Saturday, May 21, 2011

Gempar! Lebih 20 Anak Yatim Tertimbus Bersama Rumah Dalam kejadian Tanah Runtuh Ulu Langat !

Kira-kira 20 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat hari ini.

Setakat pukul 5.30 petang ini, lapan daripada mereka telah dikeluarkan daripada runtuhan itu oleh pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Seorang daripada mereka meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat manakala tujuh lagi yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Difahamkan ketika kejadian kira-kira 2.30 petang tadi, semua kanak-kanak itu sedang berada di dewan makan rumah anak-anak yatim itu. - Bernama




Satu lagi mayat dikeluarkan

HULU LANGAT: Satu lagi mayat kanak-kanak penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal dikeluarkan dari tapak kejadian tanah runtuh kira-kira jam 6.15 petang tadi.

Walaupun dalam hujan lebat, kerja menyelamat oleh pihak berkuasa masih diteruskan bagi mengeluarkan 15 mangsa yang tertimbus termasuk empat kakitangan pengurusan rumah berkenaan.

Setakat ini, seramai 9 orang telah berjaya dikeluarkan dengan tiga kanak-kanak terkorban dan enam cedera.

Kesemua mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan dan bedah siasat.


Berita Harian

No comments: