Wednesday, February 6, 2013

Krisis Air: RM120 Juta Sepatutnya Dari Kerajaan Selangor Bukannya Kerajaan Pusat


Kerajaan PKR Selangor yang diketuai Menteri Besar, Khalid Ibrahim dalam kebanyakan kenyataan media seringkali menuding jari menyalahkan kelemahan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebagai punca berlakunya krisis air di Selangor. 

SYABAS dituduh tidak berupaya menambah baik sistem bekalan air termasuk menukar ganti paip air lama yang menyebabkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) di negeri itu masih berada di paras yang tinggi.

Serentak dengan itu juga Khalid menjadikan alasan tersebut untuk  menjustifikasikan pentingnya penstrukturan semula perkhidmatan air di negeri itu.

Walhal umum mengetahui sejak Selangor diambil alih oleh PKR, kerajaan negeri telah bertindak membekukan perbelanjaan modal (Capex), akibatnya pemegang konsesi air itu terpaksa menghentikan kerja pembaikan serta menaik taraf paip.

Bila mana naik taraf paip air dihentikan disebabkan Capex disekat, bermakna sasaran 19.98% NRW gagal dicapai. Tanyalah sesiapa pun hatta kanak-kanak yang baru masuk sekolah rendah pun tahu, tanpa modal perbelanjaan tidak mungkin barang lama berganti baru.

Sedangkan ramai yang maklum sekiranya Capex tidak disekat, sasaran tersebut tidak mustahil dicapai. Sebagai contoh, dengan adanya Capex hasilnya pada tahun 2005 NRW yang ketika itu ialah 42.78% telah berjaya dikurangkan kepada 37.65 peratus.

Manakala bagi tahun 2008 37.28% NRW berjaya diturunkan kepada 33.17%. Namun selepas Kerajaan PKR Selangor menyekat SYABAS menggunakan modal perbelanjaan Capex kesannya NRW kekal diparas 33%.

Jelas sekali tujuan Kerajaan PKR Selangor menyekat Capex tujuannya tak lain tak bukan untuk mensabotaj SYABAS supaya orang ramai akan memfokuskan kemarahan mereka kepada syarikat konsesi air itu selanjutnya menyokong saranan MB Selangor untuk penstrukturan semula bekalan air.

Menyedari masalah yang dihadapi SYABAS jika gagal ditangani segera kesan tempiasnya akan menyebabkan orang ramai berdepan risiko masalah bekalan air bersih akhirnya Kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengambil inisiatif memberi peruntukan tambahan RM120 juta.

Peruntukan itu adalah tambahan kepada dana RM606 juta yang telah diberikan kepada Syabas sebelum ini bertujuan untuk menambah baik bekalan air sekaligus mampu mengurangkan kesan sampingan terhadap kehidupan rakyat Selangor.

Sepatutnya PKR dan rakan sepakatannya dalam PR yang memerintah Selangor tika ini yang sebetul-betulnya perlu memikul tanggungjawab membantu SYABAS apatah lagi Kerajaan Negeri sendiri memiliki kepentingan 30% dalam syarikat konsesi air itu.

Dengan kata lain bantuan kewangan RM120 juta mahupun RM606 juta itu patutnya adalah tanggungjawab Kerajaan PKR Selangor dan bukannya Kerajaan Pusat. Tapi disebabkan MB yang paling lembap dalam sejarah negeri itu terlampau kemaruk mahu mengambil alih SYABAS demi kepentingan kroni sendiri akhirnya tanggungjawab tersebut gagal dilakukan.

Mujurlah Kerajaan Pusat cepat menyedari denyut nadi kebimbangan khalayak umum, lantaran itu tanpa mengira perbezaan politik maka bantuan kewangan tetap disalurkan demi memastikan keselesaan rakyat disamping mengekang kesan sampingan lain terhadap perkembangan ekonomi negeri.

Jika diharapkan Kerajaan PKR Selangor yang asyik mengutamakan kepentingan politik silap gaya saban minggu ada sahaja masalah bekalan air berlaku sebagaimana yang terjadi baru-baru ini. 

Apapun, majoriti rakyat Selangor kini semakin faham permainan politik Kerajaan PKR Selangor yang ternyata mendahulukan perihal politik kepartian mengatasi kepentingan khalayak, bukannya satu model kepimpinan yang baik. 

Cukuplah hampir 5 tahun rakyat Selangor dibuai retorik politik dan polemik yang tidak berkesudahan. Justeru itu, eloklah PRU 13 kelak ditalkinkan sahaja Khalid Ibrahim dan kerajaannya itu.

No comments: