Thursday, November 10, 2016

MELAYU, APA SEDANG ANDA LAKUKAN? ANDA SUDAH BUTA?

Oleh: AZMAN HUSSIN

ANDA mengeluh bahawa anda sedang ditindas oleh pemerintah. Adakah ini benar? Apakah wujud penindasan? Kerana penindasan ini anda bangkit menentang pemerintah sehingga negara menjadi tidak stabil dan kucar-kacir seperti hari ini.

Apakah anda sedar apakah hasil dari tangan-tangan anda melawan pemerintah itu?

Anda menunjukkan kepada saya penyelewengan yang dilakukan pemerintah dengan pelbagai bukti. Tetapi, ia bukanlah persoalannya bagi saya. Saya tidak dapat menjawabnya. Anda bergaduh sesama sendiri, sama ada kerana menentang atau membela pemerintah, saling berdebat untuk mempertahankan pendirian masing-masing.

Saya sedar di mana-mana sudut dunia hari ini wujudnya penyelewengan dan penindasan yang dilakukan oleh pemerintah ke atas rakyatnya. Saya tidak akan menutup bangkai gajah dengan nyiru. Saya tidak akan berbahas dengan anda berkenaan perkara itu. Saya tidak akan terjebak dalam perdebatan sebegitu. Ia adalah perdebatan yang hilang punca, semakin berdebat semakin kusut dan tidak dapat diuraikan, malahan tidak menyelesaikan masalah. Saya tidak mahu menjadi hakim.

“Kita seharusnya keluar dari keadaan yang menimbulkan masalah ini agar kita dapat melihat keadaan sebenar,” itu kata Albert Einstein, dan begitulah seharusnya sama-sama kita lakukan untuk melihat permasalahan ini.

Apabila saya memilih tidak melawan dan taat kepada pemerintah, anda menuduh saya bodoh dan menjilat pemerintah. Anda melemparkan bukti-bukti penyelewengan pemerintah dan meminta agar saya menjawab semua persoalan itu jika kerajaan berada di pihak yang benar. Bukan seperti penyokong pemerintah yang lain, saya semestinya tidak akan dapat menjawab semua itu. Saya tidak dapat menipu diri bahawa semua itu seratus-peratus fitnah. Setidak-tidaknya saya tidak dapat melawan arus persepsi bahawa pemerintah itu menyeleweng atau menindas rakyat.

Bagaimanakah akan saya katakan pendirian saya ini?

Kita sebenarnya berada dalam zaman kekeliruan, ramai orang keliru di dalamnya, tercampak ke dalam pusaran arusnya dan tenggelam di dalamnya.

Wahai orang-orang Melayu, apabila anda menentang pemerintah, tidakkah anda sebenarnya telah memilih untuk menjadi lemah? Ketahuilah bahawa apabila anda berpecah-belah anda akan kerugian. Anda akan terpaksa tunduk kepada orang-orang bukan Islam.

Apabila rakyat berpecah-belah, kerajaan atau pembangkang akan tunduk kepada tuntutan orang-orang bukan Islam untuk memenangi undi mereka.
Bagaimana semua itu akan terjadi?

Biar saya terus  tunjukkan kepada anda bagaimana semua ini sedang berlaku secara ringkas.

Ia akan berlaku di kedua-dua pihak, sama ada di pihak pembangkang atau pihak kerajaan. Apabila orang-orang bukan Islam menyedari undi mereka akan menentukan siapa yang akan memerintah negara, mereka akan mengeksploitasi anda.

Sama ada parti pembangkang atau parti kerajaan, mereka tidak dapat memerintah tanpa bantuan orang-orang bukan Islam, melainkan orang-orang Melayu bersatu di satu pihak, iaitu sesuatu yang mustahil pada hari ini.  Anda akan terpaksa bersekongkol dengan mereka. Anda akan terpaksa membela mereka untuk menjalinkan kerjasama ini. Anda akan terpaksa berkompromi dengan mereka. Institusi-institusi yang memayungi orang-orang Melayu akan diserang. Anda akan lihat Raja-raja Melayu juga mulai diperlekeh dan disindir. Lihatlah bagaimana LGBT, liberalisme, pluralisme dan sekularisme mulai menampakkan diri mereka secara terang-terangan di tengah-tengah pergolakan politik hari ini.

Kenapa ini berlaku? Ia kerana mereka tahu anda tidak dapat berbuat apa-apa, selagi anda memerlukan undi daripada mereka.
Anda harapkan mereka menyokong anda tanpa apa-apa muslihat? Malah mereka menekan anda hingga ke dinding. Mereka akan membuli anda.
Anda tidak nampak?

Mereka seperti perempuan pisau cukur yang mengikis kekayaan anda. Mengugut anda untuk lari jika tidak diberikan, dan jika anda memberikan apa yang mereka mahukan, mereka tetap tidak jujur kepada anda.

Maka, bukankah ini bererti perjuangan anda itu hanya memenangkan agenda orang-orang bukan Islam ini?
Perkara ini bukan ancaman yang sengaja saya ciptakan untuk menakut-nakutkan anda supaya menyokong kerajaan sedia ada. Ia adalah realiti. Saya akan tunjukkan lagi kepada anda.

Anda lihat bagaimana ulama-ulama berhujah untuk membenarkan kalimah Allah digunakan oleh semua agama, sedangkan itu adalah ciri-ciri penyebaran Pluralisme. Anda lihat politikus-politikus cuba memandang ringan tuntutan untuk murtad. Anda lihat politikus-politikus menjadi lebih liberal dan tunduk kepada orang-orang bukan Islam. Anda akan lihat LBGT cuba dihalalkan.  Anda akan lihat tokoh-tokoh bukan Islam mepersoalkan agama anda, tetapi mereka akan dibiarkan.

Kenapa semua itu berlaku?

Ya, itu hanyalah kerana mereka mahukan undi orang-orang bukan Islam, kerana undi orang-orang Melayu telah berpecah.
Tidakkah anda sedar, apabila ini berlaku, perjuangan anda menentang kerajaan sebenarnya adalah perjuangan orang-orang bukan Islam kerana mereka yang akan mendapat hasilnya.

Bagaimana pula dengan DAP? Mereka tegas dengan perjuangan mereka, tiada toleransi. Mereka sanggup berpatah arang dengan PAS, hanya kerana tidak mahu menggadaikan dasar-dasar perjuangan sekular mereka. Biar kalah asalkan tidak menggadaikan prinsip mereka daripada menang dengan kehilangan prinsip.

Anda akan lihat mereka akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai tujuan mereka. Ia kelihatan tidak ada prinsip, misalnya dengan menerima Tun Dr Mahathir, tetapi apa yang mereka amalkan adalah kaedah yang tepat untuk mencapai matlamat mereka.

Tetapi, itu tidak terjadi kepada parti kerajaan atau pembangkang Melayu. Mereka semua terdesak untuk menagih undi orang-orang bukan Islam.

Bagaimana pula dengan kerajaan? Adakah anda fikir mereka akan mengalah? Sama ada mereka benar atau tidak, mereka pasti akan melawan dan tidak akan membiarkan parti mereka dikalahkan.

Tahukah anda, penentangan-penentangan ke atas kerajaan di seluruh dunia oleh rakyatnya adalah agenda asing untuk mengubah dunia? Pembangkang atau NGO-NGO biasanya ditaja oleh kuasa-kuasa asing untuk melemahkan kerajaan  agar tunduk kepada permintaan mereka, ataupun mereka dijatuhkan. Ia dijadikan alat untuk mengucar-ngacirkan sesebuah negara.

Anda boleh merungut yang kerajaan menggadaikan negara dengan menandatangani perjanjian-perjanjian perniagaan tertentu yang boleh menyebabkan negara kembali terjajah melalui perdagangan. Cubalah anda waraskan diri anda, seseorang penjenayah juga akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka. Maksud saya, kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Mereka mungkin akan berhutang atau menerima dana-dana tertentu untuk membiaya kempen-kempen politik mereka. Semua ini akan meletakkan negara dalam keadaan bahaya.

Hakikatnya, semakin kuat anda menentang mereka, semakin mereka terdesak untuk melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kekuasaan.
Anda nampak? Kesan tindakan anda akan ditanggung oleh anda sendiri sebagai rakyat jelata.

Dilemanya, dari satu sudut anda menentang kerajaan yang anda katakan menyeleweng, tetapi dari satu sudut yang lain, ia memenangkan agenda musuh ke atas anda.

Apakah sebenarnya yang anda tidak berpuas hati sehingga sanggup menentang pemerintah?

Saya boleh katakan yang kehidupan anda semakin baik, tetapi anda yang tidak mensyukurinya, dan apa yang berlaku hari ini adalah penyakit yang dialami oleh masyarakat yang hidup mewah, seperti yang dialami oleh tamadun-tamadun terdahulu, iaitu apabila kehidupan mereka makmur, mewah dan senang, mereka menjadi malas, suka berhibur, tamak dan bercakaran sesama sendiri, sebaliknya saya tidak akan mempersoalkan perkara ini di sini kali ini.

Mari kita ke hadapan lagi, kerana saya tahu anda tidak akan mengakui kehidupan anda sudah menjadi lebih baik pada hari ini. Jadi apa yang dapat saya tanyakan kepada anda, jika anda benar-benar tertindas: “Sekiranya kerajaan bertukar, apa yang anda akan dapat sebenarnya?”

Adakah anda benar-benar percaya negara akan menjadi lebih baik? Adakah ia hanya satu ilusi?

Anda akan melihat negara hanya digantikan politikus-politikus lain. Dan apabila anda menuntut janji-janji anda, mereka akan berdalih dengan skrip-skrip seperti ini, “Kami tidak dapat menunaikan janji-janji kami kerana pemerintah terdahulu telah merosakkan negara ini berpuluh-puluh tahun, sedangkan kami baru sahaja mengambil alih negara ini.”

Kenapa saya katakan begitu? Logik yang mudah, jika kerajaan hari ini dapat menunaikan apa yang dijanjikan pembangkang, sudah tentulah mereka sudah melaksanakan semua itu kerana mereka juga tidak mahu dijatuhkan. Dijatuhkan adalah bermakna mati dalam kamus seseorang politikus.

Lihatlah di negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang hari ini, adakah keadaan menjadi lebih baik? Anda hanya mendengar mereka menyalahkan pemerintah terdahulu, dan pemimpin-pemimpin mereka sendiri juga dikaitkan dengan penyelewengan dan rasuah.
Kemudian, fikirkan, kenapa orang-orang bukan Islam bersatu menentang kerajaan, sehingga DAP memenangi banyak kerusi dan menjadi pembangkang yang paling dominan?

Kenapa mereka menentang kerajaan? Adakah mereka dianiayai, sedangkan anda ketahui  8 daripada 10 individu terkaya di Malaysia adalah bangsa mereka?

Tidak, mereka tidak tertindas, tetapi sebahagian daripada mereka sudah kaya-raya dan menggunakan kekayaan itu untuk menguasai politik negara ini. Itu sahaja.

Tidakkah anda pelik kenapa orang-orang bukan Islam bersama pembangkang? Saya tidak perlu mengajar anda bahawa setiap orang akan menyokong sesuatu yang akan memberikan kelebihan kepada mereka. Dan secara tidak langsung nanti, anda akan diperintah oleh kerajaan baru, yang bukan sahaja sama berperangai seperti dahulu, tetapi ia didominasi oleh orang-orang bukan Islam melalui pelbagai cara.

Tetapi, apa pula kebaikan yang anda dapat sebagai orang-orang Melayu dengan tindakan menentang kerajaan dan menyokong pembangkang?
Saya fikir anda telah dikelirukan dan ditipu sebenarnya. Dihasut setiap hari supaya membenci kerajaan sehingga anda tidak sedar anda sebenarnya sedang diperalatkan untuk menjatuhkan pemerintahan oleh orang-orang Melayu itu sendiri. Anda dipergunakan oleh politikus-politikus ini untuk kepentingan diri mereka sehingga anda tidak dapat mempertimbangkan manfaat dan mudaratnya.

Anda mendakwa parti bukan Melayu, misalnya DAP lebih adil dan banyak melakukan kebaikan kepada rakyat. Anda lupa bahawa seorang playboy juga akan berjanji dan melakukan yang baik-baik sebelum dia mendapatkan apa yang dimahukannya.

Anda bertanya saya, kalau begitu adakah kerajaan perlu dibiarkan berkuasa sesuka hati mereka tanpa dibangkang?

Saya tidak dapat menjawab soalan anda itu, tetapi anda sendiri telah melihat keburukan anda menentang pemerintah.

Anda boleh mendesak jawapan daripada saya lagi. Secara idealistiknya, saya mengharapkan pembangkang lebih mengalah kepada pemerintah jika ia boleh mengelakkan keadaan menjadi lebih memudaratkan kepada orang-orang Melayu. Tetapi, saya pasti akan kecewa. Ia tidak mungkin terjadi begitu, kerana pembangkang hari ini telah melanggar semua ini untuk mencapai cita-cita peribadi mereka.

Ya, mereka lebih berminat mengeksploitasi keburukan-keburukan kerajaan, hanya untuk menggapai kekuasaan untuk diri mereka semata-mata.
Jika mereka benar melawan kejahatan dan ketidakadilan, mereka tidak akan melakukan sepertimana yang mereka lakukan sekarang, membiarkan diri mereka ditunggang oleh orang-orang bukan Islam.

Ya, tidak logik mereka tunduk kepada orang-orang bukan Islam jika mereka berjuang untuk orang-orang Melayu.

Fikirlah, anda mungkin marahkan Perdana Menteri atau Kerajaan, tetapi berbaloikah dengan apa yang anda akan dapat? Melawan kerajaan sehingga membiarkan orang-orang bukan Islam memperbodohkan parti pembangkang dan parti kerajaan, adakah itu anda masih tidak nampak?
Bodoh dan gila, bukan? Tetapi itulah yang anda sedang lakukan, wahai orang-orang Melayu.

No comments: