Showing posts with label matsabu. Show all posts
Showing posts with label matsabu. Show all posts

Tuesday, December 17, 2013

Mat Sabu Makin Panik, Apabila Hadi Awang Kata Pas Akan Ambil Tindakan Terhadap Ahli Syiah.

Pendedahan terbaru yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,  Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi semalam pasti membuatkan tidur Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu semakin tidak lena. Ini kerana pendedahan tersebut dilakukan berdasarkan penelitian, siasatan yang dijalankan, kenyataan serta tindakan Mat Sabu sebelum ini yang jelas mencurigakan.

Dalam satu sidang media di Putrajaya yang lalu, Abdul Rahim berkata kenyataan itu adalah berdasarkan 10 fakta dan maklumat yang dikumpul oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk keterangan daripada Mat Sabu sendiri.

Antaranya beliau pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeni melalui tulisannya bertajuk "Teladan Pemerintahan Nabi Yusof, Khomeni" dalam ruangan Fikrah yang terbit dalam akhbar Harakah pada 5 hingga 15 Julai 2008.

"Berdasarkan temuramah yang dilakukan Ustaz Zamihan Mat Zain, pegawai KDN bersama Dr Abdul Aziz Hanafi menjelaskan bahawa Mat Sabu pernah melafazkan selawat sebagaimana yang diamalkan penganut Syiah pada satu sesi ceramah PAS di Madrasah Diniah, Arau Perlis pada tahun 2005," kata Abdul Rahim.

Selain itu Mat Sabu juga menyatakan kekaguman dengan kepimpinan dan perjuangan pemimpin Revolusi Iran 1979, Imam Ruhollah Khomeini yang mana banyak mencorak pemikiran beliau dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden Pas pada 13 Julai 2011.

Beliau juga secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan iaitu Sayyid Hassan Nasrallah dan mengaku beliau dan isteri kerap bertemu dengan pemimpin berkenaan lebih daripada empat hingga lima kali.

Berdasarkan maklumat, beliau juga didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar Wilayah Satun Selatan Thailand serta melakukan kunjungan ke atas pemimpin Syiah di sana pada tahun 2011.

Mat Sabu turut didapati beberapa kali menghadiri kelas pengajian yang dikendalikan ustaz fahaman Syiah pada 2011 di Bukit Merah, Semanggol, Perak.

Selain itu terdapat saksi seorang Tok guru yang melihat Mat Sabu sendiri menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya, yang merupakan amalan sinonim dengan golongan Syiah sekaligus membuktikan Mat Sabu merupakan salah seorang penganut Syiah.

Ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2013 sebelum ini, Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidmendedahkan pihak KDN mempunyai maklumat dan bukti berhubung kewujudan pemimpin Pas yang menyokong gerakan Syiah.

Malah Zahid turut menuntut keberanian serta komitmen politik daripada Pas agar menolak pemimpin terbabit malah turut melahirkan rasa hairan, bagaimana pengamal ajaran Syiah boleh diangkat sebagai pemimpin tertinggi parti itu.

Paling menarik, ekoran kenyataan tersebut ramai pemimpin pakatan pembangkang khususnya Pas segera tampil membuat kenyataan membela Mat Sabu, sedangkan ketika pendedahan itu dilakukan, Zahid langsung tidak menyebut mana-mana nama individu. Malah ketika diminta mengulas mengenainya, Mat Sabu dengan pantas mengatakan akan mengambil tindakan terhadap Zahid ekoran kenyataan tersebut.

Mungkin kerana menyedari akan kesilapan yang dilakukan itu, Mat Sabu dengan segera membuat kenyataan balas mengatakan dia tidak pasti sama ada kenyataan Zahid itu merujuk kepada dirinya atau sebaliknya.

Selain pihak KDN, ramai di kalangan pimpinan Pas turut mengaitkan Mat Sabu dengan Syiah apabila isu mengenai fahaman sesat itu dibangkitkan. Malah ia turut diakui sendiri Mat Sabu ketika siri kempen pemilihan yang diadakan oleh parti itu baru-baru ini.

Beberapa hari sebelum berlangsung muktamar, Mat Sabu dilaporkan bertemu dengan beberapa orang kenalannya untuk menyuarakan kebimbangannya. Dia mengeluh kerana kurang senang dengan gaya dan bentuk kempen keterlaluan yang dijalankan oleh para pengikut dan penyokong Pas.

"Aku dituduh Syiah!” begitulah antara katanya ketika bercakap dengan salah seorang rakan yang ditemui itu dengan nada sedih dan kecewa.

 "Apa Syiah buktikan dulu. Aku hanya mengambil semangat revolusi Iran untuk menghadapi UMNO. Apakah kerana pernah ke Iran maka dituduh Syiah…” katanya lagi

Disebabkan pendedahan yang dilakukan semalam, Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang terpaksa menulis kenyataan yang panjang lebar di dalam ruangan portal pembangkang, bagi membela Mat Sabu. Namun apabila diteliti semula artikel tersebut ada ayat-ayatnya yang seakan ingin memberi tekanan kepada Mat Sabu.

“Fasal 7(1) Perlembagaan PAS menetapkan bahawa hukum tertinggi kepada PAS ialah Al "Quran, Hadis, Ijma' Ulama dan Qiyas yang nyata. Inilah sumber hukum para Ahli Sunnah wal Jama'ah. Ini dengan sendirinya memberi makna bahawa setiap ahli Pas WAJIB menganut mazhab Ahli Sunnah wal Jama'ah, dan tidak diizinkan mazhab yang lain di luar dari Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam Pas” katanya.

Menurutnya lagi, parti itu bersedia mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang jelas telah terpesong dari fahaman Ahli Sunnah wal Jama'ah.

“Pas juga memahami betapa Revolusi Islam Syi'ah di Iran tidak sesuai bagi masyarakat Malaysia dan Pas dapat menangani ahlinya yang terpengaruh dengan perkembangan yang tidak setimpal dengan masyarakat setempat. Pas tetap mendukung demokrasi dan bersedia menghadapi penipuannya dan ahlinya yang didapati terkeluar daripada landasannya.

“Sama ada terkeluar dengan sendirinya daripada Pas atau diambil tindakan setelah terbukti dengan adil tanpa menjejaskan dasar dan konsep perjuangan Islam Mazhab Ahli Sunnah yang didukung oleh Pas secara istiqamah dan muhasabah” tegasnya lagi.

Parti itu sebelum ini sering bercanggah pendapat berhubung dasar parti, tiap kali isu Syiah dibangkitkan. Sebagai contoh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata tidak seorang pun pemimpin parti itu yang terlibat dengan Syiah.

“Berdasarkan pemantauan, tiada seorang pemimpin Pas terlibat dengan Syiah dan kami telah pun membuat penafian berhubung perkara ini."Ia hanya spekulasi pihak luar yang khabar angin untuk mereka dan juga Umno sahaja. Jika KDN ada bukti, sila buktikan, jangan hanya bermain politik sebegini” katanya.

Namun yang menghairankan ialah, dia yang pada mulanya meminta pihak KDN agar mengeluarkan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut mengatakan parti itu akan tetap mempertikaikannya.

"Jika beliau berjaya membuktikan ada pemimpin Pas yang mengikut fahaman Syiah, Pas tetap mempertikaikannya. Kami hanya akan mengambil tindakan apabila kami sendiri melihat serta mengkaji bukti tersebut," katanya.

Walau bagaimanapun bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi sebelum berkata ada ahli Pas di Kedah yang diakui mengamalkan fahaman sesat Syiah.

“Setahu saya ada ahli Pas yang amal Syiah tetapi saya tegaskan, bukan daripada kalangan pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Phahrolrazi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi, Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis), Ashiq Elahi yang bersedia mendedahkan nama pemimpin parti politik yang terlibat dengan kegiatan Syiah selepas pengharaman Syiah diwartakan.

Ashiq mendakwa sekurang-kurangnya enam pemimpin utama sebuah parti politik di negeri ini terlibat Syiah.


Monday, November 11, 2013

Mat Sabu Calon Proksi DAP Dalam Pas

Keputusan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden benar-benar memeranjatkan semua pihak. Ini kerana pengunduran tersebut bakal menyaksikan pertembungan 2 penjuru antara kumpulanLiberal dan Ulama parti itu.

Namun keputusan Husam itu, mungkin disebabkan ingin mengelakkan undi kumpulan Liberal berpecah, sekali gus menyebabkan kumpulan ulama kembali menguasai parti. Sebagai contoh ketika pemilihan parti pada Muktamar Pas yang ke-55, penyertaan Husam untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden telah menyebabkan Nasaruddin Mat Isa berjaya menduduki jawatan no-2 itu.

Muktamar yang diadakan pada tahun 2009 itu menyaksikan Ustaz Nasha (Ulama) mendapat 480 undi, Husam (Liberal) 281 undi dan Mat Sabu (Liberal) 261 undi.

Seterusnya pemilihan parti ketika Muktamar Pas ke-57, Mat Sabu berjaya merampas jawatan Timbalan Presiden, apabila menewaskan Ustaz Nasha (penyandang) dan Tuan Ibrahim Tuan Mat. Pertembungan 3 penjuru itu telah menyebabkan kumpulan Liberal berjaya menguasai parti.

Muktamar yang diadakan pada tahun 2011 itu, menyaksikan Mat Sabu (Liberal) mendapat 420 undi, manakala Ustaz Nasha (Ulama) hanya berjaya mendapat 224 undi dan diikuti dengan Tuan Ibrahim (Ulama) dengan 399 undi.

Sekiranya trend 2 pemilihan sebelum ini diambil kira, ia sudah cukup membuktikan, pertembungan 3 penjuru hanya akan menyebabkan perpecahan undi di kalangan perwakilan. Menyedari akan hakikat itu, ulama Pas dilihat mula belajar dari sejarah apabila hanya meletakkan satu calon sahaja bagi mewakili kumpulan tersebut.

Sumber dalaman parti itu sebelum ini juga mengatakan ramai di kalangan ahli Pas dikatakan tidak beberapa senang dengan kehadiran kumpulan Liberal yang pro Anwar ini yang turut dilabelkan dengan pelbagai gelaran seperti Anwarinas dan Endorgan. Malah kegagalan beberapa pemimpin Liberal pada pilihan raya umum yang lalu juga dikatakan sebagai petanda penolakan ahli parti itu secara senyap.

Contohnya kekalahan Mat Sabu di parlimen Pendang, Salahuddin Ayub di parlimen Pulai dan DUN Nusajaya, Dzulkefly Ahmad di parlimen Kuala Selangor dan Husam Musa di parlimen Putrajaya.

Dengan rekod tewas dalam 2 pilihan raya umum berturut-turut iaitu pada 2008 di kerusi Kuala Terangganu dan PRU-13 di parlimen Pendang, Mat Sabu dilihat bakal berdepan dengan laluan yang sukar untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden. Itu belum lagi diambil kira dengan pendirian Mat Sabu yang cuba mempertahankan komunis sehingga menyebabkan Pas menerima pelbagai cemuhan dan kritikan.

Malah pendedahan beberapa orang ahli parti itu yang mengaitkan Mat Sabu dengan ajaran sesat Syiah, juga dikatakan sebagai gerakan dari kumpulan Ulama untuk membersihkan Pas yang dilihat semakin menyimpang. Atas alasan itu, peranan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden juga berjaya dikurangkan dan hanya digunakan sebagai penceramah parti bagi menarik hadiran.

Namun begitu, dalam banyak-banyak ‘dosa’ yang dilakukan oleh Mat Sabu, penglibatan dan hubungan akrabnya dengan pemimpin DAP dikatakan sebagai punca utama gerakan untuk menyingkirkannya. Dia dikatakan sering menjadi jurucakap dan pembela parti ultra kiasu itu bagi menekan Pas dalam pelbagai perkara.

Paling memeranjatkan apabila DAP melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Air Pulau Pinang. Walaupun ada yang mendakwa ia sebagai satu penghormatan kepada Pas, namun ramai yang menyifatkan ‘pemberian’ jawatan itu sebagai asas untuk mengatakan Mat Sabu adalah proksi DAP di dalam Pas.

Kesimpulannya keputusan pilihan raya umum, PRK Kuala Besut dan baru-baru ini di Sungai Limau telah menyaksikan penolakan ahli dan penyokong parti itu sehingga menyebabkan Pas mula sedar dan insaf. Tahaluf Siyasi yang diadakan dengan DAP dan pengaruh Anwar di dalam Pas telah menyebabkan parti yang kononnya memperjuangkan Islam itu semakin di tinggalkan.

Oleh yang demikian, jalan terbaik untuk menarik kembali sokongan ahli dan penyokong mereka, Pas perlu menjalankan satu gerakan pembersihan dengan menyingkirkan semua proksi DAP dan pengaruh Anwar bagi memastikan parti itu terus relevan.


Thursday, August 1, 2013

Mat Sabu Dari Golongan Syiah Yang Mana?



Mengikut Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hanya dua golongan Mazhab Syiah yang diterima untuk diamalkan di Malaysia iaitu Al – Zaidiyah dan Jaafariah.  Namun, secara dasarnya umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak. 

Walaupun terdapat penetapan mengenai Syiah oleh Majlis Fatwa, malangnya, kita sukar sekali untuk mengenalpasti golongan Syiah yang manakah yang diamalkan oleh kelompok-kelompok Syiah di negara ini.  Namun, kita anggapkan mereka mengamalkan ajaran Syiah yang diharamkan berdasarkan pendekatan mereka yang berselindung sebelum ini serta cara mereka beramal yang jelas bertentangan dengan AlQuran. 

Kesimpulan ini didapati dari beberapa rencana serta rakaman video yang tersebar luas di internet.  Kita dapati, selain solat berbeza, puak-puak Syiah juga ada yang menambah nama imam mereka di dalam syahadah.  Ini tentu sekali bertentangan dengan AlQuran.  Itu belum  lagi disiasat sama ada mereka turut mengamalkan muta’ah, liwat serta mencerca sahabat dan isteri Rasulullah SAW sepertimana Syiah di Iran.    

Apa yang membimbangkan ialah akhir-akhir ini, Syiah di Malaysia semakin berani menyerlahkan diri.  Antara individu yang telah diketahui umum sebagai pengamal Syiah ialah Faizal Tehrani, seorang karyawan, Khalid Ismat anak muda separuh masak penyokong PKR tegar yang ‘membina nama melalui demonstrasi ganas’ serta Mat Sabu iaitu Naib Presiden PAS. 

Mungkin kita boleh ketepikan saja Khalid Ismat yang tidak membawa apa-apa signifikan kepada masyarakat, tetapi Faizal Tehrani dan Mat Sabu wajar diberi perhatian oleh pihak berkuasa agama di negara ini.  Faizal Tehrani didapati sering memasukkan ideologi Syiah dalam karyanya secara nyata dengan mengetengahkan nama-nama pemimpin Syiah serta 12 imam-imam yang disanjung mereka. 


Manakala Mat Sabu pula tidak pernah mengakui yang beliau berpegang kepada fahaman Syiah.  Bagaimanapun, ramai di kalangan PAS sendiri yang telah mendedahkan serta mempersoalkan pendirian Mat Sabu mengenai Syiah memandangkan beliau sering memuji-muji tokoh Syiah serta kerap berulang-alik ke Iran berjumpa dengan puak Syiah di sana. 

Malah, dalam beberapa demonstrasi sebelum ini, Mat Sabu pernah membawa anak-anak muda yang turut mengangkat poster tokoh-tokoh Syiah. 

Justeru, ramai di kalangan PAS yang mengesahkan bahawa Mat Sabu adalah Syiah dan kurang senang dengan beliau. 

Malangnya, pemimpin PAS hanya memekakkan telinga dan memejamkan mata.  Walaupun mulut mereka lantang menghentam Syiah dan mengharamkannya di dalam PAS, namun mereka tidak pernah ‘menyoal-siasat’ Mat Sabu.

PAS sanggup membiarkan Mat Sabu menjadi orang nombor dua parti itu walaupun fahamannya diragui.   Mungkin juga alasannya ialah Mat Sabu berpegang kepada ajaran Syiah Al – Zaidiyah atau Jaafariah.  Namun, bagaimana kita boleh memastikannya jika tiada siasatan dilakukan? 

Sekiranya Mat Sabu benar-benar pengamal Syiah yang haram di Malaysia, PAS wajib memecatnya sepertimana pendirian rasmi parti.  Jika tidak PAS akan dilihat sebagai munafik.  Lebih dari itu, membiarkan Mat Sabu berada di jawatannya meletakkan PAS dalam risiko dipimpin ke arah kesesatan yang pasti. 

Namun, kita tidak hairan jika PAS mengambil remeh soal kesesatan Syiah kerana PAS juga mengambil remeh soal murtad.  Malah, PAS juga melebihkan kafir harbi dari saudara Islam sendiri. 

Pelik sekali kerana PAS meremehkan soal sesat dan murtad tetapi lebih berminat untuk menghukum mereka yang dianggap jahil.    Selagi PAS tidak mampu mengenalpasti mana yang lebih berat antara murtad, sesat dan jahil, selagi itulah PAS sendiri berada dalam kesesatan.