Saranan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff agar kerajaan menggubal undang-undang bagi menetapkan kod pakaian bagi wanita negara ini mendapat perhatian kumpulan-kumpulan pejuang hak asasi wanita. Alasan Siti Zailah bahawa undang-undang itu adalah bertujuan untuk mengurangkan jenayah seksual dilihat sebagai satu pandangan cetek, sempit dan tidak berpijak di bumi nyata.
Saranan Siti Zailah nampaknya membawa PAS beberapa tapak ke belakang dalam usaha parti itu untuk membina imej ‘terbuka’ bagi menjaga keharmonian rumahtangga dengan DAP. Kini PAS kembali dilihat sebagai parti yang tertutup, ala Taliban di Afghanistan dan pasti menakutkan DAP.
‘Pakaian wanita’ merupakan antara isu paling sensitif di kalangan kebanyakan masyarakat Islam di dunia. Malah, di kalangan PAS sendiri, ‘pakaian wanita’ diletak sebagai topik paling tinggi mengalahkan isu Kalimah Allah SWT di dalam Injil, mahupun isu murtad. Ini kerana, dalam kedua-dua isu tersebut, masih terdapat perbezaan pendapat antara pemimpin PAS yang mana ada yang sanggup berdiam diri demi tidak menyinggung DAP. Tetapi, jika isu berkenaan ‘pakaian wanita’, kita pasti kesemua pemimpin PAS akan bersatu hati untuk memastikan semua wanita ‘dijinakkan’ melalui pakaian.
Seperti yang diketahui umum, berbagai kajian yang dijalankan mengenai jenayah seksual telah membuktikan bahawa jenayah tersebut berlaku bukan berpunca dari pakaian wanita tetapi kerana kewujudan peluang bagi penjenayah, dorongan untuk menunjuk kuasa di pihak lelaki, kelalaian dan kenaifan wanita sendiri serta masalah mental sipelaku.
Atas sebab-sebab ini juga, maka Allah SWT telah menggariskan agar kaum lelaki bertanggungjawab melindungi wanita, tanpa mengira siapa mereka.
Setiap lelaki wajib melayan setiap wanita dengan lemah lembut dan sopan TANPA SYARAT. Walaupun didatangi pelacur yang sedang menggoda sekali pun, seorang lelaki harus melihatnya sebagai wanita yang lemah dan perlu dibantu agar keluar dari dunia kotor itu dan bukannya menghina atau jauh sekali mempergunakannya.
Umat Islam sering mendabik dada bahawa Islam meletakkan wanita di tempat yang tinggi tetapi malangnya, umat Islam juga yang sering memijak wanita mereka.
Di Pakistan, Bangladesh, Afghanistan malah Arab Saudi dan kebanyakan negara Islam konservatif, wanita diletakkan di tempat paling bawah walaupun mereka dikelubung litup. Alasan negara-negara ini memaksa kod pakaian terhadap wanita mereka adalah kerana mereka ‘menghormati wanita’.
Namun, wanita yang berkelubung litup konon atas dasar ‘terhormat’ ini, langsung tidak punya hak bersuara dalam keluarga dan juga dalam negara. Kes penderaan sadis terhadap wanita juga terlalu banyak berlaku di negara-negara yang ‘amat menghormati’ wanita mereka itu.
Lebih dari itu, wanita di negara-negara tersebut juga tidak berhak ke atas nyawa sendiri. Tetapi, nyawa mereka berada di tangan suami atau bapa mereka yang boleh membunuh mereka bila-bila masa atas alasan ‘maruah’ (honour killing). Ada juga yang nyawa dan tubuh mereka diletakkan di dalam tangan mana-mana lelaki yang mereka tidak kenal, yang merogol dan membunuh mereka atas alasan ‘mereka bukan wanita yang baik’ berdasarkan pakaian atau hanya kerana keluar berjalan-jalan/bekerja.
Jadi, di manakah letaknya ‘hormat’ mereka terhadap wanita mereka?
Ini berbeza dengan barat di mana wanita mempunyai hak untuk berpakaian separuh bogel sekali pun tetapi mereka tetap mempunyai hak untuk dihormati dan lindungi oleh semua pihak.
Benar, Islam dan ketamadunan menyuruh semua manusia tanpa mengira jantina agar berpakaian sopan. Namun, Islam tidak meletakkan sebarang syarat kepada kita untuk menghormati sesama sendiri. Islam juga melarang kita menilai dan menghukum seseorang dari segi penampilannya.
Jenayah seksual hanya boleh dikekang jika semua umat Islam memahami perkara ini dan bukannya melalui penetapan kod pakaian terhadap wanita. Lagipun, lelaki yang baik tidak akan turut minum minuman keras hanya kerana rumahnya terletak di sebelah kelab malam. Jika lelaki tersebut tidak baik, jangan disalahkan kelab malam milik kafir pula. Jika lelaki tersebut tinggal di Amerika, takkanlah beliau perlu menyuruh kerajaan Amerika mengharamkan kelab malam agar beliau boleh menjaga imannya?
Seharusnya, Siti Zailah sebagai seorang wanita tidak terikut-ikut dengan permainan lelaki yang ingin mencari alasan atas kelemahan iman mereka.
Di Malaysia, masalah jenayah seksual dan keruntuhan moral bukan berlaku kerana undang-undang yang lemah tetapi kerana mentaliti masyarakat yang rata-ratanya amat rendah. Mentaliti rendah berpunca dari daya pemikiran yang lemah dan ilmu pengetahuan yang cetek.
Akal dan nafsu adalah dua perkara yang mengimbangi sesama sendiri. Jika otak seseorang itu tidak diisi dengan ilmu dan perkara-perkara penting maka ia akhirnya akan dipenuhi dengan nafsu.
Manusia yang dikuasai akal mampu melihat wanita dengan skirt pendek tanpa terdetik sedikit pun pemikiran mengenai seks, tetapi manusia yang dikuasai nafsu akan melihat seks dalam anak gadis sebaya anaknya yang berpakaian sekolah sekali pun. Ini kerana yang membawa beliau kepada seks, bukanlah wanita di hadapannya tetapi nafsu yang telah memenuhi otaknya yang kosong.
Justeru, Siti Zailah nampaknya telah berhujah mewakili golongan yang berotak kosong, iaitu golongan yang sama yang memeriahkan parti PAS. Buktinya, puak-puak PAS amat gemar berbual soal wanita, kahwin dua dan seks sahaja, selama 24 jam sehari. Dan tidak hairanlah pemimpin-pemimpin PAS sering terkantoi dalam skandal seks.
Siti Zailah akan tampil sebagai wanita yang lebih ‘terhormat’ sekiranya beliau menyarankan agar penekanan diberikan kepada ilmu untuk mengekang jenayah sosial dan bukannya pakaian, kerana masyarakat yang berilmu tidak punya masa yang banyak untuk melayan nafsu.
No comments:
Post a Comment