Showing posts with label rafizi. Show all posts
Showing posts with label rafizi. Show all posts

Wednesday, March 5, 2014

Rafizi Sahkan Masalah Air Adalah Mainan Politik PKR

Dengan termeterainya MOU Penstrukturan air, maka rakyat Selangor sudah mampu melihat  cahaya di hujung terowong.  Walaupun penyelesaian isu air bukan bersifat segera, namun, ia sudah cukup untuk rakyat menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya, penyelesaian adalah hampir pasti. 

Walaubagaimanapun, kelegaan rakyat disambut dingin oleh beberapa pemimpin PKR Selangor. 

Antaranya, Anwar Ibrahim sendiri yang mempersoalkan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abd. Khalid Ibrahim yang menandatangani MOU tanpa merujuk kepadanya.  Selain itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli juga mempertikai tindakan Khalid dengan mempersoalkan kos yang terlibat. Menurutnya, penstrukturan air di Selangor dengan kerjasama Putrajaya boleh mencecah RM20 bilion, bukan seperti anggaran awal RM9.65 bilion seperti yang diumumkan.

Rafizi menegaskan bahawa PKR tidak bersetuju dengan kandungan MOU yang melibatkan pembinaan loji rawatan Langat 2.

Rafizi menyentuh isu-isu teknikal berkenaan pengambil-alihan empat syarikat konsesi air dan juga pembinaan Langat 2 yang dikatakan tidak menepati jumlah kos yang diumumkan.  Beliau membayangkan yang proses ini bakal melibatkan dana awam, sekali gus menaikkan tariff air. Rafizi kemudian mendesak Khalid mendedahkan butiran MOU kepada rakyat. 

Sekali imbas, Rafizi kedengaran seolah-olah benar-benar prihatin dengan nasib rakyat yang mungkin akan terpaksa menghadapi kenaikan tariff air.   Namun, bila difikirkan semula, prihatinkah Rafizi jika kononnya tidak mahu bebankan rakyat dengan kenaikan tariff air tetapi sanggup pula membebankan rakyat biar tiada air terus?  

Kenyataan Rafizi seterusnya membuatkan kita kembali tersedar bahawa PKR hanya bermain politik dan tidak sedikit pun prihatin dengan nasib rakyat. 

Segala-galanya terdedah apabila Rafizi berkata, “Dengan kelulusan pembinaan Langat 2, kerajaan negeri Selangor kehilangan satu-satunya senjata yang dimiliki untuk berdepan dengan kerajaan pusat dalam isu air.”

Kenyataan tersebut secara langsung membuktikan bahawa PKR telah selama ini sengaja enggan bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam menyelesaikan masalah air di Selangor kerana ingin menjadikan isu ini sebagai ‘senjata’ untuk menyalahkan BN.  

Dalam kata lain, PKR sengaja membiarkan rakyat menderita dan sengsara ketiadaan air semata-mata untuk ‘bermain politik’.

Justeru, tidak hairanlah sejak mula mengambil-alih Selangor, PKR beria-ia menafikan yang Selangor bakal menghadapi masalah air walaupun telah diberi amaran oleh pakar.  PKR juga dengan megah mengaku kononnya akan menyelesaikannya dengan cara merawat air lombong, menggunakan teknologi canggih seperti membran, yang kononnya jauh lebih murah dan sebagainya. Untuk itu, PKR telah menjemput pakar-pakar dari Kanada untuk membuat pembentangan dan mengemukakan penyelesaian.   

Namun, akhirnya, ternyata sudah bahawa semua itu hanyalah wayang politik sahaja. 

Apabila masalah air benar-benar meruncing, PKR mula gelabah dan Khalidlah yang menjadi mangsanya.  Lalu, bagi menyelamatkan diri, Khalid perlu kembali ke pangkal jalan dan memeterai perjanjian dengan Putrajaya bagi membolehkan masalah ini selesai. 

Berdasarkan apa yang berlaku dan juga kenyataan Rafizi, jelaslah sudah bahawa PKR tidak pernah peduli jika rakyat sengsara asalkan mereka boleh memanipulasi isu bagi menyalahkan BN.  

Bayangkan jika Khalid tidak menerima penyelesaian yang dikemukakan oleh kerajaan Pusat, masalah air sudah tentu tidak akan selesai selagi PKR memerintah.  Kini, apabila masalah hampir selesai, PKR tidak segan silu pula menyatakan ketidakpuasan hati dan lebih suka jika rakyat terus menderita demi sedikit ‘modal’ untuk dijadikan ‘senjata’ politik mereka.  

Wednesday, February 5, 2014

Rafizi Menangis, Minta Pengundi Kajang Tolak Anwar Ibrahim

Tidak cukup dengan ucapan maaf, Ketua Strategi PKR, Rafizi Ramli terpaksa menangis bagi memastikan rakyat khususnya pengundi di Kajang tersentuh dan simpati dengan pementasan drama terbaharu yang sedang dilakonkan ini. Ia dilakukan bagi memastikan pengundi Kajang terus menerima PKR walaupun pada hakikatnya tindakan yang dilakukan ini boleh disifatkan seperti mempermain-mainkan kepercayaan rakyat sekali gus menghina sistem demokrasi negara.

Paling menarik di dalam rakaman ‘drama air mata’ berdurasi 2 minit itu, Rafizi turut meminta pengundi di Kajang agar menolak Anwar Ibrahim sekiranya merasakan tindakan PKR ini merupakan satu ‘permainan’.

"Kalau ini permainan PKR yang perlu ditolak, tolaklah kami” katanya.

Dia yang sebak dengan mata yang kemerah-merahan sehingga menyebabkan ucapannya tersekat-sekat berkata, ia adalah satu keputusan yang menyakitkannya.

"Ia menyakitkan saya kerana ia adalah idea saya untuk mengheret Anwar Ibrahim ke dalam perkara ini (sebak) dan ia bukan perkara yang mudah. Namun apabila tanggungjawab ini jatuh di atas bahu anda (sebak), apa lagi yang anda boleh lakukan?" katanya lagi.

Setiausaha parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan yang juga merupakan sekutu pakatan pembangkang ketika mengulas isu yang dibangkitkan ini mengatakan PKR tidak sepatutnya menjadikan isu pergolakan dalaman kerajaan campuran di negeri Selangor sebagai beban kepada rakyat sehingga perlu diadakan satu pilihanraya kecil di Kajang. Menurutnya lagi kesan daripada tindakan itu telah menyebabkan rakyat marah.

“… bahawa PKR tidak dapat menangani masalah dalaman dan tidak boleh menguruskan isu rumah tangga (sehingga) menyebabkan rakyat di Kajang terpaksa menentukannya. Ia telah memberikan satu precedent (teladan) yang tidak baik,” tegasnya.

Paling menarik, blogger ‘AmenoWorld’ yang begitu kuat menyokong pakatan pembangkang sebelum ini dilihat turut tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan itu. Menurutnya apa yang berlaku di Kajang hanyalah untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR yang telah menyebabkan rakyat turut diheret sama.

“Sejujurnya. Aku tahu, kau tahu, Rafizi tahu, Anwar tahu, Khalid tahu, PKR tahu, PR tahu dan semua tahu pilihanraya di Kajang adalah kerana polemik dalaman PKR yang nampaknya sudah semakin meruncing. Khalid tidak mahu berkompromi. Azmin tidak mahu berkompromi. Semua tidak mahu berkompromi”, luahnya di dalam entri blog tersebut.

Penulis blog tersebut turut berpandangan sekiranya masalah dalaman PKR ini masih tidak dapat diselesaikan dengan kehadiran Anwar sebagai Adun Kajang, ia akan menyebabkan rakyat sekali lagi menjadi mangsa keadaan.

“Kita katakan la saja bahawa Anwar akan berperanan menyelesaikan konflik dalaman dengan Kajang move. Masalah dalaman PKR jika tidak diselesaikan ia akan mengganggu-gugat pentadbiran dan kelangsungan pemerintahan PR di Selangor kerana masing-masing sibuk berbalah sesama sendiri.

“Maka, mula la masing-masing menyerang kawan dengan isu-isu peribadi. Maka, mula la masing-masing tidak bersetuju antara satu sama lain mengenai usul-usul tertentu. Maka, mula la masing-masing mula mencari jalan macam mana nak jatuhkan pihak-pihak yang tidak disenangi.

“Maka, oleh kerana wakil-wakil rakyat pun tak sehati sejiwa untuk menumpukan perhatian bagi selesaikan masalah rakyat secara automatik hak rakyat akan dicabuli dan terjejas,” luahnya lagi.

Berikut adalah rakaman drama air mata yang dipentaskan oleh Rafizi baru-baru ini bagi menarik simpati rakyat : http://www.youtube.com/watch?v=TaJc1XP8JYs