Tuesday, January 29, 2013

Khalid Ibrahim Hanya 'Tanam Tebu Di Bibir'...!


29-01-2013 07:01 Ditulis Oleh Zeanaaima Mohd Yusof

Post Pic

[ULASAN]  Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjanjikan rakyat dan sektor perniagaan di Selangor ketelusan dan keadilan dalam setiap tindakan kerajaan negeri.

Namun dengan pilihan raya umum semakin hampir, beliau menzahirkan janji itu sebagai “menanam tebu di bibir” apabila menangani isu pembinaan kondominium di Batu Caves.

Projek berjuta-juta ringgit itu dibatalkan menerusi SATU kenyataan akhbar yang dikeluarkan selepas hanya SATU mesyuarat jawatankuasa khas kerajaan negeri yang ditubuhkan bagi menangani isu itu.
Anehnya pemaju – Dolomite Park Avenue – tidak diberi peluang menjelaskan kenapa projek itu tidak membahayakan alam sekitar atau menjadi risiko keselamatan sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu.

Sebaliknya Khalid hanya berpandukan kepada penjelasan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor kepada jawatankuasa berkenaan dalam mesyuarat tunggalnya.

Satu lagi keanehan ialah kelulusan awal untuk Dolomite meneruskan projek itu datang daripada Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor. Kini jabatan sama memberi perakuan bahawa projek itu tidak selamat.

Dalam kenyataan Khalid, tidak pula ada penjelasan kenapa Dolomite tidak diberi peluang membela diri.

Tidak juga dinyatakan sebab-sebab projek itu dibatalkan secara terperinci, cuma “demi menjaga keselamatan orang ramai dan memelihara alam sekitar,” maka ia dibatalkan.

Inilah “cap mohor” ketelusan dan keadilan Pakatan Rakyat di Selangor. Tentunya ia bukan kes pertama diambil di mana keputusan tergesa-gesa diambil demi agenda politik kepartian.
Seperkara lagi yang menarik ialah Khalid menuduh Perdana Menteri sebagai hanya mencari kemenangan politik apabila menjanjikan projek itu akan dibatalkan jika Barisan Nasional menawan semula Selangor.

Selepas dua bulan membuat tuduhan itu, Khalid mengambil keputusan sama iaitu membatalkan projek itu tanpa melalui proses keadilan semulajadi (natural justice) kepada syarikat pemaju mahupun pembeli unit-unit berkenaan.

Keghairahan untuk mengekalkan kuasa di Selangor dan “rasa takut” untuk berdepan dengan pengundi kaum India mendorong Khalid menunjukkan belang Pakatan Rakyat yang sebenar, sekali lagi.

Bagi sektor swasta, pengalaman yang dilalui oleh Dolomite pasti menjadi peringatan pahit bahawa kata-kata manis orang politik Pakatan Rakyat tidak bererti jika tindakan dan perlakuan adalah tanpa prinsip mahupun maruah diri.

Bagaimanapun bagi Khalid, itu tidak mengapa asalkan Pakatan Rakyat menang sokongan pengundi Hindu di Batu Caves. Begitu mudah sifir politik Khalid.

No comments: