Thursday, June 9, 2011

Guru perlu berbakti dengan ikhlas, bukan ganjaran

2011/06/09

SAYA ingin merujuk kepada surat ‘Sang Algoljo’ bertajuk ‘Wujud segera jawatan pembantu guru’ yang disiarkan semalam. Saya kurang bersetuju bahawa guru sepatutnya tidak melakukan tugas perkeranian dan dibebankan tugas selain daripada mengajar di bilik darjah. 

Surat beliau jelas menunjukkan bahawa tugas guru yang sepatutnya dimuliakan dan dihormati, tersasar sama sekali. Ini kerana beliau seolah-olah mendesak kerajaan segera memenuhi tuntutan yang bukan saja dibangkitkannya bahkan oleh banyak pihak lain.Saban tahun, apabila tibanya Hari Guru, pelbagai perkara dan insentif diminta. Saya percaya jabatan dan agensi lain juga mempunyai pegawai daripada kumpulan pengurusan dan profesional, tidak seteruk ini dan saban tahun mendesak kerajaan untuk memberi itu dan ini.

Saya agak kesal dengan desakan ini kerana ini menunjukkan guru sebenarnya lemah dan tidak mampu melaksanakan tugas sepenuhnya. Suka saya nyatakan, bilik darjah bukan seramai bilik kuliah di universiti, yang mempunyai 300-500 pelajar pada satu-satu masa. 

Jika inilah sikap guru di Malaysia, saya amat sedih dan mengharapkan agar adanya perubahan kerana sesungguhnya ganjaran akhirat lebih besar dan penuh makna berbanding dunia. 

Tugas guru yang mulia itu bakal tercemar jika ia sering diungkit serta melakukan sesuatu dengan mengharapkan ganjaran. Pastinya ia tidak lagi seikhlas dan semulia yang diharapkan. Tugas guru itu lebih kepada mendidik di samping mencurahkan bakti kepada bangsa. 

ANAK MURID CIKGU,
Selama, Perak.
 

sumber : berita harian online

No comments: