Monday, August 13, 2012

Sultan Selangor Beri Sumbangan Peribadi Kepada Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj.

12.08.2012, Ahad - Hari ini Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi baginda sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada 62 orang penghunui rumah anak yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj (RAYSAAS) di KM17 Pantai Puteri, Tanjung Keling, Melaka.  

Turut serta dalam majlis ini adalah Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil bin Yaakob serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Rustam Ali.Menurut pengurus RAYSAAS, Tuan Haji Ibrahim bin Hamid, Sultan Selangor merupakan penyumbang terbesar rumah anak yatim ini semenjak pembinaannya pada 2001.  

Menurut beliau lagi, pada masa ini terdapat 90 orang penghuni yang terdiri daripada kanak-kanak berumur diantara lapan hingga tujuh belas tahun tinggal di rumah anak yatim ini yang diselenggarakan oleh 13 orang kakitangan. Pembinaan awal RAYSAAS yang boleh memuatkan 100 orang penghuni ini bermula pada November 2001 dan siap sepenuhnya pada Februari 2002 diatas tanah yang telah diwakafkan oleh Y Bhg Datuk H.M. Shah.  RAYSAAS dirasmikan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Kos pembinaan RAYSAAS berjumlah RM2.7 juta diterima daripada sumbangan Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Agama Islam Melaka dan sumbangan orang ramai. Pengurusan RAYSAAS dikawal sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Melaka melalui peruntukan kewangan yang ditetapkan.  

Objektif utama RAYSAAS adalah untuk memberi perlindungan kepada anak-anak yatim dan miskin dalam negeri Melaka.  Misi utama RAYSAAS adalah untuk memberikan kehidupan yang harmoni dan bahagia dan membimbing anak-anak tersebut dalam pembentukan sahsiah diri yang mantap dengan ilmu pengatahuan dan penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Sumber :- Bernama / Majlis Agama Islam Melaka


No comments: