Thursday, September 4, 2014

AKTA HASUTAN 1948 DIWUJUDKAN OLEH MEREKA YANG FAHAM KELEMAHAN DEMOKRASI

Oleh : AJ

Wujud satu gerakan baru di Malaysia yang mahu menghapuskan akta hasutan 1948 dari undang-undang Malaysia.

Mungkin mereka yang mahu menghapuskan akta ini tidak terfikir bahawa akta ini diwujudkan oleh mereka yang lebih memahami mengenai demokrasi.

Tidak lain dan tidak bukan adalah British. Tidakkah mereka ketahui bahawasanya Britishlah yang memutuskan agar perjalanan politik dan pemerintahan Tanah Melayu ditentukan melalui jalan demokrasi. Melalui sistem pilihanraya. Dan bukannya lagi bersandarkan kepada konsep raja berkuasa mutlak sepertimana yang terpakai di Brunei.

Namun British mengetahui bahawa, memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada rakyat Tanah Melayu atas nama demokrasi bakal membawa musibah yang lebih buruk kepada keselamatan dan keamanan di Tanah Melayu. Lebih-lebih lagi Tanah Melayu sendiri sudah mempunyai satu komuniti rakyat yang terdiri dari berbilang bangsa yang masing-masing terpisah dari aspek agama, kebudayaan dan cara hidup.

Ancaman komunis juga dikatakan sebagai punca Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan diwujudkan. Namun adakah disebabkan ancaman komunis menyebabkan British mewujudkan akta seperti ini?

British merupakan pihak penjajah yang amat memahami sosiobudaya negara dan psikologi bangsa yang dijajahnya. Oleh kerana itulah kita melihat, British berjaya menakluk Tanah Melayu bukan dari jalan peperangan, sebaliknya melalui jalan diplomasi. Memang wujud beberapa siri peperangan, namun ianya hanyalah peperangan 'kecil-kecilan' yang tidak berskala besar.

Kembali kepada Akta Hasutan. Ketika wujud gerakan pengganas Komunis di Tanah Melayu, sememangnya wujud jurang yang besar diantara orang Melayu dan orang Cina. Kebanyakkan Orang Cina di Tanah Melayu pro-komunis kerana pengaruh dari negara asal mereka. Sepertimana yang kita ketahui China merupakan sebuah negara komunis terbesar di dunia. Dan sehingga hari ini, negara tembok besar itu terus menggunakan sistem yang sama dalam mentadbir negara berkenaan.  

Orang Melayu pula tidak tertarik dengan komunis. Jika ada pun, ianya boleh dikira dengan jari. Salah satu punca mengapa orang Melayu tidak tertarik dengan Komunis adalah latar belakang politik mereka yang masih taat kepada Sultan. Dan ketika itu, kesemua Sultan-Sultan Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan British.

Dan British juga tahu, memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan memberikan demokrasi terbuka bukanlah jalan terbaik untuk mengekalkan keamanan di Tanah Melayu. Setiap bangsa di Tanah Melayu mempunyai pemikiran radikal yang amat berbahaya kepada sebuah negara yang baru Merdeka.

Parti Komunis Malaya pada asalnya bukanlah sebuah parti yang diharamkan di Tanah Melayu. Ianya adalah sebuah parti yang sah seperti parti-parti atau pertubuhan yang ada sebelum merdeka. Namun disebabkan propaganda komunis yang dilihat amat mengancam ketenteraman dan keselamatan masyarakat awam, maka parti tersebut diharamkan.

Jadi 'key factor' mengapa British, sebuah negara yang mengamalkan demokrasi mewujudkan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri hanyalah bertujuan mengekalkan keamanan di negara jajahannya - Tanah Melayu. Jadi, jika British yang 'dah lama' mengamalkan demokrasi pun masih mewujudkan undang-undang bersifat 'mencegah', kenapa kita yang baru nak 'mengenal' erti demokrasi ini terburu-buru nak menghapuskannya?

Memang benar, negara kita sekarang boleh dikatakan sudah bebas dari pengaruh komunis, namun jangan dilupakan, komunis bukannya banggunan atau orang perseorangan. Komunis adalah ideologi. Ideologi tidak memerlukan banggunan, warna-warna tertentu untuk mempotretkan watak mereka. Dan Ideologi tidak akan mati. Pastinya 'komunis lampau' mempelajari kesilapan mereka. Maka untuk misi yang akan datang, mereka tidak lagi menggunakan nama dan panggilan komunis. Sebaliknya cukup menamakan diri mereka dengan nama-nama yang berhampiran dengan 'demokrasi' agar kecenderungan mereka tidak terlalu kelihatan kepada komunisme. Namun dalam masa yang sama mereka terus membiarkan sayap pemuda mereka mengangkat nama 'sosialis' sebagai 'tanda' bahawa mereka masih terus mempertahankan agenda komunis 'demokrasi' mereka.

Pada akhirnya, negara memerlukan satu undang-undang yang bersifat mencegah dari sesuatu kejadian buruk dari berlaku. Bak kata pepatah orang Melayu, 'Mencegah dari mengubati.' Sudahlah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan gara-gara terikut-ikut rentak pembangkang, yang mana telah memberikan 'pisau' kepada kelompok manusia tak sedar diri bercakap dan memaki tanpa sebarang batasan. Kini kita berikan lagi 'pisau' kepada puak-puak yang sememangnya tak tahu bersyukur.

Semoga Pak-Pak Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen berfikir semula secara terperinci kepentingan akta hasutan dalam menjamin keamanan dan keselamatan negara Malaysia yang tercinta ini.

Kekalkan Akta Hasutan.
Kembalikan I.S.A


sumber dari pena minang

Wednesday, May 21, 2014

Pendakwah Terkemuka Dunia Tegur Rakyat Malaysia Yang Tidak Tahu Bersyukur

Pendakwah terkemuka dunia tegur rakyat Malaysia yang tidak tahu bersyukur

Shaykh Waleed Abdulhakeem menegur rakyat Malaysia yang tidak tahu bersyukur. Di dalam komen beliau di laman sosial, beliau menegur seorang rakyat Malaysia yang secara terang menyatakan beliau membenci kerajaan Malaysia.

Shaykh Waleed turut menyatakan dari sumber United Nation (UN), tiada kerajaan di dalam dunia ini yang sempurna. Jika dibandingkan negara di Amerika Selatan, Afrika, Asia Tengah, TImur Tengah atau Timur Eropah, Malaysia adalah jauh lebih makmur dan telah banyak sumbangan kerajaan kepada negara jika dilihat dari tahun 1981 sehingga sekarang. Menariknya, jumlah negara yang Shaykh Waleed senaraikan tadi sudah melebihi 80% negara di dalam dunia.

Shaykh Waleed Abdulhakeem mendokan Malaysia semoga dirahmati Allah dan diberikan ganjaran diatas usaha pemerintah memakmurkan negara ini. Shaykh juga turut mendoakan keampunan di atas segala kekurangan pemimpin dan negara kita.



Siapakah Shaykh Waleed Abdulhakeem?

Shaykh Waleed mempunyai 2 B.A dalam mata bidang Matematik, Penyelidikan Statistik, dengan minor dalam Sains Seni Bina, Masters degree di dalam Personal Development Training, juga pelatih dan pengajar Microsoft yang bertauliah. Beliau juga mempelajari Sains Islam dari banyak institusi termasuk Universiti Raja Saud, Al-Forqaan Akademi, dan Almajd Akademi Islam. Dia sedang belajar Ijazah Sarjana & Doktor Falsafah dalam Pengajian Islam dari Al-Madinah International University, dengan pengkhususan dalam Fiqh hadith.

Selain itu beliau sangat kaya dengan pengalaman merantau di negara orang dan negara sendiri di mana beliau mampu membezakan kelebihan dan kekurangan di setiap negara tersebut. Telah direkodkan bahawa beliau sekurang-kurangnya beliau telah merantau ke 100 bandar raya di semua 5 benua.

Shaykh Waleed juga turut menyatakan di dalam komennya di laman sosial bahawa sehingga kini beliau telah merantau ke 71 negara dan 33 negeri di Amerika Syarikat dan jika beliau perlu memiliah, beliau tidak akan memilih negara selain Malaysia. MasyaAllah.

Betapa untungnya rakyat Malaysia dipuji sebegini rupa. Bersyukurlah.

Friday, April 25, 2014

@NajibRazak Nafi Kerajaan Tolak #Hudud

Kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang ditetapkan oleh Allah tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan, kata Datuk Seri Najib Razak (gambar).

Perdana menteri berkata banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud ini dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.

"Terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang pelbagai.

"Sebab itulah kita memerlukan ulama dalam kalangan mujtahid untuk memperhalusi dan melakukan ijtihad baharu dalam menentukan pelaksanaan hukum hudud supaya keadilan yang menjadi matlamat mampu ditegakkan," katanya ketika merasmikan majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di Alor Setar hari ini.

Katanya kerajaan menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah Islam yang sejati.

http://www.sebastianphiu.com/2014/04/najibrazak-nafi-kerajaan-tolak-hudud.html

Monday, April 21, 2014

Soalan: Anwar Ibrahim datang ziarah orang kafir mati tapi tak datang Orang Islam

Soalan:

Anwar Ibrahim datang ziarah orang kafir mati tapi tak datang sahabat Islamnya yang mati seperti arwah Ustaz Azizan dan arwah Ustaz Harun Taib?

Jawab:

Sesama muslim kita mempunyai hak antara satu sama lain. Terdapat beberapa hadith yang membicarakan berkenaan hak sesama muslim. Ada yang menyatakan 5 hak Ada juga membicarakan 6 hak yang boleh dituntut dan wajib diberi oleh semua umat Islam yang terdapat di dalam hadith sahih di antaranya adalah apa yang disebutkan dalam sebuah hadits shahih bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi wa sallam bersabda:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ إِذَا لَقِيْتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْهُ وَإِذَا عَطِسَ فَحَمِدَ اللهَ فَشَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

"Hak seorang muslim atas muslim lainnya ada enam: Jika engkau bertemu dengannya maka ucapkan salam, dan jika dia mengundangmu maka datangilah, jika dia minta nasihat kepadamu berilah nasihat, jika dia bersin dan mengucapkan hamdalah maka balaslah (dengan doa: Yarhamukallah), jika dia sakit maka kunjungilah dan jika dia meninggal maka antarkanlah (ke kuburan) (Riwayat Muslim)

1. Bagi salam bila bertemu
2. Penuhi jemputan
3. Apabila diminta nasihat, berilah nasihat
4. Apabila bersin, doakanlah dia
5. Apabila sakit, ziarahilah dia
6. Apabila mati, iringilah jenazahnya


Thursday, April 17, 2014

Prima: Kuota Bumiputera 30%, Serius atau Jenaka?

Seperti yang kita sedia maklum, bumiputera mewakili 65% dari rakyat negara ini. Justeru, bumiputera merupakan kumpulan pengguna tertinggi dan menjadi tonggak kepada kitaran ekonomi dalam negara. Bagi memastikan kitaran ini tidak terputus atau terjejas, maka hak-hak bumiputera perlu dipelihara selagi jurang ekonomi antara kaum kekal ketara. 


Sekiranya hak-hak bumiputera dihapuskan, adalah dikhuatiri mereka tidak lagi mampu menjadi ‘daya beli’ tertinggi lalu akhirnya menjejaskan kitaran ekonomi. 



Andainya bumiputera dibiarkan terus ketinggalan dari segi ekonomi, ia akan menyumbang kepada masalah sosial yang teruk termasuk masalah jenayah yang tinggi, sekali gus membantutkan usaha untuk membina negara. 
Oleh itu, suka atau tidak, kita harus mengakui bahawa Hak Istimewa Bumiputeralah yang telah memungkinkan Malaysia berdiri teguh dan mencapai tahap yang dicapai pada hari ini. 



Selama ini, perjuangan memelihara hak bumiputera dijuarai oleh UMNO, terutamanya Pemuda UMNO - dengan bersandarkan semangat kebangsaan serta pemahaman mengenai kitaran ekonomi dalam negara. 



Walaubagaimanapun, kita semakin musykil dengan hala tuju Pemuda UMNO hari ini apabila Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dikhabarkan telah menghantar memorandum kepada Prima untuk meminta kuota khas 30% kepada orang muda bumiputera. 



Inilah ditekankan bahawa kadar 30% yang dipinta bukanlah satu perjuangan, malah satu bentuk penindasan.
Dalam keadaan di mana kaum lain menuntut 1000% dari hak bumiputera, Pemuda UMNO W.P pula ingin menuntut hanya 30% sahaja. Bagaimana kita dapat menjustifikasi tuntutan ini sedangkan ratio bumiputera adalah pada kadar 65%? Bukankah sekurang-kurangnya kita perlu menuntut sehingga 70% kalau pun tidak 100%? 
Dengan meletakkan kuota 30% untuk bumiputera, maka kita sebenarnya telah memberikan 70% kepada bukan bumiputera. Sedangkan, sasaran Prima adalah rakyat yang kurang berkemampuan yang mana rata-ratanya adalah dari kalangan bumiputera. 



Amatlah malang apabila pagar yang diharap untuk menjaga padi juga telah reput dan hampir runtuh menyembah bumi. Pemuda UMNO bukan sahaja tidak lagi mampu mempertahankan hak bumiputera tetapi dengan sengaja menafikan hak sendiri sambil memberikan sisa yang ada kepada orang lain. 



Pemuda UMNO perlu ingat bahawa bumiputera sedang berhadapan dengan ketamakan kaum lain yang enggan bertolak ansur atau berkongsi kek ekonomi dengan kita. Barangan bumiputera telah diboikot mereka sejak azali. Perniagaan bumiputera disabotaj dengan menggunakan kuasa ekonomi yang ada pada mereka. Kisah bumiputera didiskriminasi di sektor swasta pula bukanlah perkara baru atau asing lagi, malah telah menjadi hakikat kehidupan di Malaysia. 



Pemuda UMNO harus belajar memahami bahawa bumiputera bukan hanya mewakili pekerja kerajaan atau politik semata-mata. Sejak Malaysia melalui era industri lagi, ramai bumiputera telah mewakili golongan professional atau pertengahan di dalam sektor swasta. 



Dan tahukah Pemuda UMNO bahawa telah menjadi kebiasaan di dalam sektor swasta, pendapatan bumiputera dan bukan bumiputera adalah berbeza biarpun pangkatnya sama? 



Oleh itu, mengikut pendapat Pemuda UMNO, bagaimanakah agaknya akan dapat diimbangi isu diskriminasi di sektor swasta dengan tuntutan kuota Prima yang hanya 30% kepada bumiputera? Apakah ini satu sindiran, ejekan, penghinaan atau sekadar kebodohan? 



Jelas, Pemuda UMNO pada hari ini tidak lagi membawa watak anak jantan, atau pejuang sejati. Mereka juga tidak bijak memahami fakta dan angka, mahupun persepsi dan emosi. Pergaulan Pemuda UMNO yang terhad di kalangan orang-orang politik dan kerajaan telah mengakibatkan mereka tidak lagi berpijak di bumi nyata. 



Persaingan antara kaum dalam dunia pekerjaan yang sebenar adalah sesuatu yang amat asing bagi mereka. 
Jika Pemuda UMNO terus berada di awang-awangan, maka lambat laun kaum bumiputera akan melihat UMNO sebagai tidak lagi relevan kepada mereka. Seharusnya, dalam keadaan di mana pembangkang memilih untuk mengabaikan bumiputera, UMNO wajib bingkas bangkit menjadi penyelamat bangsa. 



Malang sekali ini tidak berlaku. Pemuda UMNO hanya bersimpuh tersipu-sipu bagai anak dara dirisik tauke Cina, sedang kita mengharapkan mereka menjadi wira. 



Entah apalah nasib bumiputera jika negara berada di tangan mereka.

Monday, March 31, 2014

Apa Motif Musa Hitam Menipu?

Walaupun Tun Musa Hitam telah lama ‘meninggalkan’ politik Malaysia, namun nama beliau terus tenggelam timbul mengikut keadaan.   Apa yang menarik, setiap kali Tun Musa Hitam ‘timbul’, ia hanyalah untuk menghentam Tun Mahathir Mohamad. 

Mungkin ramai yang tidak tahu kisah keserasian dan kemudiannya perbalahan Tun Mahathir-Tun Musa.  Namun,  melihat dari apa yang berlaku, kita pasti semua orang tahu kini bahawa adalah Tun Musa adalah seorang yang sangat pendendam. 

Dendam Tun Musa terhadap Tun Mahathir nampaknya tidak pernah padam walaupun yang sepatutnya berdendam ialah Tun Mahathir kerana Tun Musa yang mengatur berbagai langkah untuk menjatuhkan beliau dan bukannya sebaliknya.   Walaubagaimanapun, sejarah telah membuktikan bahawa Tun Mahathir sentiasa memaafkan semua mereka yang pernah menikamnya dari belakang dan mereka yang gagal menikamnya pula yang masih tidak dapat menerima kegagalan masing-masing. 

Kali ini, Tun Musa timbul lagi, di atas pentas pembangkang.   Seperti biasa, beliau timbul dengan membawa cerita buruk mengenai Tun Mahathir.   Di atas pentas, PAS, Tun Musa cuba menolak tanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam Peristiwa Memali yang mana pada ketika itu, beliau merupakan Menteri Dalam Negeri merangkap pemangku Perdana Menteri kerana Perdana Menteri, Tun Mahathir, berada dalam lawatan ke China. 


Benarlah kata orang bahawa dendam kesumat mampu membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan.  Nampaknya, itulah yang berlaku kepada Tun Musa apabila beliau menipu kononnya Tun Mahathir berada di dalam negara dan bukannya di China ketika peristiwa berdarah tersebut berlaku.   Walhal, kunjungan Tun Mahathir ke China telah terakam dalam hampir semua akhbar-akhbar di Malaysia dan juga China, malah Singapura juga, lengkap dengan gambar dan teks ucapan beliau dalam program-program di sana. 

Seperti dijangka, pembangkang begitu pantas mensensasikan pembohongan Tun Musa dan mengambilnya sebagai fakta tanpa berfikir panjang ataupun menyelidik kesahihannya.   Dan seperti dijangka juga, apabila media mendedahkan kebenaran siap dengan berbagai-bagai bukti, pembangkang mengambil sikap pura-pura tidak mendengarnya pula. 

Antara bukti yang paling menarik ialah kenyataan Lim Kit Siang sendiri pada 19 November 1985 dalam sebuah makan malam sempena penyertaan Tan Sri Lee Lam Thye, yang pada ketika itu adalah Timbalan Setiausaha Agung DAP, sebagai delegasi ke China bersama dengan Perdana Menteri.  Ucapan Lim Kit Siang berbunyi, Esok Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, akan menerajui 250 delegasi ke China, iaitu Perdana Menteri ketiga yang melawat China sejak hubungan diplomatik antara kedua negara dijalinkan 11 tahun lalu.”

Artikel dari Singapore Straits Times pada 20 November 1985 pula merekodkanMahathir berjumpa Zhao Hari Ini sekali gus membuktikan Tun Mahathir meneruskan lawatan ke China seperti yang dirancang.   

Pada 24 November 1985, akhbar yang sama memetik artikel dari Reuters/AFP bertajukSaya Menerima Pendirian China Mengenai CPM:  Mahathir yang mana menyebutDr. Mahathir yang tiba pada Rabu lepas (di Beijing pada 20 November 1985) untuk lawatan 8 hari dengan delegasi yang termasuk 130 usahawan dan 20 diplomat, telah meninggalkan Beijing hari ini untuk lawatan seterusnya ke Xian, Canton, Hanzhou dan Shanghai.  Beliau dijadualkan kembali ke Malaysia pada hari Jumaaat’.

Lebih menarik lagi, dalam akhbar yang sama dan di muka surat yang sama, tertulis satu lagi artikel bertajuk Insiden Baling:  Undang-undang Adalah Yang Tertinggi, Kata Musa.” iaitu merujuk kepada peristiwa berdarah Memali yang berlaku ketika Tun Mahathir ke luar negara dan Tun Musa memangku jawatan Perdana Menteri. 

Terdapat banyak lagi bukti-bukti lain bagi mengesahkan yang Tun Musa telah berbohong mengenai Tun Mahathir berada dalam negara pada ketika peristiwa Memali berlaku.  

Justeru, kita hairan kenapa Tun Musa perlu berbohong dan kenapa beliau tidak mampu memikirkan bahawa pembohongan sebesar ini tentu sekali mudah untuk didedahkan. 

Mungkinkah beliau sebenarnya dihantui rasa bersalah, dan cuba memindahkan perasaan bersalah itu kepada orang lain?  Mungkinkah dengan memindahkan kesalahan ke bahu Tun Mahathir, maka beliau berharap bukan sahaja dapat melepaskan diri dari kesalahan tetapi juga dapat membalas dendam sekali gus?

Perasaan bersalah Tun Musa mungkin dapat dijelaskan melalui ucapan Tan Sri Sanusi Junid dalam sebuah majlis anjuran bersama Universiti Malaya Perlis (UNIMAP) dan Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8 Mac, 2011 yang antara lain menyebut mengenai peristiwa Memali seperti berikut: 

“Setahun kemudian pada tahun 1985, dalam mesyuarat kabinet sebelum Tun Dr. Mahathir berangkat ke negeri China, saya telah diminta menghubungi kenalan saya Ibrahim Libya yang dikehendaki menyerah secara aman kepada pihak polis. Saya telah menyampaikan hasrat saya untuk berjumpa Ibrahim tetapi, sepeninggalan Tun Dr. Mahathir ke China, dan belum sempat saya berjumpa Ibrahim, beliau telah terbunuh dalam peristiwa Memali. Pada waktu itu Tun Musa menjadi Menteri Dalam Negeri dan memangku jawatan Perdana Menteri.

Kenyataan Tan Sri Sanusi adalah konsisten dengan berpuluh atau beratus lagi rekod sejarah dan memori para pemimpin UMNO pada ketika itu, mengenai Memali.  Entah kenapa Tun Musa perlu berbohong mengenainya…

Mungkin, Tun Musa tidak mampu lagi menahan dendam lalu mencipta pembohongan ini secara spontan dan tidak berfikir panjang.   Jika ini benar, kita ingin nasihatkan beliau agar melupakan dendam dan menghabiskan sisa-sisa hidup dengan tenang. 

Sudah takdirnya beliau tidak mampu menandingi Tun Mahathir dalam politik, maka terimalah takdir itu.  Tidak perlu ditanya kenapa, kerana jawapannya cukup jelas iaitu Tun Mahathir adalah jauh lebih layak dan berhak darinya. 

Tun Mahathir mempunyai pendirian dan pandangan yang tetap serta tidak mudah terbawa-bawa dengan emosi.  Beliau tidak pernah berdendam dan tidak pula iri hati.   Sepanjang pemerintahannya, beliau fokus kepada memberi khidmat terbaik kepada negara dan berjuang hanya untuk keadilan sejagat.  Beliau tidak meletakkan diri beliau sebagai ‘subjek’ utama dan sekali-kali tidak perlu berbohong untuk mencapai matlamatnya. 

Hakikatnya, rakyat cukup kenal dengan Tun Mahathir dan apa jua cerita buruk mengenai Tun Mahathir tetap tidak akan mampu memadamkan begitu banyak kebaikan yang beliau bawa kepada negara dan juga dunia, terutama dunia Islam. 

Sebaiknya, Tun Musa lupakanlah segala dendam, takut-takut nanti ‘pergi’ dalam keadaan mata tak dapat dipejam.  


Nik Aziz Mengaku Bukan Maksum



Sesuatu yang amat jarang dilihat di kalangan pemimpin Melayu ialah ‘meminta maaf’.  Hampir dalam semua keadaan para pemimpin politik Melayu cukup sukar melafazkan maaf biarpun kesalahan tersebut begitu jelas dan sudah pun diketahui umum. 

Sekiranya kesalahan mereka terdedah lalu kalah bertanding atau dikenakan tindakan, kebanyakan mereka mengambil sikap memberontak serta berdendam ke atas pihak yang mendedahkannya atau yang telah mengalahkan mereka.  Sama sekali mereka tidak merasa bersalah, jauh sekali mengaku salah dan selamanya tidak akan mengalah.  Sebolehnya, mereka akan menafikan kesalahan biarpun ia bermakna menghancurkan segala-galanya. 

Antara pemimpin Melayu yang biasa kita dengar mengaku salah ialah Tun Mahathir yang pernah meminta maaf kerana gagal mengubah pemikiran orang-orang Melayu.   Dan pada hujung minggu lalu, seorang lagi pemimpin Melayu iaitu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, telah meminta maaf kepada rakyat atas segala kesalahan atau kegagalannya selama menjadi Menteri Besar Kelantan.

Nik Aziz telah menitiskan air mata ketika memohon maaf dalam kuliah subuh di Masjid Pulau Melaka bersebelahan rumahnya.   Dalam permohonan maafnya, beliau mengandaikan segala penyakit yang ditanggungnya kini adalah kifaarat dosa selama memerintah Kelantan. 

Kita pasti, rakyat Kelantan yang selamanya mengagungkan Nik Aziz sedia memaafkan segala kesalahan pemimpin mereka itu. 

Namun, dalam masa yang sama, tidak mustahil mereka juga merasa musykil akan apakah kesalahan Nik Aziz terhadap mereka.  Ini kerana, selama ini Nik Aziz dianggap mereka sebagai maksum, bertaraf wali keramat dan tidak boleh dikritik. 

Bagi Nik Aziz untuk menitiskan air mata meminta maaf, menunjukkan betapa beliau benar-benar insaf dan sedar akan kesalahannya.  Nik Aziz pasti tahu fatwa apa yang pernah dikeluarkannya bertentangan dari ajaran Islam.  Nik Aziz juga tahu apa yang telah dilakukannya sehingga menyebabkan tanah negeri Kelantan tergadai kepada pemimpin DAP.  Nik Aziz juga tahu apa yang telah tidak dilakukannya sehinggakan rakyat Kelantan tidak mampu mendapat bekalan air yang efisien dan bersih biarpun beliau telah memerintah sehingga lebih dua dekad. 

Begitu juga maksiat dan keruntuhan moral di kalangan rakyat Kelantan yang mencatatkan statistik tertinggi tetapi di masa yang sama sering menyalahkan kerajaan BN atas masalah sosial dalam negara.  Selain itu, Kelantan juga mencatatkan kemiskinan tertinggi serta tidak mampu menjana kewangan sendiri sehingga memerlukan bantuan dari kerajaan pusat saban tahun, tetapi di masa yang sama pemimpin negeri itu terus menghentam dan mencela kerajaan pusat sebagai zalim. 

Dalam keadaan kufur, pemimpin Kelantan tega merujuk kepada negeri itu sebagai Serambi Mekah, sekali gus memburukkan nama Islam dan tanah suci umat Islam itu.  Selama itu juga, fitnah dan hamun terhadap BN serta riak dan takbur atas ‘keIslaman’ sendiri menjadi cara hidup pengikut-pengikut Nik Aziz. 

Akibatnya, perpecahan ummah semakin hari semakin kronik.  Nik Aziz bukan sahaja berdegil enggan menyambut salam perpaduan UMNO, malah menolaknya pula dengan fitnah kononnya UMNO tidak ikhlas dan UMNO tidak Islam. 

Walaubagaimanapun, segala apa yang berlaku ini kini dengan sendirinya terhapus dek air mata keinsafan Nik Aziz.   Maka pada hari ini, penyokong-penyokong Nik Aziz dan juga penganut PAS wajib menerima hakikat bahawa Tok Guru yang mereka puja selama ini, bukan maksum. 

Bukalah mata dan terimalah hakikat bahawa pemerintahan PAS atau pemerintahan Tok Guru itu bukan sahaja tidak lekang dari melakukkan kesilapan, malah jauh lebih buruk dan teruk lagi dari pemerintahan mereka yang tidak bergelar Ulama. 

Sedarlah bahawa agama bukan untuk dipolitikkan untuk merebut kuasa memerintah negeri tetapi untuk diamalkan di dalam hati sanubari.  Agama bukan untuk dipertontonkan atau dipamerkan di pakaian dan slogan tetapi sebagai pakaian akhlak bagi ‘mencantikkan’ diri sendiri.  

Negeri atau negara perlu ditadbir dengan pengetahuan yang luas, bukan sekadar pengetahuan hukum hakam nikah kahwin semata-mata.  AlQuran itu adalah panduan hidup, bukan untuk dipetik dan dilagukan bagi memenuhi pendapat kita. 

AlQuran menyuruh manusia menimba ilmu melalui alam semesta bukan dengan duduk dan membacanya siang malam.  AlQuran mewajibkan manusia menggunakan akal iaitu anugerah tertinggi terhadap makhlukNya, dan bukannya mengikut cakap Tok Guru secara membabi-buta. 

Jika Nik Aziz pernah meletakkan dirinya ke tahap Ulama politik yang menjadi Bapa Perpecahan Ummah, namun permohonan maafnya secara terbuka ini telah dengan sendirinya melonjakkan kedudukan beliau ke kedudukan Ulama tersohor yang sebelum ini tidak layak diterimanya. 

Akhirnya, di usia senja di saat di mana tubuhnya telah tidak lagi berdaya, Nik Aziz telah mengajar penyokongnya ilmu yang paling hebat, iaitu ‘merendah diri’.  Sesungguhnya, merendah diri dan memohon maaf adalah terlalu amat sukar kecuali bagi orang-orang yang kuat. 

Kita doakan Nik Aziz panjang umur dan sihat sejahtera agar dapat membawa penyokongnya kembali berpijak di bumi nyata, bersatu padu tanpa mengira fahaman politik, demi agama, bangsa dan negara.


Friday, March 28, 2014

#MH370: Pembangkang Sembunyikan Maklumat?

Seperti yang kita tahu, terdapat 26 negara semuanya yang terlibat dalam pencarian MH370.   Biarpun Malaysia yang ‘menerajui’ misi pencarian namun setiap tindakan yang diambil pula berdasarkan nasihat dan pandangan pakar antarabangsa, terutamanya Amerika, Britain, Perancis dan Australia.    Ini kerana Malaysia tidak punya kepakaran, jauh sekali pengalaman atau aset yang diperlukan untuk misi sehebat ini.   

Dengan hakikat ini, tentulah mustahil bagi Malaysia untuk menyembunyikan apa-apa maklumat. 

Dalam sejarah kemalangan udara, tidak pernah kita lihat bagaimana maklumat teknikal dibentangkan kepada umum secara terperinci sepertimana yang berlaku dalam MH370. Selalunya, hanya maklumat yang perlu diketahui awam sahaja yang akan didedahkan. Maklumat teknikal lain dikira sebagai tidak sesuai kerana melangkaui pemahaman orang ramai, kecuali yang berlatarbelakangkan bidang yang berkenaan. 

Kerajaan Malaysia, bagaimanapun, mengambil langkah berkongsi setiap maklumat ini termasuk cara-cara penemuan disahkan oleh pihak penyiasat antarabangsa.  Rajah-rajah teknikal disertakan di dalam media bagi memudahkan pemahaman orang ramai.  Malah, sebelum ini juga kebolehan aset yang digunakan untuk misi pencarian turut dikongsi bersama dengan seluruh dunia. 

Walaubagaimanapun, segala ketelusan kerajaan ini tidak dihargai oleh sesetengah pihak. Mereka masih lagi menuduh kerajaan menyembunyikan maklumat.   Apabila dijelaskan bahawa tiada apa yang disembunyikan dan kesukaran yang dihadapi dalam kes kehilangan MH370, mereka tetap juga bertegas bahawa kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat.

Kedegilan mereka untuk mempercayai bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat mula membuatkan kita musykil akan kemungkinan mereka sebenarnya mengetahui sesuatu dan mengharapkan kerajaan mendedahkannya.   

Namun, logiknya, kerajaan tidak akan mampu menyembunyikan apa-apa dengan 26 negara bekerjasama dan kepakaran pula bukanlah dimiliki oleh Malaysia. 

Tanpa mencerna fakta ini, laungan ‘kerajaan menyembunyikan maklumat’ terus membingitkan telinga kita.  Yakin benar mereka bahawa ada sesuatu yang tidak didedahkan. 

Persoalannya, bagaimana mereka begitu yakin bahawa ada sesuatu yang belum didedahkan jika mereka tidak mengetahui apakah ‘sesuatu’ itu?  Bagaimana kita boleh menuduh orang berahsia jika beliau merahsiakannya? 

Kecualilah kita sememangnya telah tahu rahsia itu barulah kita boleh menuduh dengan yakin bahawa orang itu telah sengaja merahsiakan pengetahuannya dari kita, bukan begitu? 

Justeru, hari ini penulis yakin bahawa mereka yang menuduh kerajaan menyembunyikan sesuatu ini sebenarnya mempunyai maklumat yang lebih lagi dari para penyiasat, tetapi telah sengaja menyembunyikan sekadar untuk menekan kerajaan.

Kerajaan tidak harus berdiam diri dengan membiarkan mereka terus menuduh, memfitnah dan memberi tekanan.  Sebaliknya, kerajaan wajar mengambil tindakan, memaksa mereka mendedahkan apa sebenarnya yang mereka tahu yang kerajaan sendiri tidak tahu.   

Tanyakan kepada mereka, kenapa mereka begitu yakin adanya rahsia, sedangkan kerajaan tidak merahsiakan apa-apa?  

Jika mereka enggan mendedahkan apakah rahsia itu, dakwa saja mereka kerana memfitnah, menghasut atau menghalang siasatan dengan enggan mendedahkan maklumat kepada kerajaan. 



#MH370: Agenda Media Barat Dalam Menjatuhkan Imej Malaysia Di Mata Dunia.

Media barat yang berprestij seperti CNN, Al-Jazeerah, Fox News dan sebagainya selalu dikaitkan dengan laporan berintegriti dan benar. Mereka dijadikan rujukan bagi para pengkaji dan dianggap sebagai salah satu sumber maklumat yang penting kepada warga dunia.

Namun begitu, setelah dikaji dan diteliti semula, kebanyakkan maklumat yang dikeluarkan media barat tidak lah setepat yang kita sangka. Malah, ada diantara yang mereka keluarkan langsung tidak tepat dan di reka cipta atas agenda tertentu.

                Tragedi MH370 merupakan salah satu insiden di mana media barat telah memainkan peranan untuk mensabotaj dan memalukan Malaysia. Walaupun dengan nama segah CNN, mereka sering menayangkan perkara-perkara yang negatif yang tidak tepat untuk tatapan seluruh dunia. Apa yang boleh dikatakan ialah, media barat seolah-olah mempunyai agenda tertentu agar pihak berkuasa di Malaysia nampak seperti tidak cekap dan gagal mengawal keadaan.

Contoh penipuan paling besar adalah siri wawancara yang disiarkan oleh Fox News yang sering mengetengahkan kononya tragedi MH370 itu adalah disebabkan oleh juruterbang yang beragama Islam. Pada pandangan Fox News jika seseorang itu tidak berkulit putih maka mereka adalah pengganas yang perlu dihapuskan. Tetapi disebabkan oleh kebebasan media tanpa sekatan Amerika Syarikat berita-berita rasis seperti ini masih lagi boleh disiarkan hanya kerana atas nama kebebasan bersuara.

Jika kebenaran yang dicari oleh agensi media barat, apakah kiranya mereka tidak terus memberikan sokongan dan melaporkan maklumat yang telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia. Maklumat yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia bukanlah diambil dari satu sumber, tetapi ianya adalah hasil dari perkongsian data daripada 26 buah negara yang terlibat secara langsung dalam operasi dan menyelamat MH370.

Kerajaan Malaysia telah memberikan maklumat yang tepat dan lengkap untuk panduan bersama bagi seluruh penduduk dunia. Namun, tidak tahu dimana salahnya, media barat tetap memainkan isu konspirasi dan kegagalan pihak berkuasa Malaysia. Ini dijadikan modal oleh musuh dalaman dan luaran Malaysia untuk terus dijadikan modal bagi memfitnah pihak kerajaan persekutuan. Sungguhpun begitu pujian harus diberikan kepada pihak tentera negara lain yang sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu dan menyelesaikan masalah ini.

Pihak media barat ternyata ingin mewujudkan sentimen negatif apabila menjemput pula Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim untuk memberikan komen tentang apa yang telah terjadi dengan penerbangan MH370 tersebut. Sudah tentu Anwar yang sudah lama berdendam dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia akan memberikan pandangan sehabis buruk dengan situasi kini. Apa natijahnya pihak media barat memaparkan maklumat yang bercanggah dan hanya spekulasi? Adakah mereka berkhidmat untuk pihak tertentu yang ingin menjatuhkan kerajaan yang sedia  ada?

Dengan kebanjiran  pelbagai gossip dan cerita palsu, media barat tanpa segan silu menyebarkan tentang konspirasi, dan ianya lebih daripada apa sebenarnya yang telah dijumpai oleh para penyiasat antarabangsa. Kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bersama menegakkan kebenaran dan memberikan sokongan penuh kepada Malaysia. Tidak kira fahaman politik, agama, bangsa dan taraf ekonomi perlu mempertahankan maruah dan imej Malaysia daripada di fitnah oleh konspirasi yang telah direkacipta untuk selera rakus kapitalis media barat.

Tuesday, March 25, 2014

Penipuan CNN dan Media Barat: Cubaan untuk mencemar imej Malaysia

Sememangnya kita tahu bahawa media barat selalu membuat liputan yang kurang tepat tentang sesuatu perkara yang berlaku terutamanya apabila melibatkan kerajaan negara-negara Asia. Mungkin mereka telah terperangkap terhadap stigma bahawa kerajaan negara Asia tidak secekap dan secepat kerajaan mereka. Namun penyebaran maklumat palsu dan maklumat yang direka cipta sepatutnya tidak berlaku, terutamanya daripada agensi media sehebat dan ternama seperti CNN.

Namun begitu, CNN yang selalunya menjadi rujukan bagi ramai pihak, dengan tidak bertanggungjawab telah membuat satu kesilapan yang amat besar dengan melaporkan berita-berita tidak benar tentang perkembangan kehilangan pesawat MH370. Tanpa segan silu agensi berita ini melaporkan perkara-perkara yang telah direka cipta semata-mata ingin dilihat sebagai pihak yang pertama melaporkan kepada orang awam.

CNN sering menyatakan bahawa kerajaan Malaysia menyiarkan berita yang tidak benar kepada orang awam. Namun begitu, yang sebenarnya merekalah yang sibuk menyebarkan cerita-cerita tidak berasas tanpa memeriksanya dahulu.

Kadangkala percubaan CNN untuk memainkan emosi waris kepada para penumpang pesawat MH370 dilihat sebagai terlalu palsu dan hanya ingin menegakkan benang yang basah. Dalam keghairahan mereka mencari cerita dan maklumat, mereka lupa akan tanggungjawab mereka untuk melaporkan hal sebenar kepada dunia.

Perkara ini bukan sahaja dilakukan oleh CNN, tetapi boleh dikatakan kebanyakkan media barat sedang asyik menyebarkan cerita palsu dan separa benar. Ini juga termasuk dengan berita yang telah disebarkan oleh DailyTelegraph yang terang-terang telah direka cipta untuk melariskan akhbar tersebut. Daily Telegraph kononya telah mendapat transkrip perbualan antara Kapten MH370 dengan menara kawalan penerbangan di KLIA, namun ia adalah penipuan semata-mata kerana ianya adalah rekaan semata-mata. Ianya telah disangkal oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Datuk Azharuddin Abdul Rahman. 

Media barat juga seolah-olah ingin terus menyalahkan kerajaan Malaysia dengan mencuba mencari kelemahan pihak yang melakukan operasi mencari dan menyelamat. Adakah pihak media barat ingin melemahkan moral para penyelamat yang terdiri daripada para pakar operasi menyelamat dari 26 buah negara di seluruh dunia? Walauapapun alasan mereka untuk mengeluarkan berita-berita palsu tersebut, adalah tidak wajar bagi mereka untuk mengelirukan orang awam sehingga boleh menganggu proses mencari dan menyelamat MH370. Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan mereka itu bakal mengundang satu permasalah yang amat besar kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat di dalam insiden ini?

Memang benar kata Tun Dr. Mahathir Mohammad bahawa media barat yang diagung-agungkan sesetengah pihak sebenarnya tidak jujur di dalam laporan mereka. Kita sebagai orang awam haruslah sentiasa berhati-hati dalam mempercayai laporan dari pada media tidak kira barat ataupun media tempatan.

Ini bukan sahaja dalam konteks pembacaan dan pemahaman untuk diri sendiri tetapi juga bagi mereka yang sering menyebarkan maklumat melalui laman-laman sosial. Sebagai orang yang bertanggungjawab kita haruslah memastikan apa yang kita ingin percayai itu adalah dari sumber yang benar dan bukannya direka cipta sepertimana yang telah dilakukan oleh Daily Telegraph dan CNN beberapa hari yang lalu. Mungkin agenda mereka adalah untuk mencemarkan nama baik Malaysia yang sedang melakukan sedaya upaya dalam usaha mencari, menyelamat dan menyelesaikan masalah tentang kehilangan pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.


#pray4mh370