Wednesday, August 14, 2013

PR Diminta Kemuka Cadangan Untuk Kekang Jenayah

Kewujudan parti pembangkang dalam sebuah negara demokrasi adalah untuk mengimbangi kuasa kerajaan, iaitu bagi memastikan kerajaan berada di landasan yang betul serta tidak menyalahgunakan kuasa.  Ertinya, peranan pembangkang ialah untuk bersama-sama memastikan kemakmuran, kestabilan, keamanan, kemajuan dan keselamatan negara. 

Justeru, sekiranya kerajaan terkhilaf di mana-mana, pembangkang wajib menegur dan membangkang. Tetapi, di masa yang sama, adalah lebih berkesan jika pembangkang turut melontarkan idea bernas bagi membetulkan kekhilafan kerajaan itu bagi memastikan yang terbaik untuk negara. 


Namun, malang sekali bagi Malaysia kerana mempunyai pembangkang yang tidak ingin kepada apa yang terbaik untuk negara sebaliknya berfungsi sebagai pemusnah negara. 

Sejak sekian lama, pembangkang di Malaysia sibuk mencari jalan untuk mengkucar-kacirkan keadaan dalam negara bagi menyusahkan kerajaan dengan harapan dapat mencetuskan huru-hara. Pembangkang juga sering menekan kerajaan agar membuat keputusan yang salah bagi membangkitkan kemarahan rakyat.  

Inilah yang berlaku apabila pembangkang menjadi juara pendesak agar Akta-akta pencegahan dihapuskan. Begitu juga apabila pembangkang berjuang bermati-matian agar Akta-akta yang mengawal keharmonian dihapuskan.  Akibatnya, negara kini berhadapan dengan kes-kes jenayah yang meningkat dan provokasi agama yang keterlaluan.   Saban hari ada saja yang mati ditembak dan ada saja isu baru menghina Islam. 

Apabila keadaan menjadi begitu buruk, pembangkang mengambil sikap selamba seolah-olah mereka tidak terlibat dengan apa yang terjadi. Malah, pembangkang juga berusaha menuding jari ke arah lain bagi mengelak rakyat mengungkit apa yang mereka telah lakukan. 

Hakikatnya, kerajaan tidak mungkin akan menghapuskan akta-akta itu jika tidak didesak oleh pembangkang. Dalam kata lain, pembangkang bertanggungjawab penuh terhadap penghapusan segala Akta-akta yang selama ini memastikan keselamatan dan keamanan negara.

Pembangkang pastinya telah menjangkakan peningkatan jenayah berlaku sekiranya akta-akta tersebut dihapuskan, namun mereka tetap mendesaknya demi politik.  Hari ini, pembangkang telah berjaya mencapai matlamat politik mereka dengan harga yang mahal iaitu dalam bentuk nyawa rakyat dan juga reputasi negara.    
Malangnya, pembangkang tidak pula punya idea bernas untuk memperbaiki kerosakan yang mereka mulakan.   Pembangkang membiarkan sahaja kerajaan dicemuh akibat gagal mengawal keadaan kerana pembangkang sendiri sebenarnya tidak punya rancangan ‘back-up’ untuk kemusnahan yang mereka rancangkan.   

Dalam kata lain, pembangkang telah mencipta racun dan melepaskannya ke udara tanpa terlebih dahulu mencipta penawarnya. 

Justeru, jika pembangkang mengharapkan rakyat marah kepada kerajaan dan memilih pembangkang sebagai pemerintah maka mereka telah tersilap.  

Rakyat tahu bahawa apa yang berlaku adalah berpunca dari desakan pembangkang dan rakyat tahu betapa pembangkang sanggup menggadaikan nyawa rakyat demi mendapat sedikit keuntungan politik.   Oleh itu tidak mungkin sama sekali rakyat akan memilih pembangkang berbanding kerajaan sedia ada. 

Apapun yang berlaku, rakyat masih bersama kerajaan dan menaruh harapan agar sesuatu dilakukan segera bagi mengawal keadaan. 

No comments: