Showing posts with label selangor. Show all posts
Showing posts with label selangor. Show all posts

Monday, March 3, 2014

KRISIS AIR BUKTI PEMBANGKANG GAGAL TADBIR SELANGOR

Catuan air di kawasan-kawasan yang padat penduduk di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan PKR, Pas dan Dap.

Ini kerana jika menteri besar Khalid Ibrahim mengambil sikjap bekerjasama dengan kerajaan pusat berhubung isu projek air Langat 2, warga Selangor dan Kuala Lumpur tidak perlu menghadapi keadaan getir kehidupan tanpa bekalan air bersih.

Oleh kerana kerajaan negeri PKR-Pas-Dap ingin bermain politik dan memperjudikan kebajikan rakyat, berjuta rakyat kini terpaksa menerina hakikat keadaan cuaca panas kering menyebabkan program catuan perlu dilaksanakan.

Jika sejak 2010 kerajaan negeri Selangor bersetuju dengan perlaksanaan projek Langat 2 yang bertujuan untuk menambahbaik sistem penyimpanan, pembersihan pembekalan air bersih di Lembah Kelang, keadaan yang dihadapi sekarang sama sekali tidak akan wujud.

Namun hakikatnya Khalid bersama barisan exconya memilih jalan konfrontasi dengan kerajaan pusat untuk menunjukkan kuasa mereka maka berlakulah krisis air yang sepatutnya boleh dielakkan.
Kerajaan pusat sudahpun memulakan projek pembekalan dari dari Pahang ke Selangor sejak beberapa tahun yang lalu.

Bagaimana apabila fasa projek telah sampai ke sempadan Selangor, kerajaan negeri mula main politik sempit mereka dengan memberi pelbagai helah untuk melambatkan projek tersebut.

Mereka malah menentang projek Langat 2 dengan menggenakan syarat isu pengambilan aset air di negeri itu perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Khalid dan penasihat ekonominya, Anwar Ibrahim cuba menunjuk pandai kononnya strategi ini akan memberi tekanan kepada kerajaan pusat untuk tunduk kepada kemahuan mereka.

Namun mereka gagal memahami bahawa tindakan mereka tersebut adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Selangor yang mengundi mereka bagi penggal kedua pada pilihan raya umum tahun lalu.

Pakatan pembangkang memperjudikan nasib rakyat dan juga ekonomi negeri serta negara kerana hendak menunjukkan mereka berkuasa dan boleh buat apa yang mereka suka.

Krisis air yang terpaksa ditanggung oleh jutaan rakyat yang dijadikan bahan politik pembangkang kini memakan diri mereka sendiri.

Krisis ini merupakan tamparan paling hebat kepada keupayaan PKR, Pas dan Dap mentadbir negeri yang termaju dan terkaya di Malaysia.

Apa yang telah dilakukan oleh Khalid adalah satu bentuk sabotaj ekonomi dan pengkhianatan kepada rakyat yang tidak boleh dimaafkan.

Negeri Selangor boleh menjadi miskin sekiranya ia terus ditadbir oleh sebuah kerajaan negeri yang tidak bertanggungjawab.

Malah ekonomi negara boleh terjejas teruk kerana Selangor penyumbang terbesar kepada KDNK negara.
Jika krisis air berterusan dan kerajaan negeri Selangor tidak mampu mengatasinya untuk jangka masa panjang, kemungkinan besar para pelabur asing tidak akan berminat untuk meletakkan pelaburan di negeri itu.

Segala perancangan dan pembangunan yang telah berjaya dilakukan di bawah pentadbiran Barisan Nasional selama 50 tahun di negeri itu akan hilang begitu sahaja.

Impak krisis air ini adalah amat besar bukan sahaja kepada kehidupan rakyat tetapi juga kepada perancangan ekonomi negara samada dalam jangka pendek mahupun panjang.

Dengan pergelutan kuasa antara kem Khalid dan Azmin Ali, tidak mungkin kerajaan negeri akan mampu untuk mengendalikan isu krisis air dengan berkesan.

Kem Azmin sudah tentunya akan menggunakan isu ini untuk membuktikan betapa perlunya Khalid diturunkan daripada jawatan menteri besar.

Khalid pula akan bertindak untuk mempertahankan kedudukan dan kepentingannya dengan membuat keputusan yang akan menyelamatkan dirinya.

Kini apabila krisis air sudah tercetus barulah Khalid bersetuju menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan pusat dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari rabu lalu.

Mungkin ini akan menyemarakkan lagi kemarahan Azmin yang melihat Khalid sudah berbaik dengan kerajaan pusat.


Apapun perkembangan isu krisis air pada minggu-minggu mendatang akan memperlihatkan samada Khalid akan tersingkir daripada kedudukan kuasanya atau Anwar ang berputih mata.

Thursday, August 22, 2013

Pelaburan Di Selangor Menjunam : Bukti PR Gagal Mentadbir

Selangor Darul Ehsan merupakan negeri paling kaya di Malaysia dengan kemasukan pelaburan yang tinggi setiap tahun. Namun, itu semua sudah menjadi kisah lama. Hari ini pelaburan di negeri ini terus menjunam semenjak diambil alih pentadbirannya oleh Pakatan Rakyat.

Selangor kini berada di tangga ke 4 dengan penurunan kemasukan pelaburan sebanyak 86% dengan hanya mencatatkan RM1.8 billion pada tahun 2012 berbanding RM11.7 billion pada tahun 2011. Senario yang sama juga dilihat di Pulau Pinang di mana negeri itu mencatatkan penurunan jumlah pelaburan sehingga 73%. Dengan jumlah penurunan yang begitu drastik lagi dramatik, Pakatan Rakyat tidak mampu untuk menuding jari kepada sesiapa.

Setelah sepenggal memerintah, PR akhirnya telah gagal sama sekali untuk membuktikan bahawa parti itu lebih bijak dan lebih cekap dari BN. Jelas sekali bahawa pelabur tidak yakin dengan kredibiliti PR. Malah, tidak mustahil pelabur sebenarnya takut dengan gelagat pemimpin PR yang gemar membuat huru-hara.

Mana tidaknya, sepatutnya kerajaan negeri mempromosi kestabilan dan keamanan tetapi kerajaan PR sentiasa berusaha mencetuskan kekecohan dan huru-hara. Siapa yang berani melabur di dalam negeri yang pemimpinnya asyik berpolitik secara keterlaluan dan ganas pula?

Peningkatan aktiviti dan perniagaan ‘gelap’ di seluruh Selangor semenjak pemerintahan PR juga pastinya menyumbang kepada menurunnya jumlah pelaburan di negeri itu. Peningkatan aktiviti gelap menjadi punca kepada peningkatan kadar jenayah sekali gus membuktikan terdapat peningkatan masalah korupsi di negeri ini.

Pelabur tentunya telah mengkaji keadaan ini yang mana menyebabkan Selangor tidak lagi menjadi destinasi pelaburan pilihan. Keadaan bertambah teruk apabila pemimpin-pemimpin PR juga tidak punya karisma dan kredibiliti mahupun pengalaman untuk berurusan dengan para pelabur luar negara bagi menarik pelaburan langsung asing.

Malah, Menteri Besar Selangor sendiri tidak mempunyai personaliti yang mampu memberi keyakinan kepada pelabur, sedangkan untuk menarik pelaburan langsung asing, peranan Menteri Besar amatlah penting. Meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Kewangan negeri secara tidak langsung telah memusnahkan semua harapan Selangor untuk meningkatkan pelaburan.

Walaupun Anwar mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara luar, namun nampaknya Anwar tidak mampu meyakinkan seorang pun pelabur luar untuk melabur di negeri jajahannya. Ini kerana beliau mempunyai rekod ‘hampir membangkrapkan negara’ serta mempunyai kelayakan ekonomi ‘sifar’.

Selain itu, beberapa pemimpin negeri ini, terutama dari parti DAP didapati tidak mampu berkomunikasi dengan baik serta tidak memahami adat, etika atau adab yang sesuai bagi menghadiri majlis rasmi apatah lagi yang bertaraf antarabangsa.

Justeru, tidak hairanlah jika pelabur meragui kepimpinan mereka. Walaupun DAP sering merasakan diri mereka hebat, terbuka dan lebih bijak dari pemimpin Melayu, namun hakikatnya amatlah jauh berbeza. Pendek kata, kepimpinan Pakatan Rakyat dari mana-mana partipun semuanya tidak berkualiti.

Oleh kerana itu, Selangor kini tidak lagi boleh dibanggakan sebagai negeri pilihan pelabur. Ekonomi Selangor pastinya akan terjejas dengan kurangnya jumlah pelaburan dari setahun ke setahun.

Tidak mustahil, tahun ini Selangor akan menyaksikan jumlah pelaburan yang jauh lebih rendah terutama apabila desas-desus bahawa satu lagi demonstrasi besar akan di adakan oleh Ambiga Sreevanesan pada bila-bila masa.

Kesimpulannya, PR tidak mampu memerintah dan jika rakyat Selangor ingin negeri ini pulih seperti sediakala maka tidak ada cara lain lagi selain dari kembalikan mandat memerintah kepada Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

Tuesday, May 14, 2013

MB Selangor: Anwar Tersepit Dengan Propaganda Sendiri


Secara rasminya pada tanggal 14 Mei 2013, Abdul Khalid Ibrahim yang mendapat sokongan penuh dari Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail telah dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor sekali gus melengkapkan senarai tiga buah negeri dikuasai PR selesai upacara angkat sumpah untuk jawatan MB dan KM.

Selain mengekalkan penguasaan di Selangor, PR yang merupakan pakatan tidak rasmi tiga parti pembangkang utama melibatkan DAP, PKR dan PAS juga menguasai kembali Pulau Pinang dan Kelantan serta turut meraih pencapaian lebih baik di Johor, Terengganu dan Sarawak.

Pakatan pembangkang itu turut mencatat prestasi lebih baik di peringkat Parlimen apabila menawan 89 kerusi Parlimen berbanding hanya 82 sahaja pada PRU-12 2008 yang lalu.

Untuk rekod, Kerajaan PAS Kelantan selesai mengangkat sumpah untuk jawatan MB dan EXCO pada 6 Mei sementara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selesai upacara mengangkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinanguntuk penggal kedua pada keesokan harinya.

Namun disebalik kejayaan itu, ramai rakyat Malaysia khususnya penduduk Selangor tertanya-tanya apa pula perlunya Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan gerombolan pemimpin PR sibuk menjelajah seluruh negara menghasut penyokong pakatan pembangkang supaya menolak keputusan PRU-13 kononnya kerana wujud unsur penipuan oleh SPR.

Antara propaganda yang dimainkan ialah wujud pengundian melibatkan warga asing, blackout semasa pengiraan undi, dakwat kekal yang mudah luntur, ketidakadilan SPR serta pelbagai lagi tohmahan yang semuanya menjurus kepada penolakan mereka terhadap keputusan PRU-13.

Menolak keputusan PRU-13 atas apa sahaja tohmahan yang dilemparkan, ia sama seperti tidak mengiktiraf ketelusan dan keadilan perjalanan pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR.

Peliknya, dalam beriya-iya mereka menuduh itu ini terhadap SPR di masa yang sama mereka meraikan pula kejayaan mereka mengekalkan penguasaan di tiga buah negeri serta berbangga dengan kejayaan meraih 89 kerusi Parlimen sambil menyebarkan pula propaganda bahawa BN telah ditolak oleh rakyat Malaysia.

Walhal, jika tohmahan Anwar dan pemimpin PR yang lain dijadikan sandaran, bukankah itu bermakna perlantikan Khalid sebagai MB Selangor untuk penggal kedua sama seperti satu pengiktirafan terhadap penipuan dan ketidaktelusan yang dikatakan wujud dalam PRU-13.

Ini juga bermaksud Kerajaan PAS Kelantan dan Kerajaan DAP Pulau Pinang adalah kerajaan haram kerana ditegakkan hasil dari penipuan kerana yang mengumumkan kemenangan mereka ialah SPR selaku badan rasmi pengendali pilihan raya di seluruh negara,bukan begitu?

Di lihat dari pelbagai sudut sekali pun, jelas tohmahan yang dilemparkan oleh Anwar dan kuncu-kuncunya berhubung PRU-13 langsung tak berasas. 

Sekarang Anwar tersepit bila mana propaganda yang dimainkannya tidak selaras dengan realiti semasa di mana PR turut meraih keuntungan hasil dari proses pilihan raya kendalian SPR.

Jika Anwar benar yakin wujud penipuan, ketidak adilan atau berlakunya penyelewengan dalam keputusan PRU-13, patutnya sedari awal lagi Ketua Umum PKR itu menghalang Kerajaan Negeri yang dikuasai PR dari mengangkat sumpah. 

Polemik MB Selangor Bukti Kegagalan PR!


Sewaktu artikel ini ditulis, khabarnya isu perlantikan Menteri Besar Selangor telah pun menemui titik penyelesaian selepas hampir seminggu berlaku pertelingkahan sesama PR berhubung siapa yang layak menyandang jawatan tersebut.

Pada PRU-13 baru-baru ini, Selangor kembali dikuasai PR apabila memenangi 44 dari 56 kerusi DUN berikutan peralihan sokongan pengundi Cina kepada pakatan itu, sementara baki 12 lagi DUN dimenangi BN. PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi DUN sementara PKR pula hanya 14.

Penggal yang lalu jawatan MB diserahkan kepada PKR atas faktor jumlah kerusi DUN yang dimenanginya lebih besar berbanding DAP dan PAS. Namun kali ini DAP dan PAS, masing-masing mendahului PKR dari jumlah kerusi. 

Disebabkan inilah yang menjadi punca tercetusnya polemik dalam PR di mana ada kalangan pemimpin PAS yang percaya jawatan MB lebih layak diserahkan kepada mereka, sementara DAP dan PKR pula tegas dengan pendirian jawatan itu kekal dengan milik PKR.

Di masa yang sama, dikalangan pemimpin PKR sendiri wujud pertelingkahan dalaman kerana ada pihak yang bersungguh untuk melihat jawatan itu digalas oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sementara satu pihak yang lain mahu Abdul Khalid Ibrahim kekal menerajui Selangor.

Dua buah negeri lain yang berjaya dikuasai semula oleh PR iaitu Kelantan dan Pulau Pinang tidak menghadapi masalah sedemikian sebaliknya sudah selesai perlantikan Menteri Besar dan Ketua Menterinya kerana PAS dan DAP masing-masing memonoli jumlah penguasaan kerusi DUN.

Mengikut laporan mutakhir oleh Bernama, Abdul Khalid Ibrahim telah disahkan kekal sebagai MB untuk penggal kedua setelah mendapat perkenan Sultan Selangor sekali gus mengakhiri polemik jawatan MB yang cukup membingungkan ramai penyokong PR.

Bagi pemimpin PR, berakhirnya polemik jawatan MB Selangor mungkin dianggap satu kejayaan namun kelewatan yang berlaku membuktikan rapuhnya kesepakatan sesama mereka dalam menangani isu ini.

Wednesday, April 10, 2013

Khalid lebih utamakan elektrik dari air di Selangor? hashtag #SayangiSelangor #TolakPR #ManifestoBukanJanji #GE13 #PRU13



Isu air di Selangor semakin meruncing apabila penduduk di beberapa daerah di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mula mengeluh berlaku gangguan bekalan air di kediaman mereka.

Meskipun telah dinasihatkan agar kerajaan dipimpin Khalid Ibrahim itu meneruskan pembinaan Projek Langat 2, beliau masih berdegil, sebaliknya mengutamakan pembinaan projek solar: SOLAR PHOTOVALTAIC  POWER PLANT yang kosnya mencecah RM 1 bilion.

Lebih mengejutkan, projek itu dilaksanakan melalui runding terus yang melibatkan kepentingan pemimpin DAP seperti Teresa Kok menerusi proksinya seorang ahli DAP, Kok Chee Keong yang mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut, dan diluluskan hanya dalam tempoh lapan hari ia dicadangkan.

Pada 14 Disember 2011 , Yayasan Selangor telah menerima sepucuk surat buat kali pertama dari GOLDSINO INVESTMENT DEVELOPMENT LIMITED yang berpangkalan di Zhuhai, China, untuk menjalankan projek SOLAR PHOTOVALTAIC POWER PLANT di atas kedua-dua keping tanah tersebut untuk tempoh pajakan 25 tahun.

Apa yang mengejutkan surat yang dihantar itu adalah surat pertama , tetapi dalam surat berkenaan syarikat itu telah menyatakan ayat seperti berikut,:

“we would to express our sincere appreciation to Yayasan Selangor for inviting us to participating for the above project”.

Difahamkan perbincangan awal antara mereka dengan Teresa Kok, mereka telah diajar supaya menulis begitu kerana Teresa akan terselamat jika apa-apa yang boleh menyangkutkannya.

Pada 22 Disembar 2011 Yayasan selangor telah mengeluarkan ‘letter of intent’ (LOI) kepada syarikat berkenaan  yang ditandatangani oleh Raja Amir Shah. 

Persoalannya, bagaimana projek yang mencecah RM 1 bilion dalam masa 8 hari sahaja boleh dikeluarkan LOI?

Pada 27 Disember 2011 satu mesyuarat telah diadakan melibatkan Yayasan Selangor dengan Goldsino Investment Development Limited, yang mana dalam mesyuarat itu Yayasan Selangor diwakili lapan orang, manakala syarikat berkenaan hanya diwakili oleh, Kok Chee Keong selaku proksi Teresa Kok.

Yayasan Selangor memiliki dua keping tanah di Dengkil dan Kuala Kubu Baru. Tanah yang bernombor PT 39693 di Dengkil telah disewakan kepada kroni Dr Halimah Ali (Adun Pas Selat Klang) untuk dijadikan sekolah persendirian dengan sewa yang cukup murah.

Tanah kedua bernombor PT 521 di Kuala Kubu Baru yang menempatkan Dua Kem Bina Semangat yang disewakan kepada PLKN. Keluasan kedua-dua kawasan tanah berkenaan dianggarkan 40-50 ekar.

Jelas di sini dilihat bagaimana Yayasan Selangor yang ditubuhkan untuk membantu anak-anak Selangor dalam pendidikan telah dijadikan ‘vehicle’ oleh DAP untuk mereka mengaut keuntungan.

Lima tahun mereka memerintah Selangor kita dapat melihat bagaimana rakusnya DAP dalam menjahanamkan negeri Selangor.

Dengan mudah, dua keping tanah untuk kebajikan rakyat Selangor dambil dan digunakan demi kepentingan DAP, hanya dalam tempoh yang singkat!


Nik Nazmi Kantoi “Pertahankan Hak Rakyat.” #SayangiSelangor #TolakPR #ManifestoBukanJanji #GE13 #PRU13

Video yang baru didedahkan ini menunjukkan bagaimana ADUN Seri Setia Nik Nazmi tunduk dengan pemaju dan mengenepikan keperluan rakyat.



video dipetik dari akaun you tube TheRakyatMarhaen


Nik Nazmi takut dengan pemaju, mahu robohkan jambatan besi untuk bina tol!

Perjuangkan kebajikan rakyat ke perjuangkan kekayaan pemaju?


Friday, March 8, 2013

Skandal Pasir & Harga Rumah Tinggi Menggoncang Kerajaan PKR Selangor


Di sebalik tumpuan umum sedang memfokuskan isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh pengganas Sulu, rupa-rupanya di masa yang sama rakyat di negeri Selangor masih tidak lekang dari mulut membicarakan skandal penyelewengan pasir di negeri mereka.

Di mana-mana sahaja tempat tumpuan ramai, rata-rata rakyat Selangor kerap merungut mengenai harga rumah yang melambung tinggi yang dipercayai salah satu puncanya berkait rapat dengan peningkatan harga pasir selain faktor asas harga tanah untuk projek perumahan yang dijual mengikut harga pasaran.

Isu ini kelihatan remeh bagi kebanyakan pemimpin PKR Selangor tanpa mereka sedari ia sebenarnya sedang menggoncang kedudukan PR di negeri ini. Mereka mula membanding-bandingkan situasi dulu dan sekarang, kerana sedar banyak yang tidak kena dengan pemerintahan PKR di Selangor tika ini.


Di zaman pemerintahan BN dulu, harga pasir untuk satu lori 30 tan hanya sekitar RM300.00 tetapi selepas PKR mengambil alih negeri ini harganya meningkat antara RM800.00 hingga RM1,200 untuk sebuah lori 30 tan, hampir tiga empat kali ganda berbanding sebelumnya.

Dari satu segi, peningkatan harga pasir ini memberi keuntungan dari segi kutipan royalti yang masuk ke kantung Kerajaan Negeri, namun di masa yang sama kesannya kenaikan harga pasir itu terpaksa ditanggung oleh pemaju yang kemudiannya memberi kesan langsung kenaikan harga rumah yang membebankan rakyat.

Begitu juga berkenaan harga tanah, kebiasaannya harga sekaki persegi untuk projek pembangunan yang melibatkan kepentingan orang ramai, Kerajaan Negeri pimpinan BN menetapkan harga jualan RM1.00 untuk sekaki persegi, tujuannya untuk memastikan pemaju perumahan dapat menyediakan rumah yang selesa dengan harga yang berpatutan.

Malangnya semenjak PKR menguasai negeri ini, harga tanah milik kerajaan negeri di jual kepada pemaju perumahan dengan mengikut harga pasaran semasa yang berlipat kali ganda tingginya menyebabkan kesan samping di mana harga rumah mencanak naik dan sukar dimiliki oleh golongan pendapatan rendah dan sederhana.

Sejak hampir 5 tahun lalu memang agak sukar untuk rakyat negeri ini melihat projek perumahan baru yang nilai jualan setiap rumah yang siap di bina adalah sekitar RM30,000 hingga RM150,000, kalau ada pun kebanyakan projek perumahan rendah dan mampu milik itu disediakan oleh Kerajaan Pusat.

Dalam pada itu, tatkala kutipan royalti pasir meningkat berbanding zaman BN, sedar tak sedar pengeluaran tan metrik setahun hasil perlombongan pasir juga jauh berkali ganda lebih besar berbanding zaman BN. 

Peliknya di sebalik peningkatan pengeluaran hasil bumi Selangor itu, sehingga sekarang Kerajaan PKR Selangor masih gagal mencapai sasaran kutipan royalti RM150 juta setiap tahun. 

Kenapa perkara ini berlaku dan ke mana hilangnya kutipan baki royalti itu? 
Jawapan kepada persoalan ini banyak berkait rapat dengan amalan monopoli dan penyelewengan yang dilakukan oleh syarikat anak Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) serta kontraktor lantikannya.

Malah peletakan jawatan oleh Pengarah Eksekutif KSSB, Ramli Abdul Majed hampir tiga tahun lalu sepatutnya sudah disedari oleh rakyat Selangor betapa kegiatan penyelewengan dan kes curi pasir serta penipuan kutipan wang royalti sedang berleluasa berlaku semenjak wujudnya KKSB.

Isu ini sudah acap kali diluahkan oleh pemimpin PKR sendiri iaitu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam namun gagal mendapat perhatian Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim kerana sekumpulan penyangak yang terlibat merupakan kroni-kroni yang rapat dengan pimpinan PR Selangor.

Semua ini tidak akan berlaku sekiranya MB Selangor bijak menilai kemampuan dirinya dalam mengurus tadbir negeri dan tidak menganggap bumi Selangor ini seumpama syarikat korporat hak milik sendiri dan kroni.

Sepintas lalu isu harga pasir dan penyelewengan yang berlaku mungkin kelihatan remeh bagi pimpinan PR di negeri ini, namun bila mana ia memberi kesan langsung menyebabkan harga rumah meningkat secara mendadak, ramai rakyat yang semakin menggelodak amarahnya.

Masing-masing rakyat Selangor hanya menunggu masa untuk melakukan perubahan sebelum lebih banyak bebanan terpaksa di galas bahu sendiri gara-gara kelemahan Kerajaan PKR Selangor. Senario ini jika berterusan pastinya  akan  makin menggoncang kedudukan PKR di negeri ini.

5 Tahun Pemerintahan Pakatan Rakyat - Jumlah Rumah Kos Rendah Terlalu Rendah?


Ramai yang bertanya, selama 5 tahun PKR memerintah Selangor, berapa banyakkah rumah kos rendah yang telah dibina, dan di mana?  Serta berapa harganya?  Ini kerana maklumat mengenainya adalah berbeza-beza dan meragukan.  

Antara laporan kerajaan Selangor menyatakan bahawa sebanyak 5,612 projek rumah kos rendah telah dirangka. Dari jumlah itu hanya 287 yang telah disiapkan pada tahun lepas.  

Kemudian terdapat pula kenyataan daripada kerajaan negeri Selangor pada 30 Oktober 2012 yang menyatakan bahawa 6,470 rumah kos rendah telah dibina sejak 2008. 

Di celah-celah itu, kita juga dikejutkan dengan kenyataan Menteri Besar Selangor yang mencadangkan golongan berpendapatan tinggi untuk membeli rumah kos rendah tanpa sebarang syarat bagi mengatasi masalah rumah kategori itu yang masih tidak terjual.  

Kenapakah satu isu yang mudah ini menjadi begitu sukar dan berbelit-belit walaupun ia hanya berkisar mengenai angka?  Sedangkan ‘angka’ tidak boleh ditipu atau diubah-ubah.  Jika 1000 rumah kos rendah yang terbina, ia tidak mungkin boleh menjadi 2,000 atau 500 walau bagaimana sekali pun kita cuba memusingkan faktanya.  

Rakyat sudah mula memahami bahawa isu rumah kos rendah di Selangor adalah isu yang mendapat tempat paling bawah dalam keutamaan kerajaan negeri yang mementingkan keuntungan dan meletakkan ‘angka’ pendapatan negeri sebagai bukti kejayaan pemerintahan.  

Di bawah kerajaan Barisan Nasional, tanah-tanah yang dicadangkan untuk pembinaan rumah kos rendah dijual kepada pemaju dengan harga RM1/kaki persegi bagi membantu pemaju membuat untung dalam usaha membantu rakyat miskin memiliki rumah. Namun, kerajaan Pakatan Rakyat telah menjadikan ‘tanah’ sebagai perniagaan dan sumber tersebut kini dinilai mengikut harga pasaran.  

Logiknya, tiada pemaju yang berniaga untuk kebajikan dengan membina rumah kos rendah di atas tanah yang bernilai tinggi.  Maka, tentulah sukar bagi kerajaan negeri untuk merealisasikan projek rumah kos rendah sepertimana yang diwar-warkan.  

Pada November 2012, Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai telah menyuarakan keprihatinan parti itu terhadap masalah golongan berpendapatan rendah di Selangor untuk memiliki rumah sendiri.  Beliau telah secara langsung mencadangkan agar kerajaan Selangor memberikan sahaja tanah kepada kerajaan persekutuan untuk membina projek tersebut.  

Kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya mengambil pendekatan seimbang dalam membangunkan projek komersial dan mewah serta memastikan yang kebajikan rakyat menjadi keutamaan dalam apa jua keputusan yang diambil.  

Pendekatan inilah yang dipegang oleh Barisan Nasional sehingga membolehkan negara mencapai apa yang telah dicapai pada hari ini.  

Amat malang bagi rakyat Selangor kerana kerajaan PR langsung tidak berminat dengan kebajikan rakyat.  

Walaupun hartanah di Selangor menjadi topik hangat  kerana akibat harga yang mencanak-canak tingginya, berita-berita mengenai hartanah di Selangor dan Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan oleh majalah-majalah hartanah menggambarkan kawasan ini sebagai paling menarik di Asia bagi pembelian hartanah.  Sudah tentu, berita sebegini adalah untuk menarik pembeli dari luar dan bukan untuk penduduk tempatan yang pastinya tidak mampu membeli hartanah tersebut.  

Apa yang berlaku ini menggandakan lagi ‘kerugian’ di pihak rakyat Selangor kerana sudahlah mereka tidak mampu memiliki hartanah kerana terlalu mahal, mereka terpaksa pula menerima hakikat bahawa sebahagian besar hartanah di negeri ini bakal dimiliki oleh orang asing.  

Berdasarkan fakta ini, PR telah membuktikan bahawa parti itu mungkin merupakan peniaga yang bijak, tetapi bukan sebuah kerajaan yang baik.  

Selama lima tahun sahaja, PR sudah begitu banyak sekali merugikan rakyat Selangor, bayangkan jika lima tahun lagi diberi mandat untuk memerintah negeri ini, tidak mustahil, rakyat berpendapatan rendah akan dipijak-pijak sehingga separuh mati oleh kerajaan negeri sendiri.  

Meraikan 5 Tahun Pemerintahan Pakatan Rakyat

Pejam celik, pejam celik, sudah lima tahun rupanya Selangor diperintah oleh Pakatan Rakyat.   Ini bermakna selama 5 tahun, rakyat diberikan peluang meneliti dan menilai kepimpinan PR dan membandingkannya dengan BN.  

5 tahun rakyat dipertontonkan dengan sikap pemimpin PR selepas menjadi wakil rakyat berbanding sebelumnya.  5 tahun juga rakyat berpeluang melihat keadaan sekeliling mereka dan membandingkan dengan sebelumnya, dari segi pembangunan, persekitaran, kebajikan termasuk dari segi spiritual yang kononnya begitu penting bagi PR, atau lebih spesifik, PAS. 

Pada waktu itu, kita menjangkakan robohnya kilang arak yang menjadi tonggak penentangan PAS terhadap UMNO.  


Manakala surirumah pula menjangkakan elaun khas untuk menghargai khidmat dan jasa mereka, begitu juga golongan ibu tunggal dan warga emas. Ibubapa dengan anak kecil pula menjangkakan bantuan tunai bagi bayaran TASKA dan berbagai-bagai golongan lagi menjangkakan berbagai-bagai kemudahan dan bantuan sepertimana yang tertulis dalam Manifesto PR yang diumumkan 5 tahun lalu.  

Pendek kata, rakyat Selangor menjangkakan sebuah negeri yang hebat lagi ‘Islamik’ berdasarkan Manifesto serta Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan pada 2009 oleh kerajaan PR Selangor, dengan tarikan pelaburan berjumlah RM50 billion yang mampu mencipta 150,000 peluang pekerjaan. 

Namun, tidak mungkin sesiapa dapat menafikan bahawa sekali pandang, tampak tiada banyak perbezaan di Selangor antara pemerintahan BN dan PR, selain pusat-pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan dan tanpa kawalan sejak 5 tahun lalu.  

Lebih dari itu, kilang arak masih di situ dan golongan yang dijanjikan tunai juga langsung tidak menerima apa-apa.  

Jika ada pun yang diterima mereka hanyalah BR1M, wang bantuan persekolahan RM100, PR1MA dan bermacam-macam lagi yang mana diberikan oleh kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional dan bukannya kerajaan PR Selangor.  

Pakej Rangsangan Ekonomi untuk menarik RM50 billion pelaburan yang dicanangkan, ternyata hanya satu lagi cakap kosong.  Pakej tersebut kononnya merangkumi 6 projek utama iaitu Projek Pemulihan Sg. Klang,  Pemulihan Projek Terbengkalai, Pembaharuan Bandar, Meningkatkan Hasil Padi, Meningkatkan Pengangkutan Awam dan Pengstukturan Perkhidmatan Air Selangor.  

Namun, setelah 5 tahun berlalu, 120km Sg. Klang masih tiada peningkatan dan apa yang dikatakan pembaharuan bandar pula hanya menyaksikan pemaju semakin rakus mengaut untung sehingga mengakibatkan rakyat tempatan merasa terancam dan terpinggir.   Yang selebihnya tidak perlulah dibincangkan lagi kerana kita semua sedia maklum yang tiadanya peningkatan apa-apa, selain dari peningkatan masalah air di sekitar Selangor.   

Sebaliknya, RM50 billion pelaburan yang dijangka masuk ke Selangor, bukannya bertitik tolak dari projek yang disenaraikan oleh kerajaan PR Selangor tetapi daripada kerajaan persekutuan juga, iaitu kerajaan Barisan Nasional.    Antaranya, RM7.4 bilion bagi pembinaan tiga hingga empat lebuhraya, dan projek My Rapid Transit (MRT) serta sambungan LRT.  Bakinya adalah dari pelaburan langsung asing yang diterajui oleh MIDA atau kerajaan pusat.  

Justeru, apakah yang akan diraikan oleh PR selama 5 tahun pemerintahan mereka?  Kejayaan menambah rumah urut dan pusat maksiat?  Kejayaan memurtadkan umat Islam?  Kejayaan mengorek pasir secara besar-besaran?  Atau kejayaan melanjutkan dan merumitkan masalah bekalan air?  

Atau kegagalan menyelenggara sistem saliran agar selari dengan pembangunan yang pesat sehingga menyebabkan banjir di tempat-tempat yang tidak pernah banjir sebelum ini?  

Hakikatnya, 5 tahun di bawah PR sudah cukup untuk membuktikan bahawa parti tersebut tidak pernah berniat menepati janji, tidak tahu apa yang mereka katakan, dan tidak prihatin terhadap kebajikan rakyat sebaliknya hanya mementingkan golongan peniaga dan keuntungan.   

Selama 5 tahun juga, rakyat kini mampu membaca bahawa di dalam parti PR, yang memerintah tetap DAP, walaupun Menteri Besarnya dari PKR.