Sunday, June 19, 2011

Negara Kebajikan Hanya Retorik Pas – Mustapha

KOTA BAHARU, 19 Jun – Konsep negara kebajikan yang diuar-uarkan
oleh PAS hanya retorik dan tidak dipraktikkan di negeri Kelantan di mana parti itu memerintah.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini jelas dengan tindakan mengenakan bayaran sewa tapak di semua stesen teksi di negeri ini.
“Kalau sudah katakan ia negeri berkebajikan kenapa masih lagi mengenakan sewa tapak teksi itu lagi. Kalau boleh, hapuskanlah dan ini boleh meringankan beban pemandu teksi di Kelantan,” kata Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pakaian seragam kepada pemandu kereta teksi di Kelantan di sini, hari ini.
Sebanyak 1,600 pemandu teksi seluruh Kelantan menerima pakaian seragam yang disumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.
Mustapa berkata “memandangkan sewa tapak yang tidak seberapa ini pun tidak boleh dihapuskan, apakah maknanya negara berkebajikan yang diuar-uarkan PAS ini.”
Tambahnya, pemandu teksi bukannya hidup senang, dan oleh itu, jika Barisan Nasional memerintah Kelantan, “semua sewa tapak ini akan dihapuskan sama sekali.”
Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan beberapa dialog dengan pemandu teksi di negeri ini dari semasa ke semasa bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

sumber : UMNO-online

No comments: