Showing posts with label isukhalimahAllah. Show all posts
Showing posts with label isukhalimahAllah. Show all posts

Tuesday, January 28, 2014

Negara Asing Dalang Kalimah Allah?

Malaysia sering dijadikan rujukan dan teladan oleh negara-negara Islam lain sebagai satu-satunya negara Islam yang berjaya.   Pencapaian Malaysia dilihat sebagai sesuatu yang luarbiasa bukan sahaja kerana ia sebuah negara Islam tetapi kerana sifatnya yang majmuk.  Di kala negara-negara Islam dan negara yang terlebih dahulu mencapai kemerdekaan terus bergelut untuk ‘bangun’, Malaysia telah pun berdiri teguh dan kukuh. 

Malang sekali, masih ramai rakyat Malaysia sendiri yang tidak mampu menghargai betapa bertuahnya mereka kerana dilahirkan di negara ini.  Ramai yang menyangka bahawa keamanan dan kemakmuran itu berlaku secara semula jadi.  Katanya, semua nikmat ini adalah kurniaan Allah SWT, tetapi di masa yang sama turut menafikan segala nikmat itu.  Ramai juga yang tidak segan silu meraung kononnya, hidup sengsara, tertindas dan dizalimi oleh kerajaan. 

Oleh itu, mereka ini ingin sangat membuat perubahan ke arah yang lebih baik, katanya.  Maka, turunlah mereka ke jalanraya beberapa kali untuk membuat huru-hara bagi membina negara yang lebih baik. 

Namun, Allah SWT masih sayangkan Malaysia. Ternyata rakyat yang masih waras dan tahu bersyukur adalah jauh lebih ramai dari yang kufur nikmat itu. 

Lagipun, kebanyakan rakyat Malaysia sudah belajar dari apa yang berlaku di negara-negara yang telah ‘berjaya membuat perubahan’ seperti  Mesir, Libya, Iraq malah Thailand yang mana masih lagi belum menjadi lebih baik dari sebelumnya. 

Masa depan negara-negara tersebut terus kabur akibat tidak dapat memulihkan keyakinan pelabur dan pelancong.  Rakyat juga tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa tanpa dihantui perasaan bimbang akan kehilangan segala-galanya akibat rusuhan yang tidak berkesudahan.  Peluang pekerjaan begitu terhad dan perniagaan juga terjejas teruk sehingga sukar untuk dipulihkan kembali.  Rakyat yang dahulunya hidup sederhana menjadi miskin dan yang miskin menjadi bertambah miskin. 

Alhamdulillah, pemikiran rasional rakyat Malaysia menjadikan negara kekal kukuh, walaupun usaha untuk melakukan huru-hara berterusan: 

Pada mulanya, masyarakat majoriti Melayu dilaga-lagakan sesama sendiri dengan cara memisahkan agama dari bangsa. 

Kemudian, isu perkauman dimainkan secara intensif sejak terhapusnya Akta Hasutan dan Akta ISA. Masyarakat Cina dan Melayu pula dilaga-lagakan dengan membangkitkan isu Hak Istimewa Melayu, menghina Azan, memperlekeh jabatan kerajaan yang diterajui Melayu, menderhaka kepada Sultan-sultan, menolak aspirasi negara serta menuntut kesaksamaan hak ke atas bahasa dan  pendidikan Cina.  Dari situ juga, orang-orang Cina ditiupkan perasaan angkuh kononnya merekalah yang lebih berhak ke atas negara ini, sekali gus mengembalikan ‘nostalgia’ 13 Mei. 

Dan kini, usaha memecahbelahkan rakyat Malaysia ditingkatkan lagi dengan menimbulkan isu agama. Kedegilan pihak Kristian untuk menggunakan Kalimah Allah dan berpura-pura tidak memahami undang-undang hanyalah permulaan sebagai mencipta ‘alasan’.   Baru-baru ini pula, sehelai kain rentang merujuk kepada Tuhan Kristian sebagai ‘Allah’ bagi menimbulkan kemarahan umat Islam, diletakkan di sebuah gereja di Pulau Pinang. 

Kemuncaknya, Molotov Cocktail dilempar ke gereja yang terlibat bagi memperlihatkan tindakbalas ganas dari umat Islam. 

Pastinya, sesiapa sahaja yang melakukan semua ini amat berharap untuk menimbulkan huru-hara dan mencetuskan keganasan yang serupa seperti di Thailand atau Mesir. 

Persoalannya, siapakah yang melakukannya?  Dari reaksi rakyat Malaysia sendiri, sama ada dari pihak Melayu Islam atau Cina Kristian, kita percaya ini bukan angkara mana-mana pihak ini.   

Berdasarkan kronologi perpecahan masyarakat di Malaysia, kita pasti adanya satu perancangan rapi dan tersusun oleh pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan keganasan di negara ini.   Modus operandi menghasut dan melaga-lagakan rakyat adalah sama sahaja seperti yang berlaku di Mesir, Libya, Thailand atau Iraq sebelum ‘perubahan’ berlaku.  Seolah-olah terdapat sebuah manual khas bagi ‘operasi pertukaran rejim’ yang dirujuk oleh mereka.       

Sebagai rakyat yang celik maklumat, kebanyakan rakyat Malaysia mampu membaca perancangan pihak ini, sekali gus tidak mudah terpedaya untuk bertindak balas secara keterlaluan walau betapa marah dan tergurisnya hati akibat propaganda yang keterlaluan. 

Kebanyakan rakyat Malaysia faham bahawa keganasan dan huru-hara tidak membawa keuntungan kepada sesiapa melainkan kepada musuh negara. 

Tetapi, siapakah musuh yang cuba menghancurkan kita itu?  Memandangkan musuh pada zaman ini tidak mudah dikenalpasti, maka sesiapa sahaja yang dapat mengaut keuntungan dari kejatuhan Malaysia wajar diletakkan dalam senarai yang disyaki.  

Lihatlah bagaimana rakyat Thailand terpedaya dengan permainan musuh mereka.  Begitu juga rakyat Iraq, Mesir, Libya dan beberapa negara Arab lain.  Sehingga kini, satu-satunya sebab kenapa rakyat Malaysia tidak terikut rentak mereka dan masih mampu berfikir secara waras ialah kerana kita tidak sanggup memperjudikan keselesaan hidup kita. 

Kesimpulannya, nikmat keselesaan yang dirasai di bawah pemerintahan hari ini adalah benar dan selagi rakyat hidup selesa, selagi itulah mereka tidak akan mudah terhasut untuk membuat huru-hara.


Friday, January 24, 2014

Isu Kalimah Allah: Siapa Alat kepada Siapa?

Seorang Peguam, Syahredzan Johan semalam memberitahu Malaysian Insider bahawa persepsi pada hari ini ialah Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan alat kerajaan kerana dibiarkan membuat ‘undang-undang’ sendiri.  Sedangkan, menurut beliau, Majlis Fatwa tidak mempunyai kelayakan atau hak untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap rakyat.   Kenyataan ini adalah  berikutan serbuan JAIS ke atas Bible Society Malaysia (BSM) yang masih menjadi topik hangat sehingga ke hari ini.

Menurut Syahredzan, ‘trend’ ini akan menggugat kredibiliti Majlis Fatwa sebagai sebuah badan yang sah. 

Majlis Fatwa Kebangsaan ditubuhkan pada 1970 dengan diwakili oleh Mufti dari semua negeri dan 10 Ulama yang dilantik.  Majlis Fatwa perlu menyampaikan pandangan mereka kepada Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam dan perlu digazetkan bagi menjadikannya sebuah undang-undang yang mana hanya tertakluk ke atas orang-orang Islam. 

Majlis Kebangsaan secara dasarnya, bertindak sebagai badan penasihat kepada Putrajaya.  Oleh itu, sebarang nasihat Majlis ini hasil dari pandangan Majlis Fatwa bukanlah satu undang-undang selagi tidak digazetkan. 

Fakta ini sekali gus menangkis hujah Syahredzan kononnya tindakan JAIS adalah bertentangan dengan undang-undang dan hanya berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa.  Ini kerana isu kalimah Allah telah selesai dengan merujuk kepada kes The Herald  dan juga Enakmen 1998 Selangor yang menyatakan bahawa kalimah ‘Allah’ merupakan antara perkataan Arab yang dilarang digunakan oleh bukan Islam.  Ia bukanlah sekadar pandangan Majlis Fatwa atau nasihat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam.

Oleh itu, kenyataan Syahredzan di atas, dilihat sebagai usaha berterusan untuk mengelirukan di samping menghidupkan isu kalimah ‘Allah’. 

Untuk berlaku adil, Syahredzan mungkin berhak mempersoalkan tindakan serbuan oleh JAIS yang dikatakan ‘kasar’ tetapi beliau juga seharusnya berlaku adil dengan turut mengakui bahawa Enakmen 1998 itu masih terus terpakai dan kes The Herald juga telah diputuskan. 

Dengan itu, kedegilan pihak Kristian untuk terus menggunakan kalimah Allah, dilihat sebagai sengaja mencabar undang-undang bagi memanjangkan isu ini.

Motif pihak Kristian untuk terus menghangatkan isu kalimah Allah kini semakin meragukan. 

Jika Syahredzan bercakap tentang persepsi rakyat (pihak Kristian yang berjumlah 9%) terhadap Majlis Fatwa sebagai alat Putrajaya, maka beliau wajar turut mengambilkira persepsi rakyat dari pihak majoriti Islam juga. 

Untuk pengetahuan Syahredzan, persepsi majoriti rakyat ialah pihak Kristian sengaja ingin mencetuskan ketegangan.  Objektif pihak yang kononnya mewakili Kristian ini tidak sukar untuk dibaca apabila pembangkang turut menjadi juara isu ini. 

Sudah terang lagi bersuluh kini bahawa isu kalimah Allah bukanlah berkenaan agama, tetapi sebenarnya adalah isu politik.  Hakikatnya, agama Kristian kini menjadi alat kepada pembangkang untuk mencapai matlamat memecah deposit tetap Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak. 

Nampaknya, pihak Kristian (baca: pembangkang) langsung tidak peduli sekiranya tindakan mereka memperlekeh dan menghina undang-undang serta penguatkuasa agama Islam mampu mencetuskan ketidakstabilan, perbalahan ataupun rusuhan antara agama.  

Semoga rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak, mampu berfikir secara rasional dan tidak mudah terkeliru antara isu agama dan isu politik. 



Monday, January 13, 2014

Kalimah Allah: Bila Akan DiAmbil Tindakan Ke Atas Mereka Yang Menghina Mahkamah?

Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan melarang penerbitan majalah mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu selepas merumuskan penggunaan kalimah ‘Allah’ bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian. 

Bagaimanapun, Pengarang majalah Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew kemudiannya secara biadab telah membuat kenyataan bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.

Kenyataan Andrew bukan sahaja menghina keputusan Mahkamah Rayuan, malahan turut bercanggah dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Disember lalu.

Sultan Sharafuddin antara lain menegaskan, semua rakyat, khasnya di Selangor, tanpa mengira kaum dan latar belakang, perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam seperti yang tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Hari ini, kemelut kalimah ‘Allah’ menjadi semakin rumit apabila Bible Society Malaysia (BSM) pula bertindak membelakangkan mahkamah dan menderhaka titah Sultan dengan terus mengedar Bible Melayu dengan nama ‘Allah’ di dalamnya.  Akibatnya, premis BSM telah diserbu oleh JAIS dan bible tersebut dirampas. 

Kejadian ini digunakan sepenuhnya oleh pihak Kristian untuk menimbulkan gambaran buruk terhadap JAIS, Islam dan juga kerajaan walaupun apa yang berlaku ialah pihak mereka yang sebenarnya melanggar undang-undang. 

Setiap negara ada undang-undang dan setiap rakyat wajib akur kepada undang-undang.  Undang-undang dibuat bagi memastikan keadaan berada dalam keadaan terkawal, selain menegakkan keadilan.  Apabila ada pihak yang dengan sengaja melanggar dan tidak menghormati undang-undang maka keadaan akan menjadi huru-hara dan negara mampu menjadi tidak stabil. 

Manusia yang bertamadun tidak punya masalah untuk patuh kepada undang-undang biarpun kadangkala mereka merasakan yang ia tidak menepati citarasanya.  Dalam negara demokrasi, biarpun semua golongan punya hak masing-masing, namun kehendak majoriti wajib diutamakan.  Ini adalah keadilan mengikut sistem demokrasi. 

Apa yang pelik ialah pihak yang begitu lantang memperjuangkan demokrasi di Malaysia enggan menerima hakikat ini, iaitu kehendak majoriti adalah lebih utama dari minoriti.  Pada hari ini, mereka ini berjuang bermati-matian untuk membela tindakan 9% penganut Kristian mencabar undang-undang negara serta kehendak majoriti rakyat.  Hujah mereka, mereka hanya memperjuangkan kebebasan beragama atas nama demokrasi. 

Namun hipokrasi mereka terserlah apabila dalam mereka berhujah bahawa nama Tuhan bukan satu isu besar kerana semua agama merujuk kepada Tuhan yang sama, mereka berdegil ingin menggunakan nama ‘Allah’ juga bagi Injil berbahasa Melayu.  Kenapa tidak digunakan saja nama lain jika bagi mereka ia bukan satu isu?

Jelas, pihak pembela Kristian ini tidak faham bahawa dalam sistem demokrasi, kebebasan dan hak sesiapa jua tidak harus mengatasi undang-undang.   Apatah lagi apabila undang-undang itu ternyata tidak pernah menimbulkan masalah, dan terbukti menjadi kunci keamanan dan kestabilan negara.   

Tidak cukup dengan mencabar majoriti dan membelakangkan undang-undang, mereka mencerca pula pihak yang menang di mahkamah.  Kemudian, mereka mempermainkan pula pihak berkuasa serta ‘memijak-mijak’ kepala DYMM Sultan seolah-olah Institusi DiRaja dan semua institusi penguatkuasaan di Malaysia tidak bermakna. 

Bagaikan manusia ‘barbarian’ mereka memakai undang-undang rimba iaitu sekadar mengikut ‘kepala otak’ sendiri.    

Sekiranya manusia tidak bertamadun ini tidak dikawal, kita khuatir yang negara mungkin akan huru-hara. Justeru, kita mendesak agar tindakan diambil segera ke atas mereka yang menghina mahmakah. 

Kes Kalimah Allah telah pun diputuskan di mahkamah dan adalah di bawah bidangkuasa hakim untuk menghukum mereka yang melanggar keputusannya.  Mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, seseorang itu boleh dikenakan hukuman (penjara atau denda) jika sabit kesalahan 'menghina mahkamah' (contempt of court) apabila ia mempunyai kecenderungan (tendency) untuk campur tangan, menggugat atau mengganggu proses pentadbiran keadilan (interfere with the administration of justice).

Dalam kes ini, pihak Kristian, terutama Paderi Lawrence Andrew dan BSM telah secara jelas dan sengaja, mencabar dan melanggar keputusan mahkamah. 

Oleh itu, melihat dari kekusutan yang telah mereka cetuskan, adalah tidak wajar sekiranya tiada tindakan dikenakan ke atas mereka.  Kita bimbang jika mahkamah terus menerus melayan karenah pihak yang tidak bertamadun ini, maka integrasi mahkamah juga akan turut dipertikaikan. 

Kita tidak mahu Malaysia dilihat sebagai negara yang tidak bertamadun juga kerana tidak mampu menegakkan undang-undang dan mempertahankan keputusan mahkamah.  Kita juga tidak rela titah Sultan diperlekeh oleh warganegara Malaysia sendiri tanpa apa-apa tindakan dikenakan terhadap mereka. 

Semakin lama perkara ini berlarutan semakin ternampak seolah-olah Malaysia berada dalam keadaan hilang kawalan. 


Friday, January 10, 2014

MAIS Tolak SOP, Khalid Ibrahim Terima Tamparan Hebat

Di saat hampir kesemua pimpinan pakatan rakyat dan kerajaan negeri Selangor yang menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di atas tindakan yang dilakukan sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semalam tampil membuat kenyataan mempertahankan tindakan itu.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, tindakan JAIS itu bukan kerana Bible berkenaan dicetak dalam bahasa Melayu tetapi atas dasar kalimah Allah digunakan dan perkara tersebut mengundang kepada satu justifikasi siasatan bagi mengenal pasti sama ada berlaku kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini dilihat cuba menyalahkan tindakan itu yang disifatkan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. Malah dia dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini pernah berkata akan mengambil tindakan terhadap para pegawai JAIS sekiranya mereka didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Semakan bagi memastikan pegawai penguatkuasa Jais mematuhi (prosedur) operasi standard yang telah ditetapkan dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat pelanggaran peraturan atau kecuaian semasa melakukan rampasan dan serbuan tersebut,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, semalam Khalid turut mengeluarkan arahan dan prosedur SOP yang baharu dengan mewajibkan JAIS untuk mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan MAIS dan Exco kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan JAIS yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain dilakukan. kononnya untuk mengelakkan perkara yang sama berulang kembali.

Menurut Mohamad Adzib arahan baharu Khalid itu hanya akan mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.

"JAIS juga tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak untuk mengambil sesuatu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan kerana akan mengganggu proses yang hendak dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, JAIS mempunyai kuasa sama seperti polis untuk memeriksa dan menyiasat orang bukan Islam mengikut Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.

Katanya, beliau kesal kerana pelbagai pihak termasuk media dan Majlis Konsultatif Perpaduan Negara telah melaporkan fakta tidak tepat sama sekali dan menggambarkan seolah-olah tindakan JAIS semata-mata kerana cetakan Bible berkenaan dalam versi bahasa Melayu.

"Kenyataan pihak-pihak terbabit tanpa menyemak fakta sebenar menyebabkan salah tanggapan masyarakat terhadap tindakan JAIS.

"Tindakan JAIS dilakukan setelah MAIS mengambil penegasan di dalam mesyuarat bulanan agar jabatan agama itu bertindak terhadap aduan orang ramai berkaitan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 atau menguatkuasakan undang-undang sedia ada di Selangor," katanya.

Menurut Mohamad Adzib lagi, tindakan JAIS itu bukan bertujuan menyekat atau campur tangan terhadap kebebasan beragama oleh penganut-penganut agama lain seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana jelasnya, JAIS sekadar menguatkuasakan undang-undang sedia ada yang telah digubal mengikut Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, tiada kena-mengena dengan unsur-unsur menyekat kebebasan penganut agama lain daripada melaksanakan amalan agama mereka. JAIS tidak langsung mengambil tindakan menyekat orang beragama Kristian melaksanakan upacara keagamaan mereka seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Kesimpulannya ialah, Khalid perlu sedar walaupun dari segi politik dia memegang jawatan sebagai Menteri Besar dan perlu memainkan peranan untuk menjaga hati dan perasaan orang bukan Islam khususnya DAP. Namun di masa yang sama, dia tidak boleh dilihat seperti peguam, kerana isu tersebut melibatkan kesucian agama Islam.

Tindakan dan sikapnya seperti ‘tunduk kepada DAP’ berhubung isu ini, hanya akan menimbulkan masalah yang lebih besar di kalangan masyarakat Islam iaitu murtad.

Ia bukanlah merupakan andaian atau dakwaan semata-mata, ini kerana perkara itu turut diakui sendiri oleh para mubaligh Kristian. Contohnya menurut John Hultvall seorang mubaligh Kristian ‘Mission Covenant Church of Sweden’, walaupun penggunaan kalimah ‘Allah’ dipersoalkan di kalangan penganut-penganut Kristian sendiri, namun mubaligh-mubaligh Kristian sentiasa menggunakannya dalam usaha mereka memurtadkan umat Islam.

Seterusnya menurut Kevin Greeson, juga seorang mubaligh Kristian telah menulis sebuah buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ!. Menurutnya kaedah ‘The Camel’ telah digunakan untuk menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam dengan menggunakan  kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan agama Kristian.

Dengan kaedah yang terselindung ini, ia mampu memberi manfaat kepada Kristian kerana penggunaan kalimah ‘Allah’ dapat digunakan sebagai ‘jambatan’ untuk mendekati serta memurtadkan umat Islam di seluruh dunia.


Wednesday, January 8, 2014

Kebodohan Pejuang Liberalisasi: Nama Tuhan Bukan Isu Tapi Sanggup ‘Berperang’ Untuk Guna Nama ‘Allah’ Dalam Injil

Dalam desakan dan tuntutan penganut Kristian untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam Injil berbahasa Melayu, mereka memakai hujah bahawa semua agama menyembah Tuhan yang SATU.  Oleh itu, kata mereka, apapun nama rujukan terhadap Tuhan tidak sepatutnya menjadi isu.

Justeru, kita pun tertanya-tanya, kenapa tidak namakan saja Tuhan Kristian sebagai Gautama Buddha atau Ramayana atau Lim Guan Eng?  Bukankah nama-nama ini lebih relevan dan lebih dekat dengan penganut-penganut Kristian di Malaysia?   

Kalaupun ingin sangat berbunyi Melayu, kenapa tidak diberi nama Ali atau Abu sahaja?  Atau nama-nama Iban?   Atau cipta saja nama baru.   Kenapa mesti berdegil ingin menggunakan nama yang mampu mencetuskan krisis? 

Bukankah mereka juga yang berkata bahawa nama Tuhan bukan satu isu? 

Hujah bahawa semua agama merujuk kepada Tuhan yang satu membawa maksud penganut Kristian kini percaya bahawa Tuhan itu adalah sama dalam semua agama, termasuk agama Islam yang menyembah ‘Allah SWT’.

Untuk pengetahuan penganut Kristian, Allah SWT yang disembah oleh umat Islam adalah tidak beranak dan tidak diperanakkan. 

Oleh itu, jika benar Kristian menyembah Tuhan yang sama, maka mereka secara automatik telah menggugurkan kepercayaan yang menyatakan bahawa Jesus adalah anak Tuhan. 

Nampaknya pihak Kristian perlu mengambil tindakan segera untuk memperbetulkan kitab Injil mereka yang menyatakan bahawa Jesus adalah anak Tuhan bagi menepati hujah bahawa mereka turut menyembah Tuhan umat Islam.  

Ini kerana mengikut logik, mana mungkin Tuhan yang sama mempunyai sifat yang berlainan?   

Dengan ini, kita mendesak semua padri dan pendakwah Kristian di Malaysia agar membuat pengumuman rasmi bagi menafikan bahawa Jesus itu adalah ‘Allah’ yang disembah mereka. 

Hanya inilah saja jalan penyelesaian bagi memastikan penggunaan nama Allah dalam kitab Injil Kristian tidak menimbulkan konflik dengan hujah mereka sendiri dan tidak menimbulkan ketegangan dengan umat Islam. 


Tuesday, January 7, 2014

Kalimah ‘Allah’: June Wong, Pengarang The Star Ingin Jemput Campurtangan Asing Pula

Akhbar The Star nampaknya telah mengambil pendirian memihak kepada Kristian dalam isu kalimah ‘Allah’.  Menurut June Wong iaitu seorang pengarang di akhbar tersebut,  halangan terhadap orang-orang Kristian di Malaysia untuk menggunakan kalimah tersebut bagi merujuk kepada Tuhan ‘Bapa’ adalah bertentangan dengan konsep moderat yang dipromosikan oleh Perdana Menteri. 

Justeru, katanya, sekiranya masalah ini berlarutan maka beliau menyarankan agar pihak Kristian meminta bantuan asing untuk menjadi pengantara bagi menyelesaikannya. 
Fakta yang sengaja tidak disebut oleh June Wong ialah isu ini bukanlah satu isu kerana telah termaktub di dalam Enakmen 1998 bahawa Kalimah Allah merupakan antara perkataan Arab yang tidak dibenarkan diguna oleh bukan Islam di Malaysia. 

Selain itu, perkara ini diperkuatkan lagi melalui kes The Herald, apabila mahkamah memutuskan yang sama, dengan pengecualian terhadap Sabah dan Sarawak.

Sewajarnya sebagai pengarang akhbar dan manusia yang bertamadun, June Wong harus akur dengan undang-undang dan keputusan mahkamah.  Namun, June Wong memilih untuk bersikap degil dan samseng dengan sengaja memberi tekanan kepada kerajaan kononnya atas nama kebebasan beragama

Persoalannya, kebebasan yang manakah dalam amalan agama Kristian yang dihalang oleh kerajaan? Sejak bila amalan Kristian wajib menggunakan nama Allah?

Kita pasti yagn June Wong tidak akan dapat menjawab soalan ini.  Pun begitu, beliau akan terus menyalak melolong-lolong sengaja berbuat bising, kononnya untuk menakut-nakutkan kerajaan

Hakikatnya, June Wong, DAP, Marina Mahathir, COMANGO dan mana-mana pihak yang sewaktu dengan mereka ini bukannya memperjuangkan kebebasan beragama, hak asasi manusia mahupun keadilan.  Mereka sebenarnya hanya ingin menentang Islam.  

Mereka tidak senang melihat negara ini aman damai dengan semua agama mengamalkan ibadah masing-masing tanpa pertelagahan.  Mereka tidak senang selagi Islam menjadi agama rasmi negara dan menjadi penghalang kepada cara hidup mereka yang tanpa batasan. 

Oleh itu, biarpun kerajaan tidak pernah mengganggu amalan agama lain, tetapi itu belum cukup bagi mereka. Mereka ingin mendesak fahaman liberal mereka ke atas kerajaan dan seluruh umat Islam. 

Sesiapa yang tidak bersetuju dengan fahaman liberal mereka akan dikecam sebagai kolot, sampah dan bodoh. Sikap yang mereka tonjolkan ini tentulah amat bertentangan dengan perjuangan yang mereka laungkan. 

Jika benar mereka memperjuangkan kebebasan beragama, maka kenapa mereka memperlekeh pegangan Umat Islam? 

Jika benar mereka berpegang bahawa semua orang punya hak, maka kenapa setiap kali Umat Islam mempertahankan haknya akan dituduh sebagai sampah, kolot dan bodoh pula?   

Apakah umat Islam tidak punya hak apa-apa?  Kenapa Islam perlu didiskriminasi?  Bukankah mereka juga yang menentang sebarang bentuk diskriminasi?

Sekiranya June Wong mengkaji sejarah kitab Injil, maka beliau pasti tahu bahawa walaupun Kristian turut mengiktiraf Tuhan sekalian alam yang dipanggil Triune, Tuhan yang dimaksudkan itu adalah berbeza dengan yang disembah oleh Umat Islam kerana sifatnya yang terbentuk dari 3 entiti iaitu Bapa, Anak dan Holy Spirit.   

Sedangkan ‘Allah’ yang disembah oleh umat Islam adalah Esa, tidak punya anak atau bapa atau bersangkutan dengan sebarang entiti asing. 

Maka tidak hairanlah apabila tidak pernah sama sekali dalam sejarah Injil yang merujuk kepada Tuhan Triune yang terdiri dari 3 entiti itu, sebagai Allah. 

Antara nama-nama lain bagi Tuhan Kristian mengikut zaman dan daerah ialah Jehovah, Eloihim, El Shadai, Adonai, Emmanuel dan lain-lain yang semuanya berakar dari Bahasa Arab dan Hebrew, TETAPI nama ‘Allah’ BUKAN serta TIDAK PERNAH merupakan salah satu daripadanya. 

Bagi membantu June Wong memahami hujah ilmiah ini, maka inilah diringkaskan seperti berikut: 

1.      Memandangkan nama ‘Allah’ tidak pernah ada kena mengena dalam kitab Injil agama Kristian, maka tidak ada sebab konkrit bagi Kristian untuk bermati-matian memperjuangkan penggunaan nama itu dalam aktiviti dan kitab agama mereka di Malaysia.

2.      Amalan Kristian tidak akan terjejas jika mereka tidak menggunakan nama Allah. 

Maka, kita pinta June Wong menjelaskan kenapa beliau sanggup menjejaskan keharmonian serta memperjudikan kedaulatan negara semata-mata untuk memperjuangkan sesuatu yang tidak signifikan? 

Dengan tidak mengetahui sejarah kitab Injil yang diperjuangkannya, maka tidak salah jika kita menuduh June Wong sebagai bukan seorang Kristian yang alim atau bukan seorang Kristian pun.  Sekali gus, ini bermakna, perjuangan June Wong dalam isu ini bukanlah kerana agama demi alam abadi selepas mati, tetapi sekadar memenuhi kebenciannya terhadap Islam dalam usaha meruntuhkan kerajaan Islam. 

Untuk  itu, June Wong amat mengharapkan campurtangan asing agar agenda untuk meruntuhkan kerajaan Islam lebih cepat tercapai.
Setiap manusia yang rasional pasti dapat melihat bahawa membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah di Semenanjung Malaysia hanya akan membawa keburukan dan langsung tiada kebaikan – termasuklah kepada para penganut Kristian sendiri. 

Malangnya, June Wong, Marina Mahathir, DAP dan yang seangkatan dengan mereka...bukanlah manusia yang rasional.    


Friday, October 18, 2013

Agenda BBC Untuk Memecah Belahkan Orang Islam?

Isu Kalimah Allah yang masih hangat (terutamanya untuk orang Kristian), yang dipelopori oleh para mubaligh agama tersebut di dalam DAP. Pihak mahkamah telah menghalang mereka untuk menggunakan nama tuhan orang Islam untuk penyiaran dan kegunaan percetakan telah dianggap oleh DAP sebagai satu tamparan hebat.

Sebagai buli yang tersohor, DAP selalunya akan meragam apabila kehendak tidak tercapai. Setelah keputusan dibuat oleh mahkamah, parti tersebut masih lagi menyalak dan menyalahkan orang Islam dan sesiapa sahaja yang menentang mereka. Sekarang DAP bukan sahaja menyalak kepada PDRM dan ROS, tetapi juga kepada sistem kehakiman negara.

DAP ialah satu parti yang sangat bising.

Entah bagaimana, salakan DAP ini telah didengari oleh agensi berita antarabangsa BBC.
  
BBC pula dengan menipu cuba menyatakan bahawa UMNO dan PAS sedang bergaduh untuk menentukan samada nama “Allah” boleh digunakan oleh orang-orang Kristian. BBC tidak menyebut langsung tentang salaknya DAP yang semakin lama semakin nyaring dan kuat.

Malah, Jennifer Pak dari BBC News Kuala Lumpur telah menyatakan bahawa ia adalah satu perlumbaan antara UMNO dan PAS sahaja.

Mungkin juga Jennifer telah tersilap pandangan dan menyatakan PAS dan DAP adalah satu entity. Kalau begitu dia mungkin separuh betul kerana DAP dan PAS adalah sebahagian dari komponen Pakatan Rakyat.

Dan kita tahu bahawa PAS telah terpecah dua berkenaan isu ini, dan ini sahaja di dalam golongan Ulama’. President PAS, Hadi Awang masih lagi tidak menyatakan apa-apa tentang pendirian berliau tentang perkara ini. Namun begitu, Harun Taib, Ketua Majlis Ulama’ telah menyatakan bahawa PAS bersama kerajaan untuk tidak membenarkan The Herald untuk menukarkan nama tuhan Kristian kepada “Allah”.

Patutnya, sebagai wartawan yang professional, mereka perlu menyebut tentang fakta bahawa kes tersebut secara terang-terangan adalah Kerajaan Malaysia Vs Persekutuan Kristian di Malaysia. Tapi Jennifer Pak telah tersalah tafsir fakta yang paling penting dan terus dengan melulu telah menuduh ia adalah satu pertarungan politik antara UMNO dan PAS. Kenyataan yang beliau katakan adalah “analisis” tersebut merupakan satu perkara yang amat kelakar.

Tetapi, nada laporan beliau bertukar serius apabila kononnya, Masjid dan Gereja telah diserang akibat daripada keputusan yang dibuat oleh mahkamah rendah pada 2009. Sedangkan perkara ini tidak pernah terjadi di negara ini.

Mungkinkah tentang beberapa orang budak Cina yang membaling cat merah kepada Surau yang akhirnya dimaafkan oleh komuniti Islam ditempat tersebut dikirakan sebagai serangan, kita tidak tahu apa yang Jennifer sedang katakan.

Orang Malaysia tidak bodoh. Ya, kita mungkin tidak faham tentang politik atau keadaan semasa di luar negara tapi kita tidak bodoh. Kita tahu bahawa BBC sedang melaga-lagakan orang Islam di Malaysia. Dan juga mereka ingin melaga-lagakan umat Islam dan orang Kristian di negara ini.

Secara terus terang, UMNO tidak mencampuri urusan mahkamah dan ia telah dibuktikan dimana saban kali Ketua Pembangkang dituduh beliau akan terlepas dan ramai juga pemimpin UMNO dipenjarakan disebabkan oleh jenayah.

UMNO dan pihak kerajaan adalah dua entiti berbeza dan ia memerlukan tahap professional yang tinggi supaya ianya tidak mencampuri urusan satu sama lain. Mungkin Jennifer sepatutnya bertindak sebagai seorang professional juga.

Dari awal lagi, Jennifer sepatutnya mengambil sedikit masa untu menganalisa tentang kepentingan akhbar kristian the Herald untuk menggunakan “Allah” menggantikan perkataan God di dalam akhbar mereka.

Adakah sebarang keburukan akan berlaku sekiranya the Herald menggunakan nama “lord” atau “Father” seperti yang selama ini digunakan oleh mereka? Perkara ini perlu dijelaskan sebelum menerjah kedalam unsur sosio politik yang beliau sendiri tidak faham langsung.


Friday, August 23, 2013

Isu Kalimah Allah : Bukti UMNO Pertahan Islam

Tidak salah jika dikatakan bahawa Kalimah Allah tidak mungkin menjadi isu jika PAS tidak bersekongkol dengan DAP.  Persekongkolan PAS dengan DAP telah membawa kepada dolak-dalih dan ‘flip-flop’ dalam kes kitab Injil berbahasa Melayu yang menggunakan Kalimah Allah bagi menggantikan nama Tuhan Kristian.  Suatu ketika PAS menyokong DAP dan menggesa kerajaan membenarkan Injil tersebut diedar dan suatu ketika pula, PAS menafikan pula yang mereka pernah menyokong DAP dalam isu tersebut. 

Dolak dalih atau ‘flip-flop’ adalah tanda kelemahan dan DAP tidak mengambil masa yang lama untuk mengeksploitasi kelemahan PAS bagi menekan kerajaan, sekali gus mencabar agama Islam serta mempromosi Kristian. 

Akibatnya, kerajaan UMNO yang bertegas enggan membenarkan Injil tersebut disebar kini dicabar di mahkamah.    Perkara ini tidak mungkin terjadi jika PAS sejak dari awal lagi tidak memberi muka kepada DAP untuk memainkan isu ini. 

Malang sekali apabila kerajaan telah kalah kepada pihak gereja dalam perbicaraan awal. Dan kini, kita sedang menunggu keputusan mahkamah rayuan pula. 

Walaupun PAS menafikan yang mereka menyokong DAP dalam isu ini, sehingga kes ini ke mahkamah, PAS terus ‘malu alah’ untuk ke hadapan dalam mempertahankan Kalimah Allah.  Inilah buktinya bahawa PAS sedar akan kesilapan mereka tetapi enggan mengakuinya.  Ia juga membuktikan bahawa PAS masih ingin menjaga hati DAP dan nekad untuk terus bersama DAP walaupun menyedari bahawa DAP adalah musuh Islam. 

Setakat artikel ini ditulis, mahkamah masih belum membuat keputusan. Justeru, umat Islam kini sedang menunggu dengan cemas.  Beberapa NGO turut meluangkan masa berkumpul di mahkamah, melaungkan Allahuakbar dan berdoa akan kemenangan di pihak kerajaan.   Jika PAS benar pertahankan Islam, maka PAS juga wajib menerima hakikat bahawa mereka harus turut mendoakan kemenangan kerajaan UMNO dalam rayuan kes ini.    

Episod ini seharusnya membuka mata semua pihak bahawa yang mempertahankan Islam itu adalah kerajaan UMNO dan bahawa kerajaan tidak pernah campurtangan dalam sistem perundangan mahupun institusi kehakiman. 

Dengan itu, PAS seharusnya malu jika terus menggunakan hujah bahawa UMNO tidak mempertahankan Islam lagi selepas ini. Manakala Pakatan Rakyat pula, secara keseluruhannya tidak berhak lagi menggunakan hujah bahawa kerajaan menguasai mahkamah apabila saja mereka kalah di mahkamah.