Showing posts with label pena minang. Show all posts
Showing posts with label pena minang. Show all posts

Thursday, September 4, 2014

AKTA HASUTAN 1948 DIWUJUDKAN OLEH MEREKA YANG FAHAM KELEMAHAN DEMOKRASI

Oleh : AJ

Wujud satu gerakan baru di Malaysia yang mahu menghapuskan akta hasutan 1948 dari undang-undang Malaysia.

Mungkin mereka yang mahu menghapuskan akta ini tidak terfikir bahawa akta ini diwujudkan oleh mereka yang lebih memahami mengenai demokrasi.

Tidak lain dan tidak bukan adalah British. Tidakkah mereka ketahui bahawasanya Britishlah yang memutuskan agar perjalanan politik dan pemerintahan Tanah Melayu ditentukan melalui jalan demokrasi. Melalui sistem pilihanraya. Dan bukannya lagi bersandarkan kepada konsep raja berkuasa mutlak sepertimana yang terpakai di Brunei.

Namun British mengetahui bahawa, memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada rakyat Tanah Melayu atas nama demokrasi bakal membawa musibah yang lebih buruk kepada keselamatan dan keamanan di Tanah Melayu. Lebih-lebih lagi Tanah Melayu sendiri sudah mempunyai satu komuniti rakyat yang terdiri dari berbilang bangsa yang masing-masing terpisah dari aspek agama, kebudayaan dan cara hidup.

Ancaman komunis juga dikatakan sebagai punca Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan diwujudkan. Namun adakah disebabkan ancaman komunis menyebabkan British mewujudkan akta seperti ini?

British merupakan pihak penjajah yang amat memahami sosiobudaya negara dan psikologi bangsa yang dijajahnya. Oleh kerana itulah kita melihat, British berjaya menakluk Tanah Melayu bukan dari jalan peperangan, sebaliknya melalui jalan diplomasi. Memang wujud beberapa siri peperangan, namun ianya hanyalah peperangan 'kecil-kecilan' yang tidak berskala besar.

Kembali kepada Akta Hasutan. Ketika wujud gerakan pengganas Komunis di Tanah Melayu, sememangnya wujud jurang yang besar diantara orang Melayu dan orang Cina. Kebanyakkan Orang Cina di Tanah Melayu pro-komunis kerana pengaruh dari negara asal mereka. Sepertimana yang kita ketahui China merupakan sebuah negara komunis terbesar di dunia. Dan sehingga hari ini, negara tembok besar itu terus menggunakan sistem yang sama dalam mentadbir negara berkenaan.  

Orang Melayu pula tidak tertarik dengan komunis. Jika ada pun, ianya boleh dikira dengan jari. Salah satu punca mengapa orang Melayu tidak tertarik dengan Komunis adalah latar belakang politik mereka yang masih taat kepada Sultan. Dan ketika itu, kesemua Sultan-Sultan Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan British.

Dan British juga tahu, memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan memberikan demokrasi terbuka bukanlah jalan terbaik untuk mengekalkan keamanan di Tanah Melayu. Setiap bangsa di Tanah Melayu mempunyai pemikiran radikal yang amat berbahaya kepada sebuah negara yang baru Merdeka.

Parti Komunis Malaya pada asalnya bukanlah sebuah parti yang diharamkan di Tanah Melayu. Ianya adalah sebuah parti yang sah seperti parti-parti atau pertubuhan yang ada sebelum merdeka. Namun disebabkan propaganda komunis yang dilihat amat mengancam ketenteraman dan keselamatan masyarakat awam, maka parti tersebut diharamkan.

Jadi 'key factor' mengapa British, sebuah negara yang mengamalkan demokrasi mewujudkan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri hanyalah bertujuan mengekalkan keamanan di negara jajahannya - Tanah Melayu. Jadi, jika British yang 'dah lama' mengamalkan demokrasi pun masih mewujudkan undang-undang bersifat 'mencegah', kenapa kita yang baru nak 'mengenal' erti demokrasi ini terburu-buru nak menghapuskannya?

Memang benar, negara kita sekarang boleh dikatakan sudah bebas dari pengaruh komunis, namun jangan dilupakan, komunis bukannya banggunan atau orang perseorangan. Komunis adalah ideologi. Ideologi tidak memerlukan banggunan, warna-warna tertentu untuk mempotretkan watak mereka. Dan Ideologi tidak akan mati. Pastinya 'komunis lampau' mempelajari kesilapan mereka. Maka untuk misi yang akan datang, mereka tidak lagi menggunakan nama dan panggilan komunis. Sebaliknya cukup menamakan diri mereka dengan nama-nama yang berhampiran dengan 'demokrasi' agar kecenderungan mereka tidak terlalu kelihatan kepada komunisme. Namun dalam masa yang sama mereka terus membiarkan sayap pemuda mereka mengangkat nama 'sosialis' sebagai 'tanda' bahawa mereka masih terus mempertahankan agenda komunis 'demokrasi' mereka.

Pada akhirnya, negara memerlukan satu undang-undang yang bersifat mencegah dari sesuatu kejadian buruk dari berlaku. Bak kata pepatah orang Melayu, 'Mencegah dari mengubati.' Sudahlah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan gara-gara terikut-ikut rentak pembangkang, yang mana telah memberikan 'pisau' kepada kelompok manusia tak sedar diri bercakap dan memaki tanpa sebarang batasan. Kini kita berikan lagi 'pisau' kepada puak-puak yang sememangnya tak tahu bersyukur.

Semoga Pak-Pak Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen berfikir semula secara terperinci kepentingan akta hasutan dalam menjamin keamanan dan keselamatan negara Malaysia yang tercinta ini.

Kekalkan Akta Hasutan.
Kembalikan I.S.A


sumber dari pena minang

Tuesday, January 7, 2014

Isu Gambar Jet Baru, Dr Maza dan Admin Akui Silap Sebar Gambar Fitnah

Masyarakat pada hari ini secara tiba-tiba kecoh, memperkatakan mengenai sekeping gambar hiasan dalaman sebuah pesawat yang dimuatnaik oleh bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin di dalam laman facebook rasminya. Tidak cukup dengan itu, dia turut mendakwa hiasan tersebut adalah merupakan gambaran di dalam pesawat baru yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Cantik dan mewah hiasan dalam jet baru Putrajaya, menurut laporan tahun 2012 kos perjalanan 'Putrajaya' lebih 180 juta... bersyukur negara kita mewah", menurutnya lagi.

Paling menarik, apabila para blogger Umno membuktikan bahawa gambar tersebut adalah merupakan sekeping gambar palsu, Dr Asri dengan segara membuat pusingan ‘u-turn’ dengan meletakkan kesalahan tersebut kepada pengendali (admin) laman sosial beliau. Kononnya tindakan tersebut dilakukan tanpa merujuk atau mendapat kelulusan dari pihak beliau sendiri.

Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sosial rasmi beliau berhubung perkara tersebut:

“ Pihak DrMAZA.com memohon maaf atas gambar 'hiasan pesawat' kerajaan sebelum ini. Gambar itu sebenarnya dikeluarkan oleh Malaysia Chronicle. Adapun kos 180 juta tahun 2012 memang laporan kebanyakan media. Di samping bersyukur atas kekayaan negara, kita juga menunggu gambar rasmi yang sebenar. Atas sikap adil DrMAZA.com telah menyiarkan jawapan rasmi Pejabat PMO sebelum ini.

“ [admin] Pihak Admin memohon maaf kepada Prof Madya Dato' Dr MAZA (Dr Asri) dan followers page ini atas gambar yang tidak tepat tentang Jet Putrajaya sebelum ini. Pihak Prof Madya Dato' Dr MAZA telah mengarah admin menarik balik gambar tersebut dan sudah pun ditarik. Ada jumlah 180 juta itu adalah bersumberkan laporan berasas. Sesiapa yang ada gambar sebenar harap dapat bantu pihak admin.”

Di dalam kenyataan di atas, admin beliau secara jelas menyatakan permohonan maaf terhadap Dr Asri di atas kesilapan yang dilakukan itu. Dalam erti kata mudah, yang salah adalah admin page tersebut, dan bukannya Dr Asri sendiri kerana telah dilakukan tanpa pengetahuan dirinya.

Tambah menarik, mungkin kerana ini menjaga air muka atau maruah Dr Asri sebagai tokoh agamawan yang disegani ramai, dia ingin mengatakan yang salah hanya gambar, tetapi kenyataan terhadap gambar tersebut adalah merupakan fakta dari laporan yang berasas.

Sedangkan sekiranya dirujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri sebelum ini, sewaan terhadap pesawat ACJ A320 di antara 1 Februari - 31 Disember 2013 (mungkin itu yang beliau maksudkan dengan jet baru Putrajaya) adalah disebabkan pesawat sedia terpaksa dihantar untuk urusan penyelenggaraan.

Dalam erti kata lain, sebagai langkah berjimat-cermat kerajaan hanya menyelenggarakan pesawat-pesawat yang lama agar boleh digunakan kembali, berbanding membeli pesawat baru bagi digunakan untuk tugasan rasmi. Namun semua itu tidak dibangkitkan oleh Dr Asri walaupun beliau merupakan seorang tokoh agama yang disegani.

Mungkin kerana telah dikritik oleh pelbagai pihak atas tindakan tersebut, barulah pihak admin page tersebut meletakan kenyataan rasmi dari Pejabat Perdana Menteri, itu pun setelah 2 jam penyataan maaf itu dikeluarkan.

Namun apa yang mendukacitakan ialah, sehingga artikel ini ditulis, langsung tiada sebarang permohonan maaf secara rasmi dari pihak Dr Maza sendiri mahupun admin beliau terhadap Perdana Menteri selaku orang yang dikaitkan secara langsung dengan fitnah tersebut.

Sedangkan disebabkan gambar tersebut, pelbagai persepsi, cacian, sindiran dan sebagainya telah dilemparkan kepada Perdana Menteri. Mereka menuduh kononnya kerajaan tidak prihatin, boros, membazir dan tidak kurang juga yang mengeji dengan pelbagai kata-kata nista.

Oleh yang demikian, Dr Asri dan pihak admin yang mengendalikan page tersebut perlu memikul tanggungjawab dengan memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri atas tindakan tersebut dan bukan hanya kepada followers page tersebut.

Ini kerana perkara tersebut melibatkan 3 pihak secara langsung iaitu, tuan empunya diri (Dr Asri), orang yang tertipu (followers) dan yang paling penting Perdana Menteri selaku orang yang menerima kesan terhadap fitnah tersebut.