Showing posts with label comango. Show all posts
Showing posts with label comango. Show all posts

Friday, January 17, 2014

Mentafsir ‘Kesederhanaan’

Dalam perasmian Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global atau International Conference on Global Movement of Moderates (ICGMM) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 17-19 Januari 2012, Dato' Sri Najib telah mengumumkan penubuhan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global atau Global Movement of Moderates Foundation (GMMF). 

Secara dasarnya, GMMF menyeru negara anggota agar mengamalkan kesederhanaan serta menolak dan mengecam pelampau di negara masing-masing. 

Yayasan ini diterajui oleh Dato’ Saifuddin Abdullah sebagai Ketua Eksekutif GMM, yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.  

Sejak dari awal perlantikannya lagi Saifuddin telah memperlihatkan sikap ‘tidak senang’ dengan NGO yang mewakili orang-orang Melayu, iaitu PERKASA.  Saifuddin langsung tidak berselindung dalam menggambarkan pendapatnya terhadap NGO itu yang dianggapnya ekstrem.

Dalam kenyataan akhbarnya sempena penubuhan GMM pada September 12, 2012, beliau mengingatkan PERKASA bahawa tiada pihak yang boleh mendapat 100% apa yang mereka mahukan di negara ini.  Saifuddin juga mengigatkan PERKASA bahawa NGO itu tidak mewakili pendapat majoriti rakyat.  Perjuangan PERKASA untuk memartabatkan bangsa Melayu dikatakan tidak menepati slogan kesederhanaan. 

Namun, di masa yang sama Saifuddin secara tidak langsung menyokong pihak ekstremis Cina Dong Zong, dengan menyatakan bahawa pintu rundingan masih terbuka mengenai Dasar Pendidikan Nasional.  Saifuddin langsung tidak mengecam Dong Zong yang berdegil ingin memisahkan kaum Cina dari aspirasi negara.  Saifuddin juga tidak menganggap Dong Zong ekstrem walaupun jelas pertubuhan itu ingin mengukuhkan keCinaan bangsanya yang mana amat bertentangan dengan slogan kesederhanaan. 

Benar, bahawa PERKASA tidak mewakili majoriti rakyat tetapi Dong Zong pula jelas mewakili hanya segelintir rakyat.  Justeru, adalah tidak wajar bagi GMM untuk mengambil sikap berpihak dalam menyatakan pendapat.  Apatah lagi memilih untuk berpihak kepada minoriti yang kecil. 

Apa yang berlaku menunjukkan bahawa Saifuddin atau GMM, PERKASA, Dong Zong, dan mungkin juga sekalian rakyat atau pemimpin negara ini mempunyai tafsiran yang berbeza-beza mengenai ‘moderation’ (kesederhanaan). Kita yakin, ramai yang keliru antara ‘sederhana’ dengan ‘kebebasan’,  dan kemudiannya keliru pula antara ‘kebebasan’ dengan ‘kebebasan total’. 

Baru-baru ini pula, Saifuddin atau GMM memilih untuk menyokong COMANGO serta mengecam tindakan mengharamkan gabungan itu.  Ini adalah bukti bahawa tafsiran Saifuddin/GMM mengenai ‘kesederhanaan’ adalah berbeza dengan tafsiran majoriti rakyat negara ini. 

Ini tidak mengejutkan kerana antara personaliti yang menerajui GMM ialah Datuk Seri Wong Chun Wai, CEO akhbar The Star yang giat menikam belakang UMNO.  

Selain GMM, Suhakam dan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) juga dilihat menyokong COMANGO atas alasan ‘kesederhanaan’.   Menurut semua pihak ini, pengharaman COMANGO adalah keterlaluan dan tidak menepati slogan kesederhanaan Perdana Menteri dan juga perjuangan hak asasi manusia. 

Bagi GMM, COMANGO, MKPN dan juga SUHAKAM serta rangkaian pembangkang iaitu SUARAM atau BERSIH, ‘kesederhanaan (moderation)’ tidak mungkin dapat dilaksanakan secara tuntas selagi negara ini berpaksikan kepada agama Islam dan bersandarkan kepada perlembagaan yang dikuncikan dengan Hak Istimewa Melayu. 

Bagi majoriti rakyat, dan akar umbi UMNO sendiri yang menjadi tunjang kerajaan pula, ‘kesederhanaan (moderation)’ adalah memberi ruang kepada semua bangsa dan agama untuk mengamalkan budaya dan ibadah masing-masing tanpa sekatan di samping meletakkan Islam di tempat teratas sejajar dengan perlembagaan negara. Dalam kata lain, tidak diubah apa-apa mengenai perlembagaan dan undang-undang negara. 

Untuk membuat keputusan mengenai pendapat siapa yang perlu diikut atau pendirian siapa yang benar dan tepat mengenai apa itu ‘bersederhana’ tentulah sukar dan hampir mustahil. 

Pastinya, pihak yang bersama GMM merasakan pendirian mereka tepat dan penentang mereka adalah kolot, ketinggalan atau bodoh.  

Manakala pihak majoriti Melayu Islam di negara ini pula merasakan pendirian merekalah yang tepat dan penentang mereka sebagai jahil, sesat atau kafir. 

Justeru, inilah ditekankan agar pihak kerajaan memberi tafsiran yang tepat mengenai apa itu ‘kesederhanaan’ yang dilaungkan dan ke mana arah tujuan negara ini?  Apakah kerajaan benar-benar ingin mengubah struktur sosial dan identiti negara?   Apakah Malaysia sedang menuju ke liberalisasi dan tidak lagi ingin berpegang kepada agama Islam sebagai agama rasmi?  

Sementara itu, inilah juga diingatkan bahawa perkara utama yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan hala tuju negara ialah, keamanan dan kesejahteraan keseluruhan rakyat. 

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa perlembagaan negara yang bertunjangkan agama Islam dan Hak Istimewa Bumiputera telah memperlihatkan kejayaan yang besar.  Kita pernah dinobatkan sebagai Harimau Asia dengan bersandarkan kepada perlembagaan yang sama.  Hak Istimewa Bumiputera juga membantu kita mengatasi ancaman ekstremis Cina sepertimana yang berlaku pada 13 Mei 1969. 

Malah, perlembagaan yang sama juga yang memberi peluang kaum Cina untuk menguasai ekonomi negara ini. 

Penganut agama lain tidak pernah dihalang untuk beribadah, malah setiap perayaan mereka juga diiktiraf sebagai cuti umum yang mana tidak mungkin dapat dinikmati oleh minoriti di negara lain di dunia.  Mereka juga diberi hak untuk mencetak dan mengedar akhbar dalam bahasa masing-masing serta mempunyai sekolah berasingan, yang mana tidak mungkin dapat dinikmati oleh minoriti di negara lain di dunia. 

Jelas, tidak ada kepincangan dalam kesederhanaan yang kita amalkan malah terlebih-lebih pula.  Malaysia sudah cukup sederhana dan kesederhanaan itulah yang meletakkan kita di mana kita berada pada hari ini. 

Bagi yang melihat ‘kesederhanaan’ diamalkan Malaysia belum lengkap atau tidak tepat, kita ingin bertanya, apakah wajar kita memperjudikan kehidupan yang baik ini untuk mencuba ‘kesederhanaan’ mengikut tafsiran mereka? 

Berbaloikah kita mengambil risiko membuat perubahan bagi memuaskan hati segelintir dari kumpulan minoriti?  Ingatlah, bahawa Kristian hanya mewakili 9% dari rakyat, dan dari jumlah itu pula tidak semuanya menyokong tuntutan menggunakan nama ‘Allah’ dalam Injil berbahasa Melayu.  Dan golongan yang mengamalkan LGBT pula tidak mungkin melebihi 5% pun.  

Berapa ramai pula yang ingin sangat untuk murtad?  Sepuluh?  Dua puluh orang? 

Wajarkah kita menggadaikan keamanan negara bagi memuaskan hati segelintir manusia ini?   Bukankah Saifuddin, sebagai Ketua Eksekutif GMM sendiri menyatakan bahawa kita tidak boleh menunaikan 100% kehendak satu-satu golongan itu dan tidak semua orang akan 100% berpuas hati?  

Minoriti telah mendapat kuasa ekonomi dan majoriti mendapat kuasa politik yang menentukan identiti negara ini.  Sebarang ‘pengurangan’ kuasa ke atas mana-mana sektor wajarlah berlaku secara seimbang.  Jika satu pihak membolot kedua-dua kuasa maka ia akan bermakna kehancuran pihak yang lagi satu. 

‘Kesederhanaan’ yang kita amalkan merupakan formula terbaik untuk negara ini.  Biarpun majoriti menentukan hala tuju dan identiti negara tetapi selagi minoriti dapat hidup sejahtera, malah mewah pula, maka kita sebenarnya tidak punya masalah apa-apa. 

Jika tiada masalah, kenapa perlu dicari masalah? 

Hakikatnya, kesederhanaan yang kita amalkan adala tepat dan GMM sendiri wajib mencerna hakikat ini sebaik-baiknya.   

Wednesday, January 15, 2014

COMANGO Bermain Kotor?

Entah kenapa kita tidak terkejut dengan pendedahan Ustaz Nasharuddin yang dimuatnaik oleh blog theUnspinners mengenai taktik kotor COMANGO untuk memerangkap gabungan NGO Islam ketika di Geneva.   

Menurut Ustaz Nasha, kumpulan NGO Islam telah diberi amaran oleh pegawai kerajaan di sana agar berhati-hati kerana COMANGO telah terlebih dahulu menyebarkan khabar di kalangan kedutaan asing bahawa gabungan NGO Islam itu adalah pengganas.  Mungkin, niat COMANGO adalah untuk membiarkan wakil NGO Islam ditangkap agar mereka boleh mengemukakan tuntutan tanpa halangan. 

Nampaknya, para peneraju COMANGO bukanlah terdiri dari manusia-manusia yang punya integriti.  Mereka sanggup berbuat apa saja untuk mencapai matlamat serta enggan akur kepada peraturan. 

Mungkin bermain kotor juga merupakan antara ‘hak asasi’ yang diperjuangkan mereka.   Mungkin bagi COMANGO, undang-undang dan peraturan serta perdebatan ilmiah yang berfakta adalah menyusahkan.  Ini kerana bagi mereka, manusia tidak harus menggunakan akal, tetapi hanya menggunakan nafsu untuk menentukan cara hidup masing-masing.  Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh COMANGO sebagai ‘hak asasi’ manusia. 

Sikap COMANGO bermain kotor menunjukkan yang mereka sebenarnya takut berhadapan dengan pihak NGO Islam.  Sekali gus membuktikan bahawa mereka cukup sedar bahawa mereka tidak mampu berdiri atas hujah yang bernas dalam menuntut perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam dan undang-undang negara ini. 

Sepatutnya, COMANGO berhadapan dengan NGO Islam secara baik dengan mengemukakan hujah masing-masing secara rasional.  Tindakan memburukkan imej dan cuba mengenakan NGO Islam di Geneva, dengan sendirinya menyerlahkan kejahatan COMANGO. 

Tidak kira apa jua perjuangan kita, pada ketika kita terpaksa bermain kotor untuk mencapai matlamat maka kita wajar mempersoalkan kembali apakah kita di pihak yang benar atau salah. 

Apatah lagi bagi gabungan seperti COMANGO yang kononnya berdiri atas niat yang murni demi keadilan sejagat dan hak asasi manusia, maka tentulah ia perlu berjuang dengan jalan yang bersih dan berlandaskan undang-undang. 

Lebih-lebih lagi apabila gabungan itu menganggap penentangnya, iaitu NGO Islam sebagai pihak yang kolot, bodoh dan ketinggalan dan mereka pula sebagai pihak yang maju dan bertamadun. 

Namun, apa yang berlaku menunjukkan bahawa COMANGO hanyalah terdiri dari manusia gasar yang tidak mahu mengikut undang-undang.  Sudahlah memperjuangkan perkara yang haram, pertubuhan itu sendiri juga haram dan kini terbukti pula suka bermainkotor. 

Ini memberikan kita alasan yang lebih kukuh untuk menolak COMANGO kerana jelas gabungan itu membawa fahaman, budaya dan pemikiran jahiliah yang tidak sesuai bagi manusia moden. 


Tuesday, September 10, 2013

Matlamat COMANGO Untuk Hapus Islam Sebagai Agama Rasmi

Gabungan NGO Malaysia telah mengadakan satu taklimat pada 11 Julai 2013 yang lalu bagi Proses UPR (COMANGO).  Ia dipengerusikan oleh Tian Chua dan dihadiri oleh wakil-wakil NGO, antaranya Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam, SOGI atau Sexual Orientation and Gender Identity yang memperjuangkan LGBT, dan lain-lain lagi. 

Malaysia bakal menjalani proses Semakan Berpenggal Sejagat (UPR) Majlis hak Asasi Manusia PBB pada 24 Oktober 2013 di Geneva, Switzerland.  Proses ini akan menentukan tahap komitmen Malaysia terhadap Hak Asasi Manusia mengikut syor yang dikemukakan oleh Negara-negara PBB pada UPR pertama pada tahun 2009. 

Secara dasarnya, Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan hak asasi manusia di tempat yang cukup tinggi.   Hanya di Malaysia kita melihat semua agama mendapat ruang yang cukup besar dari segi pembangunan tempat ibadah.  Hanya di Malaysia, kita melihat kaum minoriti diberi hak ke atas sekolah berasingan serta bebas mempunyai akhbar sendiri, mengamalkan bahasa ibunda masing-masing sehingga mengabaikan Bahasa Kebangsaan. 

Hanya di Malaysia juga, kita melihat kaum minoriti ‘berkuasa’ menekan dan mencabar kaum majoriti, malah mengejek dan mempersenda kerajaan dan Raja-raja secara terbuka tanpa dikenakan apa-apa tindakan. 

Di Malaysia, masalah hak asasi sebenar seperti buruh kanak-kanak atau diskriminasi wanita dalam pendidikan dan pekerjaan, tidak menjadi isu langsung.  Pendek kata, semua manusia ‘normal’ di Malaysia bebas mengamalkan hak masing-masing dengan batas-batas tertentu agar tidak melanggar perlembagaan dan juga hak asasi orang lain sesuai dengan ketamadunan manusia.

Justeru, meletakkan Malaysia di bawah pemantauan COMANGO merupakan sesuatu yang meragukan.   Dan keraguan ini terjawab apabila melihat isu-isu yang ditimbulkan di dalam Deraf Laporan COMANGO. 

Antara isu yang menjadi perhatian COMANGO ialah isu LGBT atau SOGI.  COMANGO menuntut penghapusan seksyen 377A Kanun Kesiksaan dalam undang-undang Malaysia berhubung salah laku liwat serta menuntut hak dan kebebasan kepada golongan LGBTIQ. 

COMANGO juga menuntut penghapusan peruntukan-peruntukan berkaitan kesalahan mengikut undang-undang syariah yang memberi rujukan negatif terhadap permasalahan moral yang dilihat sebagai ‘hak peribadi’ (Perkara 9.1 dan 9.5 DLC) yang timbul dari kedudukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memposisikan Islam sebagai Agama Persekutuan dan Enakmen-enakmen berkaitan kesalahan-kesalahan Syariah.

Selain itu, dalam taklimat yang sama, COMANGO dilihat cuba memberi tekanan ke atas kes penggunaan nama ‘Allah’ oleh The Herald Weekly yang masih di peringkat Mahkamah Rayuan.

Secara ringkasnya, semua permasalahan yang dikemukakan oleh COMANGO adalah merupakan perkara-perkara yang berkaitan agama Islam.  Ini memperlihatkan bahawa COMANGO sengaja mengenepikan hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam di mana kedudukan Islam telah pun tertulis secara jelas di dalam perlembagaan. 

Persoalannya, kenapa baru hari ini Malaysia perlu berhadapan dengan tuntutan-tuntutan sebegini?  Jawapannya ialah kerana umat Islam di Malaysia semakin lemah sehingga membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk mencabar dan menentang. 

Keadaan menjadi sebegitu buruk apabila parti PAS yang merupakan pihak yang dahulunya paling ‘keras’ melaungkan Islam dan menentang sebarang bentuk keterbukaan kini turut bersekongkol dengan musuh-musuh Islam.  Bagi memelihara ‘pakatan’ mereka, PAS telah menunjukkan sifat yang pasif dalam menentang usaha memurtadkan umat Islam dan berdolak dalih dalam mempertahankan kalimah ‘Allah’ dari disalahgunakan oleh bukan Islam. 

Parti UMNO yang menjadi tonggak kerajaan bagaikan keseorangan dalam mempertahankan Islam di negara ini.  Dalam keadaan di mana tekanan diterima dari seluruh pelusuk termasuk dari dalam barisan kerajaan sendiri akibat lantikan mereka-mereka yang mempunyai ‘idea’ yang terbuka mengenai Islam, maka pertahanan UMNO juga semakin goyah. 

Melalui COMANGO, musuh-musuh Islam melancarkan serangan mereka untuk memastikan Malaysia tidak lagi menggunapakai undang-undang yang berteraskan Islam.  Bagi mereka Islam adalah satu masalah besar dan perlu dihapuskan kerana ia tidak menepati citarasa mereka yang ingin mengamalkan kebebasan tanpa syarat dan had. 

Umat Islam di Malaysia tidak mungkin dapat menahan asakan mereka selama-lamanya sekiranya kita terus berpecah belah.  Oleh itu, PAS yang mewakili jumlah umat Islam yang signifikan di negara ini wajib meletakkan pendirian yang jelas dalam memilih untuk berada di pihak mana, iaitu sama ada bersama parti yang membela Islam yakni, UMNO, atau bersama parti yang tegar berjuang untuk menghapuskan Islam sebagai agama rasmi serta menyanjung pluralisme iaitu DAP dan PKR. 

Selagi PAS bersama DAP dan PKR, selagi itulah PAS merupakan rakan subahat untuk menghancurkan Islam di negara ini. 

Sesungguhnya, PAS tidak wajar menggunakan nama Islam jika ingin terus berpimpin tangan dengan DAP dan PKR tetapi di masa yang sama mengharapkan UMNO sendirian berhadapan dengan asakan COMANGO.