Walaupun dalam kalangan sebahagian besar orang Melayu percaya DAP ialah parti yang hanya memperjuangkan kepentingan orang Cina di negara ini, ia masih mendapat sokongan sebahagian masyarakat India dan segelintir orang Melayu kerana termakan dengan slogan demokratik dan ketelusannya. Kelantangan kritikan DAP terhadap dasar kerajaan dan parti komponen Barisan Nasional sama ada UMNO, MCA atau MIC turut memberi gambaran seolah-olah ia adalah parti politik terbaik selaras dengan namanya- Parti Tindakan Demokratik.
Untuk sekian lamanya, DAP berjaya menutup sebarang kelemahan, nepotisme dan ketidakadilan dalam kepimpinan parti yang menyaksikan pemimpin tidak sehaluan seperti Tan Sri Lee Lam Thye, Wee Chee Keong dan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim meninggalkan parti itu. Ternyata penguasaan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng dalam DAP cukup kuat sehingga siapa saja yang cuba melawan mereka tersingkir walaupun mempunyai rekod cemerlang sebagai pemimpin parti atau wakil rakyat. Tembelang sebenar DAP khususnya Lim anak beranak, terserlah apabila pemilihan jawatankuasa pusat parti itu pada 15 Disember lalu menarik perhatian umum apabila tiada seorang pun calon Melayu terpilih. Pada masa sama timbul dakwaan daripada ahli parti bahawa ibu pejabat DAP gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang juga ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan itu.
Selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dan mengistiharkan Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, yang sebelum itu di tangga ke-39 sebenarnya berada di tangga ke 20, sekaligus melayakkannya sebagai ahli CEC. Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti membuat aduan kepada pendaftar pertubuhan (ROS) mendakwa wujud unsur manipulasi dalam keputusan itu. Mungkin kerana mengadapi pilihan raya umum, DAP cuba menutup isu itu manakala ada pemimpinnya menuduh ia adalah konspirasi musuh politiknya.
Pada 17 April lalu, ROS mengumumkan penyandang jawatan yang dibentuk oleh CEC pada 15 Disember lalu adalah tidak sah. Selepas tujuh bulan mendapat tekanan daripada pelbagai pihak termasuk ahli akar umbi serta segelintir pemimpin parti, mesyuarat CEC pada malam rabu lalu akhirnya akur dengan arahan ROS untuk mengadakan pemilihan semula CEC dijangka pada November ini. Namun, Guan Eng mendakwa ROS berat sebelah dalam membuat keputusan berhubung isu pemilihan CEC itu. Beliau juga berkata, pihaknya tidak faham dengan sikap ROS yang masih kekal dengan keputusan tanpa memberi penjelasan kukuh, selain menolak keputusan CEC yang diiktirag syarikat perakuanan.
Pengerusi DAP, Karpal Singh pula berkata parti itu membuat keputusan mengadakan pemilihan semula CEC bagi menyelamatkan DAP daripada dibatalkan pendaftaran. Katanya DAP terpaksa mengalah walaupun merasakan arahan ROS tidak mengikut lunas undang-undang. Apapun penjelasan berhubung keputusan itu, ia wujud kepincangan yang disengajakan dalam pemilihan parti itu. Yang menjadi persoalan apakah 'penyelewangan' Disember lalu itu kali pertama berlaku atau pernah berlaku sebelum ini tetapi tidak terbongkar. Soalan ini mungkin terjawab apabila pemilihan semula diadakan nanti. Ramai berminat untuk melihat sama ada perti yang didominasi kaum Cina itu sedia memilih seorang melayu menduduki CEC, bukan dilantik seperti sebelumnya. Perhatian juga tentu tertumpu kepada tiga jawatan tertinggi parti yang kini disandang oleh Karpal serta Lim dua beranak. Sekiranya mereka kekal, apa lagi tiada cabaran, sudah tiba waktunya DAP berhenti menuduh parti lain sebagai tidak demokratik.
No comments:
Post a Comment