Showing posts with label teresetan. Show all posts
Showing posts with label teresetan. Show all posts

Monday, February 24, 2014

Antara Chew Mei Fun dan Teresa Kok

Tidak salah jika kita katakan bahawa PRK Kajang adalah PRK paling kotor dan membazir dalam sejarah kerana ia diadakan khas untuk Anwar Ibrahim.  Seolah-olah seorang artis yang sudah hampir dilupakan, Anwar menjadikan PRK Kajang sebagai medan untuk mempromosi diri bagi memastikan hayat politiknya tidak terkubur begitu saja.  Apatah lagi dengan rayuan kes liwat yang tampak agak ‘sukar’ akibat kegagalan mengenepikan Dato’ Shafiee Abdullah dari barisan pendakwaan.

Walaupun Anwar ingin menjadikan PRK Kajang sebagai pentas untuk ‘memasarkan’ dirinya dan kesinambungan partinya, tetapi hakikat sebenarnya ialah PRK ini turut ada baiknya untuk rakyat kerana ia mampu membantu rakyat menilai buat kesekian kalinya, siapa itu Anwar dan apakah jenis parti yang diwakilinya. 

Lebih dari itu, dengan pengumuman dari MCA untuk menyahut cabaran Anwar, maka PRK ini juga sekali gus dapat membantu rakyat menilai kembali komitmen MCA di dalam Barisan Nasional. 

Sekiranya rakyat ingin melihat PRK Kajang sebagai pertandingan moral pemimpin, maka calon MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun, bukanlah lawan Anwar.   Chew Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA, berkeperibadian baik serta berprinsip.  Untuk itu, beliau turut dipuji oleh media pro-PR sebagai bersih dan berintegriti.  Pendek kata, Chew Mei Fun adalah pilihan terbaik dan tepat sehinggakan tiada siapa pun yang dapat berkata sesuatu yang buruk terhadap dirinya.  Ini menjadikan beliau dengan Anwar bagaikan langit dengan bumi. 

Justeru, adalah tidak perlu rasanya untuk kita membandingkan antara kedua personaliti ini, tetapi melihat PRK ini sebagai kayu pengukur kematangan pengundi dalam memilih calon dan parti. 

PRK Kajang adalah bukti bahawa parti PKR adalah parti yang tidak bertanggungjawab. Sebaliknya MCA pula adalah parti yang bersungguh-sungguh berusaha memulihkan kekuatan dan memperbaharui komitmen dengan BN. 

Strategi PR dalam PRK Kajang adalah jelas iaitu untuk meraih undi berdasarkan sentimen perkauman dan agama.   Ini terbukti apabila Anwar masuk ke gereja untuk berkempen bagi ‘memberi harapan’ kepada Kristian mengenai isu kalimah ‘Allah’ dan kemudian berjanji akan mempertahankan kalimah ‘Allah’ di dalam ceramah lain di hadapan orang-orang Melayu. 

Berbeza dengan MCA, di mana parti itu tidak menyentuh persoalan sensitif tetapi membawa bersamanya seruan perpaduan, semangat setiakawan dan keharmonian antara kaum. 

Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menafikan yang faktor ‘kaum’ tetap menghantui PRK ini. 

Memandangkan pengundi dari kaum Cina menjadi sasaran utama kedua belah pihak, maka dirasakan adalah lebih wajar jika kita membandingkan Chew Mei Fun dengan pemimpin Cina dari PR juga.  Lawan yang paling sesuai, tentulah ‘heroin paling bijak’ dalam PR buat masa ini iaitu Teresa Kok.  

Teresa Kok kini menjadi antara personaliti paling penting dalam DAP hanya kerana beliau merakamkan video ucapan Tahun Baru Cina dengan cara mengejek-ejek Perdana Menteri dan isteri.   Video tersebut dikecam hebat oleh rakyat Malaysia kerana dianggap tidak sensitif dan tidak matang dalam memikul tugasnya sebagai pemimpin. 

Apa yang menarik ialah, sikap DAP dan keseluruhan Pakatan Rakyat yang tidak melihat sebarang kesalahan dari video Teresa Kok.  Malah, Teresa dibela bersungguh-sungguh sehinggakan pemimpin tertinggi DAP iaitu Lim Kit Siang sendiri dilihat tiada kerja lain selain menulis membela Teresa Kok sejak beberapa minggu lalu di dalam blog beliau.

Perlu diingatkan bahawa Teresa Kok juga telah dikaitkan dengan projek RM1billion dengan syarikat Goldsino dari China.  Oleh itu, integriti beliau dan juga parti DAP serta PR dan PKR Selangor semuanya menjadi tandatanya. 

Berdasarkan hakikat ini, maka tidak salahlah sepertimana yang dikatakan tadi iaitu PRK Kajang bukan semestinya sebuah platform untuk Anwar mencari glamour.  Tetapi, apa yang lebih penting ialah ia merupakan platform untuk kita menilai pemikiran masyarakat Cina sama ada mereka benar-benar mementingkan integriti parti dan pemimpin sepertimana yang mereka laungkan dalam PRU-13 yang lalu. 

Bagi membantu masyarakat Cina memahami pendirian mereka maka mereka mungkin boleh bertanya diri sendiri beberapa soalan ini: 

Dengan sikap pemimpin PR terhadap Teresa Kok, apakah kita boleh mempercayai bahawa PR ingin menyatupadukan rakyat Malaysia? 

Antara Teresa Kok dan Chew Mei Fun, siapakah yang lebih layak diberi kepercayaan untuk membawa keharmonian?  

Antara DAP dan MCA, parti manakah yang layak bercakap tentang keamanan dan patriotisme? 

Antara PKR dan MCA, parti manakah yang menggunakan ‘perkauman’ sebagai alat kempen dengan hujah berbeza-beza mengikut hadirin? 

Jika masyarakat Cina sanggup memilih Anwar dan merasakan pemimpin seperti Teresa Kok sebagai lebih baik dari Chew Mei Fun, maka jelaslah bahawa mereka tidak lagi rasional dalam membuat keputusan dan sebaliknya lebih cenderung bertindak atas dasar emosi dan perkauman. 

Friday, February 14, 2014

PKR, PAS HALALKAN TINDAKAN DAP CACI MELAYU, ISLAM

Permainan api perkauman yang sering menjadi fokus utama Dap kini telah memakan dirinya sendiri.


Video Tahun Baru Cina yang dibikin oleh ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok, kononnya sebagai satu satira menyindir, perdana menteri dan isteri telah menyerlahkan agenda rasis Dap yang sekarang tersepit dengan helah mereka.

Tindakan enam NGO Melayu menyembelih ayam dan melumurkan darah pada gambar pemimpin Dap dan PKR jelas menampakkan orang Melayu sudah hilang sabar.

Orang Melayu yang seringkali dicabar oleh pemimpin politik rasis seperti Teresa Kok, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tidak mungkin boleh berkompromi lagi dengan asakan demi asakan yang diterima mereka.
Tujuan utama Dap mengeksploitasi isu-isu berkenaan orang Melayu dari hak-hak istimewa, pendidikan, biasiswa, bantuan kewangan, institusi raja, agama dan sebagainya tidak lain tidak bukan adalah untuk menimbulkan keadaan tegang yang boleh membawa kepada konflik antara kaum dan agama.

Tidak cukup dengan tindakan mencetus kontroversi kalimah Allah oleh Guan Eng dia tahun lalu, Dap meneruskan agenda jahat perkaumannya untuk mengutuk dan menyindir kepimpinan Melayu yang menerajui negara.

Semua ini dilakukan oleh Dap atas sokongan dari Anwar Ibrahim dan juga sekutunya, Pas.
Mereka membiarkan Dap melakukan kerosakan kepada keharmonian masyarakat di negara ini dengan memainkan sentimen perkauman dan pada masa yang sama Anwar dan Pas akan menudingkan jari menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional serta kerajaan.

Inilah strategi mereka di mana masing-masing akan memainkan peranan tersendiri.
Pas pula akan berfungsi sebagai majlis ulama untuk Dap dan PKR bagi menghalalkan kesemua tindakan pembangkang terutamanya yang berhubungkait dengan orang Melayu dan Islam.

Jika dilihat setakat ini, Pas tidak pernah sekali pun membantah secara keras apa jua tindakan parti itu yang menghina atau mencerca Melayu dan Islam.

Kalau ada sekali pun ia hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga sebagai  permainan politik silap mata pembangkang.

PKR pula menggunakan isu ketelusan dan pembaziran untuk menghentam kerajaan.
Ini pula adalah strategi untuk menutup pergolakan ang semakin kencang di dalam parti itu sehingga terpaksa mengosongkan kerusi Dun Kajang.

Serampang Kajang sebagaimana yang pembangkang panggil tindakan tersebut sebenarnya adalah satu usaha terdesak Anwar secara peribadi untuk menyelamatkan PKR dan pembangkang.

Kemelut yang melanda Selangor akibat pergaduhan politik antara Azmin Ali dan Khalid Ibrahim pada hakikatnya menggugat kestabilan kerajaan negeri.

Jika Anwar tidak melakukan sesuatu yang drastik dan mengejutkan kemungkinan besar kerajaan negeri PKR-Pas-Dap akan kecundang sebagaimana berlaku di Perak pada 2009.

Ini bukan disebabkan oleh rancangan UMNO atau BN tetapi disebabkan kelemahan pentadbiran dan perebutan kuasa antara dua kelompok dalam PKR.

Pas pula menunggu masa yang sesuai untuk menangguk di air keruh kerana sekiranya Anwar di tolak untuk menjadi menteri besar menggantikan Khalid, Pas akan bergaya besar untuk menduduki kerusi itu.

Samada masih calon PKR atau pun Pas, pasti yang mendapat untung bedsar adalah Dap.

Ini kerana Dap telah berjaya menguasai kedua-dua Pas dan PKR sehingga mereka akan akur kepada setiap permintaan parti rasis itu.

Sehingga kini Azmin dan Khalid masih serang menyerang dan tuduh menuduh antara satu sama lain.
Walaupun nampaknya Khalid tertekan untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri besar, beliau tidak menunjukkan indikasi panik.

Sudah tentu Khalid juga ada taktiknya tersendiri untuk menyanggah strategi Serampang Kajang untuk menyahkan beliau dari kerusi empuk MB.

Apapun pilihan raya kecil Kajang bakal berlangsung adalah pertandingan hidup mati Anwar dalam usahanya untuk menggilap kembali bintang politiknya yang semakin malap.


Wednesday, February 5, 2014

Dulu Saman Berjuta, Kenapa Sekarang Dikatakan Satira Politik?

Ahli parlimen DAP, Teresa Kok cuba mempertahankan tindakan biadap dan kurang ajar yang dilakukan melalui video sindiran sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini. Menurutnya Umno sengaja ingin memutarbelitkan isu kandungan klip video yang bertajuk ‘Onederful Malaysia’ itu kerana telah bankrap idea.

Wakil rakyat dari Seputeh itu mengatakan, rakaman video tersebut hanyalah merupakan‘satira politik’ (lawak politik) semata-mata kerana ia tidak merujuk kepada mana-mana pihak dan tidak menyebut sebarang nama serta bukan bersifat hasutan.

Paling menarik dia turut mengatakan sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dirinya ia adalah merupakan “penindasan politik”.

Video berdurasi hampir 12 minit yang disiarkan di YouTube itu antara lain memperlihatkan barisan tetamu undangan berkenaan mengeluarkan kenyataan menyindir beberapa perkara, termasuk sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah.

Malah, seorang tetamu dikenali Master Yan Yan yang ditanya mengenai Tahun Melawat Malaysia 2014 mengutuk Sabah dengan kenyataan berikut : But then, you can travel to Sabah, where you get to see pirates, with a bonus show of kidnapping and scenes of open fire" (anda boleh melancong ke Sabah, di mana anda boleh melihat lanun, dengan pertunjukan bonus penculikan dan babak tembakan).

Sindiran-sindiran lain didakwa turut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Yang menariknya isu yang hampir sama ini, pernah terjadi pada beberapa tahun yang lalu. Pada 9 Oktober 2008, dia telah mengemukakan saman berjumlah RM30 terhadap Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Zaini Hassan dan Utusan Melayu (M) Bhd yang kononnya telah menerbitkan sebuah artikel fitnah.

Artikel yang bertajuk 'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan 'ba-alif-ba-ya' itu dikatakan bertujuanmemperkecilkan dirinya secara peribadi dan rasmi termasuk sebagai Ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

Ketika perbicaraan kes tersebut, dia yang ditanya oleh peguam mengakui artikel tersebut langsung tidak menyebut namanya. Tidak lama selepas itu, Teresa telah mengarahkan peguamnya untuk menarik semula kes tersebut tanpa memberikan sebarang alasan.

Selain daripada itu, dia juga pernah mengemukakan saman terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya kerana menulis sebuah cerpen bertajuk “Politik Baru YBJ” yang kemudiannya diterbitkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 12 Oktober 2008.

Merasakan cerpen tersebut merujuk kepada dirinya, anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu segera memfailkan saman pada 12 Disember 2008 yang berjumlah RM30 juta juga. Dia mendakwa cerpen tersebut telah merujuk kepada dirinya dan bukan hanya sekadar kebetulan. Kes tersebut juga akhirnya diselesaikan di luar mahkamah.

Kesimpulannya, apabila terkena batang hidung sendiri dia bukan main marah lagi, sehingga bertindak mengemukakan saman yang bernilai jutaan ringgit. Pada ketika itu, tidak timbul pula soal satira politik atau hanya sekadar lawak jenaka.

Diharapkan siasatan terhadap kes ini dapat dijalankan dengan segera agar hukuman dapat dijalankan sekiranya terbukti dia bersalah.Semoga dengan tindakan itu, tidak ada lagi kes-kes yang menyentuh sensitiviti dan bersifat perkauman dilakukan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab