Showing posts with label minyak. Show all posts
Showing posts with label minyak. Show all posts

Tuesday, December 31, 2013

Harga Minyak Turun Bukan Jawapan Untuk Semua Masalah


Pemberian subsidi minyak adalah sesuatu yang dianggap ‘wajib’ bagi negara-negara pengeluar minyak.  Akhir-akhir ini, negara-negara ini mula ‘mengeluh’ akan kesan dari subsidi yang begitu tinggi sehingga menjejaskan pertumbuhan negara. Pada tahun 2012 sahaja, jumlah penggunaan yang melibatkan subsidi direkodkan jumlah USD544 bilion. 

Jumlah permintaan di negara-negara ini juga meningkat setiap tahun iaitu dijangka lebih dari 50 peratus dalam masa 17 tahun yang akan datang. Menurut Menteri Minyak dan Gas Oman, Mohammed b. Hamad al-Rumhy di dalam Adipec Energy Conference di Abu Dhabi baru-baru ini, subsidi petrol dan elektrik telah mengakibatkan pembaziran yang besar kepada negara-negara teluk sekali gus mengancam ekonomi dunia.  

Venezuela adalah antara negara yang memberi subsidi paling tinggi di mana minyak dijual di sekitar harga USD0.008 se-gelen sejak 1998 - iaitu yang termurah di dunia. Antara negara lain yang turut memberi subsidi ialah Amerika, Arab Saudi, Iran, Mesir, Burma, Kuwait, Bahrain, Trinidad, Brunei, Bolivia dan tentu sekali, Malaysia. 

Kebanyakan negara-negara ini kini telah mula mengurangkan subsidi secara perlahan-lahan berikutan perkembangan ekonomi dunia. Pada Februari 2010, Iran telah mengurangkan subsidi yang menyebabkan minyak di negara itu dijual pada harga 400 rial seliter berbanding 100 rial seliter sebelumnya. 

Disember 2010, kerajaan Bolivia bercadang mengambil langkah sama yang mengakibatkan kenaikan harga sehingga 83%. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan meluas sehingga memaksa kerajaan membatalkan rancangan itu. Akibatnya, kerajaan Bolivia terpaksa berhadapan dengan pembaziran tenaga dan tidak mampu mengadakan sebarang program berkesan untuk pembangunan dan kemajuan negara. 

Pada tahun 2008, Malaysia turut mengambil langkah mengurangkan subsidi minyak yang pada ketika itu melibatkan jumlah USD14 billion dari bajet negara.  Rungutan dan bantahan juga diterima dari kalangan rakyat sepertimana yang dijangka. Bagi menanganinya, rebat cukai jalan diperkenalkan bagi mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi pengurangan subsidi ini. 

Sejak itu, kerajaan telah berusaha untuk memberi berbagai bantuan lain bagi memastikan aktiviti ekonomi dalam negara tidak terjejas. Ia dilakukan selari dengan usaha memberi penjelasan berterusan mengenai perlunya subsidi dikurangkan atau dihapuskan terus secara perlahan-lahan. 

Rakyat kini mula memahami bahawa peningkatan penggunaan tenaga dalam bentuk petrol dan diesel telah meningkat dengan begitu drastik dan pemberian subsidi menjadi semakin tidak relevan memandangkan ia hanya menguntungkan pihak yang berkemampuan, contohnya,  pemilik kenderaan terutama kereta mewah, dan juga para peniaga. 

Sedangkan matlamat sebenar subsidi adalah untuk membantu golongan miskin dan sederhana miskin.

Venezuela, sebagai negara yang menjual minyak paling murah merupakan antara negara yang teruk terjejas dari pemberian subsidi ini. Justeru, President Nicolas Maduro baru-baru ini mengumumkan yang negara itu akan membincangkan perkara itu di kabinet bagi mencari jalan terbaik untuk menjadikan kedudukan negara itu sebagai negara pengeluar minyak terbesar di Amerika Latin satu ‘kebaikan’ dan bukannya ‘keburukan’ kepada rakyatnya sendiri.   

Subsidi minyak negara itu melibatkan jumlah USD12.5 billion setahun dan turut mengundang kerugian yang besar akibat aktiviti penyeludupan. 

Jumlah subsidi yang begitu tinggi ternyata tidak mampu memperbaiki taraf hidup majoriti rakyat di negara itu. Sehingga ke hari ini, jurang miskin dan kaya begitu jauh dan ketara. Golongan kaya yang memiliki kereta dikatakan mampu menghulurkan ‘tips’ kepada pekerja stesen minyak dalam jumlah yang jauh lebih tinggi dari harga minyak yang diisi. 

Ini jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan situasi ini. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin kekal ditakuk lama walaupun harga minyak tidak berganjak. 

Maka, kabinet Venezuela telah menerima hakikat bahawa pemberian subsidi selama ini tidak membawa kesan yang diharapkan. Sebaliknya, adalah lebih berkesan jika jumlah tersebut digunakan untuk kebajikan rakyat miskin dari segi memperbaiki sistem pendidikan dan juga kemudahan infrastruktur.

Langkah ini diyakini sebagai yang terbaik dalam menangani inflasi dan juga defisit dalam bajet negara itu.   Bagaimanapun, Venezuela bimbang dengan reaksi rakyat yang mungkin tidak mampu memahami keperluan ke arah perubahan ini.  Sejarah telah merekodkan rusuhan terburuk dengan 300 kematian kerana membantah kenaikan harga minyak dalam tahun 1989. 

Sejarah itu dijadikan pengajaran berguna di mana Maduro mengambil langkah lebih berhati-hati dengan ‘membeli masa’ dengan mengumumkan dahulu perancangan agar rakyat bersedia dan faham. 

Apa yang dihadapi oleh Venezuela tidak jauh berbeza dengan Malaysia.  Lebih dahsyat lagi bagi Malaysia kerana jumlah pemberian subsidi kepada rakyat hampir menyamai Venezuela sedangkan negara itu berada di tangga ke 9 berbanding Malaysia di tangga ke 29 dalam senarai negara pengeluar minyak dunia. 

Dalam keadaan di mana ekonomi Malaysia berkembang lebih pesat dan kukuh berbanding Venezuela, maka tidak salah jika disimpulkan bahawa harga minyak yang rendah bukanlah penyelesaian bagi semua masalah ekonomi.  Apa yang lebih penting ialah kebijaksanaan kerajaan memerintah untuk menjana ekonomi dari berbagai sumber di samping memastikan kesejahteraan rakyatnya.


Thursday, September 12, 2013

PEMBANGKANG SELEWENG FAKTA ASAS KENAIKAN HARGA MINYAK

Pembangkang sekarang mengambil kesempatan untuk menyerang kerajaan berhubung tindakan menaikkan harga minyak petrol RON95 dan disel sebanyak 20 sen.

Mereka mendakwa kerajaan zalim dan tidak prihatin terhadap masalah bebanan kos kehidupan rakyat di peringkat bawahan yang semakin mendesak.

Seperti biasa pembangkang hanya bercerita setengah fakta sahaja tetapi setengah lagi fakta yang lebih penting yang perlu diketahui oleh rakyat disorokkan.

Tujuannya ialah mengapi-apikan kemarahan rakyat supaya kerajaan dapat ditumbangkan.

Itu sahaja tujuan utama pembangkang dengan berbuat demikian iaitu untuk mendapatkan kuasa politik.

Maklumat yang seimbang dan menyeluruh amat penting bagi memberi pemahaman rakyat supaya mereka dapat menyedari logik segala keputusan kerajaan berhubung dengan keadaan ekonomi negara.

Jika rakyat sudah memahami mereka juga akan turut memberi sokongan dan membuat penyesuaian kepada perubahan iklim ekonomi negara yang berkait langsung dengan suasana ekonomi global.

Antara modal pembangkang untuk menghentam kerajaan ialah tindakan agensi penarafan antarabangsa, Fitch, yang menuruntarafkan unjuran mengenai Malaysia daripada stabil kepada negatif.

Dalam erti kata lain, agensi tersebut menganggap usaha Malaysia mengurus serta menangani masalah bebanan hutangnya masih belum mencukupi.

Ini yang dimaksudkan dengan istilah 'budgetary reforms' dan 'fiscal consolidation'.

Susulan daripada itu, dalam bukan Ogos lalu, pasaran saham melihat pengaliran keluar pelaburan oleh pelabur asing daripada pasaran bon kerajaan dan juga saham.

Pasaran bon menunjukkan pengaliran keluar pelaburan sebanyak RM12 bilion sementara saham pula RM3 bilion ke RM4 bilion.

Kesan kepada fenomena ialah kelemahan kepada kedudukan matawang Ringgit yang jatuh pada tahap terendah sejak tahun 2010.

Kali terakhir pengaliran keluar pelaburan sebesar ini daripada pasaran bon dan saham ialah ketika berlakunya krisis subprima di Amerika Syarikat pada 2009.

Ini adalah fakta yang tidask boleh disanggah tetapi pada masa yang sama rakyat tidak perlu panik kerana ini adalah kitaran biasa pada sistem ekonomi mana-mana negara di dalam dunia.

Jika rakyat masih ingat, keadaan ekonomi negara jauh lebih parah dan tertekan semasa krisis kewangan Asia yang disebabkan oleh serangan terhadap Ringgit dan juga matawang negara-negara rantau ini.

Pada ketika itu kerajaan mampu mengharungi badai krisis ekonomi yang hampir membankrapkan negara-negara jiran tetapi berkat ketokohan dan kecekapan pemimpin negara, kestabilkan ekonomi Malaysia mampu dipertahan malah diperkukuhkan melalui beberapa langkah drastik. 

Apa yang disembunyikan oleh pembangkang adalah tatkala negara terkesan daripada pengaliran keluar modal asing, negara-negara lain juga mengalami keadaan yang sama.

Filipina, Indonesia dan India menghadapi pengaliran keluar pelaburan asing yang besar sejak beberapa minggu lalu.

Malah masalah India lebih besar dan kritikal sehingga nilai matawang Rupee berbanding Dolar Amerika mengalami kejatuhan paling teruk dalam sejarah negara itu!

Ini kerana kebanyakan pelabur asing mempunyai 'herd mentality' iaitu apabila terjadi suasana ketidakyakinan terhadap satu negara Asia, negara-negara lain di Asia termasuk Malaysia dirangkumi sekali dalam penilaian mereka.

Kemelut kemungkinan terjadi serangan tentera Amerika ke atas Syria juga menyumbang kepada suasa ketidaktentuan di kalangan pelabur asing.

Mereka kini lebih yakin untuk membuat pelaburan dalam emas dan juga bon Amerika.

Pelabur adalah seperti sekumpulan ternakan lembu atau biri-biri yang bergerak secara berkumpulan dan bukannya bersendirian.

Namun hakikatnya Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil mahsul yang melimpah ruah dari emas, bijih timah, bijih besi hingga kepada kesuburan tanah yang menghasilkan tanaman getah, kelapa sawit, koko dan sebagainya di samping keluasan dan khazanah maritim yang begitu besar.

Kekuatan semulajadi Malaysia inilah disamping mempunyai pentadbiran kerajaan yang efisien dan mampu membangunkan ekonomi negara dengan dasar dan program yang dinamik dan berdaya saing meletakkan negara pada tahap yang diyakini dunia.

Apa yang berlaku sekarang ialah kesan krisis ekonomi luar yang terpaksa juga ditanggung bersama kerana Malaysia mengamalkan dasar pasaran terbuka atau 'free market economy'.

Langkah menaikkan harga minyak dengan tujuan untuk mengurangkan subsidi dan menjimatkan perbelanjaasn kerajaan adalah tindakan mengurus ekonomi secara berhemah.

Tidak perlu dipolitikkan kerana jika kerajaan terus memberi subsidi yang besar kepada bahan api, itu adalah lebih tidak bertanggungjawab dan menjurus negara kepada keadaan yang lebih parah dan merbahaya.

Tuesday, September 10, 2013

Minyak naik! Apa yang boleh kita lakukan....

Kenaikan harga minyak petrol dan diesel baru-baru ini seharusnya menyedarkan rakyat Malaysia mengenai betapa pentingnya mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Daripada merungut dan membuat aksi 'flash mob' untuk membantah tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan disel sebanyak 20 sen dan RON95 sebanyak 15 sen, lebih elok rakyat berfikiran positif dan pro-aktif bagaimana hendak membuat 'adjustment' atau penyesuaian kepada gaya hidup mereka.

Pembangkang akan melihat isu ini sebagai modal politik  mereka untuk menyerang kerajaan.

Pembangkang hanya tahu satu perkara sahaja untuk mengurus kewangan negara, sama ada menurunkan harga barangan atau menghapuskan sama sekali seperti dalam kes pinjaman pendidikan PTPTN.

Memang senang untuk menurunkan harga barangan keperluan seperti minyak, gula, minyak masak, tepung dan sebagainya untuk mendapat populariti politik tetapi apakah sudah difikirkan implikasinya kepada ekonomi dan kewangan negara.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengamalkan dasar pengurusan kewangan negara yang seimbang.

Dalam pada kerajaan menjalankan program-program pembangunan negara bagi mencapai objektif pendapatan tinggi menjelang tahun 2015 serta visi status negara membangun pada 2020, kerajaan juga prihatin terhadap dasar sosial yang kukuh bagi kesejahteraan negara.

Ini bermakna kerajaan harus mencari perseimbangan bagi pembangunan negara dalam semua aspek - pendidikan, sosial, kesihatan dan lain-lain lagi.

Wang yang mencukupi harus ada bukan sahaja untuk membuat jalan raya di bandar dan kawasan pendalaman tetapi juga menyediakan dana bagi membangun perkhidmatan sosial dan kesihatan bagi rakyat yang bertaraf antarabangsa.

Kenaikan harga bahan api akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan dari segi subsidi sebanyak RM1.1 bilion setahun.

Wang yang dijimatkan pula boleh diagih dan disalurkan kepada sektor-sektor yang lebih kritikal seperti pembinaan sekolah, klinik hospital, jalan raya dan sebagainya.

Kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan kerana harga produk atau perkhidmatan bukanlah sesuatu yang statik atau kaku.

Rakyat tidak boleh mengharapkan harga petrol atau rumah sebagaimana ianya dijual 20 atau 30 tahun dahulu.

Zaman berubah, negara semakin maju dan harga semakin meningkat.

Selain faktor permintaan dalam pasaran domestik, harga juga dipengaruhi oleh faktor luaran seperti iklim ekonomi dunia.

Ini kerana bukan semua produk yang dikilangkan di negara ini menggunakan bahan mentah yang dihasilkan oleh pengeluar tempatan.

Kebanyakan produk atau barangan masih memerlukan bahan mentah yang perlu diimport dari luar negara.

Harga bahan mentah ini pula bukan ditentukan oleh pengusaha tempatan tetapi oleh pengeluar di negara ia di eksport.

Jika harga bahan mentah yang dimport mahal dan di luar kawalan tempatan maka barangan yang dihasilkasn juga akan turut menerima kesan kenaikan harga.

Ini adalah satu realiti yang harus difahami oleh rakyat dan bukannya termakan dengan dakyah pembangkang yang tidak bertanggungjawab.

Daripada berbelanja besar untuk makan luar di restoran atau di gerai saban hari, apa kata suri rumah lebih menekankan kepada 'home cooked meal' atau masakan di rumah kerana ia lebih menjimatkan malah lebih sihat.

Kalau selalu beli makanan di restoran atau gerai, kemungkinan besar lambat laun akan mendapat penyakit kronik seperti masalah jantung, kencing manis, kerosakan ginjal dan lain-lain masalah kesihatan.

Ini kerana masakan gerai atau restoran menggunakan garam dan serbuk perasa atau 'MSG' yang berlebihan dan seringkali tahap kebersihan premis dan juga cara pembikinan makanan diragui.

Mungkin juga rakyat Malaysia boleh kurangkan menonton rancangan televisyen melalui langganan saluran berbayar.

Penjimatan bulanan yuran untuk 'Astro' umpamanya boleh digunakan untuk membeli buku latihan untuk anak-anak di sekolah.

Hakikatnya jika ada kemahuan semua boleh jadi seperti pepatah, 'hendak seribu daya, tak mahu seribu helah' atau 'when there is a will, there is a way'.