Showing posts with label gajiadunsel. Show all posts
Showing posts with label gajiadunsel. Show all posts

Friday, December 27, 2013

SELANGOR BUKAN SAJA NAIK HARGA TAPI JOLI DUIT RAKYAT

Setelah masuk penggal kedua mentadbir Selangor, pembangkang sudah sedar bahawa banyak daripada dasar serta program pembangunan yang mereka laksanakan sebenarkan merugikan kerajaan negeri.

Dap yang merupakan sekutu PKR dan Pas sudah mula melihat sesetengah dasar yang diperkenalkan pada tahun 2008 ketika pembangkang mula menguasai Selangor sudah ketinggalan zaman atau 'outdated'.

Lantas Naib Pengerusi DAP negeri, Teng Chang Khim membidas kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid Ibrahim supaya menilai semula program-program seperti pemberian air percuma.

Air percuma sebanyak 20 meter padu merupakan program teras pembangkang yang diperkenalkan pada peringkat awal untuk menambat hati rakyat dan menarik sokongan kepada kerajaan negeri yang baru.

Pembangkang heboh sekampung pertama kali mereka melancarkan program tersebut kerana pada mereka itulah satu-satunya ide paling hebat yang mereka fikir telah berjaya dijana oleh pemikiran pakar strategik mereka.

Sejumlah RM382 juta telah dibelanjakan bagi program air percuma 20 meter padu dari tahun 2008 hingga 2011.

Kalau diambil purata ini bermakna sepanjang tempoh tiga tahun kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan kira-kira RM127 setahun untuk program tersebut.

Jika nilai purata itu dijumlahkan sehingga tahun 2013, ini bermakna kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR, Pas dan Dap telah meleburkan duit kerajaan yang dikutip dari pembayar cukai sebanyak RM635.

Bayangkan pembangkang dengan mudah sekali membazir lebih daripada setengah bilion ringgit duit rakyat bagi tujuan politik yang akhirnya mengancam kedudukan kewangan negeri itu sendiri.

Wang sebanyak RM635 boleh digunakan untuk membaik pulih aset-aset berkaitan kepunyaan negeri seperti loji pembersihan, ampangan dan sebagai yang banyak daripada amat memerlukan penyelenggaraan.

Tapi sebaliknya Selangor memilih jalan mudah untuk jolikan wang RM635 itu untuk kepentingan politik mereka dan tidak memberi keuntungan kepada semua rakyat negeri itu.

Isu penduduk pangsapuri yang berkongsi meter air induk masih belum diselelsaikan sehingga kini.

Dikatakan hampir 300,000 penduduk negeri itu yang menghuni kediaman jenis pangpuri atau flet masih tidak menerima setitik pun air percuma yang digembar gemburkan itu.

Jadi di mana keadilan sosial dan merakyatkan ekonomi yang begitu gah disebut-sebut dalam setiap ceramah politik mereka.

Ini bukan merakyatkan ekonomi namanya tapi meranakan rakyat!

Mungkin sebab itu Chang Kim mengingatkan menteri besar supaya mengkaji semula dasar populis tersebut.
Ganjil bunyinya apabila pembangkang sendiri yang menggunakan istilah 'populis' terhadap pentadbiran mereka sendiri .

Sebelum ini pembangkang menuduh kerajaan Barisan Nasional mengamalkan dasar populis tapi kini ludah yang mereka sembur ke langit jatuh bertempek ke muka mereka sendiri.

Satu lagi dasar yang dikritik oleh bekas speaker itu ialah kegagalan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor menggunakan peruntukan yang diberi untuk tujuan pembangunan.

Katanya setelah lima tahun memerintah, hanya antara empat dan 10 peratus sahaja bajet untuk kesemua 12 PBT tersebut telah berjaya digunakan.

Adakah PBT juga turut mengikut pe'el menteri bersar yang dikatakan tangkai jering dan tidak mahu menggunakan peruntukan negeri untuk kebajikan rakyat.

Mungkin PBT di Selangor juga berfikiran sedemikian bahawa wang yang diperuntukkan lebih baik disimpan di dalam bank untuk menjana faedah daripada dibelanjakan untuk pembangunan bagi kebaikan rakyat.

Apa pun Selangor tidak lagi boleh mendabik dada segala program atau dasar yang diperkenalkan benar-benar mensejahterakan rakyatnya.

Lebih-lebih lagi Anwar Ibrahim selaku penasihat ekonomi negeri bergaji RM1 telah juga gagal untuk membawa Selangor ke tahap pembangunan ekonomi yang hebat dan cemerlang.

Apa yang dinikmati di Selangor ketika ini adalah penat lelah dan jerih penat selama 50 tahun membangunakan negeri itu.


Pembangkang hanya datang, tadbir dan nikmati segala apa yang ada sambil melaungkan kepada seluruh rakyat bahawa semua itu adalah hasil kerja mereka.

Wednesday, December 18, 2013

Anwar Hantar Permohonan Untuk Naik Gaji

Setelah puas menghentam Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim yang dikatakan tidak peka dengan masalah dan rintihan rakyat berhubung usul kenaikkan gaji mendadak yang dberikan kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2013.

Mengikut usul tersebut gaji Menteri Besar dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250 (106 peratus); anggota Exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250 (231 peratus); speaker Dun dari RM6,109.29 kepada RM22,500 (266 peratus); timbalan speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 (373 peratus) dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250 (87 peratus).

Disebabkan itu, Khalid telah menjadi ‘mangsa belasahan’ Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang kononnya tidak bersetuju dengan kenaikan tersebut. Pelbagai kritikan dan cemuhan dilemparkan oleh Anwar bagi menggambarkan kononnya dia prihatin denga keluhan dan masalah rakyat.

Namun dalam diam-diam, Anwar rupanya telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang memohon agar gaji dan elaun Ahli Parlimen dinaikkan. Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 dalam sidang Dewan Negara petang tadi.

Anwar sudah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat bersetuju gaji Ahli Parlimen dinaikkan.

“Perdana Menteri sudah membentangkan cadangan itu (kenaikan gaji dan elaun MP) dalam usaha menaiktaraf Ahli Parlimen kita setaraf dengan ahli-ahli Parlimen negara lain di seluruh dunia. Usaha telah kita buat tapi atas sebab politik ia dibantah oleh Ketua Pembangkang.

“Sekarang barulah Ketua Pembangkang hantar surat kepada Speaker baru-baru ini mohon dinaikkan gaji. Barulah nampak ada sokongan padu untuk naikkan gaji MP,” kata Shahidan.

Ketika pembentangan Bajet 2012 pada tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula elaun Ahli Parlimen sekiranya mendapat sokongan penuh wakil rakyat kerajaan, pembangkang dan Bebas.

Namun usul tersebut terpaksa ditarik balik ekoran bantahan daripada empat wakil rakyat pembangkang. Mereka yang dimaksudkan ialah Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pada ketika itu berkata, penarikan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri itu.

“Pembangkang ‘buka mulut’ (bantah) terlalu awal sebelum kita jelaskan kandungan pakej kajian berkenaan yang merangkumi pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh seorang wakil rakyat.

“Sebenarnya kenaikan gaji Ahli Parlimen yang dicadangkan tidak begitu banyak, mungkin dalam lingkungan RM1,000. Tapi kita banyak fokuskan mengenai elaun sampingan lain seperti elaun pegawai penyelidik, bayaran pejabat serta gaji pemandu,” menurut Nazri.

Malah disebabkan bantahan tersebut, ramai di kalangan Ahli-ahli Parlimen pembangkang dikatakan marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan Anwar itu.

Menurut Ahli Parlimen PKR, selama ini mereka telah mengalami perbelanjaan ‘defesit’ setiap bulan memandangkan gaji sebagai Ahli Parlimen cuma RM6,500 sahaja dan dicampur lain-lain  elaun termasuk tuntutan jika Parlimen bersidang, mereka hanya perolehi tidak sampai RM12,000 sebulan.

Lebih malang lagi, beberapa orang Ahli Parlimen PKR yang ditemui pada ketika itu menjelaskan, mereka terpaksa mendermakan RM1,500 kepada parti bagi kos operasi.

“Tolak sebanyak itu, berapa yang kami dapat. Anak isteri juga perlu wang. Ini tak masuk bantuan kepada pengundi-pengundi dan aktiviti setempat... Hadiri kenduri kahwin, ziarah kematian.”

Menurut seorang ahli parlimen PKR yang enggan dikenali itu, mengatakan dia terpaksa ‘bersilat’ dengan isterinya selepas ternampak slip elaun RM6,500.

“Isteri saya bising dan tidak percaya wakil rakyat dapat gaji banyak itu. Dia tanya saya, macam mana saya boleh beri duit kepada mereka yang datang meminta bantuan... nasib baik saya ada perniagaan sendiri, jika tidak memang teruk. Perbelanjaan kami ‘defesit’ sebenarnya.”

Kesimpulannya ialah, walaupun pada ketika itu kerajaan hanya mencadangkan kenaikan sekitar 10 peratus, namun atas sebab politik ia terus ditentang berbanding kenaikan yang diluluskan oleh kerajaan Selangor yang mencecah sehingga 373 peratus. Anwar juga pada hakikatnya sedar gaji Ahli-ahli Parlimen di Malaysia adalah rendah berbanding negara-negara jiran.

Namun disebabkan hasratnya ingin menjadi Perdana Menteri dan ingin mengambil hati rakyat semua cadangan tersebut terus ditolak mentah-mentah, tambahan pula pada ketika cadangan tersebut dilakukan, Pilihanraya Umum ke-13 masih lagi menjadi teka-teki.

Benarlah apa yang dikatakan sebelum ini, Anwar adalah ‘Bapa Segala Retorik’.


Thursday, December 5, 2013

Naik Gaji Adun : Khalid Kena Bedal Lagi


Seperti yang telah dijangkakan, keputusan kerajaan negeri meluluskan kenaikkan mendadak gaji dan elaun bulanan untuk semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2013 ini mendapat tentangan yang hebat dari pelbagai lapisan masyarakat.

Ekoran daripada rungutan itu juga, pimpinan pakatan pembangkang akhirnya terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk turut sama mengkritik tindakan yang melampaui batas itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilaporkan berkata, kerajaan negeri khususnya Khalid perlu mengambil kira teguran daripada rakyat.

"Kita setuju (kenaikan gaji)... jumlah ini (kadar kenaikan gaji itu) boleh dikurangkan sebelum dilaksanakan," katanya.

Turut hadir Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang. Rabu lepas, Abdul Khalid mengumumkan kenaikan gaji antara 87 hingga 373 peratus membabitkan menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan Adun Selangor berkuat kuasa 1 Januari ini.

Sebelum ini, bagi meredakan kritikkan terhadap Khalid, Anwar mengarahkan semua Adun PKR di Selangor menderma antara RM1,000 atau sehingga 20 peratus daripada gaji baru mereka untuk membantu pelajar miskin.

Ini kerana Anwar berkata walaupun Khalid telah memberi penjelasan kenapa kadar kenaikan gaji wakil rakyat negeri itu begitu tinggi, PKR tetap mengambil tindakan susulan mendesak ia dikaji semula.

Selain daripada itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berpendapat, kenaikan gaji dan elaun Menteri Besar Selangor serta anggota pentadbiran negeri itu dibuat seolah-olah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Beliau berkata, kenaikan itu memberi gambaran bahawa kerajaan negeri berkenaan memiliki kekayaan sehingga mampu membayar gaji serta elaun dengan kenaikan berlipat kali ganda.

"Tak salah kalau dia banyak duit, nak act (menunjuk-nunjuk) lah tu. Mungkin dia dapat dari bajet surplus negeri Selangor 2014, jadi biarlah dia," katanya ketika dihubungi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Datuk Teng Chang Khim sebeum ini mencadangkan agar mana-mana Adun yang tidak berpuas hati dengan kenaikkan itu agar menandatangani surat perakuan untuk menyerahan lebihan gaji mereka untuk tujuan kebajikan.

"Ketika usul kenaikan gaji dan elaun itu dibentangkan juga semua pihak (wakil rakyat) bersetuju, sekarang mereka kata tidak munasabah pula. Kalau rasa kenaikan itu tidak munasabah, jangan ambil (lebihan kenaikan gaji dan elaun) itu," jelasnya.

Malah setiausaha politik MB Selangor, Faekah Husin sebelum ini turut mempertahankan tindakan bosnya dengan melabelkan Azmin sebagai SARKAS.

Namun apa yang pasti, tindakan pimpinan pembangkang menghentam Khalid hanyalah satu drama samata-mata. Ini kerana seperti kata Chang Khim, ketika usul itu dibacakan semua Adun yang hadir telah bersetuju dengan cadangan tersebut.

Sedangkan sekiranya benar mereka ingin menjaga dan memikirkan kebajikan rakyat usul ini tidak sepatutnya diluluskan. Atau setidak-tidaknya ada segelintir di kalangan mereka bangun untuk membantah dan meminta agar kadar yang diberikan itu dikaji semula.

Kepada para pemimpin pembangkang, berhentilah berlakon dengan sandiwara murahan ini. Sampai bila rakyat Selangor perlu dibodoh-bodohkan???


Friday, November 29, 2013

Kenaikan Gaji ADUN Selangor: Perangkap Buat Khalid?


Di kala Pakatan Rakyat melaungkan kesejahteraan demi rakyat serta mengungkit-ngungkit kemewahan dan perbelanjaan kerajaan pusat, keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menaikkan gaji Menteri Besar dan 56 ADUNnya, membuktikan hipokrasi PR yang tiada tolok bandingnya. 

Kenaikan yang diperkatakan di sini bukanlah 5%-10% sepertimana kebiasaan di syarikat-syarikat swasta, itupun boleh dikira tinggi.  Apa yang mengejutkan ialah kenaikan yang dinikmati oleh pemimpin Selangor adalah ratusan peratus iaitu: 106% bagi Menteri Besar dan 231% bagi Exco, 266% bagi Speaker, 373% bagi Timbalan Speaker dan 87% bagi ADUN. 

Kenaikan ini bermakna daripada 66.2% daripada RM1.85 billion dari Belanjawan Negeri tahun hadapan, akan digunakan untuk menampung kos pengurusan sahaja manakala baki 33.8% sahaja yang tinggal untuk pembangunan. 

Soalan yang paling tepat untuk apa yang berlaku ini ialah:  “Apa kejadahnya?”

Mungkin ramai terlepas pandang bahawa Selangor baru sahaja menaikkan elaun ADUN dua tahun lepas sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan Tambahan pada 12 April 2011.  Kenaikan pada waktu itu melibatkan RM1.27 juta. 

Apa yang berlaku menunjukkan pemimpin PR Selangor langsung tidak sensitif dengan keluhan rakyat mengenai harga barang yang meningkat dan juga pengurangan subsidi yang terpaksa dilalui.  Sebaliknya, pemimpin PR terlebih dahulu memastikan yang hidup mereka tidak terjejas malah bertambah senang sebelum memikirkan mengenai rakyat. 

Lebih menarik lagi, Penasihat Kewangan Selangor, Anwar Ibrahim, nampaknya turut mempersoalkan kenaikan ini.  Malah, Anwar membuat kenyataan terbuka mengenai rasa kurang senangnya dengan kenaikan yang begitu drastik.  Dan, ini bukan kali pertama Anwar menegur Khalid. 

Hanya beberapa minggu lalu, Anwar mengkritik Khalid di hadapan orang ramai dalam forum Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya.  Beliau secara terus terang meminta Abdul Khalid agar tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan yang diperoleh tetapi gagal dalam membelanjakannya dengan baik. 

Memandangkan kenyataan itu keluar dari mulut Anwar iaitu seorang politikus tegar, kita mengambilnya sebagai mempunyai berbagai makna yang tersirat.  Antara yang dapat difahami dari kenyataannya ialah beliau sedang membuka laluan untuk Azmin Ali menggantikan Khalid. 

Kita pasti, Khalid juga cukup sedar akan hal ini. 

Justeru, tidak mustahil tindakan Khalid menaikkan gaji Exco dan ADUN adalah salah satu langkah untuk menyelamatkan diri. Beliau sedar yang beliau perlu meraih sokongan dari mereka ini andainya terdapat usul tidak percaya terhadapnya sebagai Menteri Besar.  Seperti kelaziman politik PR, tiada umpan yang lebih baik untuk mendapat sokongan selain dari ‘wang’. 
                                                               
Walaubagaimanapun, tindakan Khalid mengundang pandangan sinis rakyat terhadap kerajaan PR Selangor.  Sikap hipokrit dan tidak sensitif pemimpin PR kini terserlah dengan sejelas-jelasnya.  Apatah lagi apabila Khalid tidak dapat memberi penjelasan yang rasional terhadap tindakannya itu. 

Dari cakap-cakap kedai kopi dan sembang-sembang laman sosial, kita dapat mengesan perasaan tidak puas hati rakyat. Penyokong PR juga turut merasa gelisah dengan apa yang berlaku, apatah lagi apabila Anwar sendiri turut menunjukkan rasa tidak senang dengan apa yang berlaku. 

Walaupun Khalid mungkin mampu mengambil hati para Exco dan ADUN, tetapi Khalid jelas tidak dapat mengambil hati rakyat.

Nampaknya, Khalid telah memerangkap diri sendiri dengan meletakkan dirinya antara rakyat dengan pemimpin Selangor.