Thursday, June 9, 2011

Kenyataan Dr Rohaya hina hak isteri

2011/06/09

SAYA ingin memberi respons kepada laporan bertajuk ‘Layan macam pelacur; Isteri dingin diranjang punca lelaki cari kepuasan di luar’ yang disiarkan pada 5 Jun lalu. 

Kenyataan Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed itu amat memeranjatkan dan membuat saya tertanya-tanya apakah konsep bagi sebuah perkahwinan yang berjaya hanya bersandarkan kepada kepuasan seks suami semata-mata?Perasaan saya juga amat terganggu dengan kenyataan beliau yang menyatakan seorang isteri hendaklah melayan suami seperti pelacur kelas pertama yang pada pandangan saya beliau meletakkan maruah seorang isteri di hujung kaki suami sedangkan martabat perempuan atau isteri jelas diangkat dalam al-Quran.

Saya ingin merujuk kepada sepotong ayat al-Quran 2:187 ‘….Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.’ Ayat di atas dinyatakan dengan jelas bahawa suami dan isteri mempunyai hak sama dalam hubungan seksual mereka. 

Ini bercanggah dengan kenyataan Dr Rohaya bahawa isteri yang taat harus memberi layanan seperti pelacur kelas satu bagi mengelakkan suaminya mencari keseronokan di luar. 

Saya juga ingin memberikan respons mengenai kenyataan keduanya yang berbunyi ‘Tanggungjawab isteri bukan saja untuk memasak, mengemas rumah dan menjadi ibu malah turut membabitkan aspek seksual….’ 

Terdapat sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah ditanya apa yang dilakukan oleh Rasullallah SAW dalam rumah tangga? Jawab Aisyah: Nabi SAW biasa membantu kepentingan keluarganya. Menyapu rumah, menjahit baju koyak, memperbaiki sepatu dan memerah susu kambing.’ 
Saya ingin membawa pembaca ke alam realiti di Malaysia di mana isteri dipertanggungjawabkan membuat kerja rumah sedangkan mereka mempunyai kerjaya. Sudahlah berhempas pulas membantu suami mencari rezeki, kini isteri dipersalahkan pula jika tidak dapat memberi layanan seksual kelas satu terhadap suami. 

Kenapa tidak suami yang mempunyai nafsu besar itu menjaga nafsunya dan memperbanyakkan ibadat di samping berbincang dengan isteri bagi menyelesaikan masalah seksualnya? 

Kenapa kesalahan suami harus dipikul oleh isteri? Kenapa isteri perlu melakukan apa saja untuk memenuhi keinginan suami? Tolong berpijak di bumi yang nyata. 

NOORUL,
Kuala Lumpur.
 

sumber : berita harian online

No comments: