Showing posts with label prksglimau. Show all posts
Showing posts with label prksglimau. Show all posts

Monday, November 4, 2013

Pas Menang Tipis Di Sungai Limau

Seperti yang telah dijangkakan sebelum ini, Pas akhirnya berjaya mengekalkan penguasaannya mereka di Sungai Limau apabila menyaksikan calon parti itu berjaya mengalahkan Barisan Nasional / Umno dalam pilihanraya kecil pada kali ini. BN meletakkan bekas pensyarah kanan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, 52 sebagai calonnya menentang satu lawan satu dengan calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat, 37.

Mengikut data rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada malam tadi, calon Pas telah berjaya memperolehi 12, 069 undi berbanding calon BN sebanyak 10,985 dengan jumlah majoriti 1,084 dengan jumlah yang keluar mengundi sebanyak 85.5 peratus. Pada pilihanraya umum ke-13 (PRK-13) yang lalu, Pas berjaya memperolehi sebanyak 13,294 undi berbanding calon BN 10,520 undi dengan majoriti 2,774 dengan jumlah yang keluar mengundi sebanyak 89.44 peratus.

Sebanyak 23,249 pengundi yang keluar untuk mengundi bermula pada pagi tadi, 27,222 pengundi akan menentukan calon daripada parti manakah yang bakal 'ditabalkan' sebagai wakil rakyat baru kawasan itu berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu.

Daripada jumlah pengundi tersebut, 25,323 pengundi atau 93.02 peratus terdiri daripada kaum Melayu manakala Cina (1,842 atau 6.77 peratus) dan India (15 atau 0.06 peratus). Pada PRK-13 lalu, Allahyarham Azizan menewaskan calon BN, Mohd.Fazillah Mohd.Ali dan dua lagi calon Bebasn dengan majoriti 2,774 undi.

Walaupun pada awalnya, Pas dijangka mendapat laluan mudah untuk mengekalkan kerusi tersebut memandangkan DUN Sungai Limau dikatakan kubu kuat parti itu, namun BN dikatakan berjaya menembusi kubu itu khususnya melalui jentera dan gerak kerja yang dilakukan oleh Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Malah melalui keputusan tersebut juga menyaksikan bagaimana beberapa kubu kuat parti itu seperti Bukit Choras, Bukit Besar, Sungai Dedap, Kabu Sepuloh, Sungai Limau dan Sedaka berjaya ditembusi oleh BN. Ia secara tidak langsung membuktikan wujud penolakan di kalangan ahli dan penyokong parti itu yang pernah mengundi Allahyarham Azizan.

Malah menurut laporan yang diterima, rata-rata masyarakat di Kedah menyedari akan wujudnya perancangan jahat untuk menyingkirkan Allahyarham Azizan yang dikatakan begitu mesra dengan pemimpin dan orang Umno. Ia sekali gus menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penyokong Phahrolrazi dan Mahfuz Omar.

Kesimpulannya penyusutan undi Pas adalah berpunca dari masalah dalaman parti itu yang saling ingin menjatuhkan antara satu sama lain. Umno seharusnya menjadikan ia satu pengajaran sekali gus memperbaiki segala kelemahan yang telah dilakukan.

Apa Punca Pengundi Cina Beralih Arah?

Keputusan pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Limau benar-benar mengejutkan semua pihak, lantaran perubahan mendadak sikap pengundi Cina yang mula bertukar angin. Menurut perangkaan yang diperoleh dari Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), DUN Sungai Limau mempunyai seramai 1,850 pengundi Cina atau 6.7 peratus daripada 27,222 orang pengundi keseluruhan.

Malah melalui pemerhatian awal, majoriti pengundi Cina memperlihatkan reaksi tidak menyokong mana-mana pihak yang bertanding. Rata-rata mereka memberi reaksi neutral tidak seperti pengundi dan penyokong Melayu. Selain daripada itu juga, rata-rata pengundi Cina yang datang mengundi dilihat hadir dengan tidak membawa bendera parti atau memakai pakaian parti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata PRK pada kali adalah merupakan platform terbaik untuk mengukur tahap perubahan sikap masyarakat Cina terhadap BN. Beliau turut mengatakan keputusan pada kali ini boleh menjadi penanda aras mengenai kesediaan masyarakat itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan.

Kerusi DUN Sungai Limau, disahkan kosong berikutan kematian Azizan pada 26 September yang lalu. bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris , Dr Ahmad Sohaimi dipilih untuk mewakili BN dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat, 37, pengarah rangkaian pusat pendidikan awal kelolaan parti itu, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kedah.

Menurut penganalisis politik, pengundi Cina jelas menunjukkan perubahan sikap yang ketara apabila rata-rata di kalangan mula menunjukkan sikap yang positif dengan peratusan kehadiran di program-program BN sepanjang tujuh hari berkempen. Tidak cukup dengan itu, kehadiran jentera Wanita Umno yang berkunjung di premis perniagaan dan kediaman mereka juga menunjukkan sambutan yang menggalakkan.

Paling mengejutkan ialah, hanya sekitar 100 - 300 orang sahaja masyarakat Cina yang hadir ketika program Anwar Ibrahim di kawasan penempatan masyarakat itu di pekan Sungai Limau. Sedangkan umum mengetahui betapa mereka sebelum ini begitu taksub dengan Anwar yang dirasakan mampu menumbangkan kerajaan BN/Umno dalam pilihan raya umum yang lalu.

Malah sekiranya dilihat daripada keputusan undi yang diterima jelas membuktikan penolakan kaum Cina yang mula sedar akan penipuan yang dilakukan oleh Anwar. Sebagai contoh ketika PRU yang lalu dianggarkan hampir 90 peratus pengundi Cina telah keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon pakatan pembangkang. Berbanding 51.05 peratus sahaja yang keluar untuk mengundi dari jumlah keseluruhan 1,850 pemilih. Dari jumlah tersebut seramai 771 pemilih dari masyarakat Cina tidak hadir menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut bacaan sikap yang dijalankan hampir 300 responden yang ditemui memilih untuk tidak mengundi pembangkang, manakala yang selebihnya adalah merupakan pengundi luar yang tidak mahu pulang untuk mengundi. Kesimpulannya, pendedahan demi pendedahan yang dilakukan berhubung pembohongan Anwar sebelum ini telah menyebabkan masyarakat Cina mengambil keputusan untuk menolak calon dari pakatan pembangkang. Apa yang di harapkan semoga momentum sokongan akan berjaya dikek

Friday, November 1, 2013

Anwar Bakal Cetuskan Provokasi Untuk Wujudkan Suasana Kecoh

Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) malam tadi dimaklumkan akan kehadiran Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ke Sungai Limau bagi membantu jentera kempen Pas. Tambah menarik dia turut dijadualkan akan bersolat di salah sebuah masjid sekali gus memberikan ceramah politik dengan menggunakan alasan tazkirah. Nama masjid sengaja tidak dimasukkan bagi mengelakkan promosi percuma diberikan.

Menurut unit risikan dan gerak saraf program tersebut sengaja diada-adakan bagi mencetuskan provokasi sehingga mencetuskan kekecohan. Ini kerana Anwar dan jentera Pas ingin menggunakan alasan tersebut bagi menggambarkan kononnya penyokong BN/Umno ganas dalam berkempen.

Sedangkan sehingga pagi ini, jawatankuasa masjid tersebut dikatakan masih lagi tidak dimaklumkan mengenai program ceramah tersebut. Inilah antara taktik Anwar setiap kali tiba pilihan raya sama, hadir untuk solat berjemaah di masjid atau surau. Sejurus selepas solat tersebut, beliau akan meminta ‘agennya’ untuk menyediakan tempat untuk membolehkannya menyampaikan ceramah.

Tindakan tersebut sudah tentu akan menimbulkan kemarahan penduduk setempat yang marah dengan perbuatan Anwar kepada negara selama ini. Sudah tentu mereka yang tidak bersetuju dan menghalang Anwar dari berceramah sekali gus menimbulkan suasana kecoh.

Apabila berlaku kekecohan, Anwar dan jentera Pas akan segera menggunakan isu tersebut, kononnya dia dihalang oleh penyokong Umno untuk bersolat di masjid. Mereka yang taasub dengan Anwar akan segera percaya dengan fitnah tersebut dan segera menyebarkannya untuk pengetahuan umum.

Inilah taktik sebenar Anwar, dia tahu masyarakat Melayu mudah percaya dengan cerita-cerita rekaannya dan kesempatan tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk menanamkan sentimen kebencian rakyat. Secara mata kasar, Anwar mungkin nama lemah dan tidak berdaya, namun mereka yang mengenalinya secara dekat tahu, siapa sebenarnya makhluk yang bernama Anwar Ibrahim ini.

Lihat sahaja kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh mereka yang pernah rapat dengan Anwar. Antaranya Datuk Zulkifli Nordin yang sebelum ini mendedahkan dia pernah diarahkan oleh Anwar untuk menyediakan bom ‘molotof cocktail’ bagi mencetuskan suasana huru-hara ketika zaman reformasi.


Malah sehingga hari ini, Anwar masih lagi tidak berani untuk menyaman bekas peguamnya itu sekali gus membuktikan semua yang dinyatakan itu ada kebenarannya.



Thursday, October 31, 2013

PAS Menjangka Bahawa Undi Cina Akan Hilang Apabila Hari Isnin Tidak Cuti.

Alor Setar: Apabila Barisan Nasional (BN) sedang berusaha untuk memenangi undi Melayu yang telah mengundi PAS pada Pilihanraya Umum 5 May yang lepas, supaya mereka bertukar fikiran dan berhijrah kepada BN. PAS pula sedang bertungkus lumus kerana pengaruh mereka terhadap orang Cina semakin lama semakin terhakis. Walaupun hanya 1,842 pengundi berbangsa Cina, PAS tidak akan mempunyai jumlah undi yang singnifikan untuk mengekalkan penguasaan mereka di dalam kerusi Sungai Limau jika sebahagian daripada pengundi tersebut berhijrah kepada BN atau tidak hadir semasa hari pengundian. Peperangan kawasan antara BN dan PAS dari Sungai Limau telah meningkat untuk hari ke-enam kempen dari kedua-dua belah pihak.

Di dalam satu poster di Kampung Sedaka, PAS telah mula menunjukkan kehadiran mereka dan mula menggantung bendera dan poster sebanyak mungkin. Ada insiden yang dilaporkan bahawa sesetengah penyokong PAS menurunkan bendera dan banner BN dan menggantikannya dengan bendera PAS. Di dalam peperangan untuk menawan hati 27,222 pengundi, PAS sedang berusaha untuk memegang kesetiaan para penyokong terdahulu kerana mereka kurang diterima oleh golongan muda di sini. Ia terserlah apabila program seperti ceramah dan aktiviti yang dijalankan oleh mereka, tiada golongan muda yang hadir dalam jumlah yang signifikan. Yang ada hanyalah pengundi veteran dan juga golongan remaja yang belum boleh mengundi. Sedang PAS kehilangan jumlah pengundi muda, mereka masih lagi menagih undi dari kaum Cina di Kedah. Loh Choon Hong, 36, seorang peniaga kedai runcit di Sungai Limau Dalam mengatakan bahawa dia tidak pastu bahawa pengundi Cina akan memberikan sokongan 100% kepada parti Islam tersebut.

Menurut katanya lagi pengundi Cina yang sudah berumur lebih cenderung untuk mengundi BN dan hanya undi golongan muda sahaja bersama PAS. Ini adalah kerana para pengundi muda telah terdedah dengan internet dimana minda mereka adalah lebih kepada isu nasional dan bukannya hal-hal tempatan. Loh juga menambah, bahawa orang seperti beliau hanya mahukan keamanan dan keharmonian dikekalkan supaya mereka boleh berniaga dan menjalankan kehidupan seperti biasa.
  
Jumlah pengudi Cina di kawasan Sungai Limau dan Sungai Limau Dalam, dimana para pengundi muda Cina pula bekerja di kawasan  Gurun, Sungai Petani dan Kulim. ADUN Dap untuk Kota Darul Aman Teoh Boon Kok, yang sedang bergiat menjalankan kempen untuk PAS di Pekan Sungai Limau menyatakan bahawa cabaran utama mereka adalah untuk memastikan pengundi muda Cina boleh mengambil cuti dan pulang untuk mengundi pada pilihanraya 4 May nanti. Katanya lagi, jumlah pengundi akan berubah secara mendadak dan sekiranya mereka tidak boleh datang mengundi ia akan menjadikan jumlah undi PAS berkurangan. Ia adalah satu cabaran bagi kami untuk memastikan mereka kembali dan segala macam masalah pengangkutan yang mereka akan alami semasa hari mengundi.

Menurut Teoh lagi, kebanyakkan daripada pengundi Cina bekerja di kilang dan menaiki bas, ia menjadi cabaran besar kerana bas kilang tidak akan menghantar mereka ke pusat mengundi. DAP akan mencari jalan yang mudah untuk mereka balik dan mengundi. PAS sudahpun kehilangan pengundi Melayu dan sekiranya mereka tidak dapat memastikan kehadiran penyokong mereka dari kaum Cina, maka kerusi Sungai Limau akan terlepas dari gengaman mereka.


Isunya adalah kerana kekurangan pengundi Cina di Sungai Limau yang menjadi cabaran besar untuk PAS mengumpul kekuatan di dalam pilihanraya kecil pada kali ini. Senario terkini, BN tampak lebih berkeyakinan untuk memenangi kerusi tersebut berbanding PAS yang bersusah payah untuk mengekalkan kerusi Sungai Limau di dalam gengaman mereka. 

Amanat Ustaz Azizan, Menggerunkan Pas Di Sungai Limau

Pendedahan surat yang dikatakan ‘Amanat Ustaz Azizan’ benar-benar merisaukan jentera Pas di Sungai Limau apabila dilihat semakin mendapat perhatian pengundi yang rata-rata merupakan sanak saudara kepada mantan Menteri besar Kedah itu.

Surat yang ditulis oleh saudara ustaz Azizan, Haji Syukri Haji Ismail agar para penyokongnya untuk tidak mengundi Pas, PKR dan DAP kerana boleh di ibarat sebagai mengkhianati Islam. Ini kerana menurut Haji Syukri amanat tersebut diberikan kepadanya 3 minggu sebelum ini Ustaz Azizan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Walaupun ada di kalangan pengikut Pas tegar yang mengatakan ia adalah merupakan propaganda kempen Bn/Umno, namun rata-rata mereka yang rapat dengan Ustaz Azizan pasti mengetahui sama ada surat tersebut benar atau palsu.

Ini kerana sebelum ini, Ustaz Azizan pernah berulang kali menyuarakan hasrat hatinya yang dikatakan terkilan dengan perjuangan Pas. Ini kerana sejak bergabung dengan PKR dan DAP, Pas dilihat mula menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.

Contohnya isu kalimah Allah yang jelas membuktikan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu terpaksa tunduk dan akur dengan kehendak DAP dan PKR demi kerana sokongan masyarakat bukan Islam. Malah hanya kerana itu juga Pas sebelum ini terpaksa menggadaikan asas dan dasar perjuangan yang selama ini menjadi tonggak perjuangan semenjak parti itu ditubuhkan.

Kesimpulannya, perjuangan Pas tidak lagi seperti awal penubuhannya yang mahu mengangkat Islam ke tahap yang tertinggi.­­­­ Berikut adalah kenyataan penuh ‘Amanat Ustaz Azizan untuk renungan bersama.




Tuesday, October 29, 2013

Tiba Masa Sungai Limau Berubah

Pekan Sungai Limau di dalam daerah Yan, Kedah sudah begitu sinonim dengan PAS.  Sejak Almarhum Tan Sri Azizan Razak memenangi kerusi DUN tersebut pada 1995, kawasan itu bagai tidak boleh ‘ditembus’ lagi oleh Barisan Nasional.    

Selama itu juga, kawasan itu tidak pernah berubah walaupun secara keseluruhannya, negeri Kedah mengalami pembangunan yang agak rancak.  Sungai Limau berada di sisir perairan Selat Melaka dan mempunyai potensi besar untuk membangun dari segi pelancongan.  Namun, ini tidak berlaku dan penduduk Sungai Limau juga seolah-olah sudah ‘mangli’ dengan kehidupan santai begitu.   Mungkin juga, itulah cara hidup yang dipromosikan PAS sejak dahulu lagi iaitu, hanya mengejar akhirat dan mengtidak-apakan soal dunia. 

Sekali imbas, Sungai Limau dilihat menepati mana-mana kampung di Kelantan dari segi mentaliti penduduknya dan juga landskapnya.   Terdapat beberapa sekolah agama dan sekolah pondok di sini tetapi ianya tidak terjaga.  Wujudnya hanya sebagai syarat bagi mengesahkan niat untuk mencari akhirat. 

Walhal, hanya beberapa puluh kilometer ke Utara atau Selatan Sungai Limau, iaitu di Bandaraya Alor Setar dan juga bandar Sungai Petani, serta kawasan sekeliling yang di bawah Barisan Nasional, kita akan mendapati pembangunan yang menggalakkan. Hubungan  jalanraya antara Sungai Limau dengan kedua bandar ini juga lengkap dan mudah melalui lebuhraya.  Bagaimanapun, segala kemodenan itu terputus sebaik tiba di Sungai Limau. 

Apabila terlantik sebagai Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Azizan difahamkan mempunyai visi yang tinggi untuk kawasannya.  Projek seperti Hub Hidrokarbon yang dirancang dibina di kawasan itu dijangka mampu menjana pendapatan negeri serta memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, sekali gus meningkatkan ekonomi dan pembangunan di Sungai Limau. 

Bagaimanapun, niat murni ini tidak terlaksana akibat terdapat berbagai halangan, termasuklah kekurangan pengalaman di pihak kerajaan negeri sendiri.  Justeru, Sungai Limau kekal di takuk lama, ketinggalan dari kemajuan dunia. 

Penduduk Sungai Limau mungkin merasa selesa dengan kehidupan dan rutin harian yang sama ini.   Malangnya, dunia telah berubah dan manusia perlu menyesuaikan diri dengan perubahan itu.  Penduduk Sungai Limau tidak boleh ketinggalan dalam mengejar ilmu pengetahuan dan kemajuan kerana itulah tujuan utama Allah SWT menjadikan manusia. 

Jika benar penduduk Sungai Limau ingin mencari akhirat, maka mereka perlu terlebih dahulu menurut perintah Allah SWT untuk mencari ilmu, meneroka dunia serta meningkatkan diri ke tahap tertinggi. 

Sudah menjadi hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan di Malaysia ini hanya boleh dicapai melalui parti Barisan Nasional, bukan PAS.  PAS mempunyai masa yang begitu lama untuk memajukan Sungai Limau, tetapi mereka tidak melakukannya. Mungkin alasan pada mulanya ialah PAS tidak punya kuasa, tetapi alasan ini tidak boleh dipakai lagi apabila PAS berjaya menjadi kerajaan negeri. 

Benar, Almarhum Tan Sri Azizan telah mencuba, namun, tanpa pengalaman dan kelayakan, segala-galanya tidak semudah yang disangka. 

Jangankan kemajuan dunia, kemajuan akhirat juga dilakukan PAS secara sambil lewa di Sungai Limau memandangkan sekolah-sekolah agama dan pondok juga tidak terjaga. Seolah-olahnya, PAS benar-benar menyerahkan nasib rakyat Sungai Limau kepada takdir semata-mata. 

Bagaimanapun, kita sanjung Tan Sri Azizan yang sanggup merendah diri meminta nasihat musuh politiknya di dalam UMNO untuk memajukan negeri.  Malangnya, Allah SWT lebih menyayangi dirinya dan beliau tidak sempat melaksanakan impiannya untuk Kedah amnya, dan Sungai Limau, khasnya. 

Kini, penduduk Sungai Limau diberikan peluang oleh Allah SWT untuk mengubah nasib diri sendiri melalui undi.   Sampai bila Sungai Limau perlu menjadi sebuah kawasan mundur di negeri Kedah?  

Bayangkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang mampu tercipta sekiranya UMNO diberi kepercayaan untuk melakukannya.  Bayangkan juga bantuan yang boleh disalurkan kepada sekolah-sekolah agama dan sekolah pondok bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pembangunan sekiranya UMNO diberi mandat menerajui kawasan ini. 

Apa yang pasti, UMNO mampu membawa kehidupan yang jauh lebih berkualiti dan seimbang antara dunia dan akhirat bagi penduduk Sungai Limau.  Maka, inilah diseru agar pengundi Sungai Limau mengundilah dengan bijak pada 4 November ini kerana tiada siapa yang dapat mengubah nasib anda selain diri anda sendiri.  Sudah sampai masa untuk anda berhijrah kepada yang lebih baik. 


Nik Aziz Tidak Relevan di Sungai Limau

Hairan bin Ajaib! Walaupun hari berkempen sudah memasuki ke hari ke-7, namun sehingga kini tiada satu pun poster Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kelihatan di sekitar kawasan Sungai Limau.

Berbanding sebelum ini, Nik Aziz sering dijadikan sebagai modal utama kempen bagi menarik sokongan pengundi yang dikatakan menghormatinya sebagai seorang ulama.

Tambah memelikkan apabila, kelibat Nik Aziz langsung tidak kelihatan atau setidak-tidaknya hadir untuk memberikan tazkirah di masjid atau surau. Apa sudah jadi? Nampaknya selepas Nik Aziz digugurkan dari jawatan Menteri Besar Kelantan, khidmat dan auranya turut hilang.

Lebih menyedihkan, khidmatnya sebagai penceramah juga langsung tidak diperlukan oleh jentera Pas Kedah, walaupun pemerhati politik merasakan parti itu bakal berdepan dengan laluan sukar bagi mempertahankan kerusi Dun di Sungai Limau.

Malah melalui sembang-sembang di kedai kopi, ada yang mengatakan Nik pada ketika ini sedang sakit tenat dan sukar untuk dibawa ke Sungai Limau bagi membantu jentera kempen.

Tidak kurang juga, ada yang mengatakan bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak bersetuju dengan pemilihan Azam Samad sebagai calon Pas. Ini kerana Azam dikatakan bakal dijadikan sebagai boneka kumpulan liberal di dalam parti itu sekiranya menang sekali gus bakal menjadi kumpulan penentang terhadap kelompok pimpinan ulama Pas.

Walau bagaimanapun, dalam banyak isu yang dibangkitkan terdapat satu isu yang agak menarik untuk dikongsikan. Iaitu penolakan secara total oleh jentera Pas Kedah khususnya di Sungai Limau terhadap kehadiran Nik Aziz.

Ini kerana rata-rata di kalangan mereka dikatakan sangat terkesan dengan tindakan Nik Aziz yang dilihat menyebelahi Phahrolrazi dan Mahfuz. Malah Nik Aziz juga dikatakan langsung tidak membela Azizan ketika belaiu dijadikan sebagai sasaran oleh para pengikut Pas kerana dikatakan ‘Mesra BN’.

Sikap berdiam diri itu, akhirnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan pengikut Azizan yang merasakan tindakan berdiam diri Nik Aziz itu telah menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk dengan pelbagai fitnah dan cacian. Sedangkan sebagai seroang Musyidul Am, Nik Aziz sepatutnya mengambil pendekatan untuk menenteramkan suasana.

Disebabkan itu, ada yang mengatakan Nik Aziz telah dinasihatkan agar tidak turun ke Sungai Limau bagi mengelakkan jentera Pas kawasan Jerai mengambil pendekatan boikot.
  
Selain dari Nik Aziz, turut menjadi tanda tanya ialah treler Pas yang digunakan ketika pilihanraya umum yang lalu. Sekiranya sebelum ini mereka begitu berbangga dengan kehadiran treler yang dikatakan canggih itu terutama ketika program-program ceramah. Namun ketika kempen PRK di Sungai Limau ini jangankan treler, kereta sorong pun tak nampak bayang.

Kesimpulannya, PRK Sungai Limau ini telah menyebabkan Nik Aziz tidak lagi dianggap relevan sebagai umpan atau model yang boleh membantu kemenangan calon parti. Nampaknya gambar Nik Aziz menangis itu, amat sesuai dengan keadaannya pada ketika ini yang tidak ubah seperti kereta sorong buruk


Thursday, October 24, 2013

Faktor BN Mahukan Sungai Limau

Di atas kertas, ramai yang meramalkan Barisan Nasional (BN) tidak akan berpeluang untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sungai Limau yang berada dalam genggaman Pas.

Kerusi DUN itu dianggap kubu kedua terkuat Pas di Kedah selepas DUN Tokai yang berada dalam Parlimen Pendang. DUN Sungai Limau atau dahulunya dikenali DUN Sala seolah-olah begitu kebal untuk ditembusi oleh BN apatah lagi ia dikuasai oleh Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Allahyarham dianggap tokoh yang memungkinkan Sungai Limau berada di tahap itu dan Allahyarham jugalah yang memungkinkan melalui kepimpinan di dalam Pas bukan kata Sungai Limau berada dalam genggaman Pas malah dalam pilihan raya umum 2008, parti itu berjaya menawan Kedah.

Bagaimanapun Azizan tetap menjadi idola penduduk-penduduk Sungai Limau, ketabahan Allahyarham menghadapi asakan demi asakan dalam parti sendiri telah memungkinkan Allahyarham terus berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau, biar pun Pas kehilangan tampuk pemerintahan kerajaan negeri Kedah.

Namun pada 26 September lalu, Allahyarham kembali menemui Ilahi sehingga memungkinkan kerusi DUN Sungai Limau kosong bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan.

Allahyarham Azizan bukan seperti pemimpin Pas lain, Allahyarham tidak pernah melihat pemimpin-pemimpin atau penyokong BN sebagai musuh, Allahyarham bersahabat dengan sesiapa sahaja, faktor inilah yang membolehkan Allahyarham terus menjadi pemimpin Pas yang dihormati oleh kawan dan lawan.

''Peluang BN untuk menang tetap ada kerana Pas menghadapi masalah untuk mencari pengganti seperti Azizan, dia kawan dengan semua orang tak kira parti,'' kata seorang penduduk Sungai Limau kepada penulis.

Kini Pas tidak boleh lagi bergantung kepada Allahyarham untuk mempertahankan DUN Sungai Limau. Tanpa mahu memperkecilkan kewibawaan calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat dalam pilihan raya kecil kawasan itu 4 November ini, BN perlu diperingatkan supaya tidak terlalu gentar dengan cabaran Pas.

Kita menghormati latar belakang pendidikan Mohd. Azam seorang yang bertaraf ustaz dan ia dilihat sesuai oleh Pas kerana masyarakat Sungai Limau dianggap kelompok Islamik. Tetapi UMNO tidak ada kurangnya biar pun calon mereka, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim adalah bekas pensyarah kanan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Biar pun tidak berlatar belakang agama tetapi Dr.Ahmad Suhaimi mempunyai akhlak yang baik dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang berkesan sebagai wakil rakyat jika dipilih.

Sememangnya kita mengakui, seorang ustaz amat diperlukan dalam masyarakat tetapi dalam masa sama, sebagai orang Islam kita juga diseru untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan sudah pastilah dalam soal ini, kita perlu mencari pemimpin daripada golongan yang boleh memimpin kita mencari kebahagiaan akhirat tanpa meninggalkan kebahagiaan dunia.

Pas mungkin boleh mendabik dada dengan calon mereka tetapi fikirkan apakah Pas mampu membawa kesejahteraan kepada penduduk-penduduk Sungai Limau melalui pembangunan? Walaupun tidak berlatar belakang agama tetapi Dr. Ahmad Suhaimi boleh dibantu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang kini sudah menjadi Ahli Parlimen Jerai dan Ketua UMNO Bahagian Jerai.

Dr. Ahmad Suhaimi boleh menumpukan program-program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat bersama Jamil Khir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga boleh mengatur pelbagai program-program berunsur keagamaan.

Gabungan kedua-dua pemimpin ini akan diperkukuhkan pula dengan kerjasama padu yang akan diberikan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang sudah pastinya mempunyai perancangan tersendiri dengan sokongan kerajaan pusat bagaimana hendak memajukan kehidupan penduduk Sungai Limau bagi membolehkan mereka mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Pengundi-pengundi Sungai Limau tidak harus lagi terus terpegun dengan laungan perjuangan Islam oleh Pas atau pelbagai slogan yang pastinya akan berkumandang lagi sepanjang kempen dalam pilihan raya kecil tersebut.

Sebaliknya, mereka perlu memberi ruang dan peluang kepada BN untuk menduduki semula kerusi Sungai Limau - dulu BN pernah menguasai kawasan ini dan biarlah sejarah tersebut berulang.

Memang benar, apa pun keputusan ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri atau kedudukan Pas dalam Dewan Undangan Negeri, tetapi BN bertanding bukan semata-mata kerana mahu merebut kerusi Sungai Limau tetapi parti itu ikhlas mahu menawarkan khidmat bakti kepada penduduk Sungai Limau.

Kalau BN memikirkan soal kerusi semata-mata sudah pasti parti itu tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut kerana ia tidak mengubah apa-apa tetapi ini soal tanggungjawab kepada rakyat.
BN mahu DUN Sungai Limau membangun seperti kawasan-kawasan lain yang berada di bawah penguasaannya. Justeru penduduk Sungai Limau tidak harus terus bernostalgia dengan politik Pas.

Berilah peluang kepada BN untuk membuktikan keupayaannya dan kita yakin sebagai kawasan kubu kuat parti lawan yang berjaya diranapkan dalam pilihan raya kecil kali ini, kerajaan negeri Kedah di bawah kepimpinan Mukhriz pasti akan benar-benar menghargai kepercayaan yang diberikan.

Oleh itu, fikirkanlah dengan semasak-masaknya tawaran yang dibuat oleh BN dalam pilihan raya kecil kali ini, bak kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, teruslah menjadi ahli Pas tetapi undilah BN untuk kesejahteraan hidup mereka.

Mungkin seruan ini nampak ganjil tetapi faktanya kita menyokong sesebuah parti itu adalah untuk memastikan kehidupan kita terbela tetapi Pas sudah terbukti tidak mampu berbuat demikian, oleh itu kalau mahu terus mengekalkan semangat Pas kerana masih berpegang kepada perjuangan Islam parti itu, teruskanlah, tetapi mengundilah BN kerana parti itu berupaya menjadikan sebuah perjuangan itu bukan sekadar slogan tetapi realiti dalam usaha kita mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.


~Utusan

Kebolehan Pemimpin-Pemimpin UMNO Jadi Sandaran

KHEMAH yang menempatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) di majlis penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Dewan Datuk Madi, Yan, Kedah semalam menjadi tumpuan.

Ini memandangkan ia menjadi lokasi pertama bagi sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO yang bertanding dalam pemilihan Sabtu lalu berkumpul. Sudah pastilah tumpuan diberikan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang bersaing sengit dalam pemilihan tersebut.

Namun, bukanlah soal kemesraan antara kedua-dua anak kepada dua bekas Perdana Menteri ini yang mahu diperkatakan tetapi bagaimana semangat ahli-ahli Majlis Tertinggi yang baru dilantik turun ke Sungai Limau. Lebih menarik ada antara mereka yang tewas seperti Menteri Besar Perlis, Azlan Man dan Datuk Azman Shah Omar Shah.

Sama ada kalah atau menang dalam pemilihan lalu ia tidak lagi menjadi perhitungan, apa yang pasti ketika berbual-bual dengan mereka, kesemuanya bertekad untuk turun habis-habisan bagi memastikan kemenangan BN di kubu kuat Pas tersebut.

Masing-masing mempunyai kemampuan dan kebolehan tersendiri serta sudah pasti masing-masing ada kumpulan pengundi yang harus diberikan tumpuan. Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsuddin sudah bersedia untuk ke gelanggang. Tetapi seperti mana kata ketiga-tiga mereka, kempen akan dijalankan secara berhemah dan tertib, tidak boleh redah sahaja memandangkan Sungai Limau adalah kawasan luar bandar.

Sementara itu, Hishammuddin sudah pun memulakan langkah dengan bertemu veteran UMNO di DUN tersebut dan dijangka turun lagi pada saat-saat akhir kempen, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal turut mengatur langkah bertemu pengundi kerana kementerian beliau banyak berjasa di Sungai Limau. Kebolehan dalam bidang agama termasuk menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis akan membolehkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi sandaran untuk mematahkan hujah-hujah Pas yang pastinya akan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis bagi meraih sokongan.

Sebenarnya, UMNO mempunyai pasukan pemimpin yang lengkap sama ada dalam soal dunia mahupun akhirat. Tetapi acap kali kelebihan ini tidak diketengahkan dalam kempen-kempen semasa pilihan raya kecil.

Oleh itu Sungai Limau adalah lokasi terbaik untuk barisan MT dan sayap-sayap UMNO berpadu tenaga bagi meranapkan kubu Pas di DUN tersebut. Berbanding UMNO, Pas hanya bergantung kepada golongan agama untuk meraih undi tetapi UMNO mempunyai semua golongan malah terdiri daripada pentadbir yang baik dalam membangunkan negara.

Justeru, kita mengharapkan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ini akan berterusan sehingga hari pengundian 4 November. Percayalah, dengan kekuatan dan kebolehan yang ada dan atas niat ingin berbakti demi kesejahteraan, insya-Allah, misi menawan DUN Sungai Limau bukan satu misi mustahil.

Apa yang penting ialah keazaman dan membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO adalah pasukan politik paling lengkap, berwibawa dan jauh berkemampuan berbanding Pas yang hanya bijak berceramah, menabur janji dan mengukir ilusi.


Kenapa Anwar dan Wan Azizah Jauhkan Diri Dari Sungai Limau?


Walaupun Kedah secara amnya masih berkabung atas pemergian Tan Sri Azizan Razak, tetapi bagi orang-orang PAS, waktu berkabung telah tamat.  Malah, kita tidak hairan jika orang-orang PAS tidak berkabung pun kerana sebahagian besar dari mereka sememangnya memusuhi Allahyarham. 

Sebelum arwah meninggal juga, terdapat di kalangan orang-orang PAS yang meraikan berita beliau jatuh sakit.  Apabila beliau tenat, mereka mempersendakan pula dan membuat tuduhan yang kejam semata-mata untuk melepaskan geram dan dendam kerana pendekatan arwah yang berbaik-baik dengan UMNO.  

Bagi yang mengenali beliau pasti sedia maklum bahawa rata-rata keluarga arwah termasuk di Sungai Limau sendiri merupakan penyokong UMNO.  Malah, dalam PRU yang lalu arwah ditentang oleh sepupunya sendiri dari UMNO.  Namun, hubungan UMNO-PAS di Kedah di bawah pentadbiran arwah adalah hubungan persaudaraan yang kukuh antara umat Islam.  Malangnya, sikap professional Tan Sri Azizan itu ditentang kuat oleh PAS yang menganggap beliau sebagai ‘pembelot’ kepada parti. 

Arwah terkenal dengan pendirian yang tegas dan sering bertentangan pendapat dengan kepimpinan PAS Pusat apalagi kepimpinan Pakatan Rakyat.  Siapa yang tidak tahu bahawa Tan Sri Azizan menolak Buku Jingga.  Beliau juga menolak Syiah dan sebarang bentuk ektremisme.  Beliau menentang budaya demonstrasi yang dibawa oleh BERSIH. 

Beliau tidak memberi muka kepada DAP dan cukup keras menentang sebarang pengaruh DAP atau Anwar Ibrahim di dalam PAS Kedah. 

Maka tidak hairanlah Anwar Ibrahim tidak kelihatan di mana-mana ketika PAS sedang sibuk berkempen di Sungai Limau.  Wan Azizah juga langsung tidak menjenguk muka.  Umum tahu bahawa keluarga Anwar tidak menghadiri atau menghantar wakil menziarah jenazah Tan Sri Azizan, jauh sekali hadir di majlis pengebumian.  Begitu juga pemimpin PR dari DAP, tiada siapa yang melawat keluarga arwah sehingga ke hari ini walaupun sekadar syarat untuk mengucap takziah. 

Sekiranya Tan Sri Azizan masih hidup, beliau pastinya tidak akan bersetuju dengan Anwar Ibrahim dalam isu Kalimah Allah.  Memandangkan isu ini sedang hangat kini, menghadiri kempen Sungai Limau bukanlah satu tindakan yang bijak bagi Anwar Ibrahim dan isteri.  Anwar sendiri nampaknya menyedari bahawa kehadirannya tidak akan disambut malah akan dianggap sebagai liabiliti bagi PAS Kedah. 

Anwar juga bimbang sekiranya apa yang berlaku di Besut berulang lagi.  Dalam PRK Besut, kehadiran Anwar tidak mendapat sambutan langsung.  Malah, mana-mana kuncunya di dalam PAS juga turut terkena tempiasnya.  Jelas, rata-rata akar umbi PAS menolak Anwar dan kumpulan Anwarinas. 

Namun, sedar atau tidak, kumpulan Anwarinas tetap menguasai PAS biarpun akar umbi PAS menolak mereka.   Justeru, sekiranya PAS menang lagi di Sungai Limau, ia akan dianggap sebagai penerimaan akar umbi PAS terhadap kepimpinan kumpulan Anwarinas ini.

Pengundi-pengundi Sungai Limau wajar mengambil maklum akan perkara ini agar dapat membuat pilihan yang tepat pada 4 November nanti. 

Fahamilah apa yang Tan Sri Azizan lalui dan perjuangkan ketika di dalam parti. Bayangkan cabaran yang dihadapinya dalam memastikan Kedah bersih dari sebarang agenda kafir harbi mahupun golongan penyokong LGBT.   

Ketidakhadiran Anwar di Sungai Limau bukan bermakna PAS bebas dari cengkamannya. Kini, Allahyarham telah tiada untuk membataskan pengaruh Anwar.  Percayalah, dengan meletakkan Azam Samat, iaitu proksi Mahfudz sebagai calon, akan membuka peluang bagi pengaruh Anwar bertapak di sini. 

Dengan mengambilkira hakikat ini, kini terpulanglah kepada pengundi Sungai Limau dalam menghayati dan mentafsirkan perjuangan Allahyarham Tan Sri Azizan dan menterjemahkannya di kertas undi. 


Wednesday, October 23, 2013

Nik Aziz Tak Restu Calon Pas?


Seperti ada yang tidak kena, suasana kempen pilihan raya kecil Sungai Limau tidak berjalan seperti kebiasaannya. Ini kerana sejak semalam, Pas telah mula menurunkan jentera kempennya dan memasang bendera dan poster di kawasan-kawasan yang dianggap strategik untuk menarik perhatian pengundi.

Namun sehingga ke pagi ini, tiada satu pun gambar mahupun poster Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat yang kelihatan di sepanjang kawasan Sungai Limau. Tidak seperti kempen pilihanraya sebelum ini, jentera Pas sentiasa menjadikan Nik Aziz sebagai umpan untuk memancing pengundi.

Contohnya poster yang paling popular, Nik Aziz Menangis yang sering dijaja bagi menagih simpati pengundi. Tidak cukup dengan itu, DAP yang terkenal dengan sikap anti-Islam dan chauvinist, turut menggunakan Nik Aziz sebagai model pilihan raya.

Inilah pendekatan pembangkang yang dinamakan ‘matlamat menghalalkan cara’. Pada mereka di dalam politik tidak ada istilah haram yang mutlak kerana jika haram sekalipun ia boleh dihalalkan dengan mengubah packaging(bungkusan), jenama atau label. Untuk lebih meyakinkan ditampal dengan label halal walaupun kandungannya haram.

Mereka yang menentang Islam pun boleh memakai sarung, kulit atau jersi parti Islam janji menang pilihan raya, apabila beroleh kuasa kelak golongan inilah yang akan meratah Islam sehingga ke tulang belulang.

Berbalik kepada isu tadi, yang paling menarik, ada pihak di dalam kem pembangkang mengatakan ini adalah merupakan satu konspirasi terancang antara Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob untuk menyingkirkan Nik Aziz.

Ini kerana mereka dikatakan mula tidak selesa dengan pendekatan Nik Aziz yang sering campur tangan dalam urusan parti dan kerajaan. Malah walaupun tidak lagi menjawat jawatan MB, Nik Aziz dikatakan masih cukup berkuasa berbanding Ahmad Yakob. Atas sebab itu, satu gerakan terpaksa dilakukan untuk mengubah keadaan tersebut.

Paling memeranjatkan Nik Aziz juga dikatakan tidak beberapa bersetuju dengan calon yang diturunkan untuk mewakili parti itu di dalam PRK kali ini. Ini kerana calon yang diketengahkan bukan dari kumpulan ulamak dan yang paling penting dia dikatakan turut menganuti fahaman sesat Syiah.

Sebagai tanda protes, Nik Aziz dikatakan enggan hadir di sepanjang tempoh berkempen ini sebagai salah cara untuk beliau menzahirkan rasa tidak puas atas kerakusan mereka mengejar kuasa.

Malah tindakan Pas Jerai untuk tidak menggunakan gambar poster Nik Aziz, juga dikatakan sebagai tindak balas atas sikap yang ditunjukkan oleh mantan MB Kelantan itu. Tidak cukup dengan itu, mereka juga dikatakan mula menyebarkan cerita, kononnya mantan MB Kelantan itu sedang berada dalam keadaan yang uzur dan nazak.

Mereka turut mengatakan Nik Aziz juga sudah mula ‘dipakaikan pampers’ bagi menunjukkan kononnya Nik Aziz sedang benar-benar uzur. Nampaknya gayanya, semakin hari politik Pas semakin kotor dan menjijikkan.

Tahniah kepada puak Endorgan Pas, ANDA SEMUA TELAH BERJAYA MENJADIKAN PAS SEBUAH PARTI YANG LIBERAL SEPERTI FAHAMAN KOMUNIS.


Pas Pendokong Kuat Amalan Pulau Memulau Di Sungai Limau


Takut kena ‘pulau’, itulah antara ungkapan keramat yang sering keluar dari mulut para pengundi di Sungai Limau apabila diminta mengulas mengenai calon yang diketengahkan oleh kedua-dua parti yang bakal bertanding esok.

Rata-rata di kalangan mereka gagal memberikan sebarang komen ketika diminta mengulas mengenai calon Pas, Azam Samad yang juga merupakan bekas guru. Ini kerana ramai di kalangan penduduk di Sungai Limau langsung tidak mengenali Azam walaupun Pas mendakwa calon parti itu adalah merupakan seorang yang dikenali dan dekat di hati masyarakat Sungai Limau.

Namun itu bukanlah satu perkara yang pelik, kerana Pas sebagai sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, sering kali dilihat cuba memperbodohkan para pengundi dengan pelbagai cerita ‘penglipur lara’ di setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

Berbanding Barisan Nasional (BN)/UMNO, yang meletakkan calon dari golongan profesional Dr. Ahmad Sohaimi Lazim seorang bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Yang peliknya rata-rata penduduk di kawasan Kampung Sungai Daun dan Kabu Sepuloh menegaskan mereka takut untuk memberikan sebarang komen berhubung calon dari BN/Umno.

Ini kerana menurut mereka, tindakan tersebut bakal menyebabkan mereka dipulaukan oleh para penyokong Pas di kawasan. Menurutnya, mungkin ada yang akan merasa pelik atau tidak mempercayainya, namun bagi penduduk kampung itulah realitinya yang berlaku.

Walaupun tidak selesa dengan pendekatan jumud dan fanatik penyokong Pas itu, namun menurut mereka hubungan kekeluargaan antara penduduk kampung telah menyebabkan perkara itu merosakkan hubungan dan keharmonian.

“Mereka bukan setakat memulaukan orang yang tidak sehaluan dengan mereka, tapi ada kalanya ia boleh menjadi semakin teruk.

“Ramai juga di kalangan ahli Pas yang tidak berpuas hati dengan keputusan dan pendirian pemimpin atasan, semuanya terpaksa memendam rasa. Kerana bukan setakat penyokong Umno akan dipulaukan, mereka yang tidak bersetuju dengan parti juga akan turut menerima nasib yang serupa” katanya yang meminta agar identitinya dirahsiakan.

Menurut beliau, isu pulau-memulaukan ini bermula semenjak Amanat Hadi Awangdimainkan.
Sebagaimana telah dikupas oleh C.N. Afghani dalam bukunya Kafirkah Aku, saya dan masyarakat Terengganu sendiri mengalami sejak tahun berkenaan bahawa pengikut Pas berpendapat penyokong UMNO atau BN adalah golongan kafir. Ia telah dinyatakan secara terbuka di pentas ceramah, poster dan kain pemidang di merata tempat ketika itu, terutama setiap kali pilihan raya umum.

Sebagaimana kita sedia ketahui, akibatnya berlakulah pulau memulau secara meluas dan terbuka, bersembahyang dua imam dalam satu masjid, dua masjid dalam satu mukim, pernikahan dan penyembelihan orang UMNO sebagai tidak sah, perceraian dan pergaduhan sesama keluarga.

Kemuncaknya ialah peristiwa Memali yang mengorbankan beberapa nyawa pada 19 November 1985. Betapa sedihnya kita kerana ia berlaku di depan mata, melibatkan rakan-rakan dan saudara-mara yang suatu masa dulu begitu akrab, harmoni dan saling berganding bahu apabila ada majlis dan keramaian.

Amanat Haji Hadi tiba-tiba menjadikan masyarakat sekeliling kucar-kacir, benci-membenci, berpecah-belah. Sedih dan kecewa melihat fenomena perpecahan ini tanpa cuba diperbetulkan oleh Hadi dan pemimpin Pas.


Pas Mahu Kalah Di Sungai Limau

Suka atau tidak ramai menjangkakan pilihanraya kecil DUN Sungai Limau bakal menyaksikan satu persaingan yang sengit di antara UMNO / Barisan Nasional dan Pas. Bagi pihak UMNO/BN, peluang ini sudah tentu merupakan satu peluang keemasan bagi merampas kerusi Sungai Limau bagi mengukuhkan kuasa politik di Kedah.

Manakala bagi Pas, ia adalah merupakan kerusi yang WAJIB di pertahankan kerana ia adalah maruah buat parti itu yang kebelakangan ini dilihat semakin hilang pengaruh di kalangan orang Melayu Islam.

Tambahan pula, Pas secara jelas mengatakan pendirian parti itu untuk membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Sedangkan isu tersebut dilihat penting kerana mereka sedar antara sebab utama Kristian mahu menggunakan kalimah Allah di dalam Bible ialah untuk mengelirukan masyarakat.

Dari satu sudut pula, ramai di kalangan pengikut Pas merasakan ia adalah merupakan antara peluang keemasan untuk ‘membunuh’ sekali gus menyingkirkan terus pengaruh politik Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Kedah.

Ini kerana rata-rata di kalangan mereka mengetahui pendirian Mat Sabu terhadap ajaran sesat Syiah. Malah ia juga adalah merupakan sebab utama pemimpin no 2 Pas itu kecundang di Pendang pada pilihan raya umum yang lalu.

Walaupun Mat Sabu berulang kali cuba menafikan, bahawa dirinya adalah bukan merupakan penganut agama sesat Syiah. Namun isu tersebut dilihat telah menyebabkan parti yang kononnya memperjuangkan Islam itu semakin ditolak oleh masyarakat Islam khususnya di Kedah yang berpegang kuat kepada fahaman Ahli Sunah Wal Jemaah.

Tambahan pula, ada di kalangan pemimpin dan ahli Pas sendiri yang pernah mendedahkan penglibatan secara langsung Mat Sabu dengan agama sesat Syiah.

Lebih mengejutkan, menurut sumber dalaman parti itu sudah ada desas-desus yang mengatakan Pas bakal kecundang di PRK Sungai Limau. Ini kerana menurut sumber tersebut, ada beberapa jentera di peringkat negeri yang telah memberikan pelbagai alasan untuk mengelak dan menyatakan hasrat untuk tidak terlibat bagi membantu jentera Pas Kedah dalam PRK kali ini

Antaranya Kelantan, Terengganu dan Pahang. Sebagai contohnya jentera Kelantan mengatakan mereka lebih berminat untuk mempromosikan Menteri Besar Kelantan yang baru, kerana dikatakan telah menjadi sasaran serangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tambahan pula, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah dikatakan bakal menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan tertinggi Pas dalam pemilihan parti itu yang kini disandang oleh Mat Sabu.

Jentera Terengganu pula dikatakan sangat membenci Mat Sabu kerana sering dikaitkan dengan Syiah. Manakala jentera Pahang dikatakan enggan memberikan sokongan kerana tidak mahu melihat Mat Sabu terus mendominasi Pas sekali gus membawa parti itu ke arah kehancuran.

Mereka dikatakan lebih berhasrat untuk mengangkat Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat lebih layak digandingkan dengan Presiden Pas bagi memimpin parti itu ke landasan Islam yang sebenarnya.

Pada pemilihan parti yang lalu, Mat Sabu berjaya merampas jawatan Timbalan Presiden apabila undi golongan ulama berpecah selepas persaingan turut menyaksikan 'pertembungan' dua ulama iaitu Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kesimpulannya PRK Sungai Limau ini adalah merupakan medan yang terbaik untuk menyingkirkan Mat Sabu dari saf kepimpinan parti. Atau dalam bahasa mudah, calon Pas, Sungai Limau terpaksa di korbankan bagi ‘menguburkan’ karier politik pengikut SYIAH TEGAR.