Showing posts with label krisis air. Show all posts
Showing posts with label krisis air. Show all posts

Wednesday, March 5, 2014

Rafizi Sahkan Masalah Air Adalah Mainan Politik PKR

Dengan termeterainya MOU Penstrukturan air, maka rakyat Selangor sudah mampu melihat  cahaya di hujung terowong.  Walaupun penyelesaian isu air bukan bersifat segera, namun, ia sudah cukup untuk rakyat menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya, penyelesaian adalah hampir pasti. 

Walaubagaimanapun, kelegaan rakyat disambut dingin oleh beberapa pemimpin PKR Selangor. 

Antaranya, Anwar Ibrahim sendiri yang mempersoalkan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abd. Khalid Ibrahim yang menandatangani MOU tanpa merujuk kepadanya.  Selain itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli juga mempertikai tindakan Khalid dengan mempersoalkan kos yang terlibat. Menurutnya, penstrukturan air di Selangor dengan kerjasama Putrajaya boleh mencecah RM20 bilion, bukan seperti anggaran awal RM9.65 bilion seperti yang diumumkan.

Rafizi menegaskan bahawa PKR tidak bersetuju dengan kandungan MOU yang melibatkan pembinaan loji rawatan Langat 2.

Rafizi menyentuh isu-isu teknikal berkenaan pengambil-alihan empat syarikat konsesi air dan juga pembinaan Langat 2 yang dikatakan tidak menepati jumlah kos yang diumumkan.  Beliau membayangkan yang proses ini bakal melibatkan dana awam, sekali gus menaikkan tariff air. Rafizi kemudian mendesak Khalid mendedahkan butiran MOU kepada rakyat. 

Sekali imbas, Rafizi kedengaran seolah-olah benar-benar prihatin dengan nasib rakyat yang mungkin akan terpaksa menghadapi kenaikan tariff air.   Namun, bila difikirkan semula, prihatinkah Rafizi jika kononnya tidak mahu bebankan rakyat dengan kenaikan tariff air tetapi sanggup pula membebankan rakyat biar tiada air terus?  

Kenyataan Rafizi seterusnya membuatkan kita kembali tersedar bahawa PKR hanya bermain politik dan tidak sedikit pun prihatin dengan nasib rakyat. 

Segala-galanya terdedah apabila Rafizi berkata, “Dengan kelulusan pembinaan Langat 2, kerajaan negeri Selangor kehilangan satu-satunya senjata yang dimiliki untuk berdepan dengan kerajaan pusat dalam isu air.”

Kenyataan tersebut secara langsung membuktikan bahawa PKR telah selama ini sengaja enggan bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam menyelesaikan masalah air di Selangor kerana ingin menjadikan isu ini sebagai ‘senjata’ untuk menyalahkan BN.  

Dalam kata lain, PKR sengaja membiarkan rakyat menderita dan sengsara ketiadaan air semata-mata untuk ‘bermain politik’.

Justeru, tidak hairanlah sejak mula mengambil-alih Selangor, PKR beria-ia menafikan yang Selangor bakal menghadapi masalah air walaupun telah diberi amaran oleh pakar.  PKR juga dengan megah mengaku kononnya akan menyelesaikannya dengan cara merawat air lombong, menggunakan teknologi canggih seperti membran, yang kononnya jauh lebih murah dan sebagainya. Untuk itu, PKR telah menjemput pakar-pakar dari Kanada untuk membuat pembentangan dan mengemukakan penyelesaian.   

Namun, akhirnya, ternyata sudah bahawa semua itu hanyalah wayang politik sahaja. 

Apabila masalah air benar-benar meruncing, PKR mula gelabah dan Khalidlah yang menjadi mangsanya.  Lalu, bagi menyelamatkan diri, Khalid perlu kembali ke pangkal jalan dan memeterai perjanjian dengan Putrajaya bagi membolehkan masalah ini selesai. 

Berdasarkan apa yang berlaku dan juga kenyataan Rafizi, jelaslah sudah bahawa PKR tidak pernah peduli jika rakyat sengsara asalkan mereka boleh memanipulasi isu bagi menyalahkan BN.  

Bayangkan jika Khalid tidak menerima penyelesaian yang dikemukakan oleh kerajaan Pusat, masalah air sudah tentu tidak akan selesai selagi PKR memerintah.  Kini, apabila masalah hampir selesai, PKR tidak segan silu pula menyatakan ketidakpuasan hati dan lebih suka jika rakyat terus menderita demi sedikit ‘modal’ untuk dijadikan ‘senjata’ politik mereka.  

Monday, March 3, 2014

KRISIS AIR BUKTI PEMBANGKANG GAGAL TADBIR SELANGOR

Catuan air di kawasan-kawasan yang padat penduduk di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan PKR, Pas dan Dap.

Ini kerana jika menteri besar Khalid Ibrahim mengambil sikjap bekerjasama dengan kerajaan pusat berhubung isu projek air Langat 2, warga Selangor dan Kuala Lumpur tidak perlu menghadapi keadaan getir kehidupan tanpa bekalan air bersih.

Oleh kerana kerajaan negeri PKR-Pas-Dap ingin bermain politik dan memperjudikan kebajikan rakyat, berjuta rakyat kini terpaksa menerina hakikat keadaan cuaca panas kering menyebabkan program catuan perlu dilaksanakan.

Jika sejak 2010 kerajaan negeri Selangor bersetuju dengan perlaksanaan projek Langat 2 yang bertujuan untuk menambahbaik sistem penyimpanan, pembersihan pembekalan air bersih di Lembah Kelang, keadaan yang dihadapi sekarang sama sekali tidak akan wujud.

Namun hakikatnya Khalid bersama barisan exconya memilih jalan konfrontasi dengan kerajaan pusat untuk menunjukkan kuasa mereka maka berlakulah krisis air yang sepatutnya boleh dielakkan.
Kerajaan pusat sudahpun memulakan projek pembekalan dari dari Pahang ke Selangor sejak beberapa tahun yang lalu.

Bagaimana apabila fasa projek telah sampai ke sempadan Selangor, kerajaan negeri mula main politik sempit mereka dengan memberi pelbagai helah untuk melambatkan projek tersebut.

Mereka malah menentang projek Langat 2 dengan menggenakan syarat isu pengambilan aset air di negeri itu perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Khalid dan penasihat ekonominya, Anwar Ibrahim cuba menunjuk pandai kononnya strategi ini akan memberi tekanan kepada kerajaan pusat untuk tunduk kepada kemahuan mereka.

Namun mereka gagal memahami bahawa tindakan mereka tersebut adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Selangor yang mengundi mereka bagi penggal kedua pada pilihan raya umum tahun lalu.

Pakatan pembangkang memperjudikan nasib rakyat dan juga ekonomi negeri serta negara kerana hendak menunjukkan mereka berkuasa dan boleh buat apa yang mereka suka.

Krisis air yang terpaksa ditanggung oleh jutaan rakyat yang dijadikan bahan politik pembangkang kini memakan diri mereka sendiri.

Krisis ini merupakan tamparan paling hebat kepada keupayaan PKR, Pas dan Dap mentadbir negeri yang termaju dan terkaya di Malaysia.

Apa yang telah dilakukan oleh Khalid adalah satu bentuk sabotaj ekonomi dan pengkhianatan kepada rakyat yang tidak boleh dimaafkan.

Negeri Selangor boleh menjadi miskin sekiranya ia terus ditadbir oleh sebuah kerajaan negeri yang tidak bertanggungjawab.

Malah ekonomi negara boleh terjejas teruk kerana Selangor penyumbang terbesar kepada KDNK negara.
Jika krisis air berterusan dan kerajaan negeri Selangor tidak mampu mengatasinya untuk jangka masa panjang, kemungkinan besar para pelabur asing tidak akan berminat untuk meletakkan pelaburan di negeri itu.

Segala perancangan dan pembangunan yang telah berjaya dilakukan di bawah pentadbiran Barisan Nasional selama 50 tahun di negeri itu akan hilang begitu sahaja.

Impak krisis air ini adalah amat besar bukan sahaja kepada kehidupan rakyat tetapi juga kepada perancangan ekonomi negara samada dalam jangka pendek mahupun panjang.

Dengan pergelutan kuasa antara kem Khalid dan Azmin Ali, tidak mungkin kerajaan negeri akan mampu untuk mengendalikan isu krisis air dengan berkesan.

Kem Azmin sudah tentunya akan menggunakan isu ini untuk membuktikan betapa perlunya Khalid diturunkan daripada jawatan menteri besar.

Khalid pula akan bertindak untuk mempertahankan kedudukan dan kepentingannya dengan membuat keputusan yang akan menyelamatkan dirinya.

Kini apabila krisis air sudah tercetus barulah Khalid bersetuju menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan pusat dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari rabu lalu.

Mungkin ini akan menyemarakkan lagi kemarahan Azmin yang melihat Khalid sudah berbaik dengan kerajaan pusat.


Apapun perkembangan isu krisis air pada minggu-minggu mendatang akan memperlihatkan samada Khalid akan tersingkir daripada kedudukan kuasanya atau Anwar ang berputih mata.

Friday, February 28, 2014

SIKAP TIDAK BERTANGGUNGJAWAB PEMBANGKANG PUNCA KRISIS AIR

Tiga tahun dahulu Kerajaan Pusat memberi amaran bahawa kawasan Lembah Kelang bakal berhadapan dengan krisis air yang teruk sekiranya Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak disiapkan menjelang 2014.

Malah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), sudahpun menjangka krisis air mungkin berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, negeri Selangor dan Putrajaya berikutan penggunaan air yang meningkat sebanyak 5,314 juta liter sehari (jlh) berbanding jumlah bekalan hanya 4,646 jlh.

Malah pada 2011 purata permintaan telah mencapai 4,197 jlh manakala kapasiti pengeluaran air sedia ada berjumlah 4,326 jlh.

?Ini menjadikan jumlah keseluruhan rezab margin hanya pada kadar tiga hingga lima peratus bersamaan dengan 130 jlh yang mampu menampung 100,000 keluarga bergantung kepada penggunaan harian.

?Kadar peningkatan permintaan air yang direkodkan pada tahap 3.5 peratus setahun sepanjang enam tahun lepas bermula dari 2005 sehingga 2010, menunjukkan situasi yang membimbangkan.

Gambaran keadaan itu adalah tiga tahun lalu apabila polemik  pengambilan aset air di Selangor yang dicetuskan oleh kerajaan negeri pimpinan PKR, Pas dan Dap mula mendapat perhatian rakyat.

Kerajaan pusat berkali-kali berkata ia sanggup untuk berdialog dan berunding dengan kerajaan negeri agar isu tersebut dapat diselesaaikan dengan baik.

Namun sikap keras kepada dan angkuh yang ditunjukkan oleh menteri besar Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri bukan sahaja telah melambatkan pembinaan projek Langat 2 malah mereka menentang setiap langkah positif yang dikemukakan oleh kerajaan pusat.

Kerajaan pusat juga mengingatkan kepada Selangor supaya jangan mempolitikkan isu air kerana yang jauh lebih penting dalam isu ini adalah kebajikan rakyat dan juga pembangunan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan.

Adalah kerajaan negeri pakatan PKR-Pas-Dap mendengar nasihat dan juga hujah rasional kerajaan pusat?

Tidak sama sekali kerana sebaliknya mereka mengambil pendirian anti-rakyat, anti-rasional dan juga anti-pembangunan dengan menolak kelulusan bagi projek tersebut yang dianggap begitu kritikal bagi mengelakkan krisis air.

Kini apa yang ditakuti telah datang menghantui seluruh rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Akibat penangguhan Projek Langat 2 oleh kerajaan negeri Selangor serta ditambah dengan cuaca yang kering dan musim kemarau sejak dua bulan lalu, catuan air terpaksa dilaksanakan.

Hampir seluruh Lembah Kelang kini terpaksa berhadapan dengan realiti catuan air yang perit dan menyusahkan.

Kerajaan negeri Selangor pimpanan PKR-Pas-Dap kini tida lagi boleh menuding jari mencari kesalahan kerajaan pusat kerana kini mereka terpaksa menanggung beban kesalahan dibahu mereka sendiri.

Demi politik murahan mereka sanggup mengorbankan agenda nasional, kebajikan rakyat dan juga kepentingan negara.

Apakah jenis kerajaan negeri yang dipimpin ketiga-ketiga parti ini apabila gila kuasa, pangkat dan jawatan mengatasi segala-galanya.

Pada peringkat permulaan catuan air, sejumlah 83,084 pintu rumah di Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya akan terjejas.

Ini berikutan bekalan air sering terputus dan tekanan rendah disebabkan pertambahan permintaan air yang mendadak ekoran dari cuaca panas kering dan ketiadaan hujan yang berlarutan.

Sudah tentu keadaan ini mampu dielakkan jika projek Langat 2 telah disiapkan seperti yang dicadangkan oleh kerajaan pusat sebelum ini.

Bayangkan kawasan-kawasan yang terjejas di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya serta tempat-tempat lain termasuk kawasan perindustrian adalah nadi ekonomi bukan sahaja Lembah Kelang tetapi juga negara.

Berapa bilion ringgit kerugian terpaksa ditanggung oleh ekonomi Selangor dan negara akibat kecuaian dan keputusan dungu kerajaan negeri PKR-Pas-Dap?

Bagaimana pula unjuran perkembangan ekonomi negeri yang kini terpaksa disemak semula kerana beribu-ribu industri yang bergantung kepada bekalan air yang bersih dan mencukupi terutamanya sektor pembuatan makanan, perkhidmatan serta elekronik.

Bagaimana pula dengan berpuluh ribu pesakit di hospital yang kini berhadapan dengan risiko yang lebih dahsyat sekiranya bekalan air terputus?

Kerajaan negeri Selangor bukan sahaja wajib meminta maaf kepada rakyat seluruh negara tetapi juga mengaku mereka telah gagal mentadbir negeri tersebut dengan baik atas amanah yang telah diberikan oleh pengundi pada pilihan raya umum lalu. 

Wednesday, February 26, 2014

Krisis Air Selangor: Kerajaan Negeri Tipu Rakyat?


Krisis air di Selangor bukannya berlaku secara tiba-tiba dan tanpa sebarang petanda. Sejak 2010 lagi kerajaan negeri telah diberi amaran oleh pakar akan terjadinya masalah air yang meruncing dalam beberapa tahun akan datang. 

Malah, lebih dari itu, jalan penyelesaiannya telah pun dikaji dan dirancang jauh lebih awal dan hanya menunggu perlaksanaan sahaja. 

Namun, malang bagi rakyat Selangor kerana telah memilih kerajaan dari parti yang lebih mementingkan politik dari pengurusan negeri dan rakyat.  Ketika amaran, kajian dan perancangan dibentangkan, kerajaan negeri menuduh ia hanya sebahagian dari mainan politik UMNO.  Kononnya, projek Langat 2 yang dicadangkan oleh kerajaan pusat untuk menangani masalah bekalan air adalah berunsur kronisme dan bakal menyebabkan tariff air meningkat. 

Sedangkan hakikatnya, Loji Langat 2 tiada kena mengena dengan tariff air kerana ia merupakan projek kerajaan pusat untuk kesejahteraan rakyat Selangor. 

Kerajaan PR Selangor juga sebelum ini mendabik dada sebagai lebih arif tentang bagaimana untuk mengatasi masalah bekalan tanpa perlu merujuk kepada rancangan awal oleh kerajaan BN terdahulu mahupun kerajaan pusat, ataupun syarikat bekalan air yang dikatakan kroni UMNO. 

Kononnya, kerajaan PR mampu mencari kaedah lain yang lebih murah dan praktikal. Sedangkan hakikatnya, kerajaan pusat telah pun membina laluan air dari sungai Pahang ke Selangor dan kerajaan negeri hanya perlu membina Loji Langat 2 sahaja.  Tentu sahaja kaedah ini sudah cukup murah. 

Namun, ia tetap ditolak oleh PR dengan berbagai-bagai alasan politik.  Kini, setelah semakin lama pembinaan ditangguhkan, tentulah semakin meningkat kosnya. 

Jika diimbas kembali sejak beberapa tahun dahulu, begitu banyak sekali ‘konon-konon’ yang dikemukakan oleh kerajaan Selangor bagi menepis isu air. 

Selangor pernah mengumumkan yang kononnya kerajaan negeri akan memproses air lombong bagi menampung keperluan rakyat di mana harganya lebih murah berbanding Loji Langat 2. 

Memetik sumber dari The Star pada 16 Februari 2012, Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kesihatan, Pekerja, Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, “kerajaan negeri telah meluluskan lesen pemindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran teknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air.  Sekali lagi kerajaan negeri memberi jaminan bahawa isu bekalan air tidak akan timbul malah ia mencukupi sehingga tahun 2020."

Dalam satu kenyataan media dalam Selangorku.com, pada 21 Oktober 2012,  Tan Sri Khalid Ibrahim siap memberikan bukti kononnya Selangor tidak akan berhadapan dengan masalah air dalam masa terdekat berdasarkan peningkatan takungan air di Empangan Sungai Selangor yang meningkat sebanyak 55.43 peratus kepada 127.49 meter padu.  

Beliau kemudian berkata, “Saya mengesa semua ahli politik terutamanya pihak pembangkang di Selangor supaya berhenti membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan mengenai isu air termasuk kedudukan paras takungan di empangan.

Tahun demi tahun berlalu, peringatan demi peringatan diberikan namun kerajaan negeri Selangor terus-terusan menafi yang krisis air akan berlaku dan  kadangkala mengaku pula ia akan berlaku tetapi tiada apa perlu dirisaukan kerana ‘kononnya’ kerajaan negeri mempunyai teknologi terkini yang lebih baik dan lebih murah untuk menangani krisis itu. 

Akhirnya, 2014 pun tiba dan masih tiada apa-apa penyelesaian yang dicapai oleh kerajaan negeri.  Akibatnya beribu-ribu rakyat Selangor kini terpaksa menanggung sengsara ketiadaan air sehingga berminggu-minggu.

Pun begitu, kerajaan PR Selangor masih lagi enggan mengaku kebodohan dan kesilapan sendiri tetapi terus menerus menipu dengan menyalahkan syarikat bekalan air, kalau pun tidak menuduh krisis ini sebagai sabotaj dari kerajaan UMNO.  Hatta, sehingga ke hari ini juga, kita melihat kenyataan Menteri Besar Selangor terus menerus bersifat menipu kononnya bekalan air mencukupi sehingga 5 bulan lagi dengan cuba menyalahkan pihak syarikat bekalan air. 

Hakikatnya, syarikat bekalan air hanya menyediakan khidmat rawatan dan pengedaran, tetapi masalah ketiadaan air adalah tanggungjawab kerajaan negeri.  Dengan kedegilan kerajaan negeri menerima bekalan dari Pahang melalui Loji Langat 2, maka mereka perlu mencari alternatif lain bagi memastikan bekalan mencukupi.  Di mana proses air lombong yang dijanjikan?   Di mana proses pembenihan awan atau apa saja yang kononnya mampu difikirkan?  

Jelaslah bahawa semuanya tipu belaka!  

Mungkin parti PR telah terlalu biasa hidup dengan cara menipu.  Oleh itu, walaupun telah menjadi kerajaan, mereka masih lagi membawa sikap menipu dan enggan bertanggungjawab atas apa jua yang berlaku ke atas negeri dan rakyat di bawah pemerintahan mereka. 

Persoalannya, selama mana sebuah kerajaan negeri boleh bertahan dengan cara menipu? Apapun, terpulanglah kepada rakyat Selangor sendiri untuk menentukannya. 


Sunday, February 23, 2014

PRK Kajang Lebih Lebih Utama dari Masalah Denggi dan Air di Selangor?

Masalah denggi di Selangor bukan perkara baru dan tentulah tidak adil jika kita menyalahkan kerajaan PR seratus-peratus.  Namun, kita tidak dapat menafikan bahawa di bawah kerajaan PR, masalah ini semakin serius dan tidak terkawal.   Ramai yang menyalahkan sikap penduduk kota selain sikap kerajaan negeri yang terbukti tidak cekap mengendalikan perihal pengurusan sampah sarap dan penyaliran. 
 
Masalah air di Selangor juga bukan perkara baru dan seperti juga masalah denggi, ia menjadi semakin serius, terutama apabila kerajaan PR mengambil sikap degil dalam menangani Projek Langat 2.  Rata-rata rakyat amat tertekan dan marah akibat ketiadaan air di kediaman mereka sehingga dilaporkan ada yang bertindak ganas ‘menawan’ lori bekalan air. 
 
Kes denggi di Selangor telah meningkat sehingga 354% iaitu hampir setara dengan peningkatan gaji exco Selangor, namun, kerajaan PR Selangor langsung tidak mengulas mengenainya seolah-olah ia bukan urusan mereka.  Dalam isu air pula, PR terus menepis dan cuba menyalahkan BN tanpa sedikit pun rasa bersalah kerana membiarkan masalah tersebut berlarutan sedangkan ia boleh diselesaikan lama dahulu. 
 
Bukan hendak ditokok-tambah atau diada-adakan cerita, tetapi rakyat boleh melihat sendiri bagaimana kerajaan PR Selangor langsung tidak prihatin dengan masalah kronik yang dihadapi oleh rakyat negeri itu.  Baik pemimpin tertinggi negeri, iaitu Khalid Ibrahim, mahupun pemimpin tertinggi parti, iaitu Anwar Ibrahim, kedua-duanya hampir tidak langsung ambil peduli dengan nasib rakyat.
 
Khalid Ibrahim sibuk mengatur strategi untuk menyelamatkan jawatannya, manakala Anwar Ibrahim sibuk mengatur strategi untuk merampas jawatan Khalid.  Pemimpin lain seperti Azmin Ali pula sibuk melayan patah-hatinya akibat diketepikan Anwar dan dianiaya Khalid.  Manakala pemimpin DAP pula sibuk membela Teresa Kok sambil mengapi-apikan 13 Mei, serta terkinja-kinja gembira menikmati ‘kebebasan’ mengejek pemimpin Melayu sesuka hati.   
 
PAS pula, seperti biasa termangu-mangu sambil terhangguk-hangguk sekali sekala, sementara menunggu arahan dari DAP ataupun PKR untuk menyalak atau berguling apabila perlu. 
 
PR diketahui sebagai sebuah parti yang ‘obses’ dengan politik di mana pemimpinnya berpolitik sepanjang tahun tanpa mengira adanya pilihanraya atau tidak.  Wakil Rakyat PR juga rata-ratanya hanya bertindak sebagai ‘penyerang’ terhadap Barisan Nasional dan bukannya ‘berkhidmat’ kepada rakyat.  Justeru, tidak hairanlah apabila PR suka-suka hati menyuruh wakil rakyatnya meletak jawatan untuk digantikan dengan orang lain sepertimana yang berlaku di Kajang. 
 
Akibat dari sikap tidak bertanggungjawab ini, rakyat di negeri yang diperintah PR sering terpaksa memohon bantuan dari pemimpin BN sekiranya menghadapi masalah.  Dalam banyak kes, rakyat seolah-olah terlupa akan tanggungjawab kerajaan negeri PR dan terus merujuk kepada kerajaan pusat, iaitu BN. 
 
Kini, pilihanraya Kecil Kajang pula mengambil seluruh perhatian dan tumpuan pemimpin-pemimpin PR dari urusan negeri dan rakyat Selangor. 
 
Walhal kita tahu bahawa siapapun yang menjadi wakil rakyat di Kajang nanti, rakyat di situ akan tetap terpaksa merujuk kepada BN kerana wakil rakyat PR terlalu sibuk ‘menjana’ kewangan negeri dan tiada masa untuk rakyat marhaen, terutama dari bangsa Melayu dan India yang masih memerlukan tongkat untuk bersaing dalam arus pembangunan pesat di bandar itu. 
 
Berdasarkan hakikat ini, rakyat Selangor termasuk di Kajang wajar bersyukur kerana kerajaan pusat masih lagi BN.  Di bawah kementerian yang berkenaan, kerajaan BN begitu giat mencari jalan menangani masalah denggi dan juga air di Selangor.  Dan selagi BN menjadi kerajaan pusat, orang-orang Melayu dan India di Kajang boleh saja menyandarkan harapan yang mereka tidak akan dibiarkan merempat dan ditindas dek pendekatan liberalis dan kapitalis PR. 
 
Bayangkan, jika kerajaan pusat juga telah bertukar tangan ke PR, maka kepada siapakah rakyat Selangor boleh mengadu?

Wednesday, April 10, 2013

Khalid lebih utamakan elektrik dari air di Selangor? hashtag #SayangiSelangor #TolakPR #ManifestoBukanJanji #GE13 #PRU13



Isu air di Selangor semakin meruncing apabila penduduk di beberapa daerah di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mula mengeluh berlaku gangguan bekalan air di kediaman mereka.

Meskipun telah dinasihatkan agar kerajaan dipimpin Khalid Ibrahim itu meneruskan pembinaan Projek Langat 2, beliau masih berdegil, sebaliknya mengutamakan pembinaan projek solar: SOLAR PHOTOVALTAIC  POWER PLANT yang kosnya mencecah RM 1 bilion.

Lebih mengejutkan, projek itu dilaksanakan melalui runding terus yang melibatkan kepentingan pemimpin DAP seperti Teresa Kok menerusi proksinya seorang ahli DAP, Kok Chee Keong yang mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut, dan diluluskan hanya dalam tempoh lapan hari ia dicadangkan.

Pada 14 Disember 2011 , Yayasan Selangor telah menerima sepucuk surat buat kali pertama dari GOLDSINO INVESTMENT DEVELOPMENT LIMITED yang berpangkalan di Zhuhai, China, untuk menjalankan projek SOLAR PHOTOVALTAIC POWER PLANT di atas kedua-dua keping tanah tersebut untuk tempoh pajakan 25 tahun.

Apa yang mengejutkan surat yang dihantar itu adalah surat pertama , tetapi dalam surat berkenaan syarikat itu telah menyatakan ayat seperti berikut,:

“we would to express our sincere appreciation to Yayasan Selangor for inviting us to participating for the above project”.

Difahamkan perbincangan awal antara mereka dengan Teresa Kok, mereka telah diajar supaya menulis begitu kerana Teresa akan terselamat jika apa-apa yang boleh menyangkutkannya.

Pada 22 Disembar 2011 Yayasan selangor telah mengeluarkan ‘letter of intent’ (LOI) kepada syarikat berkenaan  yang ditandatangani oleh Raja Amir Shah. 

Persoalannya, bagaimana projek yang mencecah RM 1 bilion dalam masa 8 hari sahaja boleh dikeluarkan LOI?

Pada 27 Disember 2011 satu mesyuarat telah diadakan melibatkan Yayasan Selangor dengan Goldsino Investment Development Limited, yang mana dalam mesyuarat itu Yayasan Selangor diwakili lapan orang, manakala syarikat berkenaan hanya diwakili oleh, Kok Chee Keong selaku proksi Teresa Kok.

Yayasan Selangor memiliki dua keping tanah di Dengkil dan Kuala Kubu Baru. Tanah yang bernombor PT 39693 di Dengkil telah disewakan kepada kroni Dr Halimah Ali (Adun Pas Selat Klang) untuk dijadikan sekolah persendirian dengan sewa yang cukup murah.

Tanah kedua bernombor PT 521 di Kuala Kubu Baru yang menempatkan Dua Kem Bina Semangat yang disewakan kepada PLKN. Keluasan kedua-dua kawasan tanah berkenaan dianggarkan 40-50 ekar.

Jelas di sini dilihat bagaimana Yayasan Selangor yang ditubuhkan untuk membantu anak-anak Selangor dalam pendidikan telah dijadikan ‘vehicle’ oleh DAP untuk mereka mengaut keuntungan.

Lima tahun mereka memerintah Selangor kita dapat melihat bagaimana rakusnya DAP dalam menjahanamkan negeri Selangor.

Dengan mudah, dua keping tanah untuk kebajikan rakyat Selangor dambil dan digunakan demi kepentingan DAP, hanya dalam tempoh yang singkat!


Tuesday, January 15, 2013

Krisis Air : GPRS Turun Beri Penerangan Kepada Penduduk Pangsapuri PKNS Taman Dagang Ampang.

jika sebelum ini isu air percuma dibangkitkan oleh semua rakyat, penerangan demi penerangan telah dibuat oleh Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), kali ini penerangan tentang krisis gangguan bekalan air terawat sedang giat dijalankan. ini adalah untuk memberi penerangan sebenar tentang masalah kekurangan pengeluaran bekalan air terawat yang tidak diambil endah oleh kerajaan negeri selangor.

lokasi kali di kawasan pangsapuri PKNS sri dagang, jalan 5/1, taman dagang, ampang di mana gangguan bekalan air hampir sebulan. penerangan tentang krisis bekalan air ini telah disampaikan oleh Datuk Sohaimi Shahadan, pengerusi GPRS. 



antara isi penerangan tersebut ialah kegagalan rumah pam berfungsi apabila kapasiti air yang dirawat melebihi had. masalah ini juga tidak dimbil berat oleh kerajaan negeri walaupun pihak  SYABAS telah lama memberitahu kepada kerajaan negeri dan peringatan juga telah dihantar pada setiap bulan.

malangnya pihak kerajaan negeri masih tiada membuat apa-apa tindakan untuk membantu rakyat. kerajaan selangor juga telah menahan Capital Expenditure (Capex) sehingga SYABAS tidak boleh melaksanakan program penukaran paip lama, membaiki rumah pam dan sebagainya. 

beberapa langkah yang telah disyorkan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini bagi mengelakkan krisis air di lembah kelang ialah menambah sumber air seperti projek langat 2, projek mitigasi 1&2 dan kerja-kerja penyelenggaraan.



rakyat harus tahu perkara yang sebenarnya agar tidak tertipu dan tidak terus menerus menyalahkan pihak  SYABAS dalam krisis air ini. peranan kerajaan selangor seharusnya membantu rakyat bukan terus menunding jari kepada pihak tertentu untuk menutup kelemahan dan kegagalan sendiri.

turut hadir bersama Dato' Ismail Kijo, Penyelaras Parlimen Ampang, Safarizul Mustafa, Ketua Pemuda Ampang dan beberapa ajk UMNO Bahagian Ampang dan pemuda.

satu demo secara aman juga diadakan agar rakyat dapat membuat pilihan yang bijak pada PRU 13 akan datang. juga tong-tong percuma telah diagih-agihkan kepada penduduk pangsapuri PKNS sri dagang, jalan 5/1 untuk menyimpan air sebagai peneydiaan sebarang kemungkinan berlaku krisis air pada masa akan datang.







 












JOM TUKAR!!! TOLAK PAKATAN REBAN!!! LANGAT 2 HARUS DITERUSKAN!!!