Friday, August 23, 2013

Kes Altantuya : Hanya Pembangkang Yang Untung Dari Kematian Altantuya!


Kes pembunuhan Altantuya menjadi kes berprofil tinggi kerana orang yang disyaki sebelum ini merupakan individu yang mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri iaitu Razak Baginda. Dari situ, pembangkang mengambil kesempatan untuk memburukkan Perdana Menteri dan juga isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Cerita awal yang disebarkan oleh pembangkang ialah Datin Seri Rosmah dikatakan berada di tempat kejadian pembunuhan, mengarahkan dan menontonnya sendiri.   Kononnya, beliau berbuat demikian sebagai membalas dendam kerana Mendiang Altantuya mempunyai hubungan sulit dengan suaminya. 

Namun, cerita ini terbukti sebagai fitnah kerana pada waktu kejadian Datin Seri Rosmah dan Dato’ Seri Najib masing-masing mempunyai alibi yang kukuh kerana berada di program buka puasa berasingan dengan beratus orang saksi termasuk rakaman video dan laporan berita.  Cerita ini juga diakui sebagai rekaan oleh penulis asalnya iaitu Raja Petra Kamaruddin. 

Oleh itu, pembangkang terpaksa menukar cerita kononnya bukan Perdana Menteri tetapi Razak Baginda yang mempunyai hubungan dengan Altantuya.  Perdana Menteri hanya membantu ‘menutup’ hubungan sulit tersebut dengan ‘membenarkan’ penggunaan anggota keselamatan dan juga bahan letupan. 

Namun, cerita ini juga gagal mengaitkan Dato’ Seri Najib secara langsung. 

Maka, pembangkang mencipta pula kisah Altantuya menjadi penterjemah dalam urusan pembelian kapal selam scorpene dan Dato’ Seri Najib terlibat dari segi menerima rasuah. 

Jelas sekali bahawa pembangkang sejak dari awal cuba sedaya upaya untuk mengaitkan pembunuhan Altantuya dengan Dato’ Seri Najib.  Apabila gagal melakukannya, mereka menukar dan menukar cerita itu berkali-kali agar nama Dato’ Seri Najib dapat dikaitkan juga. 

Kebenaran tidak mungkin berubah atau bertukar-tukar.  Oleh itu, cerita pembangkang yang berubah-ubah, dengan sendirinya membuktikan yang mereka berbohong. 

Apatah lagi apabila terdedahnya bahawa pembangkang, khususnya, Anwar Ibrahim cuba memaksa dan menyogok tertuduh untuk menipu dengan mengaitkan nama Dato’ Seri Najib sebagai dalang pembunuhan.   Pendedahan ini dilakukan oleh bekas peguam Anwar, Zulkifli Nordin dan tertuduh sendiri.  Bertitik tolak dari situ, Zulkifli telah meninggalkan Anwar kerana tidak sanggup bersekongkol dalam taktik kotornya.   

Selain itu, kisah mengenai kaitan Dato’ Seri Najib dengan Altantuya dan komisyen dari pembelian scorpene juga terbukti sebagai kisah dongeng yang tidak berasas sama sekali.  Ini kerana Altantuya muncul dalam kisah ini dua tahun selepas urusniaga scorpene selesai.   Urusan pembelian scorpene juga tidak memerlukan penterjemah dan Altantuya pula tidak pernah menjejak kaki ke Perancis dalam tempoh urusniaga berjalan.  Ini disahkan sendiri oleh pihak polis dan Kementerian Luar Perancis.  Lebih dari itu, kes scorpene yang kononnya sedang dibicarakan di mahkamah Perancis adalah sebenarnya tidak pernah wujud sama sekali sepertimana yang disahkan oleh Mahkamah Perancis sendiri. 

Sedangkan, pembangkang telah pun menyebarkan cerita mengenai senarai nama saksi yang bakal disapina. 
Kita faham bahawa pembangkang ingin sangat agar nama Dato’ Seri Najib tercemar.   Tetapi, kenapa perlu berbohong berkali-kali dan mengulang-ulang pembohongan walaupun telah beberapa kali terkantoi?   

Siasatan telah membuktikan bahawa Dato’ Seri Najib tidak terlibat.  Malah, tertuduh sendiri tidak sanggup mengaitkan beliau walaupun cuba disogok oleh Anwar.  Peguam tertuduh yang merupakan peguam Anwar sendiri tidak sanggup bersekongkol dengan Anwar untuk mengenakan Dato’ Seri Najib sehingga memilih untuk meninggalkan Anwar.  Dan kita juga tidak lupa bagaimana bapa Altantuya sendiri mengakui bahawa Anwar ada berjumpa dengannya semata-mata untuk mengaitkan Dato’ Seri Najib dengan Altantuya. 

Maka kita tertanya-tanya, kenapakah begitu penting bagi pembangkang, khususnya Anwar, untuk mengaitkan kes ini dengan Dato’ Seri Najib walaupun ia mustahil? 

Apa ada dengan kes ini?  Kenapa pembunuhan Altantuya begitu menarik hati Anwar?    

Persoalan semakin bertambah apabila mahkamah hari ini telah memutuskan untuk membebaskan kedua-dua tertuduh.   Hari ini, telah terbukti bahawa Dato’ Seri Najib sememangnya tidak terlibat walau bagaimana hebatnya usaha pembangkang untuk mengaitkan beliau. 

Jika Dato’ Seri Najib tidak terlibat, maka siapakah dalangnya?  Untuk mencari dalang, kita perlu bertanya apakah motifnya? Atau siapakah yang memperoleh keuntungan dari kematian Altantuya?

Setakat yang kita tahu, satu-satunya pihak yang mendapat keuntungan dari kematian Altantuya adalah pembangkang.  Pembangkang telah menggunakan isu ini selama bertahun-tahun sebagai modal politik bagi memburukkan nama Dato’ Seri Najib.  Malah, isu ini juga membantu mereka mengumpul dana melalui sumbangan orang ramai kepada SUARAM.   

Kesimpulannya, keuntungan yang diraih oleh pembangkang dari pembunuhan Altantuya bukan sahaja dari segi modal politik, tetapi juga dari segi kewangan.   

Dalam kata lain, hanya pembangkang mempunyai motif yang kukuh untuk membunuh Altantuya.  Mungkinkah kes ini perlu dibongkar semula?  

No comments: