Wednesday, September 4, 2013

Tingkatkan Jumlah BR1M RM300, Tingkatkan Khidmat Pengangkutan Awam


Ramai yang merasa lega apabila kerajaan mengumumkan bahawa penjimatan RM3.3 bilion menerusi pengurangan subsidi bahan api akan digunakan semula untuk kepentingan rakyat.   Justeru, ramai yang ternanti-nanti bagaimanakah RM3.3 billion tersebut akan dimanfaatkan. 

Apa yang telah diketahui ialah kerajaan bakal meningkatkan jumlah BR1M kepada golongan berpendapatan rendah.  Tetapi jumlahnya tidak lagi diumumkan. 

Oleh itu, adalah dicadangkan agar kerajaan meneliti secara mendalam dengan mengambil-kira pandangan dan nasihat pihak-pihak yang berpengalaman dan pakar sebelum membuat apa-apa keputusan mengenai RM3.3 billion ini.   Ini kerana kita tidak mahu kerajaan sekali lagi dikritik kerana membuat keputusan sebelum mengkaji terlebih dahulu kesan ke atas semua pihak serta alternatif lain sepertimana yang berlaku dalam isu pengurangan subsidi minyak ini. 

Beberapa pihak telah membayangkan yang BR1M akan ditingkatkan sehingga RM1000 hingga RM1500.  Namun, umum tahu bahawa pemberian tunai sebegini tidak akan membawa manfaat untuk jangka masa panjang.  Sehubungan dengan itu, inilah dicadangkan agar BR1M ditingkatkan semaksima RM300 sahaja.  Adalah dikhuatiri, pemberian tunai yang semakin meningkat sedikit demi sedikit mampu membawa risiko di mana rakyat sudah terbiasa dan sentiasa mengharapkan kenaikan di masa depan. 

Apa yang lebih penting ialah kerajaan memanfaatkan penjimatan tersebut untuk jangka panjang iaitu seperti projek-projek infrastruktur, pendidikan, dan juga pembangunan ekonomi bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana secara lebih menyeluruh. 

Seperti yang kita sedia maklum, golongan yang paling teruk terjejas dengan kenaikan harga minyak adalah golongan berpendapatan sederhana di bandar. 

Memandangkan isu utama yang timbul dari kenaikan harga minyak ialah ‘pengangkutan’, maka adalah lebih sesuai jika kerajaan memberi penekanan yang lebih dalam menambahbaikkan pengangkutan awam di bandar.  Pada masa ini, pengangkutan awam di Malaysia kebanyakkannya hanya digunakan oleh mereka-mereka yang benar-benar tidak punya pilihan iaitu mereka yang tiada kenderaan.  Manakala, yang mempunyai kenderaan tidak sanggup menggunakannya kerana ia begitu sukar untuk didapati sama ada di kawasan pedalaman mahupun di bandar-bandar besar. 

Perkhidmatan bas masih tidak meluas dan tidak sampai ke seluruh pelusuk jalan dan lorong di kawasan perumahan selain ia juga tidak mungkin dapat melalui semua stesen-stesen komuter atau LRT.  Justeru, ramai yang terpaksa menukar bas atau stesen untuk ke tempat tertentu sedangkan pengangkutan awam antara tempat-tempat tersebut pula tersangat terhad.

Dengan keadaan lalulintas yang sesak, ramai yang terpaksa menghabiskan berjam-jam antara satu pengangkutan kepada pengangkutan lain untuk menuju ke destinasi. Itu belum lagi mengambilkira masa menunggu bas atau teksi yang jarang-jarang sekali.  Lebih teruk apabila terdapat di kalangan pemandu-pemandu teksi yang gemar memilih destinasi dan kadangkala enggan menggunakan meter yang mana menyebabkan ramai yang merasa serik ditipu. 

Melainkan jumlah bas di tambah dengan perjalanan lebih kerap dan lebih meluas, maka rakyat Malaysia akan terus memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri walaupun kosnya semakin hari semakin meningkat.  Sudah tentu keadaan ini tidak baik untuk negara kerana ia turut menyumbang kepada kesesakan lalulintas dan  juga pencemaran udara.   

Kesimpulannya, matlamat utama yang harus dipegang oleh kerajaan dalam memanfaatkan penjimatan dari pengurangan subsidi minyak ialah dengan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam.  Sudah sampai masanya kerajaan menumpukan kepada usaha untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan pertama rakyat Malaysia demi kebaikan semua. 

No comments: