Saturday, January 26, 2013

Kes Saman Ibu Tunggal Bukti PR Gagal!!!

Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membatalkan tuntutan 2,020 ibu tunggal di Selangor adalah bukti jelas kegagalan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, rakyat Selangor kini mula sedar akan sikap kerajaan negeri yang hanya tahu menabur janji palsu tanpa menunaikannya.

“Saya ucapkan tahniah kepada golongan yang memperjuangkan hak mereka. Rakyat Selangor memberi banyak peluang kepada kerajaan negeri untuk menunaikan janji di pilihan raya umum lalu.

“Namun, apabila dapat mandat memerintah, janji tersebut dilupakan begitu saja. Sebab itulah, golongan ini bangkit menuntut hak mereka seperti dijanjikan dan ternyata kebenaran berpihak kepada mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian selepas lawatan kerja di kuarters baru Industri Pertanian Serdang, di sini, semalam.

November lalu, seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman menuntut RM10.9 juta terhadap kerajaan negeri Selangor dan Abdul Khalid kerana gagal memberi elaun ibu tunggal seperti dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam membuat keputusan menolak permohonan Kerajaan Negeri Selangor dan Khalid untuk membatalkan tuntutan golongan itu atas alasan plaintif mempunyai asas untuk membuat tuntutan.

Noh berkata, ia bukanlah kes pertama tuntutan kerajaan negeri ditolak.

“Sebelum ini mahkamah pernah menolak tuntutan kerajaan negeri yang merampas tanah Yayasan Selangor di Pulau Carey.

“Bagi saya, tindakan kerajaan negeri adalah contoh pentadbiran yang mengikut nafsu. Rakyat Selangor sepatutnya jangan memberi peluang lagi kepada PR untuk menang pada PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata, seramai 40 keluarga kakitangan Jabatan Pertanian Serdang akan menikmati kemudahan kuarters baru dalam masa terdekat.

Fasa pertama pembangunan 40 buah kuarters teres setingkat tiga bilik itu membabitkan kos sejumlah RM4.3 juta.

“Kuarters ini sepatutnya sudah lama siap namun ada masalah tertentu yang menyebabkan kelewatan pembinaannya.

“Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan agar masalah ini diselesaikan segera kerana kebajikan kakitangan perlu diutamakan,” katanya.

Menurutnya, projek pembinaan kuarters baru ini juga akan diteruskan di negeri lain.

“Saya sudah minta Jabatan Pertanian untuk mengenal pasti kuarters uzur di negeri masing-masing.

“Hal ini kerana ada sebahagian kuarters yang sudah lama dan tidak sesuai lagi untuk didiami,” katanya.

Sinar Online

No comments: