Thursday, January 31, 2013

Organisasi Kristian Bantah Penggunaan Kalimah Allah Dalam Bible


Artikel penulis sebelum ini tentang hak LGBT yang mempersoalkan mengapa Islam dipandang sebagai kolot kerana membantah hak LGBT tetapi Kristian tidak diberikan tanggapan yang sama walaupun sama-sama membantah, telah 'terkena' kepada pihak yang terlibat, puak Kristian Malaysia. Nampaknya, Kristian Malaysia tidak mengambil pendekatan yang sama seperti Kristian di seluruh dunia, terutamanya terhadap isu seperti penggunaan Kalimah Allah bagi Bible dan juga hak LGBT.

Dan kini, persoalan yang sama masih lagi timbul di mana beratus-ratus ribu orang membuat demonstrasi di Perancis membantah hak golongan LGBT, dan terdapat tiga organisasi Kristian di Amerika Utara telah meletakkan petisyen awam untuk menghentikan Wycliffe Bible Translators, Summer Institute of Linguistics (SIL) dan Frontiers dari menghasilkan Bible yang mengandungi nama Tuhan Kristian (Father and Son) yang mempunyai terjemahan yang salah (Lord dan Messiah atau Guardian dan Proxy). Terdapat juga terjemahan Arab yang mengubah perkataan 'Father' kepada Allah yang dilihat oleh penganut Kristian sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia mungkin akan menyinggung umat Islam, dan juga boleh mengelirukan mereka yang baru menganut agama Islam atau Kristian.

Mengapa puak Kristian Malaysia tidak berkongsi pendapat yang sama?

Isu penggunaan nama Allah telah lama timbul di Malaysia. Puak Kristian Malaysia adalah antara yang paling lantang isu ini, termasuk menerima pertolongan dari DAP. Lim Guan Eng juga pernah menyatakan perkara ini sebagai sebahagian daripada perjuangan parti tersebut, yang kemudiannya mengundang permasalahan kepada PAS.

Hanya kerana sifat mereka yang gila kuasa, parti tersebut telah membuatkan puak Kristian percaya bahawa pluralisme adalah satu perkara yang boleh diterima, sebahagian daripada ajaran Kristian itu sendiri. 

Ini adalah masa buat semua agama di Malaysia untuk mula membezakan antara agama dan politik. Apabila umat Islam mempertahankan nama Allah daripada dipergunakan, ia menunjukkan bahawa mereka memperjuangkan agama, bukannya politik. Jadi, jika anda bencikan kerajaan Melayu-Islam, anda tidak perlu melanggar agama Kristian anda sendiri hanya untuk memberikan sokongan kepada sesiapa yang menentang pihak kerajaan.

Perkara ini tidak langsung ada kena mengena dengan hak. Perbuatan ini adalah salah kerana akan mengakibatkan kekeliruan. Mungkin ini adalah masa bagi penganut Kristian seluruh dunia untuk menggalakkan Kristian Malaysia supaya melihat kembali apa yang dituntut oleh Bible, agar kita tidak keliru dengan agama masing-masing.

Bacalah, supaya kita tidak mudah dipergunakan oleh mana-mana pihak yang inginkan perpecahan antara rakyat.

DAP 'Jaguh' Sekat Media!


KUALA LUMPUR : DAP akan menjadi jaguh dalam menyekat kebebasan bersuara terutama melibatkan media jika pakatan pembangkang dapat menguasai Kerajaan Pusat dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengingatkan perkara itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, DAP tidak kisah atau melompat jika media menyiarkan laporan yang 'menghentam' Pas atau PKR.

Tetapi katanya, kepemimpinan parti itu akan melenting kalau mereka diusik meskipun laporan itu berlandaskan fakta.

"Kebebasan media ala Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pulau Pinang memperlihatkan cara beliau mendominasi satu-satu media.

"Itu bukan pendirian beliau sahaja tetapi sebenarnya kepemimpinan DAP. Dia bagi alasan semua media arus perdana adalah alat UMNO untuk menjatuhkan Kerajaan DAP Pulau Pinang, sedangkan media membuat tugas hakiki mereka melaporkan kebenaran.

"Jika media yang dikatakan alat UMNO itu melaporkan sesuatu penyelewengan di Pulau Pinang, isu tersebut akan diputarbelitkan oleh Guan Eng hanya kerana media tersebut bukan 'tokong' kepada Guan Eng" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Guan Eng yang mengelak untuk memberi sebarang ulasan ketika berhadapan dengan akhbar The Star dan memilih memberi kenyataan secara bertulis sahaja kerana bimbang kenyataannya akan diputar belit.

Menurutnya, Guan Eng sentiasa 'mencabul' hak kebebasan media yang kononnya diperjuangkan oleh pemimpin pembangkang selama ini dengan mengadakan sekatan terhadap beberapa media di Pulau Pinang.

"Slogan kebebasan bersuara hanya retorik murahan DAP dan pakatan pembangkang. Bayangkan, baru empat tahun memerintah pelbagai sekatan luar biasa telah dikeluarkan oleh mereka terhadap media yang menyokong kerajaan.

"Sebelum 2008, mereka cuba menjadi jaguh kebebasan media, kebebasan bersuara dan sebagainya, kenapa pula sekarang ini tiba-tiba mereka menjadi marah dengan kebebasan media yang diamalkan oleh media arus perdana," jelasnya.

Tunku Aziz juga mendakwa sekatan terhadap media akan bertambah parah sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat penuh untuk memerintah negara.

"Kebebasan media yang ada kini akan terus lenyap sekiranya pembangkang memerintah, mereka akan cuba untuk memansuhkan media arus perdana yang sedia ada atas alasan media tersebut berat sebelah," ujarnya.

PAS Umpamakan Nasharudin Isteri Curang


Sehari selepas bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dipecat dari terus menganggotai Majlis Syura Ulama PAS, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat terus meraikannya dengan upacara memotong kek di kediaman Pengerusi DAP Pusat, Karpal Singh.

Walaupun secara lahiriahnya acara memotong kek itu diadakan sempena ulangtahun kelahiran Mursyidul Am PAS itu yang ke 82 tahun, namun tersiratnya ia menggambarkan kegembiraan Karpal Singh yang dikongsi bersama dengan Nik Aziz dalam meraikan dendam terindah yang sudah dilunaskan.

Karpal pernah ditempelak oleh Nasharudin berhubung isu hudud, manakala Nik Aziz pula sehingga kini terus berpatah arang dengan peranan utama yang dimainkan Ahli Parlimen Bachok, Kelantan itu semasa ura-ura kerjasama diantara UMNO dan PAS melalui Kerajaan Perpaduan (UG) dulu.

Nik Aziz ketika diminta mengulas status Ustaz Nasharudin yang masih kekal sebagai ahli PAS, secara sinis memberi gambaran kedudukan bekas Timbalan Presiden PAS itu dalam parti kini ibarat suami isteri yang bila-bila masa sahaja boleh bercerai berai.

"Itu dia punya pasallah, saya sebut kelmarin kepada wartawan orang laki bini lagikan bercerai. Padahal kita nak sambut bini itu dengan sembelih lembu, palu gong gendang lah, selawat kepada Nabi, tetapi  boleh bercerai. Ini kerana parti (Ini kan pula dalam parti)".

Maksudnya jika isteri sendiri pun boleh diceraikan, apa sangatlah kalau memecat Nasharudin dari Majlis Syura Ulama PAS. Hatta kalau Nasharudin mahu keluar parti menyertai UMNO sekalipun, itu bukannya persoalan besar bagi PAS.

Lebih-lebih lagi pada perkiraan Nik Aziz dan PAS, status Nasharudin itu sendiri yang dilihat rapat dengan pimpinan UMNO seumpama isteri yang telah curang pada suami sendiri. Itu anggapannya. Soal bukti dan peluang untuk membela diri, itu lain punya hal yang tidak perlu difikirkan.


Dari sudut lain, walau dibaca berkali-kali kenyataan Mursyidul Am PAS itu, kelihatannya seperti Nik Aziz begitu memandang mudah hubungan suami isteri bila mana ia dikaitkan dengan isu pemecatan Nasharudin dan kedudukannya dalam PAS.

Tapi nak pelik apa? Kan sudah menjadi pengetahuan umum dalam PAS telah lama wujud polisi sumpah baiah talak tiga yang menjadikan isteri kepada calon-calon PAS dalam PRU sebagai bahan taruhan bertujuan menjamin suami masing-masing kekal dalam parti dan tidak mengubah haluan melompat ke parti lain.

Satu persoalan yang menarik untuk difikirkan, kenapa baru sekarang PAS bertindak dan dimasa yang sama masih mengekalkan Nasharudin sebagai ahli PAS, bukankah itu seperti tindakan gantung tidak bertali dari seorang suami?

Amat dayus dan bacul sifatnya bilamana seorang suami hanya berani mengambil tindakan gantung tidak bertali terhadap isterinya sedangkan jika begitu yakin telah wujud kelakuan curang sewajarnya diceraikan sahaja, bukan begitu?

Kalimah Allah Hak Islam.


KUALA LUMPUR : Penganut-penganut agama lain tidak mempunyai hak untuk menuntut kesamarataan dalam soal beragama termasuk penggunaan kalimah suci Allah kerana tindakan seumpama itu amat bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan negara ini.

Sehubungan itu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim meminta penganut-penganut bukan Islam sedar tentang kedudukan tersebut terutama kedaulatan Islam sebagai Agama Persekutuan supaya mereka lebih bijak membawa diri dengan tidak menyentuh isu-isu sensitif.

Beliau berkata, penggunaan kalimah Allah sememangnya amat berkaitan dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan langkah mempertahankannya dari dicemari oleh pihak tidak bertanggungjawab merupakan satu jihad yang perlu digalas oleh seluruh umat Islam negara ini.

"Hanya Islam sahaja Agama Persekutuan dan bukannnya agama Kristian, Buddha atau Sikh. Penganut-penganut agama lain harus sedar tentang kedudukan ini dan sebab itu mereka tidak boleh menuntut hak kesamarataan dalam soal beragama," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan ringkas selaku Pengerusi Sekretariat Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Persekutuan selepas pembentukan rasminya di Masjid Negara di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) Ismail Mina Ahmad.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pembentukan sekretariat itu Ahmad Fairuz berkata, Perlembangaan tidak menghalang penganut bukan Islam mengamalkan agama masing-masing tetapi hendaklah dibuat secara aman damai.

"Usaha mereka hendak menggunakan kalimah Allah merupakan satu pekara yang sensitif bagi orang Islam dan kemungkinan boleh mencetuskan perbalahan dan juga perkara-perkara yang tidak diingini. Ini bererti penganut-penganut agama lain itu telah tidak mengamalkan agama mereka secara aman dan damai," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fairuz mengakui sejak negara merdeka lebih 50 tahun yang lalu beliau tidak pernah melihat bagaimana Islam telah dicemari dengan begitu hebat.

"Sebagai seorang Islam saya sendiri terasa amat sangat. Jika kita sebagai Islam tidak mempertahankan hak kita sebagai muslim apa ertinya kita sebagai seorang Muslim.

"Saya rasa kebanyakan orang Islam akan mengatakan kita perlu berjihad dalam hal hak kita telah dipermainkan, diperlekehkan dan cuba dicemarkan oleh penganut-penganut agama lain," katanya.

Sementara itu, beliau turut menarik perhatian pemberita bagaimana Kamus Dewan turut merujuk perkataan God kepada tuhan.

Pelajar Universiti Ramal BN Menang Besar


Kajiselidik yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) dibawah anjuran Yayasan Ehwal Siswazah (YES) menunjukkan sokongan terhadap BN berada dalam keadaan kukuh di kalangan mahasiswa dengan 63% yakin bahawa BN akan menang dalam PRU-13 dan hanya 37% sahaja yang meramalkan kemenangan PR.   

Kajiselidik di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang  turut menunjukkan populariti Dato’ Seri Najib meningkat seperti berikut, Kelantan 60.8%, Kedah, 63.8% dan Selangor 54.55%.  

Daripada semua responden ini, 40.1% telah dikenalpasti sebagai golongan atas pagar dan 80% daripada mereka ini pula telah bersedia untuk mengundi dalam PRU kali ini.  Justeru, golongan ini merupakan antara penentu utama kepada keputusan pilihanraya nanti.  

Walaupun penemuan kajiselidik menunjukkan perbezaan yang kecil antara jumlah penyokong pembangkang (30.1%) dan kerajaan (29.8%) iaitu 0.3%, tetapi secara keseluruhan, para siswazah menaruh keyakinan yang lebih kepada Dato’ Seri Najib untuk menerajui negara iaitu 67.4%, berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim 52.2%, Datuk Seri Hadi Awang 31.3% dan paling tidak diyakini pula ialah Lim Kit Siang yang hanya mendapat sokongan sebanyak 1.5%.  

Kit Siang juga menerajui bagi kategori pemimpin paling tidak layak sebagai Perdana Menteri dengan 61.5%, diikuti oleh Hadi Awang 26.2% dan Anwar Ibrahim 16.2%.  

Penemuan ini bolehlah dianggap menarik kerana di masa yang sama, kajiselidik tersebut turut menunjukkan bahawa media politik yang paling popular di kalangan siswazah pula ialah Malaysiakini, iaitu media yang terkenal sebagai pro-pembangkang dan entah berapa kali terkantoi menipu.  

Secara tidak langsung, kajiselidik membuktikan bahawa majoriti pelajar universiti cukup matang untuk menilai berita yang dilaporkan oleh media massa serta tidak mudah terpengaruh.  

Apa yang didapati dari kajiselidik ini membuat kita tertanya-tanya tentang bagaimana kajiselidik berkenaan sokongan terhadap parti politik di kalangan siswazah yang dijalankan oleh UMCEDEL sebelum ini menunjukkan penemuan yang bertentangan, iaitu sokongan yang meningkat kepada pembangkang.   Kajian UMCEDEL juga menunjukkan yang kaum Cina yang paling ramai menolak BN iaitu lebih 90%, dilihat sebagai meragukan terutama apabila dikaitkan dengan peratusan populariti Kit Siang yang begitu corot seperti di dalam penemuan YES.  

Memandangkan kredibiliti Pengerusi UMCEDEL yang diragui kerana mempunyai ‘sejarah’ tersendiri bersama Anwar di dalam ABIM maka, adalah wajar kita memilih untuk bersandarkan kepada kajiselidik anjuran YES berbanding UMCEDEL.  

Untuk itu, walaupun penemuan menunjukkan angka positif bagi BN, tetapi BN wajar mengambil langkah pro-aktif untuk meningkatkan lagi sokongan para siswazah dengan menangani kelemahan-kelemahan yang ada, terutamanya dalam menyediakan satu platform media alternatif yang mampu menyaingi Malaysiakini dari segi rencana dan pemberitaan.   

Jelas, bahawa para siswazah dahagakan bacaan yang berunsur serius, berbanding tulisan-tulisan ringan di blog-blog atau portal pro-BN yang kurang menitikberatkan kualiti penulisan serta masih ‘obses’ dengan hiburan serta bahan lucah untuk menarik pembaca.    

Sudah tiba masanya bagi BN meningkatkan ‘mentaliti’ seiring dengan pemikiran anak-anak muda dan cerdik-pandai di dalam negara.   Politiking yang terlalu nyata yang dipersembahkan dalam bentuk ringan, kasar, lucah dan kadangkala rendah di dalam bahan yang disediakan oleh media pro-BN merupakan antara penyebab ramai cerdikpandai dan golongan yang lebih selesa berbahasa Inggeris, memilih untuk membaca Malaysiakini walaupun menyedari ‘sifat’ politik media tersebut.   

Tidak dinafikan bahawa cara tertentu adalah berkesan untuk golongan sasaran tertentu, namun, tidak salah jika BN turut menggunakan cara lain untuk golongan sasaran yang lain, iaitu golongan cerdikpandai dan yang lebih selesa berbahasa Inggeris sama ada yang sedia menjadi penyokong senyap, atas pagar, mahupun yang di dalam pembangkang.   Jika kena caranya, kedudukan BN pasti akan lebih kukuh lagi menjelang PRU ke-13.

JANJI DITEPATI!

Bakar Bible: Polis Ambil Keterangan Ibrahim Ali

31-01-2013 01:01 
Post Pic

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang telah merekodkan keterangan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali dan ketua penerangannya Roslan Kassim bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ada pihak menganjurkan perhimpunan membakar Bible versi bahasa Melayu di negeri ini.
Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata ada pihak mendakwa perhimpunan membakar Bible itu diadakan di Padang Bandaran Bagan Luar, Butterworth, dekat sini Ahad lalu.
Bagaimanapun polis mengesahkan tiada sebarang perhimpunan sedemikian diadakan di Padang Bandaran Bagan Luar.
Katanya polis mengambil keterangan kedua-dua pemimpin PERKASA itu semalam dan kertas siasatan mengenai kes itu telah siap.
“Kedua-duanya memberikan kerjasama yang baik dan kami akan serahkan kertas siasatan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Ikrar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Pulau Pinang di sini hari ini.
Selasa lepas, polis menerima laporan daripada seorang paderi mengenai risalah bertulis “jom bakar...pesta bakar Bible Melayu demi masa depan cucu kita” yang dimasukkan ke dalam peti surat di sebuah gereja.
Abdul Rahim berkata selain dua pemimpin PERKASA itu, pihaknya turut merekodkan keterangan beberapa individu lain bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.
Seksyen itu memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

~ antarapos

Kajian UPM: Najib Lebih Layak Dari Anwar


           

Bila-bila masa sahaja dari sekarang Dewan Rakyat akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU 13 yang dijangkakan oleh ramai pemerhati politik sebagai pilihanraya yang paling sengit dalam sejarah negara.

Dari segi rekod PRU 12 2008, memang benarlah PRU 13 ini cukup hangat dan sengit kerana ia merupakan penentu samada BN akan meneruskan kesinambungan pemerintahan ataupun gabungan longgar parti pembangkang, PR pula yang akan mengambil alih terajunya.

Namun jika perkembangan semasa diambil kira, besar kemungkinan PRU 13 akan menyaksikan BN mengulangi kejayaan yang hampir sama seperti yang dicapai pada PRU 11 2004 sebaliknya PR pula bakal berdepan nasib buruk seperti dialami Barisan Alternatif (BA).

Tambahan pula, sejak pentadbiran negara diambil oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pada April 2009, sedikit demi sedikit BN telah kembali ke landasannya semula. Manakala dalam tempoh itu pula populariti PR semakin merosot terutama sekali selepas kegagalan projek lompat 16 September 2008.

Bermula awal tahun 2010 hinggalah sekarang menyaksikan hasil dari kepimpinan Dato' Seri Najib, BN terus memacu momentum kebangkitan sebagaimana terbukti dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang lalu.

Malah dari segi populariti diantara Dato' Seri Najib dengan pemimpin PR khususnya Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim memang jauh langit dengan bumi, ini termasuklah data-data hasil dari kajian-kajian semasa yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak.

Demikian halnya kedapatan yang diperolehi dari kajian terbaru yang dilakukan di UPM yang mana Presiden UMNO itu terus unggul di hadapan dengan merekodkan populariti 67.4% sekaligus menjadi pilihan utama sebagai PM selepas PRU 13 kelak.

Manakala Anwar pula berada di tempat kedua dengan catatan 52.2% dan Presiden PAS, Hadi Awang hanya mencatat populariti 31.3% sahaja. Dengan kata lain, responden yang ditemubual agak meragui kedua-duanya dalam menggalas tanggungjawab sebagai PM.

Jika dikira pula dari segi rekod jasa bakti kedua-dua pemimpin utama PR itu yang hanya tahu berceramah siang dan malam menjelajah sana sini, lagilah tak termampu menandingi rekod kerjabuat Najib yang sudah terbukti besar jasanya dalam membantu rakyat jelata.

Apatah lagi bila diukur dari segi kesungguhan dan sikap cakna Najib dan BN yang serius membantu menyelesaikan permasalahan rakyat, jauh bezanya bila dibanding dengan Anwar dan Hadi yang hanya bijak berkata-kata ketika menabur janji tapi kerap gagal dalam menepatinya.

Apapun, yang pentingnya dalam mana-mana sahaja kajian yang dilakukan samada oleh pihak bebas, pro BN mahupun oleh PR sendiri, satu kesimpulan yang sama diperolehi - BN akan meneruskan kesinambungan pemerintahan negara ini.

Wednesday, January 30, 2013

Karpal Pun Ingat Hari Jadi Nik Aziz, Azizan Boleh Lupa?



28 Januari lalu, Nik Aziz dilaporkan menghadiri perayaan Thaipusam di Pulau Pinang anjuran Pakatan Rakyat.   Acara tersebut disertai oleh antara lain, ialah Pengerusi DAP Karpal Singh.  

Pada petangnya pula, Nik Aziz telah mengunjungi Karpal Singh di kediamannya dan satu sambutan Hari Jadi Nik Aziz telah diadakan di situ, siap dengan kek yang mempunyai lambang ketiga-tiga parti sekutu PR. 


Harakahdaily melaporkan bahawa kunjungan tersebut disambut dengan gembira oleh para penyokong Pakatan Rakyat sehingga menitiskan air mata.  Begitulah gembiranya mereka melihat persahabatan seorang yang bergelar Mursyidul Am dengan seorang penentang Islam tegar yang sebegitu erat, akrab dan bersatu hati dalam ‘berjihad’ untuk menakluki Putrajaya.  

Tidak salah jika dikatakan yang kegembiraan yang dirasakan mereka adalah sama dengan kegembiraan para pembaca Malaysiakini yang ‘menyambut meriah’ pemecatan Nasharuddin Mat Isa dari Majlis Syura melalui komen-komen mereka.  

Untuk pengetahuan semua, tarikh lahir Nik Aziz adalah 10 Januari 1931.  Kita tidak pasti sama ada Karpal yang telah bersedia untuk menyambut Hari Jadi Nik Aziz di rumahnya ataupun pihak Nik Aziz yang telah merancang terlebih dahulu.  

Jika pihak Nik Aziz yang merancangnya, tentulah pelik kerana dalam lawatan ke utara itu, beliau dilaporkan turut mengunjungi kediaman Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Razak pada 27 Januari.  Oleh itu, beliau boleh saja menyambut Hari Jadinya di rumah Azizan dan bukannya di rumah Karpal.  

Mungkin, tidak seperti Karpal, Azizan terlupakan tarikh hari jadi Nik Aziz.  Sebagaimana kita tahu, menyambut hari jadi yang menjadi budaya ‘Mat Saleh’ bukanlah amalan biasa bagi puak-puak PAS.   Oleh itu, kita tidak hairan jika Azizan atau Nik Aziz sendiri tidak pernah mengingati tarikh lahir anak-anak mereka dan juga isteri mereka,  jauh sekali menyambutnya.  Selain itu, PAS juga terkenal dengan sikap ‘chauvinis’ lelaki zaman dahulu yang tidak mesra dengan keluarga dan PAS masih lagi kekal begitu, walaupun pendirian parti telah berubah serta perlembagaan kafir sudah menjadi Islam.  

Justeru, puak-puak PAS pun begitu terharu bila Karpal Singh mengingati tarikh lahir Tok Guru dan bersusah-payah meraikannya.  Mungkin ini pertama kali mereka memahami erti ‘penghargaan’ dari orang lain secara peribadi.   Tok Guru pastinya percaya bahawa inilah makna persahabatan sejati. 

Jika begini caranya Karpal menghargai persahabatan, tidak hairanlah jika Nik Aziz lebih menghargai arahan DAP dari kehendak akar umbi PAS mahupun tuntutan Al-Quran sendiri.  Memandangkan sikap Melayu itu amat berhemah dan mengenang budi, Tok Guru tentulah akan merasa lebih ‘malu-alah’ lagi untuk menentang apa-apa pendapat atau arahan Karpal selepas ini.  

Menyorot sejarah PAS di zaman pra-persahabatan dengan DAP, parti ini mengambil pendekatan ekstrem dan amat terkenal dengan sifat memusuhi bukan Islam.  Malah, Amanat Hadi yang masih menjadi kontroversi itu juga adalah bertitik-tolak dari permusuhan terhadap bukan Islam.  Pada ketika itu, telah menjadi fahaman ahli PAS bahawa terdapat satu undang-undang tidak bertulis yang perlu dipatuhi iaitu jangan sekali-kali mengundi bukan Islam walaupun sebagai wakil rakyat.  Ini menjadi faktor utama UMNO ditentang atas alasan bekerjasama dengan MCA dan MIC. 

Penulis yang ketika itu hanya seorang murid sekolah juga turut merasai ‘bahang’ permusuhan PAS terhadap bukan Islam apabila seorang rakan dari keluarga PAS enggan ke majlis hari jadi rakan bukan Islam dan memandang serong kepada penulis yang menghadirinya.  Malah, jika terpaksa ke rumah rakan bukan Islam, rakan tersebut tidak akan minum air yang dihidang sedangkan air itu hanyalah air oren.  

Namun, seperti yang disebut tadi, ini semua cerita lama, iaitu cerita PAS di zaman pra-persahabatan dengan DAP.  PAS kini, sudah berubah dan sudah jauh lebih terbuka berbanding UMNO sendiri.   

Hari ini, UMNO sanggup mati mempertahankan agama dan bangsa, tetapi PAS pula sanggup mati dari meninggalkan DAP.   Bagi PAS, biarlah Hasan Ali mati, biar Nasharuddin dibuang asalkan DAP sayang.  Orang seperti Hasan dan Nasha tidak tahu menghargai Tok Guru dan tak pernah pun beli kek Hari Jadi untuk Tok Guru, bukan macam Karpal Singh.  

Lagipun, Karpal hanya sanggup mati menentang Islam, bukan menentang Tok Guru, bukan begitu?

DAP SASAR PECAHKAN INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU!


Pembangkang semakin terdesak sehingga Dap terpaksa memujuk akan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-'Abidin Ibni Tuanku Muhriz untuk menyertai parti itu.


Dap tahu bahawa raja-raja Melayu merupakan payung kepada kedaulatan bangsa ini dan mempunyai pengaruh yang amat besar ke atas kehidupan orang Melayu samada dalam ruang lingkup sosial, budaya mahupun politik.

Orang Melayu dan raja-raja Melayu sememangnya tidak boleh dipisahkan bagaikan irama dan lagu.

Jika berlaku tembok pemisahan maka runtuhlah institusi itu dan malaplah masa depan bangsa Melayu.

Oleh itu 'menjaring' seorang anak raja yang muda dan idealis seperti Tunku Zain Al-'Abidin untuk menggangotai sebuah parti rasis dan perkauman seperti Dap boleh dianggap tangkapan besar atau 'slam dunk' dalam bahasa permainan bola jaring.

Inilah sebenarnya strategi Dap untuk menyucikan parti itu daripada stigma anti-Melayu dan anti-Islam yang telah melekat kepada tubuh badannya sejak ditubuhkan. 

Apatah lagi jika ia berjaya memikat hati seorang anak raja untuk berdiri di atas landasan perjuangan 'Malaysian Malaysia'nya maka Dap akan mendapat pengabsahan paling besar untuk menyakinkan orang Melayu menyertai parti itu.

Dap cuba strategi yang sama terhadap Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, seorang kerabat diraja Kedah dan bekas Pengerusi Transparency International Malaysia namun gagal.

Sejurus menerima keahlian Tunku Aziz, beliau terus dilantik sebagai Naib Pengerusi Dap bagi mewakili kaum Melayu dalam parti itu dan kemudiannya digula-gulakan lagi dengan lantikan sebagai Ahli Dewan Negara.

Sebagai seorang yang bijaksana Tunku Aziz bukanlah seorang anak Melayu berdarah raja yang mudah diperbodohkan seperti mana yang diperlakukan oleh penasihat-penasihat Inggeris kepada raja-raja Melayu zaman sebelum merdeka.

Sebelum terjerat lebih jauh dalam perangkap Dap, Tunku Aziz telah pun dapat menghidu penipuan dan kepalsuan parti rasis itu apabila bercakap mengenai soal orang Melayu dan Islam.

Bagi beliau, orang Melayu dalam Dap hanyalah tunggangan Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng serta Karpal Singh.

Dap tidak pernah memperjuangkan nasib Melayu dan tidak akan berbuat demikian untuk selama ia wujud sebagai sebuah parti politik.

Wadah perjuangannya hanya untuk kepentingan kaum Cina semata-mata dengan tidak mempedulikan hakikat bahawa bumi yang mereka pijak adalah tanah air orang Melayu.

Walaupun Tunku Aziz meninggalkan Dap, namun Guan Eng menggunakan kaedah rasuah politik untuk mengekalkannya dalam parti itu dengan menawarkan Pengerusi Institut Pulau Pinang dengan gaji lima angka.

Semuanya ditolak mentah-mentah oleh beliau kerana selama ini Dap yang kononnys diyakini sebagai parti berbilang bangsa sebenarnya hanyalah topeng untuk menutup satu perjuangan yang ekstrem kepada perkauman Cina.

Penolakan orang Melayu terhadap perjuangannya tidak mematah semangat pemimpin Dap, dan ia sanggup berbuat apa sahaja untuk menarik minat orang Melayu.

Dap sanggup memanipulasi keputusan pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat untuk meletakkan seorang 'Melayu celup' menjadi wakil tunggal Melayu walaupun sebelumnya semua calon Melayu kalah teruk.

Kini pandangan mereka beralih untuk memecah belahkan institusi yang memayungi orang Melayu apabila usaha mereka untuk meretakkan bangsa Melayu sudah gagal.

Dap berharap jika seorang anak raja boleh diyakinkan untuk bertanding pada PRU13 nanti atas tiket parti itu, sudah tentu ramai orang Melayu akan terpengaruh.

Mungkin Dap berfikir strategi mereka untuk menjadikan institusi raja-raja Melayu seperti keldai mereka seperti mana yang dilakukan kepada Pas, mereka amat silap besar.

Jika orang Melayu mampu menyedarkan raja-raja Melayu supaya tidak menurunkan tandatangan mereka bagi perjanjian untuk mewujud serta mengabsahkan Malayan Union pada 1948, sudah tentu untuk menentang perancangan licik Dap tidak menjadi masalah besar.

Mungkin Tunku Zainal Al-'Abidin sebagai seorang anak raja yang muda dan bersemangat perlu menelusuri dan mempelajari dengan lebih mendalam perihal sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dengan penuh kesedaran serta perasaan prihatin.

Jangan terjebak dengan permainan silap mata politik Dap yang secara luaran amat menarik hati dengan segala idealisme yang mengasyikkan jiwa dan kalbu sehingga akhirnya tersedar bahawa diri telah tertipu. 

Tuesday, January 29, 2013

Pecat Nasharudin Bukti PAS Amal Kuku Besi

Pemecatan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa selaku ahli Majlis Syura Ulama PAS sememangnya sudah lama dinanti-nantikan oleh suku sakat Anwarinas setelah beberapa percubaan sebelumnya menemui jalan buntu.

Kelibat Ustaz Nasharudin yang turut sama menyertai lawatan bersejarah Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ke Semenanjung Gaza, Palestin dimanfaatkan sepenuhnya oleh pimpinan PAS untuk dijadikan alasan utama pemecatan tersebut.

Lain-lain alasan seperti tidak datang mesyuarat memaksa Majlis Syura memecat Ustaz Nasharudin pada pertemuan 13 Januari 2013 yang lepas sebenarnya hanyalah tempelan sahaja untuk mengabui mata ahli dan penyokong PAS.

Jika alasan tidak datang mesyuarat adalah punca utama pemecatan Ustaz Nasharudin tentunya sudah lama Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah lama dibuang dari terus menganggotai Majlis Syura Ulama PAS.

Bukan satu rahsia pun sejak Nik Aziz mempengerusikan badan tertinggi PAS itu, sudah banyak teguran dari ahli bawahan mengenai kelesuannya. Terlampau jarang diadakan perjumpaan disebabkan kepimpinan Nik Aziz yang lemah dan tidak cakna dengan perjalanan parti.

Malah semasa penggal yang lepas, satu mesyuarat pun diadakan sekalipun tika itu wujud banyak isu yang melingkari PAS dan PR. Jadinya, dilihat pada asas ini selayaknya sudah lama Nik Aziz ditendang keluar dari Majlis Syura Ulama dan pengerusinya diambil alih oleh Timbalan Mursyidul AM PAS, Ustaz Haron Din.

Nama Majlis Syura Ulama PAS hanya kembali kedengaran ketika wujudnya isu melibatkan Ustaz Nasharudin, itupun dalam mesyuaratnya pada September 2012 yang lalu Nik Aziz sengaja buat perangai keluar awal setelah mengetahui agenda perbincangan tidak membabitkan kedudukan Ustaz Nasharudin.

Bibit kebencian Nik Aziz terhadap Ustaz Nasharudin sudah lama membuak semenjak timbulnya isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang mana Ustaz Nasharudin adalah antara orang perantaraan yang dihantar oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk membincangkan kerjasama antara UMNO dan PAS.

Bagi orang tua seperti Nik Aziz yang bertuhankan nafsu amarah, tindakan Ustaz Nasharudin itu telah melanggar pantang larang yang ditetapkannya. Tiada perpaduan mahupun muzakarah antara PAS dan UMNO demi kepentingan Islam selagi nyawa masih mengalir dalam tubuh Nik Aziz.

Berbalik pada isu pemecatan Ustaz Nasharudin, sehingga kini surat pemecatan langsung tidak diterima oleh bekas Timbalan Presiden PAS itu. Berita pemecatannya hanya diketahui melalui kenyataan media oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.

Tak mustahil surat pemecatan itu pun baru selesai dikarang selepas kelibat Ustaz Nasharudin dilihat bersama rombongan PM di Gaza, Palestin.

Dalam hal ini, Ustaz Nasharudin tidak keseorangan. Beliau bukan satu-satunya pemimpin PAS yang dianiayai sedemikian rupa dipecat tanpa diberi ruang pembelaan diri. Sudah ramai pemimpin PAS yang menjadi mangsa gaya kepimpinan PAS yang bersifat kuku besi dan diktatorship.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden PAS merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Hasan Ali juga pernah mengalaminya, lama sebelum itu, bekas pemimpin PAS kawasan Pasir Putih, Kelantan, Cikgu Musa Salleh juga pernah menghadapinya.

Dalam PAS, perihal berlapang dada bukannya satu pilihan sebaliknya persoalan dendam kesumat seringkali menjadi taruhan utama dalam menentukan jatuh bangun seseorang pemimpin, lebih-lebih lagi jika seseorang itu dilihat bercanggah pandangan dengan Nik Aziz.

Walau apapun, pemecatan Ustaz Nasharudin yang diumumkan tatkala umat Islam seluruh dunia meraikan keberanian pemimpin Malaysia memasuki Semenanjung Gaza untuk sama-sama merasai sendiri keperitan penduduk Palestin yang dizalimi Israel, bukanlah satu tindakan bijak oleh PAS.

Tindakan tergesa-gesa dan bercorak kuku besi dan tidak demoktarik sebegini tidak akan membantu PAS mengukuhkan kedudukannya menjelang PRU 13. Suka atau tidak, kepimpinan PAS perlu menerima hakikat tiba masanya kelak parti itu akan semakin terpinggir dari sokongan umat Islam.

Pecat Nasha: Rakyat Gembira Usaha Najib Satukan Palestin, Kecuali PAS

Kunjungan Perdana Menteri ke Palestine baru-baru ini mendapat reaksi positif rakyat Malaysia.   Ia juga mengukuhkan lagi pandangan luar terhadap Malaysia sebagai negara yang benar-benar serius dan tidak hanya beretorik dalam memperjuangkan keamanan dunia.  

Biarpun kunjungan tersebut disambut sinis oleh pihak pembangkang, iaitu kononnya sebagai publisiti atau modal politik pilihanraya, tetapi yang penting, satu usaha ke arah keamanan telah pun berjaya dimulakan.  

Mengambilkira penderitaan penduduk Palestin dan hakikat keganasan Israel yang berlarutan sehingga berdekad-dekad, menuduh kunjungan Perdana Menteri sebagai mencari publisiti murah membuktikan yang pihak pembangkang langsung tidak prihatin, malah lemas dalam politiking merebut kuasa. 

Ini kerana kunjungan tersebut merupakan satu langkah berani di pihak Perdana Menteri dan isteri, yang nekad berkunjung ke ‘medan perang’, mengambil risiko ke atas keselamatan diri dan nyawa, demi menerima jemputan pihak Palestine yang bersungguh-sungguh meminta bantuan Malaysia untuk mencari titik kefahaman antara Hamas dan Fatah.  

Hanya dengan perdamaian kedua pihak ini maka kekuatan akan dapat dicapai bagi mempertahankan negara dan rakyat Palestine dari keganasan dan pencerobohan rejim Israel.  

Oleh itu, komitmen Dato’ Seri Najib untuk membantu saudara seagama, tidak wajar dilihat dari sudut politik semata-mata.   Ia seharusnya dilihat sebagai isu umat Islam sejagat, isu global dan isu agama oleh semua umat Islam tanpa mengira negara atau bangsa dan jauh sekali parti politik. 

Walaubagaimanapun, pandangan sinis pembangkang ke atas usaha menyatukan parti politik di Palestine sebenarnya tidaklah menghairankan.  Ini kerana PAS, iaitu salah satu parti di dalam Pakatan Rakyat yang kononnya memperjuangkan Islam, cukup sinonim dengan perpecahan. 

Bukan kita tidak tahu bahawa antara ‘kepantangan’ di dalam PAS ialah penyatuan ummah.   Kita juga tahu ada penyokong PAS yang rela mati memerangi saudara seagama atas apa saja alasan demi untuk melihat partinya bertakhta di Putrajaya.  

Oleh yang demikian, kita tidak hairan apabila PAS langsung tidak berkongsi harapan dan kebanggaan yang dirasai oleh rakyat Malaysia yang lainnya, atas usaha Perdana Menteri untuk menyatukan umat Islam di Palestine. 

Sikap PAS yang amat memusuhi ‘penyatuan ummah’ ini terserlah dengan pemecatan Ustaz Nasharuddin Mat Isa dari Majlis Syura Ulama yang diumumkan sejurus selepas beliau pulang dari Palestine mengiringi Perdana Menteri.   

Terbuktilah sudah buat kesekian kalinya, bahawa bagi PAS, segala-galanya adalah politik, dan tiada yang lain selain politik dan politik semata-mata - termasuk nasib umat Islam Palestine.   Justeru, tindakan Ustaz Nasha mengiringi Perdana Menteri ke Gaza, dianggap PAS sebagai tindakan membelot kepada parti.  

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Hadi Awang dalam Amanatnya yang melarang memisahkan agama dan politik iaitu; menyuruh umat Islam agar merangkumkan agama ke dalam politik sehingga politiklah yang menjadi panduan kepada agama, dan bukan sebaliknya. 

Atas pegangan inilah maka kita melihat ketika umat Islam di Palestine diserang, dan umat Islam di seluruh dunia mendoakan keselamatan mereka, PAS pula berdoa agar UMNO K.O. 

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa bukan Perdana Menteri, tetapi PASlah yang menjadikan Palestine sebagai alat politik untuk mencari publisiti semata-mata dengan menggembar-gemburkan kisah kononnya mereka turut membantu serta menyebarkan gambar-gambar bendera parti mereka yang berkibar di sana.    Namun, tiada pemimpin PAS yang berani ataupun mampu berbuat apa-apa untuk membantu Palestine secara bersungguh-sungguh.  Manakala, apabila ada pemimpin mereka yang berpeluang bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk berbuat demikian, seperti Ustaz Nasharuddin Mat Isa pula, dianggap sebagai membelot. 

Apapun, kita bangga menjadi umat Islam warga Malaysia yang mana kerajaannya cukup kukuh untuk bersuara lantang dan negaranya cukup makmur untuk menghulurkan bantuan bagi memperjuangkan keamanan, terutama di negara Islam.   Lebih dari itu, kita juga bangga mempunyai pemimpin yang berani, bijak dan ikhlas yang tetap berjaya membawa Malaysia ke tahap ini walaupun masyarakat diancam perpecahan akibat ada di antara kita yang termakan hasutan syaitan. 

Pakatan Rakyat Hina Hamas?

Kesediaan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan anggota rombongannya mengambil risiko besar dengan melawat Semenanjung Gaza, Palestin minggu lalu sehingga kini masih dipertikaikan dan diperlekehkan oleh pakatan pembangkang.

Dalam lawatan itu, PM dan rombongan termasuklah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur serta Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Noordin dan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin telah meluangkan masa beberapa jam untuk melihat sendiri kesan keganasan oleh rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Di masa yang sama PM juga mengikrarkan kesediaan Malaysia untuk menjadi orang tengah dalam usaha meneruskan penyatuan Hamas dan Fatah demi kebaikan Palestin itu sendiri, disamping meneruskan bantuan kemanusiaan.

Nyata sekali keprihatinan PM tidak disenangi oleh juak-juak bawahan mahupun pucuk pimpinan PR, masing-masing cuba memberi perspesktif negatif sekalipun menyedari saat ini rakyat Palestin khususnya di Gaza terlalu mendambakan sokongan umat Islam untuk terus cekal menghadapi kezaliman Israel.

Tidak terkecuali sebuah blog pro PR yang sering menimbulkan isu kontroversi iaitu suarapakatanrakyat.com turut sama mengulasnya secara negatif semata-mata untuk meremehkan lawatan bersejarah pemimpin utama negara ke Palestin.

Blog itu yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim dan cukup mengagumi karisma kepimpinan Ketua Umum PKR itu, dalam salah satu artikelnya tanpa berselindung menyifatkan lawatan Najib ke Gaza adalah satu tindakan yang memalukan negara.

Dikaitkannya kejatuhan sementara pasaran BSKL kononnya berpunca dari lawatan tersebut sekalipun hakikatnya kejatuhan tersebut hanyalah proses biasa pasaran saham yang ada tikanya naik dan turun. Tapi disebabkan busuk hati punya pasal maka dijadikanlah lawatan PM sebagai penyebabnya.

Lebih menjelikkan lagi bila mana blog tersebut juga mempertikaikan usaha Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk menyatukan Hamas dan Fatah sebagai usaha yang sia-sia dan tidak layak pun dilaksanakan oleh Dato' Seri Najib.

Mungkin blog itu tidak mengetahui sejarah penglibatan negara ini dalam pelbagai urusan antarabangsa yang terbukti keberkesanannya termasuklah yang terbaru mencipta sejarah penting dalam membantu menyelesaikan konflik di Filipina membabitkan MILF dengan Kerajaan Filipina.

Selain itu, tindakan penulis blog suarapakatanrakyat melabelkan Hamas sebagai pihak pengganas malah mencela tindakan Dato' Seri Najib menerima penghormatan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Al-Aqsa, Gaza yang digelarnya sebagai universiti yang membiakkan aktiviti keganasan.

Hamas yang istiqamah berjuang melawan kezaliman Israel demi memerdekakan tanahair Palestin digelar pengganas dan Universiti yang menjadi tempat anak-anak Palestin menimba ilmu demi membangunkan negara dipanggil universiti pengganas.

Ini jelas satu penghinaan bukan sahaja terhadap Hamas yang telah sekian banyak menabur jasa menentang kekejaman Israel malah menghina seluruh rakyat Palestin.

Tapi bila difikirkan semula, sebenarnya tiada apa mahu dihairankan dengan penghinaan yang dilemparkan oleh blog itu. Pendirian yang dinukilkan itu jelas seiring dengan ikrar yang dilafazkan oleh idolanya, Anwar Ibrahim yang pernah berjanji untuk menjaga dan mempertahankan keselamatan negara Israel. Bapak borek anak rintik.

Khalid Ibrahim Hanya 'Tanam Tebu Di Bibir'...!


29-01-2013 07:01 Ditulis Oleh Zeanaaima Mohd Yusof

Post Pic

[ULASAN]  Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjanjikan rakyat dan sektor perniagaan di Selangor ketelusan dan keadilan dalam setiap tindakan kerajaan negeri.

Namun dengan pilihan raya umum semakin hampir, beliau menzahirkan janji itu sebagai “menanam tebu di bibir” apabila menangani isu pembinaan kondominium di Batu Caves.

Projek berjuta-juta ringgit itu dibatalkan menerusi SATU kenyataan akhbar yang dikeluarkan selepas hanya SATU mesyuarat jawatankuasa khas kerajaan negeri yang ditubuhkan bagi menangani isu itu.
Anehnya pemaju – Dolomite Park Avenue – tidak diberi peluang menjelaskan kenapa projek itu tidak membahayakan alam sekitar atau menjadi risiko keselamatan sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu.

Sebaliknya Khalid hanya berpandukan kepada penjelasan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor kepada jawatankuasa berkenaan dalam mesyuarat tunggalnya.

Satu lagi keanehan ialah kelulusan awal untuk Dolomite meneruskan projek itu datang daripada Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor. Kini jabatan sama memberi perakuan bahawa projek itu tidak selamat.

Dalam kenyataan Khalid, tidak pula ada penjelasan kenapa Dolomite tidak diberi peluang membela diri.

Tidak juga dinyatakan sebab-sebab projek itu dibatalkan secara terperinci, cuma “demi menjaga keselamatan orang ramai dan memelihara alam sekitar,” maka ia dibatalkan.

Inilah “cap mohor” ketelusan dan keadilan Pakatan Rakyat di Selangor. Tentunya ia bukan kes pertama diambil di mana keputusan tergesa-gesa diambil demi agenda politik kepartian.
Seperkara lagi yang menarik ialah Khalid menuduh Perdana Menteri sebagai hanya mencari kemenangan politik apabila menjanjikan projek itu akan dibatalkan jika Barisan Nasional menawan semula Selangor.

Selepas dua bulan membuat tuduhan itu, Khalid mengambil keputusan sama iaitu membatalkan projek itu tanpa melalui proses keadilan semulajadi (natural justice) kepada syarikat pemaju mahupun pembeli unit-unit berkenaan.

Keghairahan untuk mengekalkan kuasa di Selangor dan “rasa takut” untuk berdepan dengan pengundi kaum India mendorong Khalid menunjukkan belang Pakatan Rakyat yang sebenar, sekali lagi.

Bagi sektor swasta, pengalaman yang dilalui oleh Dolomite pasti menjadi peringatan pahit bahawa kata-kata manis orang politik Pakatan Rakyat tidak bererti jika tindakan dan perlakuan adalah tanpa prinsip mahupun maruah diri.

Bagaimanapun bagi Khalid, itu tidak mengapa asalkan Pakatan Rakyat menang sokongan pengundi Hindu di Batu Caves. Begitu mudah sifir politik Khalid.

PAS Berideologikan Khawarij? Soal ILMU



02:09pm, 28 Januari 2013

SHAH ALAM: Pemimpin PAS diingatkan supaya tidak tergolong dalam kelompok neo-Khawarij yang berselindung di sebalik imej warak, kata Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia (ILMU), Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji.

Kata beliau, berdasarkan ilmu akidah ahli sunnah wal jamaah, ahli PAS kini adalah sebuah jemaah yang menyimpang lantaran mengikut manhaj tokoh kaum Khawarij klasik, Abdul Rahman Muljam.

Tajuddin berkata, pengikut tokoh ini lebih 'alim' dan warak dari segi luarannya berbanding ahli sunnah.

"Gambaran luaran boleh menipu umat manusia dengan membawakan syurga dan neraka serta menghidupkan orang mati.

"Namun lebih penting daripada 'gambaran luaran' adalah masalah keimanan. Walaupun mendapat gelaran Mursyidul Am, berjubah siang malam, dikeramatkan dan diagungkan, namun apabila akidahnya adalah Khawarij, tetap masuk neraka sekiranya tanpa taubat," memetik tulisan Ahmad Tajuddin dalam Utusan Malaysia.

Tambah beliau lagi, pengikut Khawarij hari ini berselindung di sebalik kopiah dan jubah serta mendapat gelaran mulia atas nama agama. 

Justeru, masyarakat perlu mengetahui tentang akidah Khawarij sepertimana yang ditafsirkan melalui kitab Talbis iblis bagi menghindari daripada terjebak dengan pemikiran Khawarij yang disifatkan seperti anjing ahli neraka.

"Bertaubatlah selagi belum ajal menjelma, kelak takut diancam menjadi anjing neraka.

"Syeikh Ahmad Syakir seorang ulama hadis Mesir pernah mengatakan: 'Ikhwanul Muslimin adalah Khawarij abad ini' pada tahun 1960-an dulu yang buktinya hari ini Mesir bergolak.

"Maka tidakkah keterlaluan kita katakan PAS adalah sebuah parti berideologi Khawarij di Malaysia?," katanya.

Sunday, January 27, 2013

Pedang Cura Simanja Kini dan Mengapa Melayu Dilarang Derhaka Kepada Sultan



Alat-alat kebesaran diraja negeri Perak Darul Ridzuan merupakan peralatan yang paling unggul dan amat dihormati kerana usianya yang menjangkau ratusan tahun dan digunakan didalam istiadat pertabalan sesorang Sultan Perak Darul Ridzuan. Kesultanan Melayu Perak diasaskan 485 tahun lalu dan semenjak itu, peralatan berkenaan telah ada malah sebahagian daripadanya berusia lebih lama lagi terutamanya peralatan yang diwarisi dari Kesultanan Melayu Melaka. Ada juga sesetengah daripada peralatan ini digunakan oleh Sultan dan Raja Perempuan/Raja Pemaisuri dalam sesetengah istiadat atau upacara kebesaran diraja yang lain selain dari Pertabalan. Pedang Cura Simanja Kini, Rantai Bunga Niyur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ular Lidi dan Cop Halilintar merupakan sebahagian alat kebesaran yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka daripada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah.

Manakala alat-alat kebesaran yang lain seperti Puan Naga Taru, Puan Bujur (tepak sireh emas), Keris Warisan Bermata Emas dan Keris Taming Sari merupakan alat kebesaran negeri yang turut dibawa oleh Sultan Perak Pertama Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I semasa pertabalan baginda pada 1528. Baginda merupakan putera kepada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah.  Walau bagaimanapun dikatakan terdapat beberapa peralatan asal yang telah hilang dalam peredaran zaman.  Ada beberapa alat lagi ditambah sebagai alat kebesaran dari masa kesemasa seperti Lembing Kerajaan (16), Payung Kerajaan (16) dan Payung Diraja (2).

Hari ini Syah hendak berkongsi maklumat dengan anda mengenai Pedang Cura Simanja Kini. Mengikut sumber lisan, Pedang Cura Simanja Kini adalah kepunyaan Nila Utama atau Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana atau disebut sebagai Sang Sapurba yang merupakan Raja Palembang dari Bukit Siguntang Mahameru, Palembang.  Pedang ini juga telah menyelamatkan Minangkabau dari keganasan ular Saktimuna apabila Sang Sapurba mengarahkan Permasku Mambang menggunakan pedang ini untuk membunuh ular Saktimuna. Pedang Cura Simanja Kini telah diwarisi oleh putera Sang Sapurba iaitu Sang Nila Utama atau Parameswara   dan dipakai oleh Parameswara ketika ditabalkan sebagai Maharaja Melaka pertama  bergelar Sultan Iskandar Shah pada tahun 1400.  Bermula dari sini, Pedang Cura Simanja Kini menjadi perkakas Kerajaan Melaka sehinggalah kejatuhannya pada 1511. Pedang ini kemudiannya diwarisi oleh putera Sultan Melaka Terakhir iaitu Raja Muzaffar ibni Sultan Mahmud Shah yang kemudiannya bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak Pertama yang memerintah pada tahun 1528 hingga 1549.

Dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak, Pawang Diraja akan mempersembahkan Pedang Cura Simanja Kini kepada baginda Sultan dan baginda akan menyambut dan menghunus Pedang Cura Simanja Kini lalu mengucupnya. Kemudiannya Pedang Cura Simanja Kini di sandang kebahu baginda Sultan.  Kaedah ini dikatakan menyerupai perbuatan yang dilakukan oleh Sang Sapurba ketika baginda berwaad dengan Demang Lebar Daun, iaitu mengakui setia dan berikrar memainkan peranan sebagai Raja dan Rakyaat Melayu hingga keanak cucu dan keturunan mereka iaitu kita semua sebagai orang Melayu hingga hari ini.

Mengikut Sejarah Melayu perjanjian berkenan adalah seperti berikut :-

Maka titah Sang Sapurba, 'Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu' Maka sembah Demang Selebar Daun. 'Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan menjadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan ; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosapun, janganlah difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak'.

Maka titah Sang Sapurba, 'Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.' Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Janji yang mana itu, Tuanku?' Maka titah Sang Sapurba, 'Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.'

Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Baiklah, Tuanku.  Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.' 

Maka titah Sang Sapurba, 'Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.'

Maka bagindapun bersumpah-sumpahan barangsiapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya keatas.Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Mereka ; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.  Jikalau  ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa.  Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.

Itulah serba sedikit yang boleh Syah kongsi bersama anda mengenai Pedang Cura Simanja Kini dan mengapa sebenarnya kita sebagai orang Melayu dilarang menderhaka kepada Sultan dan seorang Sultan pula harus berlaku adil dan saksama kepada rakyatnya.  Dari sinilah datangnya ungkapan Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Di Sanggah.  Daulat Tuanku ............ Dirgahayu Tuan Patik.

Sumber :- Cempaka Sari / Sejarah Melayu / Biografi Bergambar DYMM Sultan Azlan Shah
 dipetik dari blog : tengkusyah.blogspot.com