Monday, October 15, 2012

Azizan VS Phahrolrazi, Mahfudz Yang Jadi MB


Masalah kemaruk ingin jadi Menteri Besar Kedah menggantikan Dato’ Seri Azizan Razak di kalangan pemimpin PAS Kedah bukanlah rahsia lagi.   Malah, cita-cita yang tidak tertahan-tahan membuatkan mereka tidak segan silu lagi bercakaran secara terbuka.   Pendek kata tidak perlulah menggunakan khidmat risikan untuk mengenalpasti siapa musuh siapa, siapa kawan siapa dan siapa alat siapa.  Semuanya boleh dilihat dengan terang lagi bersuluh dari kedai kopi sehingga ke dalam media massa.  

Seperti yang kita semua sedia maklum, antara yang paling kemaruk ingin menjadi Menteri Besar ialah Phahrolrazi.   Macam-macam cara telah dilakukan beliau untuk menjatuhkan Ustaz Azizan sehingga menjadi perbualan biasa di kalangan rakyat Kedah.  

Namun, sehingga kini segala usaha Phahrolrazi masih tidak membawa beliau ke mana.  Lebih malang bagi beliau ialah apabila beliau bukan sahaja masih belum dapat menjatuhkan Azizan tetapi terpaksa pula berhadapan dengan persaingan dari beberapa ‘tokoh’ PAS lain yang turut mengidam jawatan Menteri Besar menjelang PRU ke-13. 

Antaranya, ialah Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS dan juga Ahli Parlimen Pokok Sena.  Mahfudz nampaknya tidak berminat untuk berselindung dalam hal ini dan strategi beliau dalam mengatur langkah awal untuk memastikan impiannya tercapai sudah pun dapat dihidu.  

Mengambil kira desas-desus mengenai pencalonan Dato’ Sahlan Ismail Nasution, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, bagi kerusi BN di kawasannya, maka Mahfudz dikhabarkan telah beberapa kali pergi berjumpa dengan Dato’ Sahlan untuk memastikan mereka tidak bertemu di gelanggang yang sama.  

Ini kerana Mahfudz mengakui Dato’ Sahlan bukanlah lawannya yang setara dan tidak yakin akan menang jika bertanding di gelanggang yang sama.  Mahfudz mengharapkan yang Dato’ Sahlan bertanding parlimen manakala beliau pula akan memilih mana-mana DUN di kawasan Pokok Sena untuk bertanding.  Dengan cara ini, beliau yakin akan dapat mencapai cita-citanya untuk menjadi MB Kedah dengan mudah.  

Terdapat 3 DUN di dalam Parlimen Pokok Sena, iaitu Bukit Lada, Bukit Pinang dan Derga.   Berdasarkan keputusan PRU-12, DUN Bukit Pinang yang disandang oleh Md. Roshidi Osman dari PAS telah mencatatkan kemenangan dengan majoriti paling tinggi iaitu 3,399.  Oleh itu, Bukit Pinang dilihat sebagai kawasan yang paling sesuai untuk dijadikan platform bagi Mahfudz untuk mencapai cita-citanya.  

Namun begitu Mahfudz tidak dapat mengenepikan faktor pengaruh Azizan, mahupun impian Phahrolrazi.  

Selain itu, dalam kegilaan beliau ingin menjadi MB Mahfudz juga bagaikan terlepas pandang akan faktor UMNO.  Sedarkah Mahfudz bahawa walaupun beliau merasakan boleh menang di kawasan yang ditandinginya, beliau masih perlu memastikan yang PAS memenangi majoriti kerusi di negeri Kedah sebelum dapat duduk di kerusi MB.  

Dengan itu, Mahfudz mahu tidak mahu terpaksa membantu Azizan untuk mengekalkan sokongan rakyat terhadap PAS di negeri itu.  Dan Mahfudz juga tidak mampu untuk mengsabotaj Azizan sedangkan di masa yang sama menaruh cita-cita untuk menjadi MB.  

Mampukah Mahfudz menangani semua faktor ini secara serentak?  Atau mungkinkah Azizan akan berjaya ‘menjinakkan’ manusia-manusia yang gila kuasa sehingga di tahap tidak terkawal yang berada di sekelilingnya?  

Apapun, persoalan yang lebih tepat sebenarnya ialah apakah PAS akan mampu mengekalkan kuasa di Kedah?  Jika tidak, jangankan Mahfudz atau Phahrolrazi, malah Azizan sendiri juga terpaksa melupakan saja kerusi MB.  

No comments: