berpendirian tetap itu mesti... bukan seperti lalang... perubahan ikut kesesuaian... teguran sentiasa ada... ikhlas itu penting...
Monday, January 23, 2017
HUBUNGAN PAS DAN PPBM SEMAKIN SUKAR DICAPAI
HUBUNGAN PAS DAN PPBM SEMAKIN SUKAR DICAPAI
Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat hubungan kerjasama antara PAS dan PPBM semakin sukar dicapai berikutan desas-desus terbaru, ada persetujuan antara PPBM dan DAP untuk menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kepada parti chauvinist tersebut. Sekiranya desas-desus ini benar, PAS diyakini akan bertindak tegas untuk tidak lagi mewujudkan apa-apa hubungan kerjasama dengan PPBM.
Khabar angin mengenai adanya pakatan sulit antara PPBM dan DAP untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Lim Kit Siang ditiupkan oleh Tunku Aziz Tunku Ibrahim, bekas Naib Pengerusi DAP, dalam portal berita Malaysia Outlook, 31 Disember 2016 yang lalu. Selain daripada itu, Lim Kit Siang juga dikatakan akan menjadi Menteri Kewangan mengikut pakatan tersebut.
Tunku Aziz di dalam portal berita yang sama, konsisten dengan dakwaannya malah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang untuk membuat perakuan bersumpah menafikan tuduhannya. Dakwaan Tunku Aziz ini mulai memperlihatkan kebenarannya apabila Tun Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa DAP memang meminta jawatan Timbalan Perdana dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh portal berita Antarapos semalam.
Perkembangan terbaru ini sememangnya mengejutkan, dan PPP yakin ia akan merencatkan sama sekali siri pertemuan antara PAS dan PPBM untuk menjalin hubungan kerjasama. Buat masa ini, PAS sama ada melalui Majlis Syura Ulama (MSU) dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, belum membuat apa-apa keputusan untuk bekerjasama dengan PPBM. Yang ada ketika ini hanyalah siri-siri pertemuan dan program bersama untuk menerokai dan menjalin hubungan tersebut.
Dengan perkembangan terbaru ini, iaitu adanya pakatan sulit memberi DAP jawatan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan, PPP yakin akan menutup terus ruang kerjasama antara PAS dan PPBM. PPP juga yakin seluruh pimpinan dan ahli PAS akan menentang keras sebarang tawaran yang ingin diberikan kepada DAP untuk menjawat jawatan-jawatan utama dalam kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
20 Januari 2017
22 Rabiulakhir 1438
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment