Tuesday, August 20, 2013

MAS Tidak Diswastakan : Bukti Najib Percaya Pada Melayu


Ramai yang mengeluh lega apabila Dato’ Seri Najib mengumumkan bahawa MAS tidak akan diswastakan. 
MAS telah lama menjadi ‘perhatian’ rakyat kerana syarikat penerbangan nasional ini telah mencatatkan kerugian yang berterusan selama beberapa tahun.  Akibatnya, ramai yang menyalahkan kerajaan dengan mengheret sekali nama UMNO dan Barisan Nasional sebagai tidak cekap, korup dan sebagainya.  

Apatah lagi di zaman internet ini di mana  hampir tiada lagi yang menjadi rahsia termasuk segala kontrak, vendor atau pembekal yang berurusan bagi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.   Oleh itu, tidak hairanlah apabila ada cadangan agar MAS diswastakan bagi mengelak nama kerajaan dan UMNO/BN terjejas dengan sikap mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab yang mungkin terlibat dengan sebarang urusan syarikat tersebut. 

Walaupun begitu, MAS tetap dilihat sebagai simbol dan maruah negara memandangkan ia membawa status ‘nasional’.  Rata-rata, rakyat turut berkongsi kebanggaan dengan pencapaian MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan yang berprestij yang menawarkan perkhidmatan cemerlang dengan rekod keselamatan yang sempurna.  Walaupun bersaing dengan syarikat penerbangan lain, MAS tidak pernah mengalami penurunan jumlah penumpang.  Ia terus dipuji dan disanjung sebagai pilihan utama dalam memilih syarikat penerbangan. 
Jumlah penumpang yang ramai dan reputasi yang hebat sudah cukup untuk memberi kita keyakinan bahawa MAS masih punya harapan untuk pulih dari kerugian. 

Oleh itu, keputusan Dato’ Seri Najib untuk tidak menswastakan MAS merupakan keputusan yang tepat.  MAS belum rosak sepenuhnya, malah ia berpotensi untuk ‘terbang lebih tinggi’.   Apa yang ia perlukan hanyalah pengurusan yang cekap, bijak dan ikhlas untuk memastikan syarikat ini berjaya.   Memandangkan syarikat ini berkait rapat dengan kerajaan, pengurusan MAS juga wajib mempunyai ketegasan yang tinggi dan mungkin juga keberanian untuk menolak sebarang pengaruh politik dalam membuat keputusan.  

Walaupun perniagaan mungkin akan lebih maju jika mempunyai kaitan dengan rangkaian politik, tetapi ‘pengurusan perniagaan’ dan ‘ahli politik’ seringkali merupakan gabungan yang memusnahkan.   Pun begitu, dalam mengejar keuntungan kita tidak harus membelakangkan semangat nasionalisme dan patriotisme. 

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa isu MAS mampu memberi impak besar kepada kerajaan BN.  Cara isu ini ditangani mampu memberi gambaran yang lebih jelas akan halatuju dan juga prinsip yang dipegang oleh kepimpinan hari ini.   Nampaknya, Dato’ Seri Najib telah membuat keputusan yang menepati harapan rakyat sekali gus berjaya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya. 

No comments: