Alhamdulillah! PRK Kuala Besut berlangsung tanpa sebarang gimik keterlaluan dari pembangkang iaitu tiada drama Bangladesh, tiada laungan ‘tak ada karan’ atau gambar peti undi dijumpai diatas sampan. Namun, itu tidak bermakna tiada tuduhan liar dilemparkan terhadap UMNO, apatah lagi apabila UMNO menang.
Kini, telah berkumandang di dalam Harakah bahawa UMNO menang kerana rasuah. Konon BN merasuah secara giat, menghulur wang tunai terus kepada rakyat Besut. Malah, jika melihat dari laporan Harakah dan tulisan-tulisan para kolumnisnya serta ceramah-ceramah kempen sebelum ini pun, kita mungkin akan terbayang gambaran jentera dan calon UMNO menabur wang secara besar-besaran dan pengundi Kuala Besut pula berpusu-pusu berebut-rebut wang tersebut.
Apakah yang boleh disimpulkan dari tuduhan Harakah ini?
Kesimpulannya ialah, PAS menuduh orang Kuala Besut sebagai pemakan rasuah!
Dalam keghairahan PAS menyerang, menghentam dan menghina UMNO, PAS terlupa yang mereka sebenarnya menyerang, menghentam dan menghina pengundi.
Pengundi Kuala Besut tidak wajar dihina sebegitu sekali. Tidak mungkin mereka memilih UMNO kerana wang. Tidak mungkin harga diri mereka semurah itu. UMNO menghormati pengundi Kuala Besut dan tidak pernah menganggap mereka sebagai barang yang boleh dijual beli. Lagipun, dengan rekod perkhidmatan UMNO, UMNO tidak perlu merasuah untuk meraih undi.
Sebaliknya, yang jelas merasuah pengundi ialah PAS.
Lihat saja bagaimana calon PAS, Che Long membeli undi dengan minyak percuma. Lihat saja bagaimana PAS menjaja Che Long sebagai ‘orang kaya’ bagi menarik pengundi, seolah-olah pengundi-pengundi di situ begitu ‘hadap’ dengan wang Che Long. Walhal, yang ‘hadap’ dengan wang Che Long sebenarnya adalah PAS sendiri.
Tidak cukup dengan itu, PAS turut cuba merasuah pengundi dengan janji syurga. Sedangkan PAS langsung tiada hak untuk menentukan syurga neraka sesiapa termasuk diri mereka sendiri. Apatah lagi dalam pilihanraya yang menyaksikan perlawanan antara parti yang diterajui sesama Islam dengan calonnya juga Islam.
Jika kita ingin turut menghukum sepertimana PAS menghukum orang lain, maka dosa PAS di PRK K.Besut sahaja sudah cukup banyak. Antaranya memfitnah BN memberi rasuah, memfitnah pengundi Besut menerima rasuah, memberi rasuah minyak, serta menghukum dengan hukum Allah SWT. Namun, kita bukan sejahil PAS. Kita tahu kita tidak berhak menghukum sesiapa sebagai berdosa walaupun perbuatannya nyata.
Apa yang berlaku ialah UMNO mungkin ada memberi bantuan dan barang-barang cenderamata kempen kepada penduduk Kuala Besut dan itu bukanlah rasuah tetapi sebahagian dari proses pilihanraya selain memikul tanggungjawab sebagai kerajaan yang memerintah.
Dan PAS juga ada berbuat yang sama iaitu mengedar cenderamata kempen kepada pengundi. Cumanya, tidak seperti UMNO, PAS jarang memberi bantuan dalam kempen-kempen mereka, tetapi sering menghulur ‘tin milo’ meminta bantuan (derma), dari pengundi pula - walaupun dalam pilihanraya di negeri yang diperintah mereka.
Seperti kata pepatah, tangan di atas lebih baik dari yang di bawah iaitu yang memberi lebih baik dari menerima. Oleh kerana PAS biasa menjadi penerima dan bukan pemberi, maka secara automatik, PAS bukanlah lebih baik dari UMNO.
Maka, tidak hairanlah pengundi Kuala Besut memilih UMNO kerana mereka tahu UMNO tidak merasuah mereka, sebaliknya memberi, yakni membantu memajukan kawasan mereka bagi membuka peluang pekerjaan dan perniagaan, sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment