Showing posts with label aktahasutan. Show all posts
Showing posts with label aktahasutan. Show all posts

Thursday, September 4, 2014

AKTA HASUTAN 1948 DIWUJUDKAN OLEH MEREKA YANG FAHAM KELEMAHAN DEMOKRASI

Oleh : AJ

Wujud satu gerakan baru di Malaysia yang mahu menghapuskan akta hasutan 1948 dari undang-undang Malaysia.

Mungkin mereka yang mahu menghapuskan akta ini tidak terfikir bahawa akta ini diwujudkan oleh mereka yang lebih memahami mengenai demokrasi.

Tidak lain dan tidak bukan adalah British. Tidakkah mereka ketahui bahawasanya Britishlah yang memutuskan agar perjalanan politik dan pemerintahan Tanah Melayu ditentukan melalui jalan demokrasi. Melalui sistem pilihanraya. Dan bukannya lagi bersandarkan kepada konsep raja berkuasa mutlak sepertimana yang terpakai di Brunei.

Namun British mengetahui bahawa, memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada rakyat Tanah Melayu atas nama demokrasi bakal membawa musibah yang lebih buruk kepada keselamatan dan keamanan di Tanah Melayu. Lebih-lebih lagi Tanah Melayu sendiri sudah mempunyai satu komuniti rakyat yang terdiri dari berbilang bangsa yang masing-masing terpisah dari aspek agama, kebudayaan dan cara hidup.

Ancaman komunis juga dikatakan sebagai punca Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan diwujudkan. Namun adakah disebabkan ancaman komunis menyebabkan British mewujudkan akta seperti ini?

British merupakan pihak penjajah yang amat memahami sosiobudaya negara dan psikologi bangsa yang dijajahnya. Oleh kerana itulah kita melihat, British berjaya menakluk Tanah Melayu bukan dari jalan peperangan, sebaliknya melalui jalan diplomasi. Memang wujud beberapa siri peperangan, namun ianya hanyalah peperangan 'kecil-kecilan' yang tidak berskala besar.

Kembali kepada Akta Hasutan. Ketika wujud gerakan pengganas Komunis di Tanah Melayu, sememangnya wujud jurang yang besar diantara orang Melayu dan orang Cina. Kebanyakkan Orang Cina di Tanah Melayu pro-komunis kerana pengaruh dari negara asal mereka. Sepertimana yang kita ketahui China merupakan sebuah negara komunis terbesar di dunia. Dan sehingga hari ini, negara tembok besar itu terus menggunakan sistem yang sama dalam mentadbir negara berkenaan.  

Orang Melayu pula tidak tertarik dengan komunis. Jika ada pun, ianya boleh dikira dengan jari. Salah satu punca mengapa orang Melayu tidak tertarik dengan Komunis adalah latar belakang politik mereka yang masih taat kepada Sultan. Dan ketika itu, kesemua Sultan-Sultan Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan British.

Dan British juga tahu, memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan memberikan demokrasi terbuka bukanlah jalan terbaik untuk mengekalkan keamanan di Tanah Melayu. Setiap bangsa di Tanah Melayu mempunyai pemikiran radikal yang amat berbahaya kepada sebuah negara yang baru Merdeka.

Parti Komunis Malaya pada asalnya bukanlah sebuah parti yang diharamkan di Tanah Melayu. Ianya adalah sebuah parti yang sah seperti parti-parti atau pertubuhan yang ada sebelum merdeka. Namun disebabkan propaganda komunis yang dilihat amat mengancam ketenteraman dan keselamatan masyarakat awam, maka parti tersebut diharamkan.

Jadi 'key factor' mengapa British, sebuah negara yang mengamalkan demokrasi mewujudkan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri hanyalah bertujuan mengekalkan keamanan di negara jajahannya - Tanah Melayu. Jadi, jika British yang 'dah lama' mengamalkan demokrasi pun masih mewujudkan undang-undang bersifat 'mencegah', kenapa kita yang baru nak 'mengenal' erti demokrasi ini terburu-buru nak menghapuskannya?

Memang benar, negara kita sekarang boleh dikatakan sudah bebas dari pengaruh komunis, namun jangan dilupakan, komunis bukannya banggunan atau orang perseorangan. Komunis adalah ideologi. Ideologi tidak memerlukan banggunan, warna-warna tertentu untuk mempotretkan watak mereka. Dan Ideologi tidak akan mati. Pastinya 'komunis lampau' mempelajari kesilapan mereka. Maka untuk misi yang akan datang, mereka tidak lagi menggunakan nama dan panggilan komunis. Sebaliknya cukup menamakan diri mereka dengan nama-nama yang berhampiran dengan 'demokrasi' agar kecenderungan mereka tidak terlalu kelihatan kepada komunisme. Namun dalam masa yang sama mereka terus membiarkan sayap pemuda mereka mengangkat nama 'sosialis' sebagai 'tanda' bahawa mereka masih terus mempertahankan agenda komunis 'demokrasi' mereka.

Pada akhirnya, negara memerlukan satu undang-undang yang bersifat mencegah dari sesuatu kejadian buruk dari berlaku. Bak kata pepatah orang Melayu, 'Mencegah dari mengubati.' Sudahlah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan gara-gara terikut-ikut rentak pembangkang, yang mana telah memberikan 'pisau' kepada kelompok manusia tak sedar diri bercakap dan memaki tanpa sebarang batasan. Kini kita berikan lagi 'pisau' kepada puak-puak yang sememangnya tak tahu bersyukur.

Semoga Pak-Pak Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen berfikir semula secara terperinci kepentingan akta hasutan dalam menjamin keamanan dan keselamatan negara Malaysia yang tercinta ini.

Kekalkan Akta Hasutan.
Kembalikan I.S.A


sumber dari pena minang

Tuesday, January 21, 2014

Edmund Bon Harus diTangkap di bawah Akta Hasutan!

Seorang peguam, Edmund Bon, semalam, telah membuat kenyataan di portal Malaysian Insider bahawa bukan Islam tidak perlu patuh kepada Yang di-Pertuan Agong.   Alasan beliau, titah Yang di-Pertuan Agong mengenai kalimah ‘Allah’ merupakan hak ekslusif umat Islam, adalah sebuah fatwa, yang mana hanya terpakai ke atas orang-orang Islam serta tidak melibatkan bukan Islam. 

Kita ingin membantah hujah Edmund Bon yang amat dangkal lagi tidak berpijak di bumi nyata. 

Yang di-Pertuan Agong sebenarnya telah bertitah atas kapasiti baginda sebagai Ketua Negara dan bukannya Ketua Agama Islam semata-mata.  Sebuah fatwa perlu melalui Majlis Fatwa dan ianya haruslah berkaitan amal ibadah atau hal-ehwal perundangan syariah yang melibatkan umat Islam.  

Berdasarkan hakikat ini, maka titah Yang di-Pertuan Agong tersebut ternyata bukanlah berkenaan hal ehwal ibadah umat Islam semata-mata tetapi berkenaan sekalian rakyat serta bersandarkan undang-undang dan juga keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan negara. 

Justeru, adalah salah menyatakan bahawa titah baginda adalah fatwa.  Sebaliknya, ia adalah perintah kepada seluruh rakyat jelata agar akur dengan undang-undang negeri yang menetapkan bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah.

Tindakan Edmund Bon mempertikai dan merendah-rendahkan titah murni Yang di-Pertuan Agong adalah jelas berupa hasutan di mana beliau dilihat sengaja membangkitkan rasa tidak hormat kepada Institusi diRaja negara ini. 

Edmund Bon cuba meletakkan garis pemisah antara orang-orang Melayu dengan bukan Melayu dengan menggambarkan seolah-olah bukan Melayu tidak perlu hormat kepada Sultan dan Raja-raja mahupun Yang di-Pertuan Agong.  Dalam kata lain, Edmund Bon memberitahu warga bukan Melayu bahawa mereka tidak terikat dengan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan yang digunapakai di negara ini. 

Sekiranya Edmund Bon merupakan seorang warga Thailand yang menghina Raja mereka, tentu sekali beliau akan dikenakan hukuman berat.  Namun, di Malaysia nampaknya undang-undang kita begitu longgar kerana sehingga kini Edmund masih bebas berkeliaran menghasut rakyat jelata agar tidak menghormati Sultan. 

Tindakan Edmund Bon bukan sahaja derhaka, tetapi juga merbahaya selain melanggar undang-undang di bawah Akta Hasutan. 

Selama ini, warganegara Malaysia dari kalangan bukan Melayu sering menepis tuduhan orang-orang Melayu bahawa mereka tidak setia pada negara ini.  

Namun, apa yang dilakukan oleh Edmund Bon memberikan asas dan alasan kukuh kepada orang-orang Melayu untuk terus mempertikai kesetiaan kaum bukan Melayu terhadap negara.  Terserlah kini bahawa sememangnya ramai di kalangan kaum bukan Melayu yang enggan menerima dan menghayati aspirasi negara serta sentiasa menentang sistem dan perlembagaannya.   

Bagi mereka ini, apa yang tertulis dalam Rukunegara iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ langsung tidak bermakna apa-apa.  Malah, tidak mustahil mereka langsung tidak tahu apa itu Rukunegara.   Ini dengan sendirinya menunjukkan betapa lemahnya struktur  negara ini.   

Rakyat yang tidak berpegang kepada Rukunegara tidak layak mengaku sebagai warganegara.  Seharusnya Edmund Bon dan sesiapa sahaja yang setuju dengan beliau, dilucutkan saja kewarganegaraan.  Sudah sampai masanya orang seperti Edmund Bon dikenakan tindakan. 

Malaysia tidak memerlukan rakyat yang derhaka dan tidak setia.  Negara ini pastinya sukar untuk dimajukan selagi penghasut dan penderhaka ini wujud dan bebas menentang dan mempertikai undang-undang dan titah baginda Sultan. 

Rakyat Malaysia perlu dididik agar kembali kepada Rukunegara sebelum kita mampu bangun menjadi negara dunia pertama sepertimana yang dicita-citakan. Rakyat perlu disatukan di bawah payung dan aspirasi yang sama, dengan semangat patriotisme yang jitu sebelum kita mampu mengorak langkah pasti ke destinasi yang diinginkan.   

Jika tidak, percayalah bahawa Malaysia tidak akan ke mana-mana dan hampir pasti akan hancur jua.