Monday, January 7, 2013

'Usah Jadikan Pelajar UNISEL Mangsa Politik' !!!

Shah Alam: Kerajaan Selangor digesa mencari penyelesaian dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) bagi mengelakkan penuntut Universiti Selangor (UNISEL) terus menjadi mangsa politik.

Ini berikutan kebimbangan perbalahan kerajaan negeri dengan syarikat itu yang menguruskan bangunan asrama dan penyelenggaraan akan menyebabkan penuntutnya tidak dapat mengikuti proses pembelajaran dengan selesa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak, berkata sudah tiba masa isu itu diselesaikan segera kerana ia sudah berlarutan beberapa tahun.

“Apa yang berlaku ini menjejaskan nama dan reputasi UNISEL. Saya berharap kemelut ini dihentikan kerana penuntut sendiri sudah muak dengan macam-macam perkara yang berlaku sehingga mereka tidak yakin dengan kemampuan pengurusan UNISEL.

“Saya juga berharap isu UNISEL ini tidak berlarutan seperti kemelut air antara kerajaan negeri dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), yang akhirnya menyebabkan rakyat menderita.

Penuntut menderita

“Dalam kes UNISEL, kita tidak mahu penuntutnya menderita kerana mereka datang ke universiti untuk menuntut ilmu,” katanya.
Pada 31 Disember lalu, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Anuar Ahmad dalam satu kenyataan yang dimuatkan laman web UNISEL, berkata pengurusan universiti menutup sementara asrama kampus induknya di Bestari Jaya bagi tujuan baik pulih 40 blok di situ.

Ia dibuat atas arahan Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan pelajar yang sudah mendaftar untuk penempatan, dipindahkan ke Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Bukit Minyak di Bestari Jaya, Taman Ilmu Bestari Jaya dan Mega-Crystal Resort di Kuala Selangor.

Anuar turut meminta JNSB menyerahkan 'built operate transfer' (BOT) kepada UNISEL jika JNSB tidak mampu menanggung kos baik pulih bangunan berkenaan.

Arahan pengosongan UNISEL itu, bagaimanapun tidak dipersetujui JNSB kerana kebanyakan bangunan selamat daripada masalah mendapan tanah dan tidak menolak kemungkinan akan mendedahkan laporan sulit JKR yang mengesahkan bangunan di kampus induk adalah selamat untuk didiami.

Ibu bapa bimbang

Dalam pada itu, ibu bapa kepada 1,200 penuntut baru UNISEL yang mula mendaftar, kelmarin melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan anak mereka selepas terpaksa tinggal di penempatan sementara di Kota Puteri, Bestari Jaya, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kampus induknya.

Ogos tahun lalu, ratusan pelajar UNISEL terpaksa menumpang tidur di surau atau rumah rakan selepas tidak dibenar memasuki asrama di kampus UNISEL di Bestari Jaya.

Ini kerana, pelajar tidak dapat memasuki asrama apabila petugas JNSB tidak datang bertugas pada hari itu menyebabkan urusan kemasukan tertangguh lebih dua minggu.

online bh

No comments: