Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana atau disebut sebagai Sang Sapurba yang merupakan Raja Palembang dari Bukit Siguntang Mahameru, Palembang. Pedang ini juga telah menyelamatkan Minangkabau dari keganasan ular Saktimuna apabila Sang Sapurba mengarahkan Permasku Mambang menggunakan pedang ini untuk membunuh ular Saktimuna. Pedang Cura Simanja Kini telah diwarisi oleh putera Sang Sapurba iaitu Sang Nila Utama atau Parameswara dan dipakai oleh Parameswara ketika ditabalkan sebagai Maharaja Melaka pertama bergelar Sultan Iskandar Shah pada tahun 1400. Bermula dari sini, Pedang Cura Simanja Kini menjadi perkakas Kerajaan Melaka sehinggalah kejatuhannya pada 1511. Pedang ini kemudiannya diwarisi oleh putera Sultan Melaka Terakhir iaitu Raja Muzaffar ibni Sultan Mahmud Shah yang kemudiannya bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak Pertama yang memerintah pada tahun 1528 hingga 1549.
Dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak, Pawang Diraja akan mempersembahkan Pedang Cura Simanja Kini kepada baginda Sultan dan baginda akan menyambut dan menghunus Pedang Cura Simanja Kini lalu mengucupnya. Kemudiannya Pedang Cura Simanja Kini di sandang kebahu baginda Sultan. Kaedah ini dikatakan menyerupai perbuatan yang dilakukan oleh Sang Sapurba ketika baginda berwaad dengan Demang Lebar Daun, iaitu mengakui setia dan berikrar memainkan peranan sebagai Raja dan Rakyaat Melayu hingga keanak cucu dan keturunan mereka iaitu kita semua sebagai orang Melayu hingga hari ini.
Mengikut Sejarah Melayu perjanjian berkenan adalah seperti berikut :-
Maka titah Sang Sapurba, 'Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu' Maka sembah Demang Selebar Daun. 'Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan menjadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan ; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosapun, janganlah difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak'.
Maka titah Sang Sapurba, 'Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.' Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Janji yang mana itu, Tuanku?' Maka titah Sang Sapurba, 'Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.'
Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.'
Maka titah Sang Sapurba, 'Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.'
Maka bagindapun bersumpah-sumpahan barangsiapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya keatas.Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Mereka ; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.
Itulah serba sedikit yang boleh Syah kongsi bersama anda mengenai Pedang Cura Simanja Kini dan mengapa sebenarnya kita sebagai orang Melayu dilarang menderhaka kepada Sultan dan seorang Sultan pula harus berlaku adil dan saksama kepada rakyatnya. Dari sinilah datangnya ungkapan Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Di Sanggah. Daulat Tuanku ............ Dirgahayu Tuan Patik.
Sumber :- Cempaka Sari / Sejarah Melayu / Biografi Bergambar DYMM Sultan Azlan Shah
dipetik dari blog : tengkusyah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment